Category: Politik

  • MOU rentas parti mampu neutralkan ‘kluster mahkamah’ – pemerhati

    MOU rentas parti mampu neutralkan ‘kluster mahkamah’ – pemerhati

    MEMORANDUM persefahaman (MoU) bersejarah yang ditandatangani julung kalinya antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin akan meneutralkan “kluster mahkamah” dalam UMNO, sekaligus menafikan sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata pemerhati politik.

    Ahmad Marthada Mohamed dari UUM berkata, menerusi MoU itu, pembangkang akan memberikan komitmen dan secara tidak langsung sokongan yang kukuh kepada kerajaan hari ini meskipun tanpa sokongan kluster mahkamah.

    “Dahulu, kluster mahkamah yang menggagalkan usaha kerajaan (membawa transformasi), pada masa yang sama pembangkang tidak menyokong kerajaan kerana tiada insentif untuk berbuat demikian,” kata dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa itu kepada MalaysiaNow.

    “Dengan adanya MoU ini, usaha daripada kluster mahkamah untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan tidak akan berkesan. Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan PH menandatangani MoU pada Isnin lepas yang disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai “demokrasi bermusyawarah”.

    Memorandum ditandatangani oleh Ismail Sabri dan pemimpin utama PH, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng serta Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

    Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

    Mereka didakwa bertanggungjawab menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu dengan menarik sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu, sekali gus menyebabkannya kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

    Walaupun Muhyiddin membuat beberapa penawaran pembaharuan terhadap institusi negara yang kini diguna semula dalam MoU pada Isnin, PH mengambil keputusan untuk menolaknya kerana dikatakan sebagai satu tawaran rasuah secara terbuka.

    Antara intipati utama MoU antara kerajaan dan PH termasuklah pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran kerajaan, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

    Menurut Marthada, meskipun idea-idea yang dibawa Muhyiddin itu bersifat “forward-looking”, ia menemui kegagalan disebabkan golongan kleptokrat yang mensabotaj pentabdiran Perdana Menteri Kelapan itu.

    “Ada situasi menang-menang dengan tawaran kerjasama ini. Dari segi keabsahan kerajaan juga penting. MoU ini menunjukkan kerajaan hari ini turut disokong oleh pembangkang secara tidak langsung. Saya fikir pembentangan Belanjawan 2022 akan lulus, undi percaya juga tidak akan berfikir pembentangan Belanjawan 2022 akan lulus, undi percaya juga tidak akan berlaku,” katanya.

    Namun katanya, kejayaan Mou ini bergantung kepada kedua-dua pihak yang menandatangani persefahaman.

    Sementara itu, pemerhati politik dari Sarawak, Jeniri Amir ketika mengulas MoU itu terhadap masa depan Sabah dan Sarawak berkata, usaha mengembalikan hak di bawah MA63 akan berjalan dengan lebih cepat dengan sokongan kedua-dua pihak.

    “MoU akan memperkukuhkan usaha kerajaan terdahulu. Semasa pentadbiran PH, parti-parti yang tiada dalam PH tidak bersetuju dengan langkah PH ketika itu. Dengan adanya persefahaman ini, segala rintangan dapat diketepikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Katanya, walaupun Pejuang dan Warisan tidak menandatangani MoU pada Isnin, mereka perlu menyokong usaha mengembalikan hak Sarawak dan Sabah.

    “Sebahagian besar itu transformasi diperkenal juga adalah tuntutan yang terkandung dalam manifesto pemabngkang PH semasa PRU-14. Jadi mereka perlu beri dukungan tanpa memberi helah atau alasan.”

    Katanya, isu yang lebih besar ialah mewujudkan padang permainan politik yang lebih sama rata, apabila kerajaan tidak lagi menggunakan instrumen hegemoni untuk menekan pembangkang atau suara yang menentang.

    “Kita tidak mahu ada diskriminasi terhadap pembangkang dan penyokong pembangkang sehingga wujud ketempangan dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi di kawasan-kawasan pembangkang. Ini selari dengan demokrasi matang dan progresif. Semua rakyat yang mengundi harus dilayan dengan saksama,” katanya.

  • Pencalonan Ahmad Maslan ditolak, Puad pula ‘melompat’…apa hal?

    Pencalonan Ahmad Maslan ditolak, Puad pula ‘melompat’…apa hal?

    BEKAS Ketua Pengarah JASA, Dr.Puad Zarkashi tiba-tiba ‘melompat’ apabila mengetahui ahli Parlimen kerajaan menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Pada masa sama, pemilihan yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan ke persidangan akan datang iaitu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.

    Usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penangguhan itu bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

    “Kita mungkin akan membuat satu peraturan supaya salah seorang daripada timbalan speaker yang dipilih nanti akan disandang oleh wakil pembangkang,” katanya ketika mengusulkan penangguhan pemilihan itu.

    Sebagai seorang ahli politik berpengalaman yang pernah menjadi Ahli Parlimen walaupun hanya sepenggal (2008-2013) sebelum tewas dalam PRU-13 serta tidak bertanding dalam PRU lalu , Puad sepatutnya meneliti dahulu apa yang berlaku sebelum membuat posting dalam media sosial.

    Dari awal lagi, semua orang tahu malah pelajar universiti pun faham, sejak penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah ada syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh UMNO bahawa mana-mana ahli Parlimen yang ada kes mahkamah tidak akan dibenarkan memegang apa jawatan dalam kerajaan.

    Walaupun sekarang jawatan Perdana Menteri sudah dipegang oleh UMNO tetapi ia tidak bermakna dasar tersebut berubah kerana ini bukan Kerajaan Barisan Nasional! Lagi pula sebelum ini semua pemimpin UMNO termasuk Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ‘turut redha’.

    Justeru Puad tak perlulah membuat isu soal penolakan terhadap pencalonan Ahmad Maslan. Sepatutnya sebagai salah seorang yang ‘bijaksana’, beliau boleh memberi nasihat kepada kepemimpinan UMNO supaya tidak mencalonkan Ahmad Maslan bagi mengelakkan masalah timbul.

    Tetapi UMNO mahu jugak berbuat demikian, jadi apabila ada penolakan daripada parti lain, Puad patut terima sahajalah. Tambahan pula, penolakan itu bukan bermakna jawatan tersebut tidak akan diberikan kepada UMNO, cuma UMNO kenalah tukar calon, itu sahaja.

    Apa salahnya, kalaupun  betul kerajaan ‘minta ehsan’ PH untuk mengeluarkan agenda memilih Timbalan Speaker daripada senarai aturan Parlimen hari ini. Ia bagi memberi masa kepada UMNO memilih calon lain, selain pindaan Perlembagaan dilakukan bagi membolehkan tiga orang menduduki jawatan itu.

    Kenapa nak bangkitkan soal salah satu daripadanya diberikan kepada pembangkang? Salahkah? Bukankah sebelum ini Azalina juga mencadangkan kekosongan yang beliau ditinggalkan diberikan kepada pembangkang?

    Tidak timbul soal ‘double standar’ bila Puad mempersoalkan kenapa Lim Guan Eng yang juga ada kes mahkamah boleh mewakili DAP dalam menandatangani MoU antara Kerajaan dan PH semalam.

    Mungkin Puad tidak faham atau buat-buat tak faham. Guan Eng bukan naik ke pentas untuk bertanding menjadi calon DAP untuk tandatangan MoU itu…sebaliknya  memang beliau berhak mewakili parti tersebut sebagai Setiausaha Agung.

    Guan Eng tidak bertanding apa-apa jawatan seperti mana dilakukan oleh Ahmad Maslan dan percayalah kalau pun Guan Eng bertanding beliau tetap akan ditolak oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan kerana beliau juga dikategorikan sebagai ‘kluster mahkamah’.

    Apapun terima kasih kepada Puad kerana mengingatkan, ‘’Semoga Perdana Menteri tidak membiarkan dirinya nampak lemah dan mudah ditekan, membimbangkang sampai tahap pinda Perlembagaan.’’

    Ingatan itu juga turut boleh ditujukan kepada pemimpin-pemimpin UMNO kerana kita pun tahu bagaimana gelagat dan tekanan yang diberikan sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

    Oleh itu selepas ini Puad duduk diam-diam, jika Ismail Sabri menggunakan kuasa dan kedudukan bagi memastikan beliau ‘tidak nampak lemah dan mudah ditekan’. Boleh?FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

  • Usah jadi ‘duri dalam daging’ kepada Ismail Sabri

    Usah jadi ‘duri dalam daging’ kepada Ismail Sabri

    ANALISIS

    MEMORANDUM Persefahaman antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dilakukan dengan niat murni iaitu mengelakkan negara terus berada dalam ketidakstabilan politik dalam usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

    Dan paling penting MoU ini tidak ada kaitan dengan soal politik, isu politik apatah lagi percaturan politik sehingga ada pemimpin UMNO tertentu mula mengaitkan dengan slogan ‘ No Anwar, No DAP’ sebagai sudah tidak lagi relevan kepada UMNO.

