DUA lelaki yang menyamar sebagai anggota polis sebelum melakukan samun berkumpulan ditahan polis di rumah mereka di Batu 2, Jalan Semporna-Tawau, Semporna, pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua suspek warga tempatan yang berumur 48 tahun ditahan susulan laporan dibuat mangsa pada 21 Ogos lalu.

“Pada kejadian pukul 5.11 petang itu, mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat solar elektrik didatangi suspek ketika berada di rumahnya.

“Suspek yang menaiki Perodua Axia mendakwa mereka adalah anggota polis. Suspek kemudiannya menunjukkan sepasang gari kepada mangsa sebelum mengarahkannya keluar rumah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Katanya, suspek kemudiannya menggeledah rumah mangsa dan mengambil semua barangan berharga milik mangsa termasuk wang RM2,500 serta lima telefon bimbit sebelum beredar.

Mohd Farhan berkata, bertindak atas maklumat, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menyerbu kediaman suspek sebelum menahan mereka.

Selain Perodua Axia, pihaknya merampas gari, sebilah pisau, sebuah motosikal, tiga telefon bimbit dan kunci kereta daripada suspek.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.

“Suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here