Category: Politik

  • Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    PELAKSANAAN Undi 18 perlu seiring dengan pendidikan mengenai sistem politik dan amalan demokrasi di negara ini khususnya kepada generasi muda, kata pemimpin pertubuhan bukan kerajaan berkaitan belia.

    Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Johar berkata walaupun MBM gembira dengan komitmen kerajaan hari ini untuk melaksanakan Undi 18, namun pada masa sama generasi muda perlu dididik bagaimana untuk menggunakan hak mengundi itu sebaik-baiknya.

    “Dalam menyambut baik perlaksanaan ini, kita harus ingat ia bukan sahaja hak, tetapi merupakan satu tanggungjawab.

    “Generasi muda harus dididik untuk memilih pemimpin yang betul dan beretika dan bukan sekadar mengikut rakan dan emosi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Bagi MBM Jufitri berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan Sekolah Politik 2.0 secara maya, dalam membantu memberi pendedahan kepada belia mengenai sistem politik negara dan usaha berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada belia pelbagai kaum.

    “Dengan penyertaan yang memberansangkan ini, ia membuktikan generasi muda amat berminat untuk menjalankan hak mereka sebagai pengundi,” katanya.

    Beliau berkata tanggungjawab memberikan maklumat secukupnya kepada generasi muda sebelum mereka menterjemahkan aspirasi mereka pada kertas undi secara bijaksana, adalah tanggungjawab semua pihak.

    Sementara itu, Jufitri yakin Undi 18 berkenaan mampu dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berasaskan kesungguhan usaha transformasi Parlimen yang diwar-warkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Md Noor pula berkata pendidikan sistem politik dan kenegaraan sepatutnya dimasukan dalam sukatan mata pelajaran peringkat sekolah, dan diberikan seawal usia 16 tahun.

    Beliau berkata ia bertujuan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada generasi muda mengenai peranan mereka, tentang pentingnya amalan sistem demokrasi di negara ini dipelihara dan dilaksanakan sebaik-baiknya.

    “Guru-guru harus bersikap natural dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam memberi pendidikan ini secara menyeluruh. Ia juga perlu dijadikan sebagai sukatan mata pelajaran bagi mengelakkan guru dan pelajar daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.

    Selain itu Mohd Alif Anas juga mencadangkan kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya pada umur 18 tahun, diselarikan dengan pelaksanaan Undi 18.

    Beliau berkata sekiranya semua pihak seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan perundangan berkerjasama dan berganding bahu mencari titik persefahaman, GPMS yakin Undi 18 ini mampu dijalankan pada PRU 15 nanti.

    Dalam pada itu,  Mohd Alif Anas berkata SPR perlu mencari mekanisme terbaik untuk menjalankan pilihan raya dalam fasa pandemik.

    “Kita faham kestabilan politik adalah kunci kepada sebuah kerajaan yang cekap. Oleh itu, kita perlu sedar pilihan raya perlu diadakan jika sampai pada waktunya,” katanya.- BERNAMA

  • PH cenderung setuju memorandum persefahaman dengan kerajaan

    PH cenderung setuju memorandum persefahaman dengan kerajaan


    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) memaklumkan gabungan itu cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik Malaysiakini, PH berkata, memorandum persefahaman itu adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertingginya dengan Ismail pada 25 Ogos lalu

    “Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

    “Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” katanya.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

    PH berkata pertemuan turut diadakan semalam di antara wakil PH dan wakil perdana menteri.

    Wakil Perdana Menteri terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Manakala wakil PH terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

     “Pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19.

    “Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan,” katanya.

    Majlis Presiden PH juga menyatakan pendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dilakukan kepada dana Covid-19 untuk menangani pandemik ini.

    Selain itu, gabungan itu turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum dengan pihak kerajaan.

    Semalam, Ismail mengumumkan mesyuarat kabinet bersetuju untuk melaksanakan tujuh pembaharuan parlimen dan pentadbiran.