    Nampaknya ada pemimpin tertentu yang mula gelisah dengan perkembangan ini, mungkin juga bimbang persefahaman yang dicapai akan membantutkan sebarang ‘langkah politik dalaman’ UMNO termasuk memberikan tekanan atau permintaah bertaraf ‘ugutan’ kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

    Bagi penulis, pemimpin yang mengaitkan MoU itu dengan menyifatkan slogan ‘No Anwar, No DAP’ tidak lagi relevan sebagai kelompok ‘jahil’ dalam politik dan tidak memahami apa yang berlaku. Mungkin akibat sikap ‘jahil’ inilah yang menjadi punca kepada kekalahan UMNO dalam PRU-14 lalu.

    Apa yang dilakukan oleh Ismail Sabri tidak ada salahnya malah tidak ada bezanya dengan ‘kempen’ beberapa pemimpin UMNO sebelum ini yang begitu beria-ia ‘siang malam’ mahukan kerajaan perpaduan atau ‘unity government’ ditubuhkan.

    Ketika itu mereka berhujah dengan tegas bahawa ‘unity government’ adalah satu-satu cara bagi menyelesaikan kemelut politik dan ketidakstabilan negara serta kononnya cara paling berkesan bagi menangani pandemik Covid-19.

    Jangan lupa apa yang berlaku di Perak dan Johor sudah mewujudkan persefahaman dan kerjasama bipartisan demi kesejahteraan rakyat bukanlah sesuatu yang jangggal. Justeru kenapa masih ada dalam kalangan pemimpin UMNO mahu mencetuskan polemik berhubung MoU tersebut?

    Yang peliknya, kelompok atau individu yang berbuat demikian ‘muka yang sama’ sahaja, dulu mereka tak habis-habis mengganggu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Semasa Muhyiddin mengemukakan cadangan yang hampir sama, macam-macam mereka tuduh malah ada yang ‘siap’ buat laporan polis menuduh Ahli Parlimen itu melakukan rasuah secara terbuka tetapi sekarang tak kan Ismail Sabripun mahu diganggu juga.

    Sedangkan misi dan niat kedua-dua pemimpin itu adalah sama iaitu mewujudkan kedamaian politik kerana rakyat sudah muak dengan politik yang tidak berkesudahan.

    Tidak apalah mungkin disebabkan Muhyiddin daripada Bersatu maka mereka tidak mahu atas alasan UMNO mempunyai kerusi paling banyak dan sepatutnya mengetuai kerajaan, tetapi sekarang Perdana Menteri bukan sahaja daripada UMNO malah terdapat 20 ahli Parlimen yang menjadi menteri dan timbalan menteri.

    Jadi tidak ada alasan lagi untuk mana-mana pemimpin dalam UMNO khususnya yang sudah kalah dalam PRU-14 lalu hendak terus berpolitik apatah lagi mahu menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pentadbiran Ismail Sabri.

    Bukankah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pun sudah membuat kenyataan menyerahkan kepada kebijaksanaan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri untuk menguruskan negara. Oleh itu apa juga tindakan atau langkah yang dilakukan oleh Perdana Menteri harus dihormati.

    Walaupun Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO tetapi ia tidak bermakna apa sahaja yang dikehendaki oleh parti itu perlu dipatuhi oleh beliau. Ini bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Kerajaan yang UMNO menang dua pertiga seperti sebelum tahun 2008. Ini kerajaan  yang menggabungkan pelbagai parti.

    Justeru lebih baik serahkan sahaja kepada kebijaksanaan Ismail Sabri menguruskan negara. Tidak usahlah ganggu beliau, mana-mana pemimpin yang kalah dalam PRU lalu lebih baik tumpu kepada usaha untuk merampas kembali kerusi yang terlepas.

    Kepada  kelompok dalam ‘kluster mahkamah’ duduklah diam-diam tidak payahlah berusaha mahu memegang jawatan itu dan ini sehingga dilihat memberi tekanan kepada Ismail Sabri.

    Kesimpulannya, hentikan sebarang gangguan politik kepada Ismail Sabri. Sebagai Perdana Menteri, beliau pasti tahu yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Tidak perlu mahu mengajar beliau bagaimana mahu bekerja, apatah lagi yang bercakap tu di kawasan sendiripun ditolak oleh rakyat.

  • Permuafakatan kerajaan, PH legasi kebijaksanaan Muhyiddin, PN

    Permuafakatan kerajaan, PH legasi kebijaksanaan Muhyiddin, PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERMUAFAKATAN yang dimeterai antara pembangkang dan kerajaan melalui memorandum persefahaman (MoU) semalam adalah hasil legasi kebijaksanaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin menyifatkan komitmen diberikan kedua-dua pihak itu sebagai ‘inovasi politik’ ke atas landskap politik negara.

