SEBANYAK 1,445 kemalangan direkodkan di seluruh negara pada hari kelima Op Selamat 19, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata ia melibatkan 1,724 kenderaan dengan kereta mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 1,310 kes, diikuti pacuan empat roda dengan 230 kes, motosikal (144), lori (17), bas (11), van (sembilan), teksi (dua) dan ambulans (satu).
Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
“Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya selain mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mat Kasim berkata tumpuan lokasi advokasi adalah di stesen-stesen minyak, kawasan rehat dan rawat, restoran dan pusat beli-belah.
Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Jan ini di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – BERNAMA
SEKURANG-kurangnya 14 pegawai dan anggota polis termasuk berpangkat Inspektor yang bertugas di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan peringkat kontinjen dari Pantai Timur, yang ditahan pada Jumaat lalu selepas disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.
Mereka yang turut membabitkan anggota pelbagai pangkat, iaitu sarjan, konstabel, koperal dan lans koperal antara 21 individu berusia 20-an hingga 40-an, termasuk tujuh orang awam yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang (AHK).
“Dalam operasi khas dikenali Op Selendang itu, 14 pegawai dan anggota polis itu bersama tujuh lelaki lain membabitkan orang awam, kini direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966,” kata sumber seperti dilaporkan Harian Metro.
Sumber memberitahu, kes berkenaan kini disiasat Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang mula mengawasi pergerakan ahli pertubuhan haram berkenaan sejak 2021.
“Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui aktiviti kumpulan itu dengan lebih lanjut. Beberapa aset, barangan dan peralatan turut dirampas dalam operasi itu, iaitu yang sering digunakan dalam upacara angkat sumpah,” katanya.
Difahamkan, ia antaranya ialah beberapa kenderaan, telefon bimbit, pedang, ekor ikan pari, senjata tajam, al-Quran, sejadah, songkok, baju, kain kapan serta nombor plat berlogo pertubuhan, selain beberapa pelekat, sijil dan borang keahlian kumpulan itu.
Harian Metro difahamkan, selain D7, operasi turut dijalankan Bahagian Risikan Bahagian Intergriti dan Pematuhan Standart (JIPS) Bukit Aman yang memantau rapat pembabitan anggota dan pegawai polis dengan kumpulan pertubuhan itu.
Difahamkan juga, reman terhadap semua yang ditahan dibuat secar berperingkat dan bergantung kepada tahap siasatan kes itu.
“Apa yang pasti penahanan semua anggota dan pegawai polis berkenaan membuktikan ketelusan dan ketegasan PDRM yang diketuai Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam menjaga dan memulihara imej dan integiti pasukan.
“Ia juga membuktikan pasukan polis tidak pernah memilih ‘bulu’ dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap orang awam dan pasukan sendiri, tanpa mengira pangkat,” katanya.
POLIS Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja selepas merampas 840.7 kilogram (kg) dadah jenis itu termasuk ganja ‘premium’ yang berkualiti tinggi bernilai RM2.10 juta.
Rampasan itu dilakukan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini dan Changkat Jering, Perak, pada 19 Januari lalu yang mana tujuh lelaki warga tempatan turut ditahan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ganja tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran oleh sindiket itubyang dipercayai aktif mengedar dadah sejak tahun lalu.
Jelasnya, kesemua suspek berusia 24 hingga 29 tahun yang ditahan bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah politeknik, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.
Ujar beliau, serbuan pertama dibuat di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth, pukul 6.45 pagi yang mana tiga lelaki yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Myvi ditahan.
Susulan penahanan mereka, tambahnya, polis berjaya merampas beberapa ketulan mampat ganja seberat 479.72 kilogram di dalam sebuah kereta jenis Ford bernilai RM1.1 juta yang diletakkan di kawasan parkir kereta di Bukit Jambul.
“Polis turut menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering, kira-kira pukul 7.44 pagi, namun tiada sebarang dadah ditemukan.
“Polis kemudian menyerbu kawasan tepi jalan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru, pukul 2 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di situ yang mana kita menjumpai dadah jenis ganja yang disimpan di dalam 10 guni plastik seberat 361 kg, namun tiada tangkapan dibuat di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Ujar beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran dan kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Januari lalu.
Dalam pada itu, tambahnya, ujian saringan air kencing kesemua suspek negatif dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.
Selain rampasan dadah, tambahnya, polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai RM51,500,” katanya.
