Category: Jenayah

  • [VIDEO]Ahli perniagaan diculik Vellfire putih kerana masalah hutang

    [VIDEO]Ahli perniagaan diculik Vellfire putih kerana masalah hutang

    SEORANG ahli perniagaan diculik sekumpulan lelaki menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih petang semalam dipercayai berpunca kerana masalah hutang.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 5.03 petang.

    Beliau berkata, sekumpulan suspek yang dipercayai lelaki tempatan telah menarik dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta ketika mangsa sedang makan sendirian di sebuah restoran dekat Jalan Pandan Indah.

    “Mangsa berusia 38 tahun telah meminta tolong dan cuba untuk melepaskan diri, tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.45 malam selepas dilepaskan suspek di kawasan Klang.

    “Mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya, lapor Utusan TV.

    Tambahnya, kejadian dipercayai berpunca akibat masalah hutang dengan pihak majikan dan suspek terlibat kini sedang giat dikesan.

    Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan.

    Mohamad Farouk berkata, pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk awam yang cuba membantu dalam kejadian berkenaan dan menasihati orang awam supaya tidak terlibat dengan hutang tanpa lesen yang sah.

  • Suspek buang sampah dalam sungai ditahan

    Suspek buang sampah dalam sungai ditahan

    POLIS mengambil keterangan seorang pengutip sampah selepas video tular lelaki itu membuang sampah ke dalam sungai di percayai di Sungai Wak Rabun, Pontian tular sejak tengah hari semalam.

    Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Bandar Pontian, kira-kira jam 7 malam tadi, selepas lima jam usaha mencarinya dijalankan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki warga tempatan itu didapati negatif dadah namun mempunyai banyak rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah

    “Kita cuba mengesan suspek selama lima jam termasuk di rumahnya tetapi tiada dan kita kemudian berjaya menghubungi dan menemuinya di kawasan bandar Pontian. Apabila berjaya ditemui dan ditahan, kita bawa suspek ke balai polis dan menjalankan pemeriksaan serta siasatan.

    “Suspek yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan itu diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuang sampah dari kenderaan.

    “Perbuatan itu (membuang sampah dari kenderaan) adalah satu kesalahan dan boleh dihukum saman atau dikompaun sehingga RM2,000,”katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media pada acara pelepasan (Flag Off) Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru.

    Semalam, tular satu video memaparkan seorang pemandu lori satu tan memberhentikan kenderaan berat itu sebelum memikul sampah daripada kenderaan dan membuangnya dari atas jambatan di Pontian.

    Tindakannya itu dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Kamarul Zaman berkata, Onn Hafiz kemudian menghubungi beliau dan meminta pihak polis membantu mengambil tindakan.

    “Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan mengesan suspek.

    “Suspek mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang dan tempat pembuangan sampah dan sampah dikutip sepatutnya dibuang di tempat khas, namun suspek bertindak mengambil jalan mudah.

    “Kita sudah tahan suspek dan nasihatkannya, dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Mungkin sebelum ini dia buat, orang tidak nampak,” jelasnya.

    Jelas Kamarul Zaman, polis turut bekerjasama dengan pihak pentadbir sungai di Johor iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang turut menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang mereka.

    “SWCorp juga akan siasat, kita sudah bincang dengan mereka, SWCorp juga akan amik tindakan dan untuk mereka, boleh kompaun sehingga maksimum RM10,000,” katanya.

  • Rasuah; Pulau Pinang sedia kerjasama, tuntut ketelusan SPRM

    Rasuah; Pulau Pinang sedia kerjasama, tuntut ketelusan SPRM

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan pegawai di negeri itu yang terlibat dengan amalan rasuah dapat ditangani dengan serius.

    Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pihaknya juga mahu SPRM telus dalam mendedahkan jumlah kes yang dibawa ke mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah.

    Tambah beliau, Pulau Pinang mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap jenayah rasuah yang melibatkan penjawat awam di negeri itu kerana ia selaras dengan prinsip tadbir urus baik Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) yang diamalkan sejak 2008.

    “Kami menuntut ketelusan di pihak SPRM kerana kami tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri tercemar hanya dengan jumlah aduan yang diterima sejak 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.

