Category: Politik

  • Apa guna UMNO menang sorak tetapi Melaka tergadai

    Apa guna UMNO menang sorak tetapi Melaka tergadai

    prn melaka

    KEMENANGAN akan dicapai dengan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

    Pandangan UMNO Bahagian Arau itu disuarakan oleh Ketuanya, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman Facebook beliau, hari ini.

    “UMNO Arau mencadangkan agar UMNO Melaka@BN Melaka berkerjasama dengan parti Bersatu dan parti PAS dalam PRN Melaka pada 20 November nanti.

    “Kemenangan akan dicapai dengan cemerlang melalui kerjasama. Perpaduan adalah wajib bagi UMNO Melaka. Pendekatan secara SOLO adalah tidak wajar..itu saja,” katanya.

    Saranan UMNO Bahagian Arau yang disampaikan oleh Shahidan itu sebelum ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati politik tanah air.

    Secara amnya, mereka berpandangan, UMNO tidak mempunyai keupayaan untuk memenangi PRN Melaka secara bersendirian.

    Seperti yang dijelaskan oleh penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian baru-baru ini, UMNO dilihat tidak mampu bergerak solo dalam PRN Melaka sekiranya ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di negeri itu.

    Beliau berkata, UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu PH yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.

    Pucuk pimpinan UMNO seharusnya sedar bahawa PH yang didominasi oleh DAP masih mempunyai pengaruh yang kuat terutamanya dalam kalangan pengundi bukan Melayu di negeri itu.

    Mereka juga mempunyai kekuatan dan sumber untuk membantu kempen calon-calon Pakatan Harapan dari PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

    Krisis politik dalaman yang melanda UMNO Melaka boleh menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang.

    Lebih-lebih lagi, dua kerusi DUN iaitu Sungai Udang dan Pantai Kundor kini disandang oleh bekas pemimpin UMNO yang berpaling tadah menyokong PH.

    Setakat ini, peluang Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan untuk memenangi semula dua kerusi DUN terbabit belum dapat diiramalkan.

    Sekiranya mereka bertanding sama ada sebagai calon PH atau calon Bebas, kemunculan mereka pasti menggugat kedudukan UMNO di DUN Sungai Udang dan DUN Pantai Kundor.

    Kedudukan UMNO di 12 DUN yang lain juga pasti terjejas jika berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih, sekali gus meningkatkan peluang PH untuk merampas kerusi-kerusi majoriti Melayu.

    Sehubungan itu, mesyuarat tiga peringkat UMNO yang dijadualkan minggu depan perlu mempertimbangkan cadangan UMNO Bahagian Arau dengan semasak-masaknya.

    Memang seronok bersorak sambil mendabik dada sebagai tanda keyakinan yang tinggi untuk menumbangkan pihak lawan.

    Namun, tiada gunanya menang sorak kalau Melaka sekali lagi terlepas ke tangan rejim PH gara-gara ego besar dan keangkuhan pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO.

  • Undi 18: Kerajaan beri kuasa besar kepada anak muda

    Undi 18: Kerajaan beri kuasa besar kepada anak muda

    KERAJAAN ingin memberikan kuasa yang besar kepada anak muda di negara ini, justeru itu kerajaan memberi taruhan kepada Undi 18, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 itu membuktikan keyakinan kerajaan kepada anak muda dalam menyertai proses pembangunan negara.

    Ismail Sabri yang mengadakan perjumpaan dengan perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) hari ini berkata beliau telah berkongsi pandangan serta pelan tindakan untuk penambahbaikan.

    “Alhamdulillah, banyak input menarik yang telah saya terima hari ini terutama yang diutarakan oleh Presiden MPPK Amir Asyraf sendiri.

    “Insya-Allah, kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada anak muda,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook, hari ini.

    Turut hadir pada perjumpaan itu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Ismail Sabri berkata MPPK, yang kini dianggotai 41 pemimpin pelajar mewakili 41 universiti di seluruh negara, bukanlah sekadar simbol kepada kesatuan pelajar institusi pengajian tinggi malah memainkan peranan penting dalam membuka ruang dan mewujudkan komunikasi dua hala antara pelajar dan kerajaan.

    Beliau yang pernah menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya sesi 1982/1983 percaya akan ada antara anak muda yang ditemuinya hari ini menjadi pemimpin besar negara suatu hari nanti.

    Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Dis tahun ini seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching. – BERNAMA

  • Hishamuddin yakin pertahan kerusi Bersatu di Telok Mas

    Hishamuddin yakin pertahan kerusi Bersatu di Telok Mas

    prn melaka

    KETUA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika beliau dicalonkan.

    Beliau yang terkenal sebagai orang lama di kawasan itu yakin pengundi akan memilihnya mewakili Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri itu nanti.

    “Saya bersedia dan yakin memperolehi kemenangan di N23 Telok Mas.

