Category: Jenayah

  • Rakan, individu terakhir jumpa Zalina – Polis

    Rakan, individu terakhir jumpa Zalina – Polis

    SEORANG rakan kepada Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman, dipercayai individu terakhir bertemu dengan bekas pembaca berita itu sebelum beliau dilaporkan hilang sehingga kini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ia susulan keterangan diambil daripada individu berusia 30an itu pada 16 Ogos lepas.

    “Berdasarkan keterangan yang diambil, individu tersebut bertemu dengan Zalina pada Julai 2021 dan ketika pertemuan tersebut, Zalina dalam keadaan sihat serta seperti biasa sahaja.

    “Orang terakhir itu adalah rakan kepada Zalina sahaja dan bukan ahli keluarga atau pekerja binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil siasatan mendapati individu itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina selain tiada perkembangan terbaru melibatkan kes itu sehingga kini.

    Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.–Bernama

  • Polis tahan 92 PATI, lapan warga tempatan

    Polis tahan 92 PATI, lapan warga tempatan

    SEBUAH rumah di Kampung Belukar Pauh, Panji di Kota Bharu yang dijadikan transit pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu polis pada pukul 4.40 petang Selasa lalu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil serbuan tersebut polis menahan 92 PATI warga Myanmar dan tujuh lelaki tempatan dipercayai ‘transporter’ (penghantar).

    “Polis menahan 21 wanita dan 71 lelaki warga Myanmar berusia dari 16 hingga 51 tahun yang masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

    “Siasatan awal ke atas tujuh suspek berusia antara 17 hingga 43 tahun mendakwa menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan.

    “Transpoter itu memberitahu mereka dibayar sebanyak RM1,500 daripada setiap ejen yang terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata, pada Rabu lalu tindakan susulan dilakukan pada pukul 5.15 pagi terhadap seorang lelaki di Wakaf Che Yeh di Kota Bahru selepas menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru.

    Menurutnya, hasil temubual awal, suspek dipercayai merupakan seorang pengatur ‘transporter’ yang membawa PATI dari Kelantan ke Selangor dan Kuala Lumpur untuk bekerja.

    Muhamad Zaki berkata, kesemua PATI tersebut dikatakan masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

    Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua tangkapan ditempatkan di rumah transit tersebut sebelum dihantar keluar dari Kelantan.

    “Kami turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, sebuah HRV jenis Honda hitam, sebuah Toyota Inova, sebuah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah Perodua Bezza.

    “Sebanyak 14 telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai RM4,113, Thai Bhat 1,100 dan 10 kad sim juga dirampas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • 4 warga asing ditahan bantu siasatan kes tukang cuci maut ditikam

    4 warga asing ditahan bantu siasatan kes tukang cuci maut ditikam

    POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang juga warga asing yang mayatnya dijumpai dengan kesan tikaman dalam kejadian di Bukit Gedung semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, polis menerima maklumat berhubung satu pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di kawasan itu pukul 11 malam semalam.

    Jelas beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun dijumpai terbaring dengan kesan kecederaan tikaman di badan dan disahkan telah meninggal dunia.

    “Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

    “Kesemua mereka bekerja sebagai tukang cuci; penjaga kedai runcit; buruh binaan dan pekerja kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian disyaki akibat dendam, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

    Jelasnya, kesemua warga asing yang ditahan itu direman selama tujuh hari sehingga 28 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

  • Lelaki mati dipercayai dilibas di leher

    Lelaki mati dipercayai dilibas di leher

    SEORANG lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Merua Batu 3, Jalan Haji Wahab, Parit hari ini.

    Keadaan mangsa, Norzi Jaafar, 58, disedari seorang penduduk kampung sekitar pukul 10.30 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri di luar pintu rumah dengan darah di sekeliling badan dan pintu serta lampu terbuka.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai kesan libasan senjata tajam.

    “Mangsa berkemungkinan meninggal dunia lebih dari 15 jam dari tempoh ditemui, berdasarkan keadaan tompokan darah yang telah beku dan bertukar warna.

    “Mangsa tinggal seorang diri dan kali terakhir lelaki itu dilihat sekitar pukul 6.30 petang semalam ketika berdiri di luar rumah. Mangsa ada menyapa penduduk kampung yang melalui jalan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Katanya, selepas itu mangsa tidak kelihatan sehingga ditemukan pagi ini oleh seorang penduduk yang datang ke rumah kerana mahu meminjam pam racun,.

    Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang pergelutan atau kesan pecah masuk rumah di tempat kejadian.

    Katanya, barang-barang berharga milik mangsa termasuk sejumlah wang tunai yang disimpan dalam dompet juga tidak terusik.

    “Jadi buat masa ini, kita menolak andaian bahawa kes ini membabitkan kes samun.

    “Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian termasuk suspek terlibat, senjata digunakan juga masih belum dapat dikesan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

    Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Tiada buat transaksi tapi wang RM10,000 lesap

    Tiada buat transaksi tapi wang RM10,000 lesap

    SEORANG lelaki kerugian apabila pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 lesap selepas ditipu sindiket penipuan kewangan.

    Menurut mangsa yang berusia 40-an dan enggan dikenali, dia membuat pengeluaran itu pada April lalu dan wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun sebuah bank pada 21 April.

    “Namun, pada hari sama berlaku tiga transaksi iaitu dua pindahan wang dan satu lagi menggunakan e-walet.

    “Apabila saya menghubungi bank, pihaknya mengesahkan terdapat pengeluaran dan pembelian berlaku menggunakan wang di dalam akaun milik saya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, hari ini.

    Dia sehingga kini hairan bagaimana pihak bank boleh membenarkan transaksi itu berlaku.

    “Saya tidak mengenali individu yang mengeluarkan wang saya itu, ketika bertanya pihak bank mereka memaklumkan tidak dapat berbuat apa-apa.

    “Saya juga membuat laporan polis pada 23 April lalu, dan turut diminta merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank,” katanya.

    Sementara itu, Chean Chung berkata, pihaknya memandang serius kelemahan yang wujud pada keselamatan sistem perbankan.

    “Persoalannya mengapa tiada tindakan lanjut daripada pihak bank untuk membuat pengesahan pengeluaran wang berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Fahmi Fadzil berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memerangi penipuan kewangan dan scammer.

    “Dianggarkan tiga mangsa bagi setiap jam menjadi mangsa penipuan dengan kerugian sekitar RM30,000 bagi setiap seorang,” katanya.

  • Dua lelaki menyamar pegawai imigresen, rogol wanita ditahan

    Dua lelaki menyamar pegawai imigresen, rogol wanita ditahan

    POLIS menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai pegawai Imigresen dan menyamun serta merogol seorang wanita warga Indonesia, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-duanya yang berusia 35 dan 40 tahun ditahan di sebuah rumah teres di Taman Seri Asahan, Jasin, Melaka, kira-kira 3 pagi tadi.

    Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, kedua-dua suspek mengaku sebagai pegawai Imigresen dan ingin melakukan pemeriksaan pasport serta permit dua wanita tersebut berhampiran sebuah hospital di Pandan Indah di Ampang, Selangor, seterusnya meminta mereka menaiki kereta jenis Honda City.

    “Selepas itu kedua-dua wanita berkenaan dibawa ke kawasan Serdang dan semasa dalam perjalanan, suspek telah mengambil barang kemas dan wang tunai milik mangsa.

    “Seorang daripada mangsa kemudian diturunkan di tepi jalan di kawasan berkenaan manakala seorang lagi dibawa ke sebuah hotel di kawasan Balakong dan dirogol,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya hasil serbuan di rumah di Jasin itu, polis merampas wang tunai, seutas rantai leher, rantai tangan serta kenderaan yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian terbabit.

    Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 40 tahun itu mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan dadah termasuk tiga rekod dikehendaki manakala lelaki berusia 35 tahun pula mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan dadah termasuk satu rekod dikehendaki.

    Mohamad Farouk berkata kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. – Bernama

  • Maritim Malaysia tahan kapal layar beroperasi tanpa dokumen

    Maritim Malaysia tahan kapal layar beroperasi tanpa dokumen

    OLeh RIZQI ZABIDI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah kapal layar yang beroperasi tanpa dokumen di sekitar perairan Langkawi, lewat petang kelmarin.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kapal layar itu ditahan semasa bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba kira-kira pukul 6.55 petang kelmarin.

    Hasil pemeriksaan mendapati, kapal layar yang membawa dua pemilik kapal layar serta dua kru masing-masing berumur 46 tahun hingga 56 tahun beserta lapan penumpang itu, gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut.

    Kapal layar tersebut dipercayai membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam atau ‘Sunset Cruise’.

