GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tidak memerlukan ‘campur tangan luar’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini, kerana pemimpin-pemimpinnya cukup berkemampuan untuk memperolehi kepercayaan rakyat Sarawak.
Sehubungan itu Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN tidak akan menurunkan jenteranya pada PRN ini.
“Tetapi jika ada keperluan untuk beberapa orang pemimpin BN untuk membantu, kami akan sentiasa ada di sini. Tetapi buat masa ini, tidak, kerana kami rasakan kepimpinan GPS adalah terbaik untuk mengendalikan Pilihan Raya Negeri ini dan mendapat kepercayaan daripada rakyat Sarawak sendiri,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kuching, yang turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mohamed berkata kunjungan pemimpin-pemimpin BN ke Sarawak bertujuan memberikan sokongan moral kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan GPS, dalam menghadapi PRN Sarawak ke-12.
Beliau berkata BN secara rasmi tidak akan menyertai PRN Sarawak buat pertama kali.
“Saya berharap rakyat negeri Sarawak dapat memberikan mandat yang besar kepada parti GPS semasa pilihan raya negeri akan datang. Kestabilan perlu ada jika kita hendak pembangunan