SEORANG Datuk Bandar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Sumber yang mengesahkan tangkapan itu, berkata lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan dalam usaha agensi itu melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan.

“Beliau ditahan semalam. Selepas keterangannya diambil, beliau dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin. “Datuk Bandar itu dibebaskan sementara siasatan lanjut dijalankan SPRM,” katanya sumber kepada Berita Harian.

Sebelum itu di Pulau Pinang, Ketua  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, terdapat pegawai kanan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit.

“Siasatan juga sedang dijalankan berhubung bagaimana sebuah syarikat mampu mengawal 30 buah syarikat lain untuk mendapatkan projek-projek di jabatan di MBSA. Setakat ini kita sudah menahan seramai sembilan orang dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, hari ini.

Azam percaya, penahanan mereka yang terlibat merupakan sebuah kartel yang berjaya dibongkarkan dengan tangkapan terbaharu pegawai kanan kerajaan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

SPRM sebelum ini mengesahkan menahan beberapa individu berhubung siasatan terhadap Pelan Induk Saliran Lestari Shah Alam (SASUD) yang dikaitkan dengan MBSA.

Pegawai MBSA yang ditahan itu termasuk dua jurutera, seorang penolong jurutera dan seorang penolong pentadbir selain seorang kontraktor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here