Category: Politik

  • PRU-15: Pas yakin UMNO,Bersatu bersama dalam penyatuan ummah

    PRU-15: Pas yakin UMNO,Bersatu bersama dalam penyatuan ummah

    PAS yakin UMNO dan Bersatu akan bersama dalam agenda penyatuan ummah bagi memperkasakan semula sokongan Melayu dan Islam bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, beliau yakin kedua-dua parti tersebut akan bersama dengan penyatuan ummah.

    Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku sekarang dianggap tidak lebih latihan dalam berpolitik.

    “Orang politik kalau ditanya hidung di mana, dia tidak akan tunjuk hidung di sini (direct), tetapi dia buat mari ikut sini (belakang), jadi bila mari ikut belakang ada banyak pandangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas program flag off pengeksportan produk ke pasaran Timur Tengah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.

    Dr Nik Muhammad Zawawi menyifatkan apa yang berlaku sekarang kepada UMNO sebagai ‘latihan politik’ ekoran keputusannya untuk bergerak sendiri.

    Menurutnya juga apabila Parlimen dibubarkan, agenda yang menjadi keutamaan untuk melihat ada penyatuan orang Melayu-Islam.

    Beliau turut menafikan Muktamar Tahunan Pas yang akan diadakan November ini membincangkan tindakan UMNO yang mahu memutuskan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

    “Agenda penyatuan ummah yang dibawa Pas sudah lama, bahkan ahli di peringkat akar umbi pun sudah memahami hasrat tersebut selama 71 tahun penubuhannya.

    “Muktamar ini dijangka tidak hangat dengan isu tersebut, sebab kita sudah lama dengan agenda penyatuan ummah. Sebelum PRU pun sudah dibincang untuk menyatukan orang Islam. “Kita pernah bersama Pakatan Rakyat tetapi rakan-rakan dalam pakatan itu tidak boleh terima konsep penyatuan ummah sebagaimana disebut dalam al Quran,” katanya

  • Pas tetap mahu berunding dengan MN, PN tapi sedia hadapi segala kemungkinan

    Pas tetap mahu berunding dengan MN, PN tapi sedia hadapi segala kemungkinan

    PAS sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk terus berunding dengan parti sekutu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perbincangan itu penting bagi mengelak pertembungan tiga penjuru sesama sen.

    Bagaimanapun, katanya, Pas tetap bersedia dengan apa juga kemungkinan yang berlaku sekiranya rundingan itu tidak mencapai hasil diharapkan.

    “Pas bersedia mengadakan perbincangan dengan rakan MN dan PN bagi menentukan kerusi bakal ditandingi pada PRN Melaka. Ini bagi mengelak (persaingan) tiga penjuru, namun Pas juga bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan,” katanya lapor Berita Harian.

    Tuan Ibrahim berkata, Pas juga akan bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai potensi.

    Katanya, sebagai persediaan, Pas sudah menubuhkan dua jawatankuasa bagi menyelaras gerak kerja jentera parti itu.

    “Pas bersedia turun bertanding di beberapa DUN yang kami yakin ada potensi besar untuk mencapai kejayaan. Kami sudah menubuhkan Jawatankuasa Induk PRN Melaka diketuai Naib Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga penyelaras bagi Zon Selatan. Jawatankuasa Operasi pula diketuai Dr Wan Nik Wan Yusoff dan dibantu Pas Melaka,” katanya.

    Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dengan hari penamaan calon pada 8 November, manakala tarikh mengundi awal pada 16 November.

  • PRN Melaka : Penamaan calon 8 November, Pengundian 20 November – SPR

    PRN Melaka : Penamaan calon 8 November, Pengundian 20 November – SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awanii.

     “Tarikh-tarikh PRN DUN Melaka ke-15 seperti berikut, tarikh writ pilihan raya pada 18 Oktober (Isnin), tarikh penamaan calon pada 8 November (Isnin), tarikh mengundi awal pada 16 November (Selasa), tarikh mengundi pula pada 20 November 2021 (Sabtu),” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak 28 pengurus pilihan raya dilantik dibantu 80 Penolong Pegawai Pengurus.

    Manakala bagi pemantauan pula SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon bertanding.

    “Pengunaan daftar pemilih terkini sehingga 3 Oktober 2021 melibatkan 495,196 orang pengundi.

    “SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi. SPR memohon kerjasama semua pihak parti politik dan media dalam mengalakkan pengundi keluar mengundi,” katanya lagi.

    Pada masa sama tambah Abdul Ghani, garis panduan pencegahan COVID-19 yang akan digunakan sepanjang PRN itu berpandukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

    Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

  • ‘Lawak seram’ Zahid… adakah individu lain akan jadi Pengerusi BN?