PELBAGAI jenis mercun dan dadah bernilai RM408,943 berjaya dirampas polis Pulau Pinang dalam dua serbuan di Batu Maung, bermula pukul 11 malam, Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan penjualan mercun turut ditahan.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta selepas didapati membawa dadah jenis ketamin seberat 6.40 gram bernilai RM960 dan 18 biji eramin 5 bernilai RM2,700.
Pemeriksaan lanjut, tambah beliau, turut menjumpai sebanyak 81 kotak serta 527 pek pelbagai jenis mercun dipercayai untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina.
”Susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah premis di kawasan Batu Maung dan merampas 44 guni dan 333 kotak pelbagai jenis mercun di premis itu” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas dua tangkapan mendapati positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi tangkapan negatif dadah, namun kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
SEORANG lelaki menyerah diri selepas dicari polis sebelum ini berhubung kes pengedar dadah yang mati dipukul, sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan pukul 11 malam, Khamis lalu selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampu dan kini direman selama enam hari.
“Soal siasat awal mendapati lelaki itu tidak mengaku terlibat dalam kes berkenaan.
“Kita sedang giat mengesan suspek lain yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor SatuBerita.
Media sebelum ini melaporkan cubaan seorang lelaki mengedar dadah di sekitar daerah Kuala Langat berakhir dalam keadaan tragis apabila dia mati dipukul menggunakan objek keras, Isnin lalu.
Lelaki berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas dirawat selama lima hari di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,
Susulan itu, dua lelaki yang merupakan pengawal keselamatan berusia 31 dan 40 tahun ditangkap sekitar Banting antara 13 dan 16 Januari lalu.
POLIS Negeri Sembilan menahan 26 individu kerana disyaki terbabit dengan aktiviti judi sepanjang tempoh seminggu Op Limau dijalankan di negeri itu sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Negeri Sembilan berkata, tangkapan itu hasil daripada tiga serbuan yang dijalankan bermula 15 Januari lalu.
Beliau memberitahu, dalam tempoh berkenaan, wang tunai berjumlah RM2,284 dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (judi dalam bangunan) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (judi luar bangunan).
“Polis Kontinjen Negeri Sembilan amat komited dalam menangani jenayah judi dan maksiat di negeri ini,” katanya, hari ini.
Katanya, polis Kontinjen Negeri Sembilan amat komited dalam menangani jenayah judi dan maksiat di negeri ini.
Beliau berkata, operasi khas itu dijalankan di seluruh Kontinjen Negeri Sembilan bermula dari 15 Januari dan akan berakhir pada 29 Januari iaitu selama 15 hari.
“Fokus utama operasi ini untuk mencegah dan membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam dan luar bangunan yang tertakluk dalam Jadual Pertama Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya, lapor Harian Metro.
DUA wanita termasuk seorang penjawat awam menjadi mangsa penipuan Macau Scam apabila kerugian lebih RM380,190.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kedua-dua mangsa membuat laporan polis, kejadian pertama melibatkan seorang penjawat awam yang menjadi mangsa suspek menyamar sebagai pegawai polis.
“Nasib malang menimpa wanita itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah syarikat insuran memaklumkan kononnya mangsa terlibat dengan tiga tuntutan insuran palsu, November tahun lalu.
“Mangsa yang juga penjawata awam menafikan kaitannya dengan kes itu diminta segera membuat laporan melalui panggilan yang disambung kepada seorang ‘pegawai polis’.
“Melalui semakan dibuat ‘pegawai polis’ itu, mangsa diberitahu dia juga dikehendaki kerana terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan rasuah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Ramli berkata, suspek menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes itu dan mangsa diarahkan membayar wang ikat jamin RM400,000 dan menyerahkan maklumat akaun banknya.
“Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa mendedahkan maklumat akaun banknya kepada suspek
“Mangsa menyedari ditipu apabila mendapati wang dalam akaun banknya berjumlah RM215,100 telah dipindahkan ke akaun bank tidak dikenali melalui 33 transaksi,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 37 tahun kerugian RM165,090 selepas menjadi mangsa suspek yang menyamar pekerja sebuah syarikat kurier.
Beliau berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek pada 13 Januari lalu berhubung bungkusan mengandungi barang terlarang atas namanya.
“Panggilan kemudian dihubungkan kepada seorang pegawai polis sebelum mangsa dimaklumkan maklumat peribadinya telah digunakan seorang lelaki untuk membuka akaun bank dan turut memberikan kebenaran akaun banknya digunakan bagi tujuan pengubahan wang haram.
“Suspek mengarahkan mangsa mengisi maklumat perbankannya melalui pautan diberikan bagi tujuan siasatan,” jelasnya.