    Tujuh pembaharuan tersebut adalah:

    • *Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen.
    • *Pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
    • *Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
    • *Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
    • *Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
    • *Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
    • *Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
  • Timbalan Speaker: PAS sokong Ahmad Maslan

    Timbalan Speaker: PAS sokong Ahmad Maslan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENCALONAN Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan disokong sepenuhnya oleh kesemua 18 Ahli Parlimen dari PAS.

    Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, sokongan itu akan dinyatakan apabila usul berkaitan perkara itu dibentang dalam sidang Parlimen bermula 13 September nanti.

    Katanya, kes dihadapi Ahmad Maslan di mahkamah tidak seharusnya dijadikan isu kerana seseorang individu itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dijatuhkan hukum.

    “Insya Allah 18 Ahli Parlimen Pas akan beri sokongan kepada Ahmad Maslan.

    “Selagi hukuman tak dijatuhkan, tak boleh anggap orang itu bersalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi terjejas akibat tragedi kepala air di Titi Hayun, dekat Yan, Kedah, hari ini.

    PENCALONAN Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapat sokongan daripada PAS.

    Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO merupakan calon tunggal daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan baru-baru ini.

    Mohamed Nazri berkata, pencalonan Ahmad bagi menggantikan Azalina adalah satu keputusan tepat kerana kerusi itu perlu diisi oleh calon blok kerajaan.

    Pada masa yang sama, blok pembangkang turut mengitar semula Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon mereka bagi mengisi jawatan tersebut.

  • PH sambut baik inisiatif Transformasi Parlimen

    PH sambut baik inisiatif Transformasi Parlimen

    PAKATAN Harapan (PH) menyambut baik komitmen kerajaan untuk melaksana Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

    Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah satu permulaan yang baik susulan pertemuan beliau dan pimpinan PH bersama Ismail Sabri pada 25 Ogos lalu.

    Menurut beliau, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

    “Justeru, antara lain PH turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.

    “Keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Semalam, Kabinet bersetuju dengan pelaksanaan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

    Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan seperti yang diumumkan oleh Ismail Sabri meliputi:

    Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

    Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

    Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

    Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

    Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

    Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

    Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

    Ismail Sabri berkata, transformasi kerajaan itu memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

    “Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” jelasnya.

  • Muhyiddin umum bertanding PRU-15, PN akan kembali

    Muhyiddin umum bertanding PRU-15, PN akan kembali

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa beliau akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PN tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan mempertahan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun kelima Bersatu yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook beliau, malam ini.

    “Pada masa itu (PRU-15), PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, kita akan bangkit semula!” katanya.

    *Kalau tidak terlibat pemilihan PM baharu, PH dan kleptokrat mungkin jadi kerajaan

    Beliau juga menegaskan, Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan sekiranya beliau tidak menetapkan pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri baharu.

    ”Saya boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas saya meletak jawatan. Lagipun saya telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kedudukan Kerajaan PN. Tetapi saya masih mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN.

    ”Apa jadi kalau saya dan semua Ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdaba Menteri bahatu dan pembentukan kerajaan selepas itu. Pertama keadaan politik negara akan terumbang ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat majoriti,” katanya.

    Kedua tegas beliau, PH dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang.

    ”Saya berfikiran rasional.Kerana itu saya berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam Perikatan Nasional iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonan Datuk Seri Ismail Sabrei sebagai Perdana Menteri yang baharu,” katanya.

    Dengan itu tegas Muhyiddin Bersatu dan parti-parti komponen PN untuk terus berada dalam kerajaan bagi meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

    Beliau juga menyeru ahli-ahli Bersatu supaya terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usaha Ismail Sabri dan barisan Jemaah Menterinya untuk menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi dan memulihkan negara.

    Muhyiddin menambah, semua ahli Bersatu perlu melakukan segala persiapan menghadapi PRU-15 dengan menumpukan usaha memperkuatkan parti di akar umbi.

    “Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.

    “Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan. Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

    “Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” jelasnya.

    • Buktikan budaya politik Bersatu berbeza

    Beliau meminta semua pemimpin dan ahli Bersatu meneruskan kerja-kerja amal dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

    “Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” tegasnya.