    ‘Lawak seram’ Zahid… adakah individu lain akan jadi Pengerusi BN?

    KATA Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi;

    ‘’Senarai calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15 diputuskan oleh tiga pemimpin tertinggi parti itu, bukan lagi oleh Presiden sahaja.’’

    Tiga orang yang dimaksudkan ialah beliau sendiri sebagai Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Yang menarik beliau berkata, ‘’Namun jika ketiga-tiga mereka ini bersetuju tetapi tidak dipersetujui oleh Pengerusi BN, maka watikah itu tidak akan ditandatangani.’’ – yang diiringi dengan senyuman.

    Kenyataan Ahmad Zahid  yang dilaporkan oleh media membuatkan ramai tersenyum dan ada juga tertanya-tanya.

    Kenapa tersenyum? Sebab bukankah beliau juga adalah Pengerusi BN dan ada yang bertanya, adakah Ahmad Zahid hanya akan menjadi Presiden UMNO manakala Pengerusi BN akan dipegang oleh individu lain.

    Kalau Pengerusi BN itu betul lah akan disandang orang lain, bolehlah Ahmad Zahid bercakap demikian tetapi kalau Pengerusi BN adalah beliau sendiri yang juga Presiden UMNO, ‘lawak seram’ apa yang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ‘mahu persembahkan’?

    Tetapi kalau Ahmad Zahid mahu menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada orang lain pun ok juga sebab sebelum ini ketika pencalonan untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin, Ahmad Zahid berkata, tidak terlintas untuk menamakan diri beliau sebagai calon Perdana Menteri.

    Jadi kenalah cari orang yang ada hasrat dan paling penting mempunyai material untuk menjadi Perdana Menteri sebagai persiapan jika UMNO menang besar dalam PRU-15 nanti.

    Mungkinkah demi rakyat dan negara serta UMNO, Ahmad Zahid mahu menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada Ismail Sabri memandangkan Ahli Parlimen Bera itu sudahpun menjadi Perdana Menteri?

    Seperkara lagi, apakah mungkin Ahmad Zahid sedar beliau sudah tidak sesuai lagi untuk memegang dua jawatan memandang masalah sakit belakang dan leher yang dihadapinya? Beliau akan mendapat rawatan dengan pakar terkemuka di Munich, Jerman tidak lama lagi. Justeru dengan menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada individu lain kuranglah sikit bebanan beliau. Betul tak?

    Atau adakah Ahmad Zahid mahu memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya kerana sekarang ini beliau terpaksa berulang alik bagi menghadiri perbicaraan, itupun sikit sebanyak boleh menjejaskan tumpuan beliau kepada urusan parti?

    Apapun hanya Ahmad Zahid lebih memahami apa yang beliau maksudkan dengan ayat, ‘’ ’Namun jika ketiga-tiga mereka ini bersetuju tetapi tidak dipersetujui oleh Pengerusi BN, maka watikah itu tidak akan ditandatangani.’’

    Macam-macam andaian boleh buat. Sama-samalah kita tunggu kalau-kalau ada penjelasan lanjut daripada beliau. Jadi buat sementara ini, kalau sesiapa yang baca kenyataan Ahmad Zahid itu nak senyum atau ketawa atau nak nangis sekalipun…silakan….maklumlah tak tahu reaksi apa nak bagi…

  • Buktikan Bersatu jaga kepentingan pelbagai kaum – Mahathir

    Buktikan Bersatu jaga kepentingan pelbagai kaum – Mahathir

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan platform bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti yang menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

    Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, pemimpin Bersatu juga perlu menyedari hakikat bahawa mereka kini bukan hanya perlu menjaga kepentingan dan mewakili orang Melayu sahaja malah kebajikan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi asas kekuatan politik negara.

    “Ini adalah masa sesuai bagi semua pemimpin supaya tidak hanya fokus kepada hanya satu kaum tertentu sahaja sebaliknya mereka perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan semua kaum sebagai asas kekuatan parti politik masing-masing.

    “Ini penting kerana jatuh dan bangunnya serta kekuatan sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan dari peringkat akar umbi,” katanya seperti dilaporkan PNBBC Portal hari ini.

    Bersatu kaum Mahathir Mohd Rais
    MAHATHIR MOHD RAIS

    Beliau menambah, Bersatu juga tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik perancangan yang nampak sempurna di atas kertas namun hakikat sebenarnya adalah berbeza.

    Mahathir memberitahu, semua pemimpin Bersatu perlu melihat dan mengkaji realiti politik semasa serta mengambil kira pandangan akar umbi parti sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

    Katanya lagi, pemimpin politik juga harus ingat bahawa jatuh bangun mereka adalah bergantung kepada kehendak akar umbi.