    Menurut Azam daripada jumlah itu, sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).

    Sementara itu Kon Yeow berkata, tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang sama ada penjawat awam dari agensi Persekutuan atau negeri.

    “Sekiranya didapati terlibat dalam menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu, mereka mesti disiasat dan didakwa secepat mungkin,” katanya.

  • Azi dalam keadaan baik, masih di KL

    Azi dalam keadaan baik, masih di KL

    EJEN jualan kosmetik yang diselamatkan di Thailand selepas dilarikan sekumpulan lelaki di kediamannya di Tumpat pada 13 September lalu, berada dalam keadaan baik.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa Rosnazirah Mohd Naim, 36, kini masih berada di Kuala Lumpur dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat.

    Tegasnya, tiada sebarang bayaran dilakukan sepanjang tempoh kehilangan wanita berkenaan, memetik laporan BH Online.

    “Alhamdulillah mangsa dalam keadaan baik dan kini berada di Kuala Lumpur. Sedikit masa lagi akan dibawa pulang.

    “Tiada sebarang bayaran dibuat sepanjang kehilangannya dan saya turut berterima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bekerja keras untuk kes ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

  • MBSA nafi Datuk Bandar Shah Alam ditahan SPRM

    MBSA nafi Datuk Bandar Shah Alam ditahan SPRM

    MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan bahawa Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor hanya dipanggil untuk membantu siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada petang Rabu.

    MBSA dalam kenyataan menafikan dakwaan berhubung penahanan Datuk Bandar Shah Alam itu oleh SPRM bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dan dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin.

    “Datuk Bandar Shah Alam telah kembali melaksanakan kerja seperti biasa di pejabat semalam. Pihak MBSA juga ingin menegaskan bahawa akan sentiasa sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu melengkapkan siasatan dengan pihak SPRM,” menurut kenyataan itu.

    Media semalam melaporkan, SPRM berjaya membongkar satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek di MBSA susulan serbuan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Ahad lepas.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan.

  • Polis selamatkan ejen kosmetik mangsa culik di Thailand

    Polis selamatkan ejen kosmetik mangsa culik di Thailand

    EJEN jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.

    Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam ini berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan di Thailand.

    “Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini. Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

    PAda 14 September lalu, Rosnazirah diculik dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat.

    Dia  dilarikan sekumpulan tidak dikenali pada jam 4.10 petang dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios.

    Pada 16 September lalu, Polis Thailand melancarkan operasi bagi mengesan Rosnazirah dengan turut membuat serbuan di sebuah rumah di pinggir Sungai Golok atau Takbai,

    Katanya, serbuan berkenaan dibuat susulan maklumat yang diperoleh bahawa kediaman itu dihuni salah seorang suspek.

  • Seorang lagi bekas YDP PBT Selangor akan didakwa esok

    Seorang lagi bekas YDP PBT Selangor akan didakwa esok

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang lagi bekas Yang Dipertua (YDP) sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, esok.

    Tertuduh yang juga merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik (PBT) berusia 48 tahun pernah berkhidmat di sebuah daerah di Selangor.

    Menurut sumber, tertuduh dipercayai telah menerima suapan berbentuk wang tunai kira-kira RM100,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

    Pada 23 Sept lepas, dua bekas YDP iaitu YDP Majlis Daerah Hulu Selangor, Shukri Mohamad Hamin, 49, dan YDP Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohamad Zain A Hamid, 48, serta seorang bekas Timbalan YDP Majlis Perbandaran Sepang Muhammad Hafiz Shaari, 43, masing-masing didakwa di mahkamah sama atas beberapa pertuduhan menerima rasuah melibatkan wang tunai, tiket kapal terbang, basikal berjenama, wang untuk membeli kereta dan telefon pintar.

    Turut dituduh, seorang juru ukur bahan MPKL Muhammad Asyraf Mohammad Jasni, 33, yang didakwa menerima rasuah berjumlah lebih RM50,000 antara Disember 2019 hingga November 2020.

    Mereka yang masing-masing didakwa empat dan enam pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut.

