EMPAT lelaki ditahan kerana disyaki menyeleweng kira-kira 11,400 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM24,510 menerusi serbuan di Chuah dan Lukut, Port Dickson dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata mereka berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun dan ditahan dalam operasi yang bermula pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam.

“Ketika pemeriksaan dijalankan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit atau surat kebenaran bertulis menyimpan diesel yang dikeluarkan Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga lori dan 11 tangki empat segi yang dimuatkan di bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi digunakan adalah mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.

Aidi Sham berkata suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak untuk diisikan ke dalam tangki tersebut menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori dan apabila semua tangki telah penuh, diesel berkenaan akan dibawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here