Category: Jenayah

  • Pekerja syarikat solar disamun dua ‘anggota polis’

    Pekerja syarikat solar disamun dua ‘anggota polis’

    DUA lelaki yang menyamar sebagai anggota polis sebelum melakukan samun berkumpulan ditahan polis di rumah mereka di Batu 2, Jalan Semporna-Tawau, Semporna, pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua suspek warga tempatan yang berumur 48 tahun ditahan susulan laporan dibuat mangsa pada 21 Ogos lalu.

    “Pada kejadian pukul 5.11 petang itu, mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat solar elektrik didatangi suspek ketika berada di rumahnya.

    “Suspek yang menaiki Perodua Axia mendakwa mereka adalah anggota polis. Suspek kemudiannya menunjukkan sepasang gari kepada mangsa sebelum mengarahkannya keluar rumah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, suspek kemudiannya menggeledah rumah mangsa dan mengambil semua barangan berharga milik mangsa termasuk wang RM2,500 serta lima telefon bimbit sebelum beredar.

    Mohd Farhan berkata, bertindak atas maklumat, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menyerbu kediaman suspek sebelum menahan mereka.

    Selain Perodua Axia, pihaknya merampas gari, sebilah pisau, sebuah motosikal, tiga telefon bimbit dan kunci kereta daripada suspek.

    “Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.

    “Suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan,” katanya.

  • Saksi siasatan kes pecah amanah KLFC akan dipanggil

    Saksi siasatan kes pecah amanah KLFC akan dipanggil

    BEBERAPA saksi akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat bagi tujuan merekod kenyataan untuk membantu siasatan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

    Sumber berkata, serbuan dan siasatan ke atas pejabat KLFA dan Kuala Lumpur City FC (KL City) dilakukan susulan laporan diterima pihak SPRM mengenai kes pecah amanah membabitkan wang tajaan KL City dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati.

    “Ketika ini, dokumen yang diperoleh daripada pejabat KLFA minggu lalu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisa dan SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan.

    “Tajaan paling besar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan diikuti oleh beberapa syarikat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan SPRM akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan ke atas persatuan bola sepak itu.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

  • Polis rekod keterangan guru buat kecoh di mahkamah

    Polis rekod keterangan guru buat kecoh di mahkamah

    POLIS telah merakam keterangan seorang lelaki yang membuat kecoh semasa perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

    Keterangan guru lelaki disyaki mempunyai masalah mental itu direkod pihaknya pada pukul 9.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah datang ke rumah lelaki itu di Serendah, Hulu Selangor sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk dirakam keterangan.

    “Pada masa sama, ahli keluarganya ada menunjukkan kad perubatan individu itu yang menunjukkan dia mempunyai masalah mental.

    “Tiada sebarang rampasan dibuat berkenaan kes itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Media semalam melaporkan, seorang guru disyaki mempunyai masalah mental hadir pukul 12.10 tengah hari untuk mendengar prosiding perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak di aras empat mahkamah tersebut sebelum membuat kecoh di pekarangan pintu masuk.

    Petugas tidak membenarkan lelaki berkenaan memasuki kamar mahkamah kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut dan mengarahkannya untuk beredar secara baik.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan.

    Lelaki tersebut dibawa keluar pihak polis selepas lima minit membuat bising di lobi kompleks mahkamah itu.

  • Penghantar makanan ditetak buruh dengan parang

    Penghantar makanan ditetak buruh dengan parang

    SEORANG penghantar makanan diserang dan ditetak seorang lelaki yang menuntut hutang bayaran kerja dengannya menggunakan parang dalam kejadian di Jalan Mulia 1/1, Taman Mulia Jaya, di Ampang Jaya, semalam.

    Ketika kejadian, mangsa yang berusia 41 tahun bersama rakannya berada di sebuah kedai di lokasi kejadian pukul 7.10 malam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa kemudian melihat suspek memegang parang panjang lalu mengejarnya sebelum ditetak menggunakan senjata itu.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian lengan kiri serta kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku kerana mangsa menuntut hutang bayaran kerja daripada suspek menyebabkannya tidak berpuas hati dengan tuntutan terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang berkerja sebagai buruh di Taman Dagang, di Ampang Jaya, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    “Kami turut merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah,” katanya.

    Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Kastam rampas rokok seludup RM2 juta

    Kastam rampas rokok seludup RM2 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menggagalkan cubaan menyeludup 100,5000 bungkus rokok tidak bercukai bernilai RM2 juta apabila menahan sebuah lori di Jalan Lama Penampang – Papar, Lebuh Raya Pan Borneo, di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Cheong Yu Min berkata, pasukan penguatkuasaan daripada Cawangan Operasi Kota Kinabalu JKDM Zon Sabah turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 62 tahun pada pukul 3.40 petang.