    Muhyiddin berkata, Bersatu mesti membuktikan nilai kepimpinannya berteraskan prinsip integriti dan amanah serta tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    “Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” ujarnya.

    Beliau turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

    “Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu,” jelasnya.

    Muhyiddin menambah, sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu akan terus membela nasib orang Melayu dan bumiputera termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan berkenaan.

    “Perhatian juga akan diberikan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan Melayu dan bumiputera dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi utama yang berdaya maju.

    “Dalam konteks ini, agenda Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk menangani jurang pendapatan antara kaum, wilayah dan kelas sosial akan terus menjadi keutamaan kita,” jelasnya.

  • Timbalan Speaker: PH sah kitar semula Kor Ming

    Timbalan Speaker: PH sah kitar semula Kor Ming

    AHLI Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dikitar semula oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Memetik laporan Malaysiakini, Kor Ming mengesahkan bahawa beliau ialah satu-satunya calon dari blok pembangkang.

    Pengerusi DAP Perak itu berkata, cadangan calon itu sudah diserahkan kepada pihak Parlimen mengikut kaedah yang ditetapkan Peraturan Mesyuarat.

    Satu daripada dua jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said, baru-baru ini.

    Dewan Rakyat akan membuat pemilihan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ahli Parlimen Pengerang itu Selasa ini.

    Blok kerajaan pula mencadangkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon mereka.

    Pada masa yang sama, Kor Ming menyenaraikan 10 pembaharuan Parlimen yang akan dilaksanakannya jika beliau dipilih semula menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    10 pembaharuan yang dijanjikan oleh beliau adalah seperti berikut:

    Memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan pemisahan kuasa berlangsung

    Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk menyemak belanjawan bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam peruntukan belanjawan tahunan kepada Parlimen.

    Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk mengkaji semula rang undang-undang kerajaan.

    Menubuhkan kamar khas kedua untuk membincangkan isu-isu khusus yang dihadapi pelbagai kawasan supaya menteri yang berkaitan dapat berhadapan secara langsung, menjawab soalan Ahli Parlimen dan memberikan penyelesaian.

    Menetapkan hari persidangan minimum bagi Parlimen untuk memastikan semua anggotanya dapat memainkan peranan sementara kehadiran ahli parlimen juga harus diumumkan secara terbuka untuk dipertanggungjawabkan kepada pengundi.

    Mengadakan siaran langsung untuk mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Status menteri untuk Ketua Pembangkang.

    Melembagakan usul percaya untuk memastikan keabsahan Perdana Menteri agar tidak dipersoalkan. Untuk itu Parlimen harus meminda Peraturan Mesyuarat bagi mensyaratkan seseorang Perdana Menteri baharu untuk mengemukakan usul undi percaya kepada Parlimen dalam tempoh 30 hari setelah mengangkat sumpah.

    Undang-undang antilompat parti yang merangkumi pemilihan semula wakil rakyat.

    Menubuhkan jawatankuasa terpilih khusus untuk isu-isu alam sekitar, sosial, dan tadbir urus.

  • UMNO sukar tawan Negeri Sembilan tanpa Bersatu, PAS

    UMNO sukar tawan Negeri Sembilan tanpa Bersatu, PAS

    PERGOLAKAN dalaman yang parah ekoran penolakan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat membuka ruang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa di negeri itu.

    Orang-orang UMNO dengarnya semakin bersemangat untuk melipatgandakan usaha menawan semula Negeri Sembilan selepas terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Bagi mereka, maruah yang tercalar teruk akibat kekalahan itu mesti ditebus semula dan Negeri Sembilan mesti ditadbir oleh BN / UMNO selepas PRU-15.

    Namun, krisis kepimpinan yang melanda PKR Negeri Sembilan tidak boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa PH semakin lemah di bumi Adat Perpatih itu.

    Yang menjadi punca masalah adalah Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, bukannya PH itu sendiri.

    Mungkin PKR Negeri Sembilan bermasalah tetapi yang menjadi tunjang sebenar kekuatan PH adalah DAP.

