SEKURANG-kurangnya 14 pegawai dan anggota polis termasuk berpangkat Inspektor yang bertugas di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan peringkat kontinjen dari Pantai Timur, yang ditahan pada Jumaat lalu selepas disyaki terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.

Mereka yang turut membabitkan anggota pelbagai pangkat, iaitu sarjan, konstabel, koperal dan lans koperal antara 21 individu berusia 20-an hingga 40-an, termasuk tujuh orang awam yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Ayahanda Harimau Kumbang (AHK).

“Dalam operasi khas dikenali Op Selendang itu, 14 pegawai dan anggota polis itu bersama tujuh lelaki lain membabitkan orang awam, kini direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966,” kata sumber seperti dilaporkan Harian Metro.

Sumber memberitahu, kes berkenaan kini disiasat Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang mula mengawasi pergerakan ahli pertubuhan haram berkenaan sejak 2021.

“Kita sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui aktiviti kumpulan itu dengan lebih lanjut. Beberapa aset, barangan dan peralatan turut dirampas dalam operasi itu, iaitu yang sering digunakan dalam upacara angkat sumpah,” katanya.

Difahamkan, ia antaranya ialah beberapa kenderaan, telefon bimbit, pedang, ekor ikan pari, senjata tajam, al-Quran, sejadah, songkok, baju, kain kapan serta nombor plat berlogo pertubuhan, selain beberapa pelekat, sijil dan borang keahlian kumpulan itu.

Harian Metro difahamkan, selain D7, operasi turut dijalankan Bahagian Risikan Bahagian Intergriti dan Pematuhan Standart (JIPS) Bukit Aman yang memantau rapat pembabitan anggota dan pegawai polis dengan kumpulan pertubuhan itu.

Difahamkan juga, reman terhadap semua yang ditahan dibuat secar berperingkat dan bergantung kepada tahap siasatan kes itu.

“Apa yang pasti penahanan semua anggota dan pegawai polis berkenaan membuktikan ketelusan dan ketegasan PDRM yang diketuai Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam menjaga dan memulihara imej dan integiti pasukan.

“Ia juga membuktikan pasukan polis tidak pernah memilih ‘bulu’ dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap orang awam dan pasukan sendiri, tanpa mengira pangkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here