KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membidas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa gagal berbuat apa-apa untuk Kota Marudu sepanjang dua tahun menjadi ketua menteri.

Menurut beliau, Shafie tiada apa untuk ditunjukkan di kawasan itu, sedangkan banyak yang boleh dilakukannya ketika menjadi menteri pembangunan luar bandar selama bertahun-tahun.

“Beliau bercakap seperti tahu segala-galanya, tetapi apa yang beliau lakukan untuk Kota Marudu ketika jadi ketua menteri?

“Bahkan tandas awam pun tiada di situ. Beliau tanya apa yang saya dah buat? Saya nak tanya dia balik apa yang dia dah buat di Semporna?

“Beliau tidak dapat menangani penempatan semula mangsa selepas beberapa rumah musnah di Kampung Bangau-bangau.

“Hanya apabila kerajaan GRS-BN berkuasa, RM8.5 juta diberikan untuk selesaikan masalah itu.

“Jangan bohong. Saya tak tahu cakap macam itu. Saya hanya cakap menggunakan fakta,” katanya ketika berkempen untuk calon GRS, Datuk Seri Maximus Ongkili di kediaman Timbalan Setiausaha Agung Bersatu Sabah, Maijol Mahap di Kota Marudu, lapor Free Malaysia Today.

Dalam ucapannya, Hajiji berkata, kepimpinan Ongkili masih sangat diperlukan, terutamanya dalam membangkitkan keperluan Sabah di peringkat persekutuan.

Beliau berkata, Ongkili yang merupakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.

“Saya perlukan beliau untuk bantu menyuarakan tuntutan Sabah kepada kerajaan persekutuan.

“Suara kuat dan kegigihan beliau masih sangat diperlukan, khususnya dalam menuntut hak kami di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Hajiji juga menyifatkan keputusan PBS menggunakan lambang GRS kali ini sebagai pengorbanan besar.

“Ini amat bermakna bagi saya…Sebab itu saya mahu rakyat di Kota Marudu mengundi Ongkili,” katanya,

GRS, yang terdiri daripada Bersatu, PBS, Star, SAPP dan Usno, bersama Barisan Nasional berjanji melakukan yang terbaik untuk terus membawa pembangunan ke Sabah, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here