    “Begitulah perancangan Allah yang mengatasi perancangan manusia. Hikmah di sebalik Covid-19, siapa sangka ahli politik di tanah air kita sekali lagi boleh bermuafakat di meja rundingan melalui MoU transformasi dan kestabilan politik.

    “Saya mewakili Pemuda Pas dan Pemuda PN mengucapkan jutaan terima kasih serta tahniah di atas jiwa besar Perdana Menteri dalam meneruskan legasi ini,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebooknya.

    Semalam, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU transformasi dan kestabilan politik di Dewan Bankuet, Parlimen.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU tersebut merangkumi enam iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

  • Majoriti ahli Parlimen kerajaan tolak pencalonan Ahmad Maslan, pemilihan timbalan speaker ditangguh?

    Majoriti ahli Parlimen kerajaan tolak pencalonan Ahmad Maslan, pemilihan timbalan speaker ditangguh?

    PEMILIHAN Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan hari ini dikatakan akan ditangguh selepas majoriti ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menolak pencalonan Datuk Seri Ahmad Maslan bagi menduduki jawatan tersebut.

    Difahamkan mereka bertindak demikian sebagai ‘tindak balas’ terhadap tingkah laku Ahli Parlimen Pontian itu yang sebelum ini ‘menyerang’ Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ahli Parlimen Pagoh tersebut menjadi Perdana Menteri.

    Selain itu, Ahmad Maslan juga merupakan salah seorang daripada 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga menyebabkan Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan dan Kerajaan PN tumbang.

    Difahamkan dalam mesyuarat pra sidang Dewan Rakyat kelmarin yang melibatkan semua ahli Parlimen kerajaan, seorang pemimpin kanan PN secara terbuka memberitahu Ahmad Maslan bahawa beliau tidak akan menyokong Setiausaha Agung UMNO itu.

    ‘’Pemimpin kanan UMNO memberitahu kepada Ahmad Maslan tak kan selepas begitu teruk beliau menyerang Kerajaan PN sebelum ini, mereka akan begitu mudah hendak menyokong beliau,’’ kata satu sumber ketika dihubungi.

    Sumber itu memberitahu selain sikap atau tingkah laku Ahmad Maslan terhadap kerajaan PN sebelum ini, pencalonan beliau juga tidak dipersetujui oleh ahli-ahli Parlimen tersebut kerana beliau daripada ‘kluster mahkamah’.

    ‘’Kalau sokongan diberikan kepada beliau menduduki jawatan Timbalan Speaker, ia akan menjejaskan imej kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lagipun sudah ada persefahaman mana-mana individu yang ada kes mahkamah tidak akan dilantik memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan,’’ kata sumber tersebut.

    Menjawab satu soalan, sumber itu berkata, ahli-ahli Parlimen PN tidak ada masalah untuk menyokong mana-mana calon daripada UMNO asalkan ia bukan daripada ‘Kumpulan 15’ – merujuk kepada ahli Parlimen yang menjadi punca kejatuhan Kerajaan PN.

    Mengikut jadual sidang Dewan Rakyat hari ini, pemilihan Timbalan Speaker sepatutnya diadakan selepas ia dikosongkan oleh Ahli Parlimen Pangerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Ia sepatutnya menyaksikan ‘pertembungan’ antara Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH). Kor Ming merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

    Beliau meletakkan jawatan itu pada 13 Julai 2020  kerana bersolidariti penuh terhadap Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang digugurkan daripada jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Kor Ming  juga menegaskan keputusan juga disebabkan, ‘’prinsip saya hanya akan berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.’’

  • Ismail Sabri seru semua Ahli Parlimen rapat saf

    Ismail Sabri seru semua Ahli Parlimen rapat saf

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua Ahli Parlimen tidak mengira pandangan politik, untuk sama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat.

    Menurut beliau, seruan itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah agar semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

    “Menjunjung titah Tuanku, inilah semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan.

    “Saya berharap persidangan ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Seri Paduka ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini bertitah, kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik.

    Al-Sultan Abdullah percaya bahawa menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.

    Melangkah ke hadapan, Seri Paduka menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

    “Justeru, beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

    “Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi ‘biduk lalu, kiambang bertaut’.
    “Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.

    “Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’ sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Seri Paduka.

  • Kerajaan, PH lakar sejarah meterai MoU kerjasama dwipartisan

    Kerajaan, PH lakar sejarah meterai MoU kerjasama dwipartisan

    Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di bangunan Parlimen, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memorandum itu membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

    Menurut beliau, langkah itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini.