    “Bertindak atas maklumat awam dan risikan, menahan sebuah lori tiga tan disyaki membawa barang-barang tak berkastam di jalan berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori yang ditahan mendapati bahawa dianggarkan sebanyak 100,500 bungkus rokok pelbagai jenama yang disyaki barang-barang tak berkastam ditemui dengan anggaran nilai selepas cukai RM2 juta.

    “Selain itu, dua suspek ditahan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai untuk pasaran tempatan di Kota Kinabalu atau kemungkinan ke daerah lain.

    “Siasatan lanjut juga masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber rokok seludup berkenaan,” katanya.

    Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

    JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

  • Tangani pusat kecantikan tidak berlesen, tidak bertauliah

    Tangani pusat kecantikan tidak berlesen, tidak bertauliah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 50 aduan diterima Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) berkenaan kegiatan menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dan kesihatan dengan harga lebih murah daripada pusat kecantikan berlesen serta bertauliah sejak 2016.

    Penolong Setiausaha Agung MTPN, Noorman Kamsani berkata, pusat kecantikan dan kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) itu kebanyakannya beroperasi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

    “Pusat kecantikan dan kesihatan tidak berdaftar berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial bagi menarik minat pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut.

    “Mereka menggunakan platform Wechat, Facebook selain Instagram bagi tujuan tersebut dan rata-rata pelanggan adalah wanita berusia 18 hingga 30 tahun. Pusat berkenaan tidak mempunyai kemahiran profesional serta tidak diiktiraf KKM.

    “Kita bimbang akan mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan. Ada mangsa yang datang mengadu dengan MTPN kerana mengalami kesan sampingan dan merasa tertipu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pilihan Pengguna Tahun 2022 di Taman Daya, Johor Bahru yang dianjurkan MTPN.

    Noorman Kamsani

    Katanya, antara perkhidmatan yang berikan seperti rawatan mencantikkan hidung, rawatan suntikan bagi membesarkan anggota badan tertentu, rawatan pemutihan gigi, suntikan vitamin C dan botoks serta perkhidmatan menguruskan badan.

    Menurut beliau, orang ramai biasanya tertarik kerana perkhidmatan yang ditawarkan murah serendah RM5,000 hingga RM30,000 mengikut pakej yang dimahukan.

    Sementara itu, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan membeli barang keperluan perniagaan mereka menerusi program jualan murah dianjurkan kerajaan khusus untuk meringankan beban golongan B40.

    Noorman menegaskan, perbuatan itu adalah tidak wajar dan pada masa sama kerajaan perlu juga meringankan beban peniaga menerusi mekanisme khusus kerana mereka kini menampung kos bahan mentah yang mahal.

    Selain itu katanya, MTPN ada menyumbangkan 1,000 bakul makanan kepada B40 di seluruh negara dan juga memberikan sumbangan pembinaan dewan serta dan surau di beberapa tempat dalam tahun ini.

    Mengenai keputusan unilateral kerajaan melarang produk merokok, termasuk vape dan rokok bagi mereka yang lahir selepas 2007, pihaknya menyokong usaha tersebut yang dibuat untuk keselamatan dan kesihatan generasi akan datang.

  • Penjawat awam rugi RM429,000 diperdaya ‘pegawai pos’

    Penjawat awam rugi RM429,000 diperdaya ‘pegawai pos’

    SEORANG penjawat awam di Arau kerugian RM429,000 apabila diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai ‘pegawai’ daripada Pos Malaysia Berhad kira-kira empat bulan lalu.

    Pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang wanita berusia 50 tahun berkaitan kejadian itu pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor talian tidak dikenali di mana seorang individu dalam talian itu memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai’ pos pada 24 Mei lalu.

    “‘Pegawai’ Pos Malaysia Berhad itu memberitahu mangsa bahawa terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu sekeping kad pengenalan dan lima keping kad bank didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah.

    “Bagaimanapun, mangsa menafikan berkenaan hal ini dan diminta untuk membuat laporan polis apabila panggilan telefon disambungkan ke sebuah balai polis di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Katanya, selepas panggilan itu disambungkan, mangsa terkejut apabila diberitahu bahawa nama dan nombor kad pengenalannya didapati terbabit dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan mangsa diminta untuk membuat beberapa kali transaksi bayaran bagi menyelesaikan kes.

    Disebabkan takut dengan situasi yang berlaku, beliau berkata, mangsa yang percaya dengan dakwaan itu kemudian membuat 10 kali transaksi bayaran dari 27 Jun hingga 30 Julai lalu ke beberapa akaun bank yang diberikan.

    “Mangsa menyedari dirinya tertipu dan rugi sebanyak RM429,000 sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Arau pada Rabu lalu,” katanya.

    Ahmad Mohsin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya giat mengesan suspek.

