TULAR video seorang wanita melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di sebuah taska di Kepong di Kuala Lumpur.

Dua rakaman video kejadian tersebut dikongsikan seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa pelaku bertindak memukul dan menyuap makanan secara paksa kepada mangsa.

Pemilik Facebook itu berkata, video itu diperoleh menerusi saudara terdekat dan berharap rakaman tersebut disebarkan bagi melindungi kanak-kanak di pusat asuhan berkenaan.

“Berapa ramai kanak-kanak yang akan menjadi mangsa jika pelaku masih bekerja di pusat jagaan itu. Adakah wajar kanak-kanak diperlakukan sedemikian?

“Jangan bekerja (pengasuh) jika tiada nilai kasih sayang dan penyabar dalam diri. Orang yang tiada kasih sayang tidak layak menjadi pengasuh,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebooknya semalam.

Pemilik Facebook tersebut bagaimanapun memberitahu kanak-kanak yang menjadi mangsa tersebut bukan anaknya dan tidak pasti jika ibu bapa mangsa sedia maklum dengan kejadian itu.

“Saya harap ibu bapa kanak-kanak tersebut melihat video ini. Ibu bapa kanak-kanak ini pasti sedih kerana menyangka anak-anak gembira belajar dan berkawan tetapi akhirnya dilayan seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu.

“Jika ibu bapa mangsa membuat laporan, maka kita akan mempertimbangkan untuk membuka kertas siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here