    “Selaku orang lama dan berpengalaman di Kota Melaka serta keluarga besar di Kampung Alai saya yakin pengundi akan memilih saya dan PN.

    “Selaku Ketua Bahagian Kota Melaka yang telah bekerja membawa jenama Abah PN sepanjang PKP masyarakat telah mengenali saya dengan dekat,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

    Kerusi DUN Telok Mas dimenangi oleh calon Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Walau bagaimanapun, keahlian Noor Effandi dalam Bersatu digugurkan setelah beliau bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain menyatakan sokongan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis politik Melaka.

    Hishamuddin berharap para pengundi khususnya di DUN Telok Mas dapat menilai sikap ahli politik sama ada mahu memilih wakil rakyat yang tamak merebut kuasa atau yang sentiasa memberi khidmat.

    “Rakyat dapat nilai mereka yang tamak kuasa dan mereka yang sentiasa memberikan khidmat kepada rakyat, terutamanya menerusi bantuan dan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara dilanda wabak COVID-19.

    “Saya harap dapat memberikan khidmat sepenuhnya kepada rakyat di negeri Melaka, khususnya di DUN Telok Mas. Saya bersedia,” kata Hishamuddin lagi.

  • PRN Melaka: UMNO putuskan kerjasama selepas mesyuarat 3 peringkat

    PRN Melaka: UMNO putuskan kerjasama selepas mesyuarat 3 peringkat

    prn melaka

    KERJASAMA UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan pihak lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan selepas mesyuarat di tiga peringkat yang dijadual minggu depan.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat Biro Politik, Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Mesyuarat Tertinggi BN.

    “PRN Melaka tentunya menyaksikan suatu landskap baharu dilakar berdasarkan situasi politik semasa. UMNO dan BN ditanya siapakah rakan kongsi politik kami untuk menghadapi PRN ini.

    “Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad UMNO dan BN dengan mana-mana pihak masih belum diputuskan secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera UMNO negeri Melaka bagi menghadapi PRN di Alor Gajah, hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

    Ahmad Zahid berkata, UMNO terbuka menerima pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak tetapi segala keputusan akan dibuat secara kolektif apabila tiba masanya.

    Katanya, buat masa ini, parti itu memberi tumpuan kepada calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan faktor boleh menang.

    Menyifatkan semua kawasan sebagai panas, beliau berkata UMNO melihat kebolehmenangan calon yang akan bertanding pada PRN Melaka berdasarkan sains dan data melalui perangkaan Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14 serta unjuran parti itu bagi negeri tersebut.

    “Kita akan menempatkan jentera dari negeri-negeri di setiap kerusi yang ditandingi UMNO dan BN,” katanya sambil memaklumkan UMNO akan bekerja keras demi kemenangan calon BN.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada 18 Okt lepas mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon ialah 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini.

    PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka setelah kerajaan negeri pimpinan BN hilang majoriti. – BERNAMA

  • Siapa DAP nak menghalang saya? Soal Norhizam

    Siapa DAP nak menghalang saya? Soal Norhizam

    prn melaka

    PERANG mulut antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semakin panas.

    Norhizam mempersoalkan kewajaran Guan Eng enggan menerimanya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan FMT, beliau berkata, Guan Eng sepatutnya sedar bahawa DAP tidak mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

    “Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.

    “Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya.

    Hari ini, Guan Eng dilaporkan berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon PH pada PRN Melaka.

    Dalam perkembangan berkaitan, Norhizam memberitahu, beliau tekah menerima tawaran kerjasama daripada pelbagai parti menjelang PRN Melaka bulan depan, namun masih terbuka sebelum membuat sebarang keputusan.

    “Setakat ini banyak parti yang dah ‘offer’ saya, parti mana, kita akan tengok nanti,” katanya.

    Beliau juga menyifatkan figura calon lebih penting daripada nama atau logo parti.

    “Parti ini hanya satu platform saja, bila pilihan raya memang kita kena ada parti untuk bertanding tetapi lepas itu kita bergerak atas tiket sendiri,” jelasnya.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Norhizam dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

    Beliau memenangi kerusi tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Melaka di bawah rejim PH.

    Selepas krisis politik yang menyaksikan PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan, Norhizam meninggalkan PH dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah pentadbiran campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan tercetus krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Melaka.

  • Putra bertanding PRN Melaka, sasar 4 kerusi DUN

    Putra bertanding PRN Melaka, sasar 4 kerusi DUN

    prn melaka

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memutuskan untuk bertanding dua hingga enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu adalah sebagai pemanas badan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut beliau, kemungkinan Putra akan bertanding di empat kerusi DUN sebagai simbolik empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Pada masa yang sama, Ibrahim berkata, Putra mengambil maklum keputusan Pakatan Harapan (PH) mahu menggunakan jalan perundangan bagi menghalang PRN Melaka daripada diadakan.