    Parti cauvinis itu menguasai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding enam kerusi PKR dan tiga kerusi PAN.

    Semua DUN yang dikuasai DAP iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah merupakan kawasan yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

    Kecuali MCA mampu melakukan keajaiban, agak sukar bagi BN untuk menawan 11 DUN yang kini boleh dianggap sebagai kerusi tradisi DAP.

    Begitu juga dengan kawasan majoriti bukan Melayu yang dikuasai PKR seperti Sri Tanjung dan Chuah.

    UMNO dilihat berpeluang mengambil semula kerusi-kerusi DUN yang tewas dalam PRU-14 iaitu Klawang (PAN), Pilah (PKR) Labu (PKR), Paroi (PAN) dan Lenggeng (PAN).

    Usaha membebaskan dua lagi DUN yang dikuasai PKR agak getir memandangkan Sikamat yang diwakili Aminuddin serta Ampangan yang diwakili Dr Mohamad Rafiei Ab Malik merupakan kerusi selesa bagi parti itu sejak PRU-12.

    MIC pula memenangi hanya satu kerusi iaitu di DUN Jeram Padang yang merupakan kawasan tradisinya sejak dahulu lagi.

    Melihat kepada realiti sebenar, UMNO memang tidak mampu bertindak secara bersendirian untuk menawan semula Negeri Sembilan.

    Sekiranya parti itu benar-benar ingin mencapai objektif tersebut, langkah terbaik adalah bekerjasama dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih, UMNO boleh memberi tumpuan untuk mempertahankan 15 kerusi yang disandangnya ketika ini.

    Kerusi-kerusi tersebut adalah Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemencheh.

    Tujuh lagi kerusi iaitu Sikamat, Ampangan, Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng boleh diserahkan kepada Bersatu dan PAS.

    Difahamkan, masalah dalaman merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon UMNO di Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng.

    Masalah yang sama dapat dielakkan daripada berulang jika UMNO Negeri Sembilan beralah dan memberi laluan kepada calon-calon PAS atau Bersatu untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut.

    PAS dan Bersatu juga boleh membuktikan keupayaan mereka untuk merampas DUN Sikamat dan Ampangan yang dianggap sebagai ‘kerusi maut’ kepada calon-calon yang ingin mencabar Aminuddin dan Mohamad Rafiei.

    Walaupun Aminuddin berdepan krisis kepimpinan, beliau masih mempunyai pengaruh yang besar di Sikamat setelah berkhidmat di sana selama tiga penggal.

    Begitu juga dengan Mohamad Rafiei. Beliau merupakan seorang tokoh politik yang dihormati oleh masyarakat.

    Andainya PAS dan Bersatu berjaya dalam misi yang diberikan, UMNO masih lagi menjadi parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar dan pemimpinnya berhak diberi jawatan Menteri Besar.

    Kerjasama UMNO, PAS dan Bersatu berupaya memastikan sekurang-kurangnya 20 daripada 22 kawasan majoriti Melayu-Islam tidak jatuh atau terus dikuasai PH.

    Melalui kerangka kerjasama BN, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) pula, sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN boleh dikekalkan atau ditawan semula.

    Memang UMNO dan BN dahulu begitu gah di Negeri Sembilan di mana sebelum PRU-12, hanya seorang dua sahaja wakil pembangkang dari DAP yang menjadi kera sumbang di dalam DUN Negeri Sembilan.

    Zaman gemilang itu sudah lama berlalu dan situasi politik ketika ini semakin mencabar lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Undi 18 yang bakal menyaksikan kemunculan generasi pengundi muda yang kurang menerima sentuhan UMNO.

    Kekalahan mengejut pada PRU-14 seharusnya menyedarkan pucuk pimpinan UMNO Negeri Sembilan bahawa mereka tidak boleh lagi hanya berasa selesa dalam silo masing-masing.

    Lakukan apa sahaja yang perlu untuk kembali mentadbir Negeri Sembilan termasuk bekerjasama dengan Bersatu dan PAS.

    Misi itu mesti dijayakan bagi menjaga air muka Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

    Nostalgia lampau sememangnya sangat indah namun ia tidak mampu menjamin kemenangan.

