Category: Politik

  • Bukan lagi ‘underdog’, PN kini gabungan berpengaruh – Muhyiddin

    Bukan lagi ‘underdog’, PN kini gabungan berpengaruh – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) bukan lagi ‘underdog’ atau pesaing parti politik bukan pilihan di negara ini kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, PN kini sebuah sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu.

    “PN bukan lagi ‘underdog’ tetapi sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu.

    “Saya telah menyaksikan gelombang kebangkitan PN dari utara di Kedah dan Perlis, hingga ke Johor dan Pahang. Semalam dan malam tadi juga saya melihatnya di Perak, menerusi sambutan hangat warga Felda Gunong Besout dan Meru di Ipoh.

    “InsyaAllah, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, Perikatan Nasional mampu memenangi PRU-15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat,” katanya menerusi catatan di Facebook.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, rakyat Malaysia perlu membuat pilihan yang tepat dan tidak boleh salah membuat pilihan bagi memilih kerajaan menjelang hari pengundian Sabtu ini.

    Beliau berkata, rakyat tidak mahu sejarah hitam berulang dengan menjadikanu UMNO/BN, parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali menerajui kerajaan.

    “Kita juga tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan. Ada beberapa contoh kes parti yang dipimpin oleh Anwar ini tidak langsung menghormati hak-hak Bumiputera, malah tindak-tanduk mereka menyanggah Perlembagaan dan hak kaum-kaum lain.

    “Banyak lagi perkara tidak sepatutnya berlaku yang jika dibiarkan akan membawa musibah besar. Lebih-lebih lagi jika pemimpin yang hendak dipilih itu tidak berakhlak.

    “Justeru marilah kita beramai-ramai memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk negeri ini keluar mengundi dan memenangkan Perak untuk Perikatan Nasional,” katanya.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, lahirnya PN adalah untuk menawarkan pilihan baharu yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

    Malah kata beliau, PN menawarkan Tawaran PN yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan PH dan BN.

    “PN juga telah terbukti mampu menguruskan negara bukan sahaja krisis kesihatan malah ekonomi,” tambahnya.

  • Guan Eng sabotaj agenda Bumiputera dakwa Muhyiddin

    Guan Eng sabotaj agenda Bumiputera dakwa Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP bukan sahaja tidak menyokong malah cuba mensabotaj agenda Bumiputera ketika Pakatan Harapan memerintah negara selama 22 bulan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, dalam sesi rundingan Bajet 2020, Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng tidak memberikan satu sen pun kepada TERAJU walhal dalam Rancangan Malaysia Ke-10, TERAJU diberikan siling peruntukan RM2 bilion.

    Katanya, tindakan Guan Eng itu menyebabkan 200 syarikat Bumiputera terjejas dan 10,000 peluang pekerjaan baharu tidak dapat diwujudkan.

    “Satu lagi ialah EKUINAS, pada tahun 2019, Lim Guan Eng menulis surat kepada Tun Dr Mahathir meminta supaya dana EKUINAS berjumlah RM2.4 bilion dikembalikan kepada Kementerian Kewangan dan EKUINAS ditutup.

    “Cubaan Lim Guan Eng ini gagal kerana dibantah oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada masa itu,” katanya menerusi catatan di Facebook.

    TERAJU adalah sebuah agensi yang bertanggungjawab membimbing syarikat-syarikat Bumiputera untuk maju terutamanya dalam bidang-bidang ekonomi yang berdaya saing.

    EKUINAS pula sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerana marah cubaannya menutup EKUINAS gagal, dalam Bajet 2020, Lim Guan Eng hanya menyediakan peruntukan token sebanyak RM100 kepada EKUINAS.

    “Apa yang boleh dibuat dengan peruntukan hanya RM100? Sedangkan fungsi EKUINAS ialah untuk menyuntik modal pelaburan dalam sektor strategik dan kompetitif untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian ekonomi bernilai tambah tinggi.

    “Datuk Seri Azmin beritahu saya beliau terpaksa merayu kepada Dr Mahathir supaya peruntukan kepada TERAJU dan EKUINAS dinaikkan. Ada bukti surat yang ditunjukkan kepada saya,” katanya.

    Muhyiddin menjelaskan, itu adalah satu bentuk sabotaj terhadap agenda Bumiputera.