  • Buruh binaan maut dipukul majikan dengan topi keledar

    Buruh binaan maut dipukul majikan dengan topi keledar

    SEORANG buruh binaan maut akibat dipukul dengan topi keledar dipercayai oleh majikannya di Mentara Lama, di Gua Musang, semalam.

    Mangsa meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis, Pahang selepas tiga hari menerima rawatan.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, kejadian bermula pada pukul 12.30 pagi, Isnin lalu apabila mangsa pergi ke rumah seorang rakan di kampung sama dan mengadu dipukul oleh majikannya.

    Beliau berkata, pada pukul 7 pagi, rakan dan abang mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Merapoh untuk mendapatkan rawatan.

    “Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia di hospital terbabit pada pukul 6.30 pagi semalam.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa bekerja dengan suspek sebagai buruh binaan rumah di Mentara Lama, di Gua Musang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, punca awal kejadian disebabkan mangsa yang dikatakan mengambil duit upah membina rumah daripada pelanggan tanpa pengetahuan suspek.

    “Suspek berang lalu bertindak memukul kepala mangsa dengan menggunakan topi keledar sehingga mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan,” katanya.

    Susulan itu katanya, suspek lelaki berusia 40 tahun ditangkap dan ditahan reman sehingga Selasa ini.

    “Kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kemudian diklasifikasikan mengikut 302 Kanun Keseksaan memandangkan mangsa meninggal dunia,” katanya.

  • Wanita maut disyaki ditekup bantal oleh teman lelakinya

    Wanita maut disyaki ditekup bantal oleh teman lelakinya

    SEORANG wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup dengan menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang, dekat sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima aduan kira-kira jam 9.12 malam, semalam, daripada seorang wanita tempatan.

    “Kaunter aduan Balai Polis Klang telah menerima satu aduan daripada seorang perempuan warga tempatan, yang menyatakan bahawa pada 7.18 malam semalam telah terima panggilan video daripada suspek, yang meminta bantuan untuk mengambilnya di kawasan Kampung Pandan, Klang.

    “Ini kerana suspek dikatakan telah bertindak menekup muka dengan mengunakan bantal terhadap seorang perempuan, sehingga tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek.

    “Pihak polis yang sampai di lokasi tempat kejadian mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah jenis lot di kawasan Kampung Pandan, Klang. Mangsa telah ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut, pemeriksaan tubuh badan mangsa tiada sebarang kesan kecederaan,” katanya.

    Cha berkata suspek berusia 19 tahun telah ditangkap pihaknya di tepi jalan berdekatan dengan tempat kejadian, ketika beliau mahu melarikan diri.

    Beliau berkata pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    “Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, telah menemukan beberapa barang yang boleh membantu siasatan,” katanya.

    Cha berkata siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Polis tahan tiga warga emas, rampas dadah bernilai lebih RM30 juta

    Polis tahan tiga warga emas, rampas dadah bernilai lebih RM30 juta

    POLIS percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan pengedaran tempatan dengan penahanan tiga lelaki warga emas di Bukit Tinggi dekat sini dan rampasan 841.06 kilogram syabu dianggar bernilai RM30.8 juta di sebuah rumah di Bentong, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata hasil penahanan terhadap mereka, polis menyerbu rumah tersebut dan menemukan dadah terbabit yang dijual di pasaran pada harga anggaran RM36,000 sekilogram serta boleh digunakan kira-kira 4.2 juta penagih.

    Suspek yang berusia 61 dan 63 tahun merupakan pekebun durian manakala suspek berusia 62 tahun adalah penganggur serta mereka disyaki terlibat dengan sindiket tersebut sejak awal tahun ini.

    “Sindiket tersebut dipercayai menggunakan khidmat kurier dan laluan laut untuk menyeludup dadah ke pasaran antarabangsa… yang kita syaki ke negara serantau serta mereka turut disyaki terlibat mengedar dadah untuk pasaran tempatan.

    “Polis masih mengesan ahli sindiket lain kerana mereka ini bukan dalang namun hanya sebahagian daripada anggota sindiket tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong hari ini.

    Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Azmi Awang Lah.

    Ramli berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock, selaras senjata api tiruan, kelopak peluru, peluru hidup, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dan wang tunai RM1,564. 

    Menurutnya kesemua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif terhadap dadah.

    Mereka direman hingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

    Dalam kes lain, Ramli berkata polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai terlibat mengedar dadah dalam operasi pada 10 hingga 11 malam semalam di Kampung Pengsenam, dekat Temerloh.

    Beliau berkata siasatan menemukan 10 peket plastik lut sinar disyaki berisi syabu dianggar seberat 507.27 gram bernilai RM18,000 daripada lelaki itu dan dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan Felda.

    Katanya suspek yang tidak memiliki rekod jenayah dipercayai memperoleh dadah itu dari Lembah Klang dan dia kini direman hingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – Bernama