    Pertuduhan berkenaan adalah susulan daripada penahanan beberapa individu pada tahun lalu kerana disyaki menerima rasuah dalam pelbagai bentuk sebagai dorongan pemberian projek kepada pihak tertentu.

    — BERNAMA

  • Maut terjun tingkat lapan selepas tikam teman wanita hingga mati

    Maut terjun tingkat lapan selepas tikam teman wanita hingga mati

    SEORANG lelaki maut dipercayai akibat terjun dari tingkat lapan selepas menikam teman wanitanya sehingga maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Kilangan, Jalan Sungai, Pulau Pinang petang tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan dua warga Myanmar itu kira-kira pukul 8 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, mayat mangsa wanita yang dikenali sebagai Khin Nyein, 30, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di balkoni tingkat lapan manakala mayat teman lelakinya yang berusia 30-an di parkir tingkat bawah pangsapuri tersebut.

    “Menurut saksi yang juga rakan mangsa wanita, dia dan mangsa yang bekerja di sebuah kilang emas baru pulang dari tempat kerja dan ketika tiba di rumah mereka suspek lelaki secara tiba-tiba meluru dan memeluk wanita berkenaan.

    “Lelaki itu juga menutup mulut teman wanitanya dan terus menikam mangsa di bahagian perut beberapa kali dengan sebilah pisau.

    “Rakan mangsa wanita berkenaan cuba menyelamatkannya namun ditolak oleh suspek,” katanya kepada pemberita malam ini.

    Menurut Saravanan, suspek lelaki yang dipercayai tinggal tidak jauh daripada kawasan perumahan mangsa kemudiannya bertindak terjun daripada tingkat lapan sebelum ditemukan maut di kawasan parkir apartment tersebut.

    Katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian manakala mayat kedua-dua warga asing itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.

  • SPRM sudah selesaikan kertas siasatan Mohd. Nazlan

    SPRM sudah selesaikan kertas siasatan Mohd. Nazlan

    KERTAS siasatan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sudah selesai, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Jelasnya, SPRM kini hanya menunggu arahan yang akan diberikan oleh Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    “Dalam kes berkenaan, pada saya, kami telah selesaikan kertas siasatan, dan ia sudah berada dengan SPRM.

    “Tetapi kami belum dapat mengumumkan apa-apa arahan lanjut yang kita terima dari Pejabat Peguam Negara.

    “Buat masa ini saya reserve my comment (enggan mengulas lanjut) dalam siasatan ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Sebelum ini Azam berkata, kertas siasatan itu pernah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara sebelum dipulangkan semula kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

    SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan terdapat sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaun banknya.

    Mohd. Nazlan yang mengetuai perbicaraan kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah yang mana Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang serius ketika menghakimi perbicaraan itu.

  • Datuk Bandar ditahan SPRM bantu siasatan projek tebatan banjir di Selangor

    Datuk Bandar ditahan SPRM bantu siasatan projek tebatan banjir di Selangor

    SEORANG Datuk Bandar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

    Sumber yang mengesahkan tangkapan itu, berkata lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan dalam usaha agensi itu melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan.

    “Beliau ditahan semalam. Selepas keterangannya diambil, beliau dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin. “Datuk Bandar itu dibebaskan sementara siasatan lanjut dijalankan SPRM,” katanya sumber kepada Berita Harian.

    Sebelum itu di Pulau Pinang, Ketua  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, terdapat pegawai kanan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit.

    “Siasatan juga sedang dijalankan berhubung bagaimana sebuah syarikat mampu mengawal 30 buah syarikat lain untuk mendapatkan projek-projek di jabatan di MBSA. Setakat ini kita sudah menahan seramai sembilan orang dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

    Azam percaya, penahanan mereka yang terlibat merupakan sebuah kartel yang berjaya dibongkarkan dengan tangkapan terbaharu pegawai kanan kerajaan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

    SPRM sebelum ini mengesahkan menahan beberapa individu berhubung siasatan terhadap Pelan Induk Saliran Lestari Shah Alam (SASUD) yang dikaitkan dengan MBSA.

    Pegawai MBSA yang ditahan itu termasuk dua jurutera, seorang penolong jurutera dan seorang penolong pentadbir selain seorang kontraktor.