  • UMNO hadapi dua kekangan dalam PRU-15-Tommy Thomas

    UMNO hadapi dua kekangan dalam PRU-15-Tommy Thomas

    BEKAS Peguam Negara Tommy Thomas berkata,  UMNO tidak memerlukan ‘kebangkitan semula’ kerana parti itu sebenarnya hanya berdepan ‘kekangan sementara’ ketika kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

    Katanya, UMNO sejak sekian lama menjuarai pergelutan komunal sehingga setiap perkara – sama ada politik, ekonomi, sosial, pendidikan, sukan dan pekerjaan di perkhidmatan awam – dilihat menerusi lensa perkauman.

    “UMNO cuma mengalami kekangan (setback) sementara pada PRU-14, ia sudah kembali. UMNO berjaya, tahan lama, dan tahan lasak. Mana-mana ahli politik atau parti politik yang merendah-rendahkan UMNO, mungkin harus menanggung akibatnya (di atas tanggapan itu),” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian dalam webinar bertajuk, ‘’Kebangkitan semula UMNO: Apa seterusnya untuk Malaysia?’’ anjuran Malaysiana LCMS Sdn Bhd sempena pelancaran buku ‘’Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope’’ oleh bekas Duta, Dennis Ignatius.

    Thomas berkata,  UMNO mendominasi sehingga ramai orang melihat kepentingan parti itu setara dengan kepentingan negara, dan hal itu dapat dilihat apabila ia menggunakan isu kaum dan agama dengan berkesan untuk menyerang pentadbiran PH.

    Bagaimanapun, katanya lagi, terdapat dua kekangan untuk UMNO terus mara dalam arena politik semasa.

    ‘’Pertama, kemunculan parti seperti Bersatu, Pejuang, dan Muda yang merampas sebahagian sokongan orang Melayu daripadanya.

    ‘’Kedua – yang lebih penting – adalah kegagalan UMNO memainkan peranan dalam menangani wabak Covid-19 meskipun berada dalam kerajaan PN pimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin dan kini  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,’’ katanya.

    Katanya, ini kerana isu kaum dan agama tidak boleh digunakan di saat rakyat berdepan kesempitan ekonomi serta kesihatan mental yang terjejas akibat kesan penularan wabak itu.

    “Gambaran lebih baik dan terkini adalah (prestasi) sangat tidak cekap dalam pentadbiran sejak pertengahan tahun lalu oleh dua kerajaan yang mana UMNO memainkan peranan penting di dalamnya.

    “Justeru, saya simpulkan bahawa jika pengundi Melayu tolak UMNO dalam PRU-15 kerana prestasinya yang menyedihkan ketika dalam kerajaan, Umno akan benar-benar kalah. Tak ada harapan lagi,” katanya.

  • Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    KEDUDUKAN Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan dan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan masih kukuh di sebalik spekulasi pimpinan PKR negeri yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat MPN Negeri Sembilan yang beliau pengerusikan hari ini sebaliknya meminta Aminuddin sebagai Pengerusi MPN agar memberi perhatian kepada permasalahan yang diutarakan pimpinan negeri, terutamanya keperluan untuk mengukuhkan jentera pilihan raya.

    Menurutnya, mereka turut mencapai konsensus supaya ahli-ahli dan pimpinan kanan perhubungan negeri terus bergerak sebagai satu pasukan khasnya bagi merangka usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    “Kedudukan MB juga tidak berbangkit, ada sokongan padu. Tetapi ada dibangkitkan permintaan supaya MB beri sedikit perhatian kepada keperluan parti, cabang-cabang, untuk perkukuh jentera, dalam menghadapi pilihan raya.

    “Jadi kita beri ruang untuk mereka berbincang dan perjelaskan,supaya terus dengan padu bersama dengan Exco-exco negeri (dari PKR) dan Timbalan Speaker, untuk di dalam jentera parti, terutama Biro Politik PKR Negeri Sembilan, bagi memudahkan Aminuddin supaya bertindak sebagai MB dan Pengerusi MPN Negeri Sembilan,” katanya, hari ini.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mesyuarat tersebut merupakan siri-siri mesyuarat peringkat negeri yang beliau pengerusikan, termasuk Sabah dan Selangor sebelum ini.