    “Walaupun tarikh PRN sudah ditetapkan, namun PH failkan kes di mahkamah untuk menentukan keabsahan pembubaran Melaka dari segi undang-undang kerana mereka berpendapat pembubaran itu tidak berperlembagaan dan tidak sah.

    “Maklum sahaja pasal politik macam-macam boleh berlaku. Maknanya, di bawah ke mahkamah kita tidak tahu apa keputusan, kalau mahkamah kata pembubaran tidak sah maka, PRN terbatal,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Ibrahim turut mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam PRN Melaka.

    “Saya tidak akan bertanding di Melaka. Saya nak bertanding di Parlimen. Saya calon PM,” katanya.

    Sekiranya Putra meneruskan hasrat meletakkan calon bertanding dalam PRN Melaka, ia merupakan penyertaan sulungnya dalam pilihan raya di negara ini.

    Ibrahim menubuhkan Putra pada 2018 dan parti itu masih belum membuktikan keupayaannya dalam gelanggang politik di negara ini.

  • DAP masih sentap, tolak Norhizam jadi calon PH

    DAP masih sentap, tolak Norhizam jadi calon PH

    PRN Melaka

    DAP nampaknya masih belum dapat memaafkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    “Saya nak tegaskan bahawa DAP tolak sama sekali YB Pengkalan Batu (Norhizam) sebagai calon dalam PRN ini. Itu sahaja,” katanya pada sidang media yang diadakan di Melaka hari ini.

    Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan, termasuk kemungkinan Norhizam bertanding menggunakan tiket parti lain dalam pembangkang.

    Guan Eng berkata, beliau menegaskan hal itu agar tiada sebarang kekeliruan atau pertanyaan ditimbulkan lagi selepas ini.

    “Ini dijadikan sebagai satu keputusan tegas, kita tak terima dia sebgai calon dalam pilihan raya ini,” tegasnya.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Norhizam dicalonkan oleh DAP untuk mewakili PH bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

    Beliau memenangi kerusi tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Melaka di bawah rejim PH.

    Selepas krisis politik yang menyaksikan PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan, Norhizam meninggalkan PH dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah pentadbiran campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan tercetus krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Melaka.

    Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu, PH akan menggunakan lambang gabungan tersebut dalam PRN Melaka.

    “Kami akan bertanding dalam pilihan raya ini sebagai satu pasukan dalam PH. Oleh kerana kami bertanding dalam satu pasukan, sudah tentu kami bertanding di bawah khemah besar PH dengan logo PH,” katanya.

    Beliau menambah, DAP juga mahu Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dinamakan sebagai calon Ketua Menteri bagi PH.

    “Saya harap tak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini, bahawa DAP dengan semua parti komponennya memang sokong Adly sebagai ketua menteri,” katanya.

  • PAS tetap bersama MN, walaupun Zahid tolak kerjasama

    PAS tetap bersama MN, walaupun Zahid tolak kerjasama

    PRN Melaka

    PAS tidak mengubah pendiriannya dalam Muafakat Nasional (MN) walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada kerjasama politik antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan Malaysiakini, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, setakat ini tiada keputusan rasmi berhubung perkara itu daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    “Setakat hari ini, keputusan daripada MKT tak ada pun sebut begitu (tiada MN pada PN Melaka).

    “Jadi, kita pakai keputusan rasmi itu. Jangan memecah-belahkan kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau menambah, pendirian utama PAS pada masa ini adalah memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa semula di Melaka.

    Baru-baru ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS pada PRN Melaka.

    Walau bagaimanapun, pemimpin-pemimpin kanan UMNO termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan, masih belum ada keputusan muktamad berhubung isu tersebut.

    Selain itu, penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian baru-baru ini berkata. UMNO dilihat tidak mampu bergerak solo dalam PRN Melaka sekiranya ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di negeri itu.

    Beliau berkata, UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu PH yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.

    “Walaupun Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) menyatakan mereka boleh bergerak solo, tetapi dalam konteks sekarang ini, percaturan juga harus melihat kepada kedudukan pesaing politik mereka PH yang saya rasa tidak goyah dengan kerjsaama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Sekiranya ingin dekati undi protes, yang sudah tentu boleh berlaku, dan jika mahu ingin pastikan pola pengaliran keluar pengundi meningkat kerana dijangka menurun dalam kedudukan semasa, maka kerjasama-kerjasama ini perlu dimaksimumkan oleh UMNO,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

    Jelasnya, UMNO perlu mengatasi persepsi negatif terhadap parti itu lantaran terpalit dengan dakwaan sebagai punca kepada krisis politik yang berlaku di Melaka.