    Malah, Mahathir berkata, sejarah sudah membuktikan bahawa keakraban hubungan rapat antara pemimpin dan akar umbi membolehkan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah selama lebih 60 tahun.

    Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan agar Bersatu memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk memainkan peranan penting dalam PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

  • PRN Melaka, Sarawak tidak mungkin buat serentak

    PRN Melaka, Sarawak tidak mungkin buat serentak

    DESAS-DESUS berhubung kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak diadakan secara serentak adalah tidak benar.

    Spekulasi tersebut dinafikan oleh Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau yang Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander memberitahu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRN.

    “Saya rasa tidak ada keputusan mengatakan pilihan raya Sarawak akan diadakan bersama dengan pilihan raya Melaka.

    “Bagi Melaka, kami (Kabinet) akan menyerahkannya kepada SPR untuk memutuskan. Kerajaan negeri (Sarawak) juga menyerahkan kepada SPR untuk membuat panggilan.

    “Ini (pilihan raya serentak) mungkin berlangsung jika SPR menganggapnya bagus untuk mengadakannya, tetapi kami tidak berada dalam kedudukan untuk mengatakan demikian.

    “Perkara ini untuk SPR memutuskan apakah ia bersedia untuk melakukannya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    PRN Melaka mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

    SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Melaka selepas mesyuarat esok.

    Bagi Sarawak pula, perintah Darurat masih berkuat kuasa sehingga 2 Februari 2021, sekali gus membayangkan tiada PRN di negeri itu dalam masa terdekat.

    Alexander menambah, GPS secara umum berpandangan bahawa PRN Sarawak perlu diadakan segera sebelum musim tengkujuh hujung tahun ini.

    Selain itu, katanya, jumlah kes COVID-19 di Sarawak berkurangan manakala kadar vaksinasi sudah melebihi 80 peratus.

    “Untuk rekod, Sarawak negari paling awal yang menerima vaksinasi dan kami tidak ingin terjebak dalam situasi keberkesanan vaksin yang semakin lama semakin berkurangan,” jelas Ahli Parlimen Kapit itu.

    Alexander menambah, mereka tidak pasti jika akan berlaku lonjakan COVID-19 sekali lagi pada awal tahun depan tetapi mereka berharap situasi itu tidak berlaku.

  • PRN Melaka:UMNO masih belum buat keputusan bersama Pas, Bersatu

    PRN Melaka:UMNO masih belum buat keputusan bersama Pas, Bersatu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    UMNO sehingga ke hari ini masih belum membuat keputusan rasmi sama ada mahu bergerak secara solo atau terus menjalin kerjasama bersama-sama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka nanti.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu langsung langsung pernah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum ini.

    “Mesyuarat MT pada tiga hari lepas juga tidak memutuskan mengenai perkara itu. Sebab itu anda tak lihat sebarang kenyataan dibuat berhubung perkara tersebut.

    “Sekiranya diadakan pun, PRN itu mungkin akan berlangsung sebulan atau dua bulan dari sekarang. Jadi kita masih ada masa lagi dan UMNO serta BN akan mencari kaedah terbaik untuk Melaka,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Pekebun Kecil Makmur Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka di Padang Terap, hari ini.

    Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasionla ataupun Bersatu.

    Menerusi wawancara dalam program program ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ yang disiarkan secara dalam talian, Ahmad Zahid berkata, antara faktor yang menyebabkan tiada kerjasama dalam PRN tersebut adalah MN sendiri tidak pernah didaftarkan.

    Justeru kata Ahmad Zahid, beliau tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan sebagaimana beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

    Mahdzir menambah, keputusan berhubung perkara itu akan dibincangkan Majlis Tertinggi parti apabila tiba masanya nanti.

    “Memang Presiden ada buat kenyataan tetapi beliau pulangkan semula kepada Majlis Tertinggi untuk buat keputusan. Dalam mesyuarat baru-baru ini, kita tak buat sebarang keputusan untuk pergi solo atau secara muafakat,” katanya.

  • Formula Pas ‘sokong penyandang’ beri kelebihan kepada UMNO, kecewakan Bersatu

    Formula Pas ‘sokong penyandang’ beri kelebihan kepada UMNO, kecewakan Bersatu

    FORMULA Pas untuk ‘menyokong penyandang’ jika berlaku pertembungan antara UMNO dan Bersatu dijangka hanya akan menyulitkan keadaan.

    Ketika menegaskan perkara itu, Penganalisis Politik Dr.Mazlan Ali berpendapat, pendekatan Pas itu turut dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan antara parti-parti berkenaan yang memang tegang.

    Pada masa sama, kata beliau langkah “menyokong penyandang” itu antara sebenarnya akan memberi kelebihan kepada UMNO secara langsung.

