Category: Jenayah

  • Terkenal dengan jolokan Robert Solo, pencuri warga emas ditangkap

    Terkenal dengan jolokan Robert Solo, pencuri warga emas ditangkap

    PASANG kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat pelanggan dan mengenal pasti selok belok ruangan dalam bangunan selama beberapa bulan.

    Itu taktik licik seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan CCTV untuk memecah masuk ke sebuah pejabat dan mencuri barangan bernilai RM10,000.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, suspek yang terkenal dengan jolokan Robert Solo itu telah berjaya ditahan pada Selasa lalu di Daerah Ampang.

    Jelas beliau, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kejadian pecah pejabat di Setiawalk Puchong pada 16 September lalu.

    “Hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang dan Balai Polis Puchong Jaya telah berjaya menangkap suspek pada 4 Oktober.

    “Suspek berasal dari Perak dan menetap di Ampang, Selangor itu bekerja sebagai juruteknik pemasangan CCTV dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau.

    “Suspek juga pernah menjalani hukuman penjara tujuh hari bagi satu kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada 2018 manakala bagi kes-kes lain suspek dihukum dengan bayar denda,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, soal siasat polis telah berjaya menemukan pelbagai barangan berharga yang disyaki hasil kegiatan pecah pejabat di kawasan Lembah Klang.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, antara barangan yang ditemukan adalah pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, drone dan alat permainan video.

    Jelas Anbalagan, nilai rampasan barangan itu dianggarkan kira-kira RM180,000.

    “Suspek pernah ditugaskan untuk memasang CCTV di pejabat mangsa dan selepas mengenal pasti selok-belok bangunan, dia akan datang semula untuk melakukan kegiatan pecah pejabat dalam masa satu atau dua bulan.

    “Kegiatan ini dilakukan pada waktu siang hari ketika cuti umum atau hujung minggu ketika pejabat tidak beroperasi.

    “Suspek masuk ke dalam pejabat dengan mengumpil pintu kecemasan di bahagian belakang,” katanya, lapor Utusan TV.

    Anbalagan berkata, suspek didapati bergiat aktif dalam kegiatan pecah pejabat di sekitar kawasan Lembah Klang melibatkan beberapa daerah seperti Serdang, Petaling Jaya, Brickfield, Sentul dan Shah Alam.

    Katanya, dengan kejayaan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes kejadian pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

    Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan direman selama tujuh hari sehingga 11 Oktober ini.

    Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh lima hingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan.

  • Tunjuk pistol ugut bunuh, penganggur dicekup polis

    Tunjuk pistol ugut bunuh, penganggur dicekup polis

    POLIS berjaya menahan seorang penganggur lelaki berusia 42 tahun yang melakukan ugutan untuk menembak mati seorang peniaga atas isu tidak berpuas hati.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, penahanan lelaki itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung ugutan tersebut semalam.

    Jelas beliau, suspek yang juga dikenali mangsa itu telah melakukan ugutan tersebut menerusi hantaran mesej di aplikasi WhatsApp.

    Kata Anbalagan, ugutan itu juga telah disampaikan kepada beberapa rakan mangsa dengan menunjukkan satu objek menyerupai pistol berwarna perak dengan pemegang berwarna hitam.

    “Hasil maklumat dan risikan pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang telah berjaya menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini.

    “Suspek berasal dari Selangor itu tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai enam rekod jenayah serta tiga rekod narkotik.

    “Antara rekodnya adalah dua Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) (Samun Tanpa Bersenjata) dan Seksyen 39 (A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya dalam sidang media hari ini.

    Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, tangkapa dan rampasan telah dilakukan di Daerah Serdang dan Kajang.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan bersama pegawainya menunjukkan sepucuk pistol dan peluru yang berjaya dirampas selepas menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan ugutan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, hasil soal siasat telah berjaya menemukan sepucuk pistol tertera tulisan sarsilmaz made in Turkey, ‘stainless steel’ berwarna perak.

    Ujar beliau, turut ditemukan adalah kelopak peluru berwarna hitam berisi lapan butir peluru hidup.

    Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

    “Modus operandi suspek adalah dengan membuat ugutan dan pemerasan terhadap mangsa yang menjalankan perniagaan seperti restoran dan kedai makan yang mempunyai warga asing.

    “Dalam kes ini, pengadu adalah pemilik kedai kenderaan terpakai di kawasan Seri Kembangan,” katanya, lapor Utusan TV.

    p Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan. GAMBAR: Warta Rakyat

    Anbalagan berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 506 KK (Ugutan Jenayah) dan boleh dihukum penjara selam tempih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi kesalahan memiliki senjata api dan peluru hidup, Anbalagan berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.

    Jelas Anbalagan, jika sabit kesalahan atas kesalahan senjata api itu, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

    Katanya, suspek telah ditahan reman selama tiga hari untuk tujuan siasatan.