    Kapal layar bersama kru dan pemilik bot tersebut kemudian ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

    kapal layar itu ditahan semasa bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba kira-kira pukul 6.55 petang kelmarin

    Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah.

    Maritim Malaysia turut menegaskan supaya semua pengusaha kapal layar yang menjalankan aktiviti ‘Sunset Cruise’ untuk mematuhi segala keperluan perlesenan, insuran dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal layar.

    Maritim Malaysia juga mengingatkan supaya pelancong lebih peka untuk memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

    Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kesalahan undang-undang di laut melalui talian 04-9662750.

  • Remaja 16 tahun tunggang motosikal ala Superman antara 4 lelaki ditahan berlumba

    Remaja 16 tahun tunggang motosikal ala Superman antara 4 lelaki ditahan berlumba

    REMAJA berusia 16 tahun antara seramai empat remaja lelaki yang ditahan polis selepas dikesan melakukan aksi ‘ala Superman’ ketika menunggang motosikal serta berlumba secara berkumpulan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Cheung Eu, Georgetown, Pulau Pinang semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam Ops Samseng Jalanan itu, tiga lagi remaja lelaki yang ditahan berusia 18 dan 19 tahun.

    Menurut beliau, remaja ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Barat Daya serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang.

    “Berdasarkan siasatan awal, kesemua mereka didapati menunggang motosikal secara berkumpulan serta melakukan aksi ‘ala Superman’ sambil menduga kelajuan.

    “Sehubungan itu, mereka telah direman selama tiga hari sehingga esok untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, dalam operasi sama sebanyak tujuh buah motosikal disita termasuk motosikal yang digunakan oleh pesalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 manakala sebanyak 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

    Sementara itu, beliau menegaskan polis akan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan terutama ketika hujung minggu.

    ”Ibu bapa juga perlu menasihati dan memantau anak-anak supaya tidak terlibat dengan aktiviti berbahaya seperti ini,” katanya.

  • Polis tahan lelaki rosak Jalur Gemilang di ibu negara

    Polis tahan lelaki rosak Jalur Gemilang di ibu negara

    SEORANG lelaki ditahan polis semalam kerana merosakkan Jalur Gemilang di jejambat Jalan Syed Putra, Brickfields, Kuala Lumpur sebelum membuang bendera tersebut.

    Foto perbuatan lelaki tersebut dikongsikan dalam Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Bagaimanapun, DBKL memaklumkan, pelaku telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Kenapa Jalur Gemilang yang menjadi sasaran? Suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut perkongsian itu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ini adalah kejadian ketiga dilaporkan DBKL membabitkan Jalur Gemilang dirosakkan.

    Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 6 Ogos di Jalan Sultan Ismail manakala kejadian kedua pada 17 Ogos di bangunan MITEC, Jalan Ampang membabitkan pelaku sama yang menggunting bendera tersebut.

  • Remaja 14 tahun hilang, ibu rayu anaknya pulang

    Remaja 14 tahun hilang, ibu rayu anaknya pulang

    SEORANG remaja berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada petang Rabu lepas.

    Menurut ibunya, Siti Noor Mustapa, 47 tahun, anak ketiganya itu dikenali sebagai Ahmad Darwish Daniel, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli.

    Siti Noor berkata, anaknya dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas menyertai sesi latihan kawad kaki pada petang Rabu di sekolahnya.

    “Anak saya tiada masalah dengan saya atau ayahnya atau adik beradik lain, dia anak yang tiada perangai.

    “Namun Selasa lepas, Ahmad Darwish ada memaklumkan mempunyai masalah di sekolah,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

    “Ahmad Darwish pernah menjadi pengawas sekolah dan beliau sering dibuli oleh pelajar senior,” jelasnya lagi.

    Siti Noor berkata, anaknya itu juga ada memaklumkan berkaitan surat disiplin yang dikeluarkan cikgu kepadanya namun ianya tidak membabitkan kes yang serius.

    Beliau juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, kelmarin.

    “Saya dan keluarga serta rakan-rakan sekolahnya telah mencari hampir serata Jeli, kehilangannya juga sudah ditularkan, bahkan ramai yang membantu mencarinya, namun hingga saat ini tiada khabar berita,” tambahnya.

    Ayah tirinya merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli yang turut menjalankan pencarian di segenap tempat, namun tidak menjumpainya.

    Orang ramai yang menjumpai remaja berkenaan, boleh menghubunginya di talian 012 2428619 / 01161027678 atau mana-mana balai polis berdekatan.