Category: Jenayah

  • Helah pekasam ikan berisi ketum tak menjadi

    Helah pekasam ikan berisi ketum tak menjadi

    Oleh BADLISHAH MAT

    TAKTIK melabel dua kotak polistrin dan sebuah beg plastik berzip tertera perkataan ‘pekasam ikan’ tidak menjadi apabila polis menemukan daun ketum yang dibawa dua lelaki di Shahab Perdana, Alor Setar malam tadi.

    Serbuan pada pukul 10.45 malam itu dilakukan polis berdasarkan maklumat yang diperolehi selain perbuatan mencurigakan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun yang kononnya penjual ikan pekasam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua kotak polistrin dan bekas plastik itu mengandungi 290 bungkusan plastik mengandungi daun disyaki ketum.

    Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati jumlah keseluruhan daun ketum itu dianggarkan seberat 58 kilogram (kg).

    “Berikutan itu mereka ditahan untuk membantu siasatan dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut bersama daun ketum yang dirampas.

    “Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui lebih lanjut pembabitan mereka dalam kegiatan itu,” katanya di Alor Setar hari ini.

    Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

  • Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    Reman tiga lelaki pukul guru pusat tahfiz disambung

    REMAN tiga lelaki yang ditahan berhubung kes serangan terhadap seorang guru di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang, Khamis lalu, disambung dua hari lagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, tempoh reman ketiga-tiga suspek berusia 30-an terbabit disambung sehingga Khamis ini selepas permohonan reman sebelum ini tamat, hari ini.

    “Kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pagi ini. Kita akan maklumkan semula (kepada media) tarikh pertuduhan kes terbabit,” katanya memetik laporan Harian metro.

    Kesemua suspek terbabit ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, Terengganu serta Bandar Jengka, Pahang, bermula 1 pagi hingga 8 pagi, Sabtu lalu.

    Ia susulan kes tular seorang guru yang cedera selepas diserang lima lelaki kerana tidak berpuas hati soal pembayaran makanan.

    Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang Khamis lalu, suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan yang mana tiga suspek menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga premis terbabit.

  • KPDNHEP gagalkan cubaan seleweng 900 liter diesel

    KPDNHEP gagalkan cubaan seleweng 900 liter diesel

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menahan seorang lelaki ditahan bersama lori muatan tiga tan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah, Kuantan semalam.

    Menerusi serbuan KPDNHEP pada pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki berumur 48 tahun ditahan ketika mengisi diesel di stesen terbabit.

    Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, penahanan dilakukan selepas lori terbabit didapati mengisi diesel dalam keadaan mencurigakan.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menemukan satu tangki keluli tambahan yang diubah suai di dalam bahagian kabin belakang kenderaan itu.

    “Turut ditemukan sebuah pam yang dipercayai digunakan untuk menyedut diesel yang dibeli di stesen minyak ke dalam tangki keluli yang telah diubah suai itu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Katanya, KPDNHEP Pahang bertindak menyita lori itu bersama diesel yang dianggarkan 900 liter dan menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori untuk tujuan siasatan lanjut.

    Menurutnya, kertas siasatan dibuka dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Kes penyelewengan diesel itu adalah kes kedua bulan ini selepas dikesan di sebuah stesen minyak di Indera Mahkota, di Kuantan pada 2 Ogos lalu.

    Kes itu membabitkan dua lelaki ditahan bersama sebuah lori muatan tujuh tan membabitkan 1,000 liter sudah diisi ke dalam tangki.

    Mark berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP Pahang sentiasa menjalankan pemantauan di stesen minyak di negeri ini, termasuk sekitar Kuantan.

    Katanya, langkah itu dalam usaha mencegah aktiviti penyelewengan minyak petrol dan diesel sekali gus mencegah ketirisan subsidi kerajaan.

    “Oleh itu, KPDNHEP meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti mencurigakan melaporkan kepada kementerian,” katanya.

  • Ambil nasi ayam kedai Cina, JHEAINPP belum terima aduan rasmi

    Ambil nasi ayam kedai Cina, JHEAINPP belum terima aduan rasmi

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan sebuah kedai menjual nasi ayam milik orang Melayu mengambil bahan masakan daripada sebuah restoran bukan Islam seperti yang tular di dalam media sosial.

    Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jabatan itu sudah diarahkan menjalankan siasatan rapi dan terperinci berhubung dakwaan tersebut kerana ia melibatkan sensitiviti orang Islam.

    Ujar beliau, JHEAINPP dan beberapa agensi berkaitan sudah melakukan siasatan awal namun hanya berdasarkan kepada dakwaan seperti yang tular di dalam media sosial.

    “Saya difahamkan setakat ini tiada aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak. Maka, tiada individu termasuk pemilik kedai dipanggil untuk siasatan lanjut.

