PEMBAHAGIAN kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN sudah bersedia dengan melakukan persiapan sewajarnya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan baru-baru ini.

Katanya, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Negeri telah mengatur strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponennya.

“Susulan taklimat yang diberikan oleh Mohd Rafiq, Bersatu dan parti komponen PN akan terus meningkatkan pelaksanaan program-program outreach sedia ada di kerusi DUN Melaka bagi menyantuni rakyat, antaranya inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Melaka.

“Manakala rundingan kerusi di antara semua parti komponen PN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka pada Isnin depan.

Ini termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here