    “Jadi jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain tinggalkan PH.

    “Saya ingatkan pengundi Tambun supaya jangan undi PH yang dikuasai oleh DAP,” tambahnya.

  • PH tak hormat perkara-perkara jadi tunjang negara – Muhyiddin

    PH tak hormat perkara-perkara jadi tunjang negara – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghormati perkara-perkara yang menjadi tunjang negara.

    Perkara itu ialah, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.

    Kata Presiden Bersatu itu, pengalaman 22 bulan parti tersebut dalam PH cukup menekan dan menyeksakan.

    Sebagai contoh dari aspek ekonomi katanya, ada beberapa ketika Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng langsung tidak mahu menghormati agensi seperti TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dan EKUINAS (Ekuiti Nasional Berhad).

    Menurutnya, beberapa peruntukan untuk agensi yang membantu orang Melayu berniaga diambil balik malah dihentikan dan tidak diwujudkan agensi itu.

    “Hanya kemudian selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional, kami hidupkan semula TERAJU untuk menjamin kelangsungan masyarakat Bumiputra di negara kita.

    “Selain itu, Lim Guang Eng juga buat keputusan supaya peruntukan RM2 bilion EKUINAS diambil semula Kementerian Kewangan.

    “Ini menunjukkan bagaimana PH tidak menghormati agensi bumiputra diwujudkan kerajaan dan langkah-langkah diambil langsung tidak memikirkan nasib Bumiputra dalam pembangunan ekonomi negara kita.

    “Ini dua contoh tindakan yang diambil yang saya dapati bercanggah dengan dasar negara kita khusunya pembangunan usahawan bumiputra,” katanya malam tadi.

    Beliau berkata demikian semasa program jelajah PN BEST di Tambun.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau yang ketika itu Menteri Dalam Negeri turut didesak menghapuskan Akta Hasutan yang bertujuan melindungi institusi dan peruntukan dalam Perlembagaan negara.

    Katanya, Akta Hasutan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu yang mana PH menuntut agar akta tersebut dihapuskan.

    Sehubungan itu katanya, beliau mewujudkan satu jawatankuasa di peringkat kementerian yang meneliti tuntutan berkenaan dan ia kemudiannya memutuskan perkara itu perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum boleh dipinda.

    “Tapi bagi saya, ia desakan yang tidak wajar dan munasabah untuk menghapuskan akta berkenaan kerana akhirnya kedudukan raja akan terdedah dengan perbuatan penghinaan oleh sesiapapun.

    “Walaupun ia tuntutan dari DAP, namun Anwar ada dalam PH dan kalau beliau memperjuangkan dan mendukung Perlembagaan negara kita, seharusnya tindakan (desakan hapuskan akta hasutan) tidak diambil, katanya.

    Muhyiddin berkata, itu antara contoh kerosakan dilakukan PH dalam tempoh 22 bulan dan jika pentadbiran PH diteruskan mungkin akan membawa musibah kepada negara.

    “Sebab tu saya buat keputusan Bersatu dan Majlis Tertinggi Bersatu dan pandangan Tun Mahathir agar parti itu meninggalkan PH.

    “Ya kita tinggalkan dan orang kata kita khianat tetapi saya nak nyatakan bahawa kita tidak sanggup untuk mengkhianati bangsa, agama dan negara.

    “Kalau PH terus berkuasa di Putrajaya, akan berlaku banyak kerosakan dan kemusnahan pada sistem negara yang ada pada hari ini,” tambahnya.

  • PRU-15: ‘Selamat tinggal UMNO’ merebak ke Rantau Panjang

    PRU-15: ‘Selamat tinggal UMNO’ merebak ke Rantau Panjang

    FENOMENA ‘Selamat tinggal UMNO’ di Kelantan bukan sahaja berlaku di Bachok dan Kubang Kerian, malah ia turut merebak ke Parlimen Rantau Panjang.

    Ketua Muslimat Pas Kelantan, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM) UMNO di beberapa DUN terutamanya Apam Putra, di mana ramai mengisytihar keluar daripada UMNO.

    Katanya, mereka berpendapat tiada gunanya lagi bersama dengan UMNO ekoran perkembangan politik yang berlaku sekarang.

