Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG gadis yang kecewa dipercayai akibat putus cinta bertindak merempuh pintu pagar kediaman bekas teman lelakinya di Taman Perling, Johor Bahru semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Faiz Ammar Abdullah berkata, suspek yang berusia 20 tahun kemudian cuba melarikan diri namun berjaya diberkas pihak polis di Gelang Patah, Iskandar Puteri, pukul 5 pagi semalam.

“Suspek ditahan di kawasan Plaza Tol Lima Kedai, Johor Bahru. Ketika ditahan suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis benzo hasil ujian air kencing yang dibuat ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebelum itu suspek cuba mengugut kakak kepada bekas teman lelakinya itu untuk membakar premis perniagaan motosikal milik keluarga mereka.

Menurutnya, kakak kepada bekas teman lelaki suspek mengadu menerima ugutan melalui aplikasi WeChat daripada suspek yang hendak membakar kedai perniagaan milik keluarganya dan juga merosakkan harta keluarga pengadu.

Beliau berkata, suspek turut mengirimkan sebuah video yang memaparkan seseorang sedang mencurahkan cecair disyaki petrol di hadapan kedai perniagaan mangsa.

Suspek merempuh pintu pagar bahagian hadapan rumah pengadu dan terus melarikan diri sebelum berjaya ditahan di Tol Lima Kedai, Johor Bahru

Tambahnya, akibat bimbang dengan ugutan tersebut pengadu telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Bertindak atas aduan itu, semalam, sepasukan polis menuju ke lokasi rumah pengadu di Taman Perling sebelum didapati sebuah kereta dipandu suspek telah merempuh pintu pagar bahagian hadapan rumah pengadu dan terus melarikan diri dengan kereta sama,” ujarnya.

Pihak polis katanya, telah mengekori dan berjaya menahan suspek di Tol Lima Kedai.

Kerosakan pagar dianggarkan sekitar RM15,000

“Pintu pagar dan juga kenderaan mangsa mengalami kerosakan akibat perbuatan terbabit dan nilai kerugian dianggarkan sekitar RM15,000.

“Siasatan polis mendapati suspek adalah bekas kekasih kepada adik lelaki pengadu dimana pasangan itu didapati telah putus hubungan pada bulan Julai 2022,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama manakala suspek disiasat mengikut seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here