  • Cubaan penuntut kolej wanita curi pakaian berjenama gagal

    Cubaan penuntut kolej wanita curi pakaian berjenama gagal

    DUA penuntut sebuah kolej ditahan kerana mencuri pakaian berjenama di sebuah pusat beli belah di Taman Melawati, Ampang, pukul 8.30 malam tadi.

    Kejadian tersebut disedari pekerja pusat beli belah tersebut sebelum menahan kedua-dua wanita itu yang berusia 21 tahun.

    Difahamkan mereka masuk ke premis menjual pakaian sebelum berpura-pura ingin mencuba tiga pakaian bernilai RM429 di bilik persalinan.

    Selepas mencuba pakaian itu, suspek terus beredar namun disedari pekerja premis terbabit yang kemudian menahan mereka.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek.

    “Polis merampas barang kes dan menahan suspek kerana disyaki melakukan jenayah curi dalam bangunan.

    “Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang jaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

  • Kubur warga emas digali semula

    Kubur warga emas digali semula

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Selepas dikebumikan beberapa hari lalu, kubur seorang warga emas di Kulim, Kedah bakal digali semula pagi ini setelah anaknya mengesyaki wanita tersebut menjadi mangsa kejadian jenayah berikutan beberapa faktor.

    Sumber memaklumkan, antara perkara yang menjadi kemusykilan si anak adalah kehilangan beberapa barangan peribadi wanita berusia 79 tahun tersebut iaitu gelang, dua cincin serta telefon bimbit.

    Selain itu anak wanita tersebut mendakwa, dia terlihat kesan tompokan darah pada cadar serta kain lampin dipakai mangsa selepas membuat pemeriksaan lanjut.

    “Anak mangsa mendakwa yang dia turut dimaklumkan terdapat lebam pada badan wanita itu, selain luka di hidung sewaktu jenazah dimandikan.

    “Susulan itu, satu laporan polis dibuat anak wanita terbabit yang mengesyaki ibunya menjadi mangsa jenayah,” katanya.

    Berikutan laporan tersebut kata sumber itu, polis telah memohon permit untuk mahkamah membenarkan kubur wanita berkenaan digali semula bagi tujuan bedah siasat.

    Difahamkan wanita tersebut ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada Isnin lalu dengan baju serta kain batik miliknya ditemukan di atas lantai.

    Kematian wanita itu sebelum ini difahamkan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

  • 21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    21 mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja, Laos diselamatkan

    SERAMAI 21 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja dan Laos diselamatkan, dengan lapan daripadanya pulang ke tanah air hari ini.

    Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, kejayaan itu hasil usaha Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan Vientiane.

    “Lapan mangsa dari Kemboja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 4.50 petang tadi dan disambut Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

    “Enam lagi mangsa dari negara itu dijangka tiba 11.50 malam ini. Selain itu, tujuh mangsa dari Laos tiba di KLIA pada 7.50 malam tadi,” katanya yang dipetik Harian Metro.

    Menurut laporan itu, semua mangsa diserahkan kepada polis untuk proses siasatan lanjut.

    Seramai 273 warga Malaysia berjaya diselamatkan sehingga semalam, dengan 213 daripadanya sudah dihantar pulang dan bakinya 60 lagi masih ditahan di depot tahanan imigresen sementara menunggu proses pengusiran.

    “Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kemboja dan Laos atas kerjasama serta komitmen dalam membantu mengesan dan menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket.”

    Katanya, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand dengan kerjasama kedutaan negara terbabit di Kuala Lumpur akan terus komited dalam usaha menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

    Ia turut menasihatkan pihak yang ingin membuat kenyataan berhubung isu itu supaya memaklumkan polis bagi membantu siasatan.

    “Ini penting bagi mengelakkan kenyataan tidak sahih dan disensasikan, disampaikan kepada umum, sekali gus mendatangkan kegusaran serta panik kepada orang ramai.”

  • Polis buka kertas siasatan penyebaran laporan buku Tommy Thomas

    Polis buka kertas siasatan penyebaran laporan buku Tommy Thomas

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyebaran laporan siasatan buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ oleh laman web Malaysia Today.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan terhadap laman web tempatan itu dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Siasatan kes dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas selepas PDRM menerima satu laporan polis berhubung penyebaran maklumat itu yang disiarkan dengan tajuk, ‘Rahsia: Laporan Siasatan Ke Atas Buku Tan Sri Tommy Thomas”, kata Noorsiah.

    Tinjauan terhadap laman web berkenaan mendapati laporan berkenaan telah dimuat naik pada hari ini dan boleh dimuat turun oleh pengguna.

    Pada 30 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkannya.

    Menurut Ismail Sabri berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. – BERNAMA

  • 4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu “kartel pengurangan saman trafik” melibatkan transaksi berjumlah lebih RM5 juta selepas menahan 11 individu termasuk empat anggota polis.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik sumber berkata, kumpulan itu disyaki aktif di beberapa negeri sejak 2016 dan didalangi empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam.

    Katanya, sembilan daripada individu terbabit sudah direman bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

    Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam hingga 7 Okt dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Kata sumber, kumpulan berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai saman.

    “Selepas menerima wang tersebut, sebahagian jumlah tersebut akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi bersama suspek lain yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem polis. Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem,” katanya.

    Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek-suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 dibekukan oleh SPRM.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa lagi saksi terdiri pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan.

  • Culik guna Vellfire putih: Tiga penganggur ditahan, tiga lagi dituduh

    Culik guna Vellfire putih: Tiga penganggur ditahan, tiga lagi dituduh

    TIGA orang penganggur yang dipercayai terlibat dalam insiden menculik seorang ahli perniagaan dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, ditahan polis pada pukul 3 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, suspek masing-masing warga tempatan ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya.

    “Suspek berusia 55 tahun mempunyai 14 rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek berusia 26 tahun mempunyai satu rekod jenayah.

    “Suspek berusia 53 tahun pula tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Turut dirampas beberapa helai pakaian, telefon bimbit suspek dan sebuah kenderaan Toyota Camry yang digunakan semasa kejadian.

    Jelasnya, hasil saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah dan ditahan reman sehingga Sabtu.

    Sementara itu, tiga suspek yang ditangkap sebelum ini telah dituduh dibawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

    “Kesemua suspek mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM4,000 setiap seorang,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Mohamad Farouk berkata, seorang suspek mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan diberi jaminan RM2,500.

    Katanya, tarikh sebutan semula perbicaraan kes pada 14 Disember ini.

    Terdahulu, Warta Rakyat melaporkan mangsa telah diculik sekumpulan lelaki dipercayai berpunca kerana masalah hutang.

    Mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya selepas dilepaskan suspek di kawasan Klang dan mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian.

  • Operasi sindiket bitcoin diserbu, rampasan RM2 juta

    Operasi sindiket bitcoin diserbu, rampasan RM2 juta

    SURUHANJAYA Tenaga merampas mesin bitcoin bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan di lima premis tidak berpenghuni sekitar Kajang, Selangor, Selasa lalu.

    Serbuan dilakukan menerusi Ops Renjat dijalankan Suruhanjaya Tenaga dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood berkata, sebanyak 349 unit mesin bitcoin telah dirampas selain cakera keras, wayar, kipas dan lain-lain peralatan yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

    “Siasatan mendapati kegiatan itu mengakibatkan kerugian kepada pihak utiliti melebihi RM1.3 juta.

    “Pengusikan dilakukan dengan cara membuat sambungan pintasan haram terus tanpa melalui meter,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Suruhanjaya Tenaga Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, operasi bersepadu ini dijalankan berikutan aduan pengguna yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik sebelum intipan dijalankan pihaknya bersama TNB.

    Katanya, modus operandi sindiket perlombongan bitcoin secara haram adalah dengan menyewa bangunan rumah kedai dan mereka kemudiannya akan menggunakan nama pemilik berkenaan untuk memohon bekalan elektrik.

    “Ketika serbuan dijalankan tiada seorang pun individu di dalam premis berkenaan dan siasatan akan dijalankan berdasarkan penama pada bil elektrik iaitu melibatkan pemilik bangunan,” ujarnya.

    Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    “Kita ingatkan pemilik kena berhati-hati apabila menyewakan premis kepada mana-mana pihak dan hendaklah prihatin dengan aktiviti yang dijalankan oleh penyewa,” jelasnya.

    Tegas Abdul Razib, tindakan turut boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) oleh agensi penguat kuasa lain.

    “Kita juga minta kerjasama daripada orang ramai di luar sana untuk sama-sama membanteras kegiatan haram ini kerana ia boleh mengancam nyawa masyarakat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambahnya, orang ramai diminta untuk melapor dan membuat aduan kes kecurian elektrik kepada TNB melalui talian 15454 bagi Semenanjung Malaysia atau Suruhanjaya Tenaga melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].

  • SPRM tahan pengarah projek buat tuntutan palsu RM2.4 juta

    SPRM tahan pengarah projek buat tuntutan palsu RM2.4 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pengarah projek syarikat kerana disyaki terlibat membuat tuntutan palsu kira-kira RM2.4 juta berhubung pembayaran projek kabel dasar laut di utara tanah air.

    Majistret, Noorlynna Hanim Abd Halim membenarkan permohonan reman daripada pihak SPRM itu selama lima hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

    Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pukul 4 petang di ibu negara ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.

    Menurut sumber, syarikat yang mengendalikan projek tersebut telah membuat lebihan bayaran kira-kira RM2.4 juta kepada syarikat kontraktor apabila pihak kontraktor mengemukakan invois tuntutan berdasarkan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya lapor Sinar Harian.