Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERMUAFAKATAN yang dimeterai antara pembangkang dan kerajaan melalui memorandum persefahaman (MoU) semalam adalah hasil legasi kebijaksanaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin menyifatkan komitmen diberikan kedua-dua pihak itu sebagai ‘inovasi politik’ ke atas landskap politik negara.

“Begitulah perancangan Allah yang mengatasi perancangan manusia. Hikmah di sebalik Covid-19, siapa sangka ahli politik di tanah air kita sekali lagi boleh bermuafakat di meja rundingan melalui MoU transformasi dan kestabilan politik.

“Saya mewakili Pemuda Pas dan Pemuda PN mengucapkan jutaan terima kasih serta tahniah di atas jiwa besar Perdana Menteri dalam meneruskan legasi ini,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebooknya.

Semalam, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU transformasi dan kestabilan politik di Dewan Bankuet, Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU tersebut merangkumi enam iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here