    “Namun, pemilik dan pekerja kedai serta beberapa individu yang didakwa terlibat sudah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Sejak semalam, satu video berdurasi 2 minit 38 saat yang memaparkan dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara tular di dalam media sosial.

    Tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Muslim terutama pelanggan kedai terbabit yang menggesa pemilik restoran tampil menjelaskan situasi sebenar dan mendesak pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan.

  • Rampas diesel bersubsidi bernilai RM25,000

    Rampas diesel bersubsidi bernilai RM25,000

    POLIS menahan empat lelaki yang didapati menyimpan kira-kira 11,400 liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM25,000 secara salah dalam serbuan di sebuah premis Chuah dan Lukut, Port Dickson, semalam.

    Serbuan pada pukul 10.30 pagi itu adalah hasil risikan dan dua suspek berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun ditahan.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika pemeriksaan dijalankan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit atau surat kebenaran bertulis menyimpan diesel itu.

    “Mereka tidak memiliki surat yang dikeluarkan Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga lori dan 11 tangki empat segi yang dimuatkan di bahagian belakang lori itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata modus operandi digunakan adalah mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.

    Aidi Sham berkata, suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak untuk diisikan ke dalam tangki itu menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.

    “Apabila semua tangki itu sudah penuh, diesel berkenaan akan dibawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual pada harga industri yang membolehkan sindiket memperolehi untung ‘atas angin’,” ujarnya.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

    Pada 11 Ogos lalu, KPDNHEP Negeri Sembilan berjaya menyita 17,000 liter diesel bernilai RM36,550 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di Lukut di Port Dickson.

    Difahamkan sepasukan penguat kuasa KPDNHEP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, menyerbu sebuah lokasi terpencil di Kampung Sri Parit Lukut, Port Dickson dan menahan dua suspek.

  • Lelaki naik ‘gila’ musnahkan papan tanda jalan, mesin air

    Lelaki naik ‘gila’ musnahkan papan tanda jalan, mesin air

    TULAR video seorang lelaki dipercayai mabuk bertindak memusnahkan harta benda awam mengundang kebimbangan orang awam.

    Dalam video berdurasi satu minit 21 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan yang memakai kemeja putih bertindak mematahkan papan tanda jalan raya, sebelum memecahkan mesin air di kedai runcit berdekatan.

    Dalam kejadian di Taman Intan, Kluang, lelaki tersebut menjerit dalam bahasa yang sukar difahami serta menendang tayar kereta orang awam.

    Namun, dia kemudiannya ditenangkan di kaki lima oleh orang ramai yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian.

    Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki itu, selain simpati dengan harta benda awam yang menjadi mangsa vandalisme tersebut.

    Seorang pengguna, Azlan Budi berkata tingkah laku lelaki itu memecahkan harta benda awam satu tindakan tidak berguna kerana hanya menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

    “Tak semena-mena barang orang lain jadi mangsa, kalau dia tak mampu bayar macam mana mangsa nak tuntut ganti rugi?”

    Shukor Adnan berkata, lelaki itu tidak sepatutnya minum minuman keras sehingga menyusahkan orang lain.

    “Inilah bahayanya arak. Sebelum ni ada kes mabuk langgar lari macam tu sahaja. Sekarang mabuk harta benda orang pula nak dirosakkan,” katanya dalam nada kesal.

    Selain itu, Shahrul Nizam berkata, meskipun marah dengan perbuatan itu, namun dia juga memahami lelaki tersebut dalam keadaan kurang waras ketika mabuk.

    “Betul salah apa yang dia buat, tetapi mungkin dia ada masalah lain sehingga mabuk, tiada siapa sedia mendengar dan selesaikan masalah dia,” ujarnya.

    Dalam komen lain, Mohammad Syafiq berkata, orang awam sepatutnya memanggil polis untuk menghentikan perbuatan lelaki itu.

    “Jangan ambil risiko sekiranya berjumpa dengan orang macam ini, kena tunggu polis biar dia ‘bergusti’ dengan barang tersebut sehingga pihak berkuasa sampai,” katanya

  • Pembantu rumah ditahan aniaya anak majikan

    Pembantu rumah ditahan aniaya anak majikan

    POLIS menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia kerana dipercayai menganiaya dua anak majikannya di sebuah taman perumahan di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

    Suspek yang berusia 48 tahun itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Kejadian itu disedari ibu mangsa sekitar pukul 3 petang pada Sabtu sebelum membuat laporan polis telah pada keesokan harinya.

    Memetik laporan Astro Awani, suspek dikatakan merentap dengan kuat sehingga tangan kiri seorang mangsa sehingga dipercayai terkehel.

    Selain itu, suspek juga didakwa menyiram air ke muka mangsa secara berterusan.

    Perbuatan suspek ke atas kanak-kanak yang dipercayai berusia tiga tahun dan setahun lapan bulan itu terbongkar selepas ibu keda-dua mangsa itu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak kanak 2001,” katanya.