    “Jika berlaku pertembungan UMNO dan Bersatu, sokong penyandang ini maksudnya UMNO lah yang ada kelebihan, sebab UMNO kerusinya lebih banyak yang dimenangi berbanding Bersatu.

    “Kawasan yang Bersatu menang pula adalah kawasan yang dikuasai PH (Pakatan Harapan), dan Pas tiada peranan sangat dalam kawasan-kawasan terbabit,” katanya kepada Malaysiakini .

    Mazlan yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sudah pasti formula “sokong penyandang” akan mengecewakan Bersatu saja berdasarkan situasi semasa kerana UMNO mempunyai kelebihan.

    Jelas beliau, jika berlaku pertembungan antara UMNO dan Bersatu di kawasan yang sudah dimenangi UMNO sebelum ini ia pasti akan memberi kelebihan besar kepada UMNO apabila parti itu mendapat sokongan tambahan daripada Pas.

    “Situasi itu sudah tentu akan menjadikan UMNO lebih kuat, di sinilah akan memberi kesan hubungan kepada ketiga-tiga parti tersebut,” katanya.

    Menurut Mazlan, walaupun Pas – yang menjadi parti komponen PN – mahu menjadi pendamai agar UMNO dan Bersatu bekerjasama, hakikatnya UMNO kelihatan enggan menerima inisiatif tersebut.

    “Perkara itu sudah ditegaskan pimpinan UMNO termasuk membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini,” ujarnya.

    Sehubungan itu tambah Mazlan formula yang diambil Pas itu dilihat akan lebih menyulitkan keadaan.

    Kata beliau, Pas sepatutnya membuat keputusan sama ada mahu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau dengan Bersatu dalam PN.

    “Pas kena buat keputusan segera kerana semua parti mahu buat persediaan, nak bahagi kerusi dan strategi. Kalau Pas tak buat keputusan ia akan menimbulkan masalah kepada mereka sendiri,” katanya.

  • MT UMNO belum putuskan tolak kerjasama Bersatu, PAS

    MT UMNO belum putuskan tolak kerjasama Bersatu, PAS

    SEBELUM ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah membayangkan partinya menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Namun, seperti yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, perkara itu nampaknya masih belum muktamad.

    Kata Ahli Parlimen Pontian itu, isu agihan kerusi dan kerjasama antara UMNO dengan parti politik lain termasuk PAS dan Bersatu akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan datang.

    Menurut beliau, segala perbincangan mengenai PRN Melaka adalah bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Kita menanti penuh debaran keputusan SPR Isnin ini. Apa jua keputusannya kita terima dengan hati terbuka,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MT UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Penjelasan Ahmad itu sekali gus mengesahkan bahawa masih ada ruang untuk menyaksikan kerjasama antara UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) serta Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRN Melaka.

    Kenyataan Ahmad Zahid dalam wawancara eksklusif bersama sebuah portal baru-baru ini yang membayangkan UMNO menolak kerjasama dengan PAS dan Bersatu mencetuskan polemik baharu.

    Sekiranya UMNO tetap berkeras mahu bertanding dalam PRN Melaka secara solo, ramai pemerhati politik menjangka pertembungan tiga penjuru bakal berlaku di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

    Situasi itu boleh membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berkuasa semula di negeri tersebut.

    Jika Ahmad Zahid masih tetap dengan pendiriannya itu, rakyat Melaka yang terpaksa menerima padahnya apabila sekali lagi hidup menderita di bawah cengkaman rejim PH.

    Sehubungan itu, MT UMNO sewajarnya memikirkan tentang soal rakyat Melaka dan mesti menjadikan misi menghalang PH berkuasa semula sebagai keutamaan tertinggi.

    UMNO merupakan sebuah parti yang demokratik di mana setiap keputusan penting dicapai melalui konsensus dalam MT selaku badan tertinggi kepimpinan parti.

    Kepentingan dan kelangsungan UMNO mesti diletakkan di atas sekali, jauh mengatasi agenda peribadi mana-mana pemimpin parti.

  • PRN Melaka : PN muktamadkan pembahagian kerusi dalam masa terdekat

    PRN Melaka : PN muktamadkan pembahagian kerusi dalam masa terdekat

    PEMBAHAGIAN kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN sudah bersedia dengan melakukan persiapan sewajarnya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan baru-baru ini.

    Katanya, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Negeri telah mengatur strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponennya.

    “Susulan taklimat yang diberikan oleh Mohd Rafiq, Bersatu dan parti komponen PN akan terus meningkatkan pelaksanaan program-program outreach sedia ada di kerusi DUN Melaka bagi menyantuni rakyat, antaranya inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Melaka.

    “Manakala rundingan kerusi di antara semua parti komponen PN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

    DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

    Empat bekas ADUN berkenaan ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka pada Isnin depan.

    Ini termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN tersebut.