JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menggagalkan cubaan menyeludup 100,5000 bungkus rokok tidak bercukai bernilai RM2 juta apabila menahan sebuah lori di Jalan Lama Penampang – Papar, Lebuh Raya Pan Borneo, di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Cheong Yu Min berkata, pasukan penguatkuasaan daripada Cawangan Operasi Kota Kinabalu JKDM Zon Sabah turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 62 tahun pada pukul 3.40 petang.

“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, menahan sebuah lori tiga tan disyaki membawa barang-barang tak berkastam di jalan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori yang ditahan mendapati bahawa dianggarkan sebanyak 100,500 bungkus rokok pelbagai jenama yang disyaki barang-barang tak berkastam ditemui dengan anggaran nilai selepas cukai RM2 juta.

“Selain itu, dua suspek ditahan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Harian Metro.

Katanya, siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai untuk pasaran tempatan di Kota Kinabalu atau kemungkinan ke daerah lain.

“Siasatan lanjut juga masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber rokok seludup berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here