  • Sikap oportunis PH Melaka cetus krisis politik – MP PKR

    Sikap oportunis PH Melaka cetus krisis politik – MP PKR

    prn melaka

    SEORANG pemimpin PKR mendakwa, sikap oportunis dan tidak bertanggungjawab Pakatan Harapan (PH) Melaka menjadi punca yang mencetuskan krisis politik di negeri berkenaan.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut menyalahkan kepimpinan PH Melaka yang didakwa menyebabkan krisis tersebut melarat sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

    Beliau menambah, kepimpinan PH di peringkat pusat juga dikatakan gagal menangani krisis berkenaan dengan baik.

    “Sejak awal krisis bermula, saya tidak bersetuju dengan sikap PH Melaka yang oportunis dan tidak bertanggungjawab sehingga mengheret krisis itu kepada pembubaran DUN Melaka dan PRN.

    “Saya berpandangan PH pusat juga gagal menangani krisis ini dengan baik dan gagal memberikan panduan dan pimpinan yang betul.

    “Sekarang apa yang jadi di Melaka adalah satu ‘fiasco’ kepada PH Melaka dan PH secara keseluruhannya,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today, hari ini.

    PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November ini berikutan pembubaran DUN pada 5 Oktober lalu setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan tiga lagi ADUN lain menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Tindakan itu dikatakan berpunca dari krisis dalaman yang berlaku dalam kerajaan negeri Melaka yang diketuai UMNO.

    Kumpulan PH Melaka Plus yang terdiri daripada 11 ADUN PH serta Idris, Datuk Nor Azman Hassan (Pengkalan Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Nor Effandi Ahmad (Telok Mas) gagal dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu apabila DUN dibubarkan.

    PH dijangka sukar merampas semula Melaka berikutan prestasi buruk gabungan parti pembangkang itu ketika memerintah negara dan negeri berkenaan selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Walaupun DAP mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, PH bakal berdepan kesukaran di kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Tindakan PH Melaka bersekongkol dengan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka akan menyebabkan calon-calon yang mewakili parti-parti komponenya dihukum oleh rakyat yang muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi semasa musim pandemik.

  • Salah pilih PH, rakyat Melaka pasti hidup menderita

    Salah pilih PH, rakyat Melaka pasti hidup menderita

    rakyat Melaka

    RAKYAT Malaysia termasuk mereka yang tinggal di Melaka hidup menderita selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Semuanya gara-gara tersilap memilih Pakatan Harapan (PH) yang terbukti hanya pandai menabur janji-janji palsu semasa berkempen.

    Apabila PH diberi peluang oleh majoriti pengundi untuk membentuk kerajaan, mereka gagal mentadbir negara ini dengan baik.

    Pertumbuhan ekonomi negara terencat, keharmonian antara kaum dan agama semakin pudar manakala situasi politik pula caca-marba.

    Ketaksuban sebahagian besar pemimpin PH untuk menjulang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah meledakkan krisis dalaman yang kronik sehingga mengakibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan meletak jawatan.

    Apa yang berlaku itu merupakan rahmat bagi rakyat Malaysia apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mentadbir negara selepas itu berjaya memulihkan negara daripada kerosakan teruk yang ditinggalkan oleh rejim PH.

    Namun, mimpi ngeri 22 bulan itu tidak mustahil akan berulang lagi sekiranya rakyat Melaka tersalah pilih sehingga membuka ruang kepada PH yang ditunjangi DAP untuk kembali berkuasa di negeri itu.

    Melihat kepada rekod prestasi pentadbiran kerajaan Persekutuan di bawah PN dahulu, calon-calon dari gabungan parti-parti politik tersebut wajar diberi mandat oleh rakyat pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak.

    Rakyat dapat melihat sendiri betapa jauhnya perbezaan antara cara PH dan PN mentadbir negara dahulu, di mana PN memberi keutamaan terhadap usaha menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat dalam situasi pandemik.

    Walaupun pihak lawan asyik berpolitik sepanjang masa, kepimpinan PN khususnya Muhyiddin tidak terikut-ikut dengan rentak mereka dan beliau tetap fokus dengan objektif menjaga rakyat.

    Begitu juga dengan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang gigih turun padang membantu rakyat walaupun segelintir wakil rakyat lain sibuk berkomplot menjatuhkan Ketua Menteri Melaka.

    Sememangnya Melaka memerlukan pemimpin-pemimpin yang berupaya mengemudi negeri itu dalam proses pemulihan ekonomi yang sebelum ini terjejas teruk akibat pandemik.

    Jika mereka mahu melihat Melaka kembali gah seperti sebelum pandemik melanda, pilihlah calon-calon yang mewakili PN dan parti-parti yang bekerjasama dengannya.

    Seandainya rakyat Melaka tersilap memilih PH atau mana-mana parti yang memusuhi PN, nescaya mereka terpaksa diheret sekali lagi dalam kancah penderitaan sama seperti apa yang dialami selepas PRU-14.