  • Seleweng 11,400 liter diesel subsidi, empat lelaki ditahan

    Seleweng 11,400 liter diesel subsidi, empat lelaki ditahan

    EMPAT lelaki ditahan kerana disyaki menyeleweng kira-kira 11,400 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM24,510 menerusi serbuan di Chuah dan Lukut, Port Dickson dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata mereka berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun dan ditahan dalam operasi yang bermula pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam.

    “Ketika pemeriksaan dijalankan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit atau surat kebenaran bertulis menyimpan diesel yang dikeluarkan Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    “Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga lori dan 11 tangki empat segi yang dimuatkan di bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata modus operandi digunakan adalah mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.

    Aidi Sham berkata suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak untuk diisikan ke dalam tangki tersebut menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori dan apabila semua tangki telah penuh, diesel berkenaan akan dibawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.- BERNAMA

  • Gadis putus cinta ugut, langgar pagar rumah bekas kekasih

    Gadis putus cinta ugut, langgar pagar rumah bekas kekasih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG gadis yang kecewa dipercayai akibat putus cinta bertindak merempuh pintu pagar kediaman bekas teman lelakinya di Taman Perling, Johor Bahru semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Faiz Ammar Abdullah berkata, suspek yang berusia 20 tahun kemudian cuba melarikan diri namun berjaya diberkas pihak polis di Gelang Patah, Iskandar Puteri, pukul 5 pagi semalam.

    “Suspek ditahan di kawasan Plaza Tol Lima Kedai, Johor Bahru. Ketika ditahan suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis benzo hasil ujian air kencing yang dibuat ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, sebelum itu suspek cuba mengugut kakak kepada bekas teman lelakinya itu untuk membakar premis perniagaan motosikal milik keluarga mereka.

    Menurutnya, kakak kepada bekas teman lelaki suspek mengadu menerima ugutan melalui aplikasi WeChat daripada suspek yang hendak membakar kedai perniagaan milik keluarganya dan juga merosakkan harta keluarga pengadu.

    Beliau berkata, suspek turut mengirimkan sebuah video yang memaparkan seseorang sedang mencurahkan cecair disyaki petrol di hadapan kedai perniagaan mangsa.

    Suspek merempuh pintu pagar bahagian hadapan rumah pengadu dan terus melarikan diri sebelum berjaya ditahan di Tol Lima Kedai, Johor Bahru

    Tambahnya, akibat bimbang dengan ugutan tersebut pengadu telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

    “Bertindak atas aduan itu, semalam, sepasukan polis menuju ke lokasi rumah pengadu di Taman Perling sebelum didapati sebuah kereta dipandu suspek telah merempuh pintu pagar bahagian hadapan rumah pengadu dan terus melarikan diri dengan kereta sama,” ujarnya.

    Pihak polis katanya, telah mengekori dan berjaya menahan suspek di Tol Lima Kedai.

    Kerosakan pagar dianggarkan sekitar RM15,000

    “Pintu pagar dan juga kenderaan mangsa mengalami kerosakan akibat perbuatan terbabit dan nilai kerugian dianggarkan sekitar RM15,000.

    “Siasatan polis mendapati suspek adalah bekas kekasih kepada adik lelaki pengadu dimana pasangan itu didapati telah putus hubungan pada bulan Julai 2022,” katanya.

    Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama manakala suspek disiasat mengikut seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Pengasuh kasari kanak-kanak di pusat taska

    Pengasuh kasari kanak-kanak di pusat taska

    TULAR video seorang wanita melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah taska di Kepong di Kuala Lumpur.

    Dua rakaman video kejadian tersebut dikongsikan seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa pelaku bertindak memukul dan menyuap makanan secara paksa kepada mangsa.

    Pemilik Facebook itu berkata, video itu diperoleh menerusi saudara terdekat dan berharap rakaman tersebut disebarkan bagi melindungi kanak-kanak di pusat asuhan berkenaan.

    “Berapa ramai kanak-kanak yang akan menjadi mangsa jika pelaku masih bekerja di pusat jagaan itu. Adakah wajar kanak-kanak diperlakukan sedemikian?

    “Jangan bekerja (pengasuh) jika tiada nilai kasih sayang dan penyabar dalam diri. Orang yang tiada kasih sayang tidak layak menjadi pengasuh,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebooknya semalam.

    Pemilik Facebook tersebut bagaimanapun memberitahu kanak-kanak yang menjadi mangsa tersebut bukan anaknya dan tidak pasti jika ibu bapa mangsa sedia maklum dengan kejadian itu.

    “Saya harap ibu bapa kanak-kanak tersebut melihat video ini. Ibu bapa kanak-kanak ini pasti sedih kerana menyangka anak-anak gembira belajar dan berkawan tetapi akhirnya dilayan seperti itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu.

    “Jika ibu bapa mangsa membuat laporan, maka kita akan mempertimbangkan untuk membuka kertas siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.