    “Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

    “Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

    “Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas majlis menandatangani memorandum tersebut di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen, hari ini.

    MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

    Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

    Ismail Sabri menambah, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

    Beliau memberitahu, kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan
    mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

    “Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” jelasnya.

    Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

    Tawaran-tawaran tersebut adalah:

    • Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
    • Pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
    • Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
    • Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
    • Setiap Rang Undang-Undang, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
    • Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
    • Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
  • ADUN Kota Putera positif Covid-19

    ADUN Kota Putera positif Covid-19

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KETIADAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman semasa Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu hari ini terjawab, apabila beliau dilaporkan positif Covid-19.

    Menurut Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak, Mohd. Nurkhuzaini disahkan positif pada minggu lalu selepas menjalani ujian saringan.

    Menurut beliau, Mohd. Nurkhuzaini yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    Katanya, Mohd. Nurkhuzaini disahkan positif dan dimasukkan ke hospital sebelum Kerajan negeri mewajibkan semua ADUN membuat ujian saringan Covid-19 pada 9 September lalu.

    “Sewaktu mula-mula dimasukkan kedalam wad memang beliau demam, tetapi sekarang ini kelihatan semakin sihat dan hanya menunggu masa untuk keluar dari hospital,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

  • PN Johor sedia letak calon di 56 kerusi tanpa UMNO

    PN Johor sedia letak calon di 56 kerusi tanpa UMNO

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIMBALAN Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim menegaskan Perikatan Nasional (PN) negeri itu sedia untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kerjasama atau penglibatan UMNO.

    Md. Nasir berkata, pihaknya yakin gabungan Bersatu, Pas dan parti lain yang bertanding atas tiket PN mampu beroleh kemenangan besar di Johor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

    Malah, beliau menjangkakan PN Johor berpeluang untuk memenangi lebih 40 kerusi daripada semua kerusi yang dipertandingkan.

    “Kemenangan ini akan dibantu atas faktor ketidakmampuan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang menerajui Johor.

    “Kelemahan beliau akan menjadi pendorong utama untuk PN Johor menang besar,” katanya di sini hari ini.

    Rabu lalu, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dilaporkan berkata, parti itu dan Barisan Nasional (BN) Johor akan bertanding pada PRU-15 di semua 19 kerusi DUN yang telah dimenangi mereka sebelum ini.

    Pada masa sama, ujar Hasni, parti itu juga tidak akan menggunakan simbol selain logo UMNO dan BN, malah kerusi yang dimenangi BN sebelum ini akan turut diletakkan calon mereka termasuk kerusi yang mana wakil rakyatnya telah menukar ke parti lain.

    “Mungkin ada perkara yang saya rasa boleh, tetapi untuk kita tidak pertahankan parti atau tidak menggunakan lambang dacing adalah sukar untuk berlaku di Johor,” kata Hasni.

    Mengulas lanjut, Md. Nasir berkata, Hasni tidak wajar mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif ketika ini dan sebaliknya dia harus menumpukan usaha memerangi pandemik Covid-19.

    “Hasni tidak serius dalam usaha menangani pandemik itu dan sehingga kini hanya bercakap secara retorik tanpa hasilnya.

    “Beliau adalah satu-satunya Menteri Besar yang tidak menggunakan dana negeri untuk membeli vaksin sebaliknya hanya menunggu pemberian vaksin yang disalurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri.

    “Jumlah vaksin yang diberikan Tan Sri Muhyiddin untuk Johor sahaja bernilai lebih kurang RM50 Juta. Sekiranya Hasni tidak berusaha untuk menangani Covid-19, bagaimana beliau akan mampu memulihkan ekonomi Johor,” katanya.

    Menurut beliau lagi, sehingga hari ini jumlah penduduk Johor yang menerima vaksin masih rendah jika dibandingkan dengan negeri lain, ini termasuk di Daerah Pontian yang merupakan kawasan Menteri Besar sendiri.

  • Kerajaan, PH bakal meterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Kerajaan, PH bakal meterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

    Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) akan mencatat sejarah baharu dalam dunia politik tanah air dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, esok.

    Kenyataan penuh berhubung usaha mengembalikan kestabilan politik negara itu adalah seperti berikut:

    Setelah mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil-wakil pihak kerajaan dan PH pada hari ini telah memuktamadkan sebuah MoU di antara kerajaan Persekutuan dan PH.

    Semua pihak telah bersetuju bahawa MoU ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara dwipartisan.

    Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi parlimen.

    Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

    Sesuai dengan semangat ini dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani persefahaman ini pada hari esok, 13 September 2021 pukul 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Wakil kerajaan: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Wakil PH: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
    dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.