    “Mereka menganggap politik UMNO tidak lagi bersih apabila ramai pemimpin UMNO dihadap ke mahkamah atas dakwaan rasuah dan penyelewengan dana kerajaan.

    “Kita tidak paksa mereka, namun mereka sukarela hadir pada program anjuran Pas. Mereka mahu pilih sebuah kerajaan yang benar-benar bersih.

    “Apa yang jelas mereka tidak suka pemimpin yang terbabit dengan amalan rasuah,” kepada Harakah Daily di sini semalam.

    Siti Zailah yang juga calon Perikatan Nasional Parlimen Rantau Panjang berkata, pengisytiharan keluar UMNO sebelum ini berlaku di UDM Nibong, UDM Ipoh, Pengkalan Machang dan beberapa lagi.

    Menurutnya juga sebelum ini mereka merupakan penyokong kuat UMNO di UDM terbabit.

  • ‘Apa kamu buat masa jadi Ketua Menteri’, Hajiji tanya Shafie

    ‘Apa kamu buat masa jadi Ketua Menteri’, Hajiji tanya Shafie

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membidas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa gagal berbuat apa-apa untuk Kota Marudu sepanjang dua tahun menjadi ketua menteri.

    Menurut beliau, Shafie tiada apa untuk ditunjukkan di kawasan itu, sedangkan banyak yang boleh dilakukannya ketika menjadi menteri pembangunan luar bandar selama bertahun-tahun.

    “Beliau bercakap seperti tahu segala-galanya, tetapi apa yang beliau lakukan untuk Kota Marudu ketika jadi ketua menteri?

    “Bahkan tandas awam pun tiada di situ. Beliau tanya apa yang saya dah buat? Saya nak tanya dia balik apa yang dia dah buat di Semporna?

    “Beliau tidak dapat menangani penempatan semula mangsa selepas beberapa rumah musnah di Kampung Bangau-bangau.

    “Hanya apabila kerajaan GRS-BN berkuasa, RM8.5 juta diberikan untuk selesaikan masalah itu.

    “Jangan bohong. Saya tak tahu cakap macam itu. Saya hanya cakap menggunakan fakta,” katanya ketika berkempen untuk calon GRS, Datuk Seri Maximus Ongkili di kediaman Timbalan Setiausaha Agung Bersatu Sabah, Maijol Mahap di Kota Marudu, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam ucapannya, Hajiji berkata, kepimpinan Ongkili masih sangat diperlukan, terutamanya dalam membangkitkan keperluan Sabah di peringkat persekutuan.

    Beliau berkata, Ongkili yang merupakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.

    “Saya perlukan beliau untuk bantu menyuarakan tuntutan Sabah kepada kerajaan persekutuan.

    “Suara kuat dan kegigihan beliau masih sangat diperlukan, khususnya dalam menuntut hak kami di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

    Hajiji juga menyifatkan keputusan PBS menggunakan lambang GRS kali ini sebagai pengorbanan besar.

    “Ini amat bermakna bagi saya…Sebab itu saya mahu rakyat di Kota Marudu mengundi Ongkili,” katanya,

    GRS, yang terdiri daripada Bersatu, PBS, Star, SAPP dan Usno, bersama Barisan Nasional berjanji melakukan yang terbaik untuk terus membawa pembangunan ke Sabah, katanya.

  • PRU-15: ‘Umat Islam-Melayu wajib keluar mengundi, pilih calon berintegriti’

    PRU-15: ‘Umat Islam-Melayu wajib keluar mengundi, pilih calon berintegriti’

    UMAT Islam-Melayu wajib menunaikan tanggungjawab bernegara (Fikh al-Daulah) dengan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

    Itu antara 14 ketetapan di dalam Deklarasi Kuala Lumpur oleh Muzakarah Cendekiawan, Pemuka Melayu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang bersidang pada Sabtu.

    Kenyataan itu juga menyebut bahawa umat Islam dirayu mengundi calon yang mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara bercirikan integriti iaitu bersih daripada rasuah.

    Mereka juga perlu memilih calon yang berkemampuan, amanah, mempertahan dan memperjuangkan nasib anak bangsa, serta menolak calon yang memberi mudarat.

    Selain itu, resolusi itu turut menggesa kerajaan yang bakal dilantik memperkasa agenda penyatuan ummah dan perpaduan Melayu Islam, serta memelihara kedaulatan dan kesucian Islam.

    Muzakarah itu lapor Astro Awani juga menuntut penubuhan Sekretariat Tetap Pemikir Melayu-Islam yang berfungsi sebagai perunding, pemantau dan pengkritik bagi membantu kerajaan.

    Berikut ialah kenyataan penuh 14 resolusi Deklarasi Kuala Lumpur:

    1. Umat Islam-Melayu wajib menunaikan tanggungjawab bernegara (Fikh al-Daulah) dengan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada 19 November 2022 nanti.
    2. Seluruh umat Islam dirayu untuk mengundi calon yang mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, bercirikan integriti (bersih daripada rasuah), berkemampuan, amanah, mempertahan dan memperjuangkan nasib anak bangsa serta menolak calon yang memberi mudarat kepada tiga perkara asas di atas.
    1. Kerajaan, pemimpin Muslim dan rakyat Malaysia perlu berusaha untuk memperkasa agenda penyatuan ummah, semangat patriotisme serta perpaduan Melayu Islam demi kekuatan politik, ekonomi dan pembangunan negara.
    2. Kerajaan perlu mengukuhkan Sumpah Rabbani YDPA dan menolak usaha pihak-pihak tertentu mengabsahkan Doktrin Kerangka Asas (BSD) yang memberi kuasa kepada hakim-hakim untuk meminda Perlembagaan dengan memutuskan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meminda mana-mana bahagian Perlembagaan serta menjadikan undang-undang Islam sebagai kelas kedua.
    3. Pihak kerajaan dan berkuasa agama negeri wajib memelihara kedaulatan dan kesucian Islam sebagai agama majoriti negara ini serta institusi Raja dan ajaran Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah daripada dihina dan diganggu-gugat oleh individu, kumpulan dan institusi yang biadap serta memberi ruang seluas-luasnya kepada pihak pendakwah dan guru agama dalam usaha dakwah di pelbagai institusi agama dan media.
    4. Pihak kerajaan wajib menjadikan ekonomi Bumiputera sebagai pelaksanaan manifesto dengan mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Pribumi bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan memperkasa sistem Ekonomi Islam, merapatkan jurang telekomunikasi di desa, selain memaksimumkan sumber tenaga dan komuniti niaga Melayu.
    5. Mendesak kerajaan baharu selepas PRU15 segera keluar daripada perjanjian CPTTP kerana Ancaman CPTTP yang ditandatangani akan berkuat kuasa pada 29 Nov 2022.
    6. Pihak kerajaan perlu fokus memperkasa Bahasa Melayu dalam pendidikan serta meningkatkan kualiti pendidikan dengan kurikulum yang fleksibel dan program pemulihan menangani ‘Lost Generation’, menambah baik fasiliti digital pendidikan dan TVET 4.0 serta memartabatkan profesionalisme keguruan dari aspek keringanan beban tugas, peluang kerjaya, geran penyelidikan dan perjawatan tetap guru KAFA.
    7. Pihak kerajaan perlu memperkasakan pendidikan tinggi melalui penekanan survival Melayu-Islam dalam pelan penggantian kepimpinan tertinggi, kenaikan pangkat seimbang bagi bukan S&T, pembelajaran secara dalam talian, penguasaan Bahasa Inggeris, mengoptimum aset wakaf dan kesukarelawanan, selain melibatkan profesional Melayu-Islam dalam proses pembuatan polisi negara.
    8. Pihak kerajaan persekutuan dan negeri wajib membantu dana peruntukan berkapita tahunan dan keperluan semasa sekolah-sekolah agama rendah, menengah agama rakyat, sistem pondok dan madrasah serta pusat-pusat tahfiz termasuklah pembinaan, menaik taraf dan penyelenggaraan infastuktur fizikal sekolah, kebajikan pelajar dan guru agama.
    9. Pihak kerajaan khasnya Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengembalikan semula Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai Mata Pelajaran Umum (MPU) yang wajib diambil di IPT/universiti seperti diamalkan sejak 80-an serta hasrat terkandung dalam Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.
    10. Pihak kerajaan perlu memberi perhatian dan bantuan kewangan kepada NGO-NGO dalam gerak kerja membantu kesejahteraan rakyat serta mengiktiraf keberadaan NGO sebagai pendamai yang mengharmonikan suhu politik negara, selain membantu kebajikan rakyat serta memajukan ekonomi dan bidang keusahawanan mereka.
    11. Pihak kerajaan perlu memberi perhatian kepada program-program pembangunan wanita, keluarga dan anak muda, terutama dalam dunia langit terbuka, selain bertindak mengekang penularan pemahaman plural, liberal, budaya songsang LGBT dan penyalahgunaan dadah yang boleh merosakkan akidah, hubungan sosial dan hidup bermasyarakat.
    12. Muzakarah ini dijadikan suatu Sekretariat Tetap Pemikir Melayu-Islam yang berfungsi sebagai badan perunding, pemantau dan pengkritik bagi membantu kerajaan melaksanakan agenda utama selaras dengan prinsip utama perlembagaan negara dan undang-undang kerajaan negeri, seterusnya diterima oleh pihak kerajaan sebagai badan berautoriti.
    13. Pihak yang berjaya mendirikan kerajaan selepas PRU15 wajib memastikan 14 resolusi yang telah dibentang dan diputuskan pada hari ini menjadi pancang-pancang utama yang perlu diperkasa serta dilaksanakan dalam polisi dan dasar kerajaan yang baharu.

    Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
    Sekretariat Muzakarah Cendekiawan, Pemuka Melayu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam
    12 November 2022

  • PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    BEKAS pemimpin UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah di Perlis buat julung kali pada 19 Nov ini.

    Tidak cukup dengan itu, beliau turut menjangkakan BN akan hilang sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen, iaitu Arau dan Padang Besar, serta sembilan kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Katanya, ramalan itu berdasarkan hasil kajian dan situasi semasa, selepas BN menggugurkan calon boleh menang.

    “Di Arau, empat kerusi sudah tentunya kalah, iaitu Guar Sanji, Pauh, Simpang Empat dan Sanglang. Di Kangar, BN dijangka kalah di Kuala Perlis, Indera Kayangan, Sena dan Bintong.

    “(Di) Padang Besar, BN dilihat sudah pasti kalah di DUN Titi Tinggi, manakala Parlimen Arau, Shahidan Kassim dilihat tidak menghadapi masalah menang, selain Padang Besar peluang 50-50 untuk BN menang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

    Bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu digugurkan BN dan kemudian bertanding atas tiket bebas di Parlimen itu dan DUN Titi Tinggi.

    Selain Zahidi, bekas Ahli Parlimen Arau, Shahidan juga digugurkan BN dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

  • Keahlian isteri digantung UMNO: ‘Seolah-olah kita tiada maruah’, kata Ismail

    Keahlian isteri digantung UMNO: ‘Seolah-olah kita tiada maruah’, kata Ismail

    CALON Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menasihatkan pimpinan tertinggi UMNO agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, susulan penggantungan isterinya, Fatimah Kassim sebagai ketua Wanita UMNO Maran.

    Ismail yang memegang kerusi Parlimen Maran selama empat penggal ketika bersama UMNO berkata, penggantungan isterinya tidak sepatutnya berlaku kerana dia telah diundi perwakilan ketika pemilihan parti.

    “Sebagai isteri, dia akan berikan sokongan moral kepada saya. (Tapi) Belum tahu dia berikan sokongan sebenarnya kepada parti (saya) yang baru. Tetapi kenapa buat dia begitu?

    “Maknanya tindakan ini seolah menghina orang. Banyak orang komen pada saya, apa hak (UMNO) nak gantung, nak rehatkan dia.

    “Apabila anda buat macam itu, orang ramai lagi marah, seolah-olah kita tiada maruah,” katanya kepada Malaysiakini di Maran, hari ini.

    Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan Fatimah dan Ketua Wanita Umno Arau Shamsiah Yasin digantung selepas didapati memberikan sokongan kepada calon lawan dalam PRU15.

    “UMNO menerima aduan sahih berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-dua ketua Wanita Umno terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan,” kata Ahmad lagi.

    Untuk rekod, Ismail dan penyandang kerusi Parlimen Arau, Shahidan Kassim digugurkan dalam PRU kali ini.

    Bagaimanapun kedua-dua mereka kini menjadi calon kepada PN untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

    Ismail berkata, sikap pemimpin tertinggi sesebuah parti yang tidak boleh ditegur akan membawa parti itu ke arah kemusnahan.

    Sementara itu, Fatimah berkata keputusan UMNO untuk menggantungnya tidak mematahkan semangat dia untuk terus berjuang.

    “Saya lebih selesalah sekarang, bahkan dalam keadaan sekarang lebih bersemangat untuk berjuang, untuk membantu suami saya (Ismail) memastikan kemenangan,” katanya ringkas.

  • Dr Afif mahu bawa kejayaan tangani banjir di Seberang Jaya ke Shah Alam

    Dr Afif mahu bawa kejayaan tangani banjir di Seberang Jaya ke Shah Alam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Shah Alam, Dr. Afif Bahardin mahu dinding pemisah antara agensi-agensi kerajaan dan rakyat perlu diruntuhkan supaya segala permasalahan dapat diselesaikan secara bersama.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selama dua penggal itu berkata, setiap agensi kerajaan tidak boleh bekerja dalam kepompong sendiri dan harus saling melengkapi supaya masalah ditangani dengan cekap.

    Menurutnya, apabila bercakap tentang Shah Alam, masalahnya tidak lain ialah bekalan air dan banjir.

    “Sepanjang 10 tahun saya berkhidmat di sana, saya telah bekerja dengan semua agensi untuk mencari solusi bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan saya antaranya di Permatang Rawa dan Seberang Jaya.

    “Ia bukan soal peruntukan atau projek, tetapi setiap agensi baik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kerajaan negeri dan Persekutuan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), NGO, pihak swasta serta masyarakat perlu duduk sekali bincang bagaimana kita mencari solusi,” katanya.

    Bercakap dalam program Agenda AWANI Khas Malaysia Memilih pada Sabtu, Dr. Afif memaklumkan bahawa pihaknya sudah mula berjumpa dengan JPS dan dimaklumkan tentang beberapa fasa perancangan naik taraf Sungai Damansara dan penyelesaian banjir di Sri Muda dan Kota Raja.

    Namun kata beliau, walaupun sudah ada peruntukan untuk projek-projek tersebut dilaksanakan, perlunya komiten kerajaan dan beliau akan memastikan bajet itu benar-benar disalurkan untuk projek tersebut.

    Pada masa sama, Dr. Afif juga mahu memberi tumpuan untuk menjadikan Shah Alam bandar yang kalis masa depan, yang diumumkan dalam manifestonya untuk dinilai pengundi kawasan ini.

    “Jadi ini memerlukan kerjasama semua pihak, sebab itu tema yang saya bawa ini sebenarnya adalah inklusiviti.

    “Saya nak ajak semua warga Shah Alam berhubung dengan saya, jadikan saya sebagai platform untuk saya berhubung dengan agensi dan kerajaan untuk kita dapatkan maklumat, peruntukan dan penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi warga Shah Alam,” katanya lpaor Astro Awani.

  • Maszlee dihalau mangsa banjir ketika lawat PPS

    Maszlee dihalau mangsa banjir ketika lawat PPS

    BEKAS Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dihalau seorang penduduk kampung ketika beliau melawat sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Simpang Renggam, Johor, pagi tadi.

    Video insiden itu yang tular di media sosial menunjukkan Mazlee memberitahu beliau dihalang memasuki PPS Sungai Linau untuk bertemu mangsa banjir.

    “Saya mahu membantu mereka. Sejak lima tahun lalu, setiap kali berlakunya banjir saya akan datang ke sini.

    “Tetapi, kali ini saya rasa pelik kerana tidak dibenarkan (masuk),” katanya yang mendakwa ahli politik UMNO dibenarkan masuk, lapor Free Malaysia Today.

    Seorang warga emas lelaki juga dilihat menjerit ke arah Maszlee dan bertanyakan bekas menteri itu apa yang beliau lakukan untuk membantu penduduk setempat.

    Dua anggota polis kemudiannya menenangkan lelaki itu dan mengiringinya keluar dari sana.

    Tidak lama kemudiannya, seorang lagi lelaki menghampiri Maszlee dan memberitahunya ahli politik tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

    Lelaki itu meminta Maszlee, yang juga calon Pakatan Harapan Simpang Renggam, meninggalkan kawasan itu dan beliau akur.