    Situasi politik Negeri Sembilan agak panas sejak kebelakangan ini apabila media melaporkan pimpinan PKR Negeri Sembilan telah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Mereka mendakwa, Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) di negeri intu untuk terus kekal memerintah.

    Malah media turut melaporkan, terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kedudukan Aminuddin.

    Bercakap mengenai isu itu, Anwar menjelaskan, beliau difahamkan beberapa individu terbabit telah menarik balik surat yang mereka tandatangani.

    “Kita tidak membincangkan soal (usaha pengumpulan) SD, tetapi kita ada membincangkan sedikit sebanyak tentang kandungannya.

    “Jadi saya beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan, dan saya turut menerangkan mengapa Menteri Besar juga perlu berusaha perkukuhkan jentera pilihan raya,” tambahnya.

  • Yusuf dipecat, Aminuddin tak tahu gerakan kumpul SD

    Yusuf dipecat, Aminuddin tak tahu gerakan kumpul SD

    TIGA hari selepas secara terbuka menyatakan penolakan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, Yusuf Tapar dipecat dari jawatan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan.

    Memetik laporan Sinar Harian, pemecatan itu dimaklumkan secara rasmi melalui surat yang ditandatangani oleh Aminuddin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan.

    Dalam surat berkenaan dinyatakan kedudukan Yusuf sebagai Ketua Penerangan tidak wajar dikekalkan ekoran perkembangan mutakhir dan kenyataan media secara terbuka yang dibuat olehnya pada 5 September lalu.

    Mengesahkan perkara itu, Yusuf ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak terkejut dengan pemecatannya itu dan telah pun bersedia sejak awal.

    “Saya sudah menjangkakan ini tindakan yang akan dikenakan terhadap saya. Saya tidak sedih pun.

    “Malah saya gembira kerana selepas ini saya lebih bebas untuk bercakap dan saya tidak mahu bersekongkol dengan orang yang boleh saya katakan telah memalukan parti PKR,” katanya.

    Jelasnya, beliau tidak kisah dengan jawatan itu dan pernah empat kali meminta untuk dipecat sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Aminuddin dalam parti.

    Ujarnya, tindakan pemecatannya selepas membuat kenyataan media sebelum ini menunjukkan budaya parti tidak boleh ditegur.

    “Dulu mana-mana ketua cabang yang lantang bersuara akan digantung daripada parti. Tak setuju sikit kena gantung kena pecat.

    “Bagi saya ia budaya tak sihat untuk parti yang akhirnya akan membuatkan ahli parti ‘fed up’ dan rugikan parti,” jelasnya.

    Walaupun dipecat, kata Yusuf, beliau tetap akan setia kepada parti dan akan terus bersuara jika ada yang dilihat tidak betul dalam parti.

    Sementara itu, Sinar Harian turut melaporkan, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pasti jika wujud kumpulan tertentu dalam parti itu yang mahu menjatuhkan beliau.

    Beliau berkata, ia termasuk usaha mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk diserahkan kepada kepimpinan PKR Pusat.

    Bagaimanapun, katanya, keadaan itu biasa berlaku dalam politik dan beliau tidak terkesan dengannya.

    “Saya tidak tahu pasal SD atau perkara (gerakan) itu. Saya tidak dimaklumkan mengenainya.

    “Ini perkara biasa dalam politik dan jika perkara itu berlaku, saya yakin itu semua ketentuan Allah SWT,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban, hari ini.

    PKR Negeri Sembilan kini dalam keadaan kucar-kacir setelah sebahagian besar pemimpinnya termasuk Yusuf secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi MPN.

    Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Mdd Nordin Ismail.

    Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka menegaskan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

    Yusof yang mewakili mereka berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

    Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu didakwa tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah.

    Dakwa mereka, beliau tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.