POLIS Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja selepas merampas 840.7 kilogram (kg) dadah jenis itu termasuk ganja ‘premium’ yang berkualiti tinggi bernilai RM2.10 juta.

Rampasan itu dilakukan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini dan Changkat Jering, Perak, pada 19 Januari lalu yang mana tujuh lelaki warga tempatan turut ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ganja tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran oleh sindiket itubyang dipercayai aktif mengedar dadah sejak tahun lalu.

Jelasnya, kesemua suspek berusia 24 hingga 29 tahun yang ditahan bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah politeknik, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.

Ujar beliau, serbuan pertama dibuat di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth, pukul 6.45 pagi yang mana tiga lelaki yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Myvi ditahan.

Susulan penahanan mereka, tambahnya, polis berjaya merampas beberapa ketulan mampat ganja seberat 479.72 kilogram di dalam sebuah kereta jenis Ford bernilai RM1.1 juta yang diletakkan di kawasan parkir kereta di Bukit Jambul.

“Polis turut menahan tiga lelaki di dalam sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering, kira-kira pukul 7.44 pagi, namun tiada sebarang dadah ditemukan.

“Polis kemudian menyerbu kawasan tepi jalan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru, pukul 2 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di situ yang mana kita menjumpai dadah jenis ganja yang disimpan di dalam 10 guni plastik seberat 361 kg, namun tiada tangkapan dibuat di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.


Ujar beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran dan kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Januari lalu.

Dalam pada itu, tambahnya, ujian saringan air kencing kesemua suspek negatif dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

Selain rampasan dadah, tambahnya, polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai RM51,500,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here