Ramli berkata, selepas semua proses itu dibuat, mangsa membuat semakan akaun banknya pada 17 Januari lalu dan mendapati wang simpanannya berkurangan RM165,090.
SEORANG lelaki yang disyaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi ditahan bersama 4,000 liter bahan api itu, tangki dan sebuah lori yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Lebuhraya Butterworth-Kulim, Bukit Mertajam semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata penahanan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah lori lapan tan yang mencurigakan sedang mengisi diesel pada 4 petang.
“Semasa serbuan, seorang lelaki berusia 50-an yang juga pemandu lori itu sedang mengisi diesel dan pemeriksaan kami menemukan satu unit tangki besi khas berkapasiti 12,000 liter diletak di belakang kenderaan tersebut yang digunakan untuk mengisi serta mengumpul diesel bersubsidi dari stesen minyak.
“Hasil pemeriksaan menemukan 4,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki besi tersebut dan berdasarkan siasatan awal, lelaki yang bekerja dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi itu membeli bahan api berkenaan di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini sebelum ia dijual semula kepada pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak sebulan lepas dan mereka dipercayai menjual kepada pihak lain dengan harga lebih murah berbanding pasaran namun mahal berbanding diesel subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan.
Beliau berkata pihaknya merampas lori, diesel, tangki besi, hos pam dan telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
SEORANG lelaki warga asing digelar ‘doktor’ ditahan bersama-sama tiga rakannya termasuk seorang remaja berusia 17 tahun kerana dipercayai membekalkan dadah di pusat hiburan di Batu Pahat, semalam.
Tiga suspek berkenaan ditahan dalam operasi di tiga pusat hiburan di Batu Pahat dan Kluang bermula pukul 1 hingga 3 pagi.
Serbuan tersebut melibatkan 39 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPK) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga suspek berkenaan merupakan antara 78 individu yang ditahan dalam operasi itu.
“Pada mulanya kita menahan ‘Doktor’ terbabit dan susulan itu pihak polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 17 hingga 33 tahun bersama sejumlah rampasan dadah. Suspek yang bergelar ‘Doktor’ ini tiada Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Dia tiada kelayakan sebenar sebagai doktor dan cuma dikenali di pusat hiburan sebagai doktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang lelaki warga asing bergelar ‘Doktor’ yang mengedar dadah di pusat-pusat hiburan antara ditahan dalam operasi berkenaan
Beliau berkata, hasil daripada operasi berkenaan seramai 246 individu diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 78 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan.
Kamarul Zaman memberitahu, mereka terdiri daripada 55 lelaki tempatan, 15 wanita tempatan, tiga lelaki warga asing dan lima wanita warga asing berusia antara 16 hingga 68 tahun.
“Doktor berkenaan dan dua rakannya merupakan antara 78 individu yang ditahan. Menerusi operasi ini kita menjalankan ujian air kencing dan mendapati 68 individu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), methampetamine dan ketamine.
“Mereka yang positif dadah terdiri daripada 49 lelaki dan 19 wanita. Menerusi serbuan ini kita kita telah berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah iaitu 3.43 serbuk ekstasi bernilai RM171,801; 417.08 gram ketamine (RM62,562); 423,23 gram atau 1,368 biji pil ekstasi (RM21,161) dan 83.64 gram atau 300 biji pil Eramin 5 (RM6,273),” katanya.
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan selama tiga jam melibatkan tiga pusat hiburan di Batu Pahat dan Kluang
Katanya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM261,797 manakala dadah yang dirampas itu boleh digunakan 15,206 penagih.
Pihak polis ujar Kamarul Zaman, turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM115,000 dan wang tunai RM31,218 dengan jumlah sitaan RM146,318 manakala keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan RM408,015.
Turut dirampas katanya, tiga unit speaker; dua televisyen; dua unit ‘receiver wireless microphone’; tiga unit mikrofon; satu unit equalizer; satu unit ‘audio equilizer’ dan satu unit ‘power am’.
Pihak polis turut merampas wang tunai RM31,218, keseluruhan jumlah rampasan dan sitaan RM408,015.
Siasatan mendapati katanya, dua daripada pusat hiburan tersebut gagal mengemukakan lesen perniagaan dan hiburan yang sah manakala sebuah lagi pusat hiburan didapati beroperasi lebih masa daripada ditetapkan.
Tambahnya, semua suspek direman selama satu hingga enam hari bermula Sabtu sehingga 26 Januari ini untuk siasatan lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1957; Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.
Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(2) serta Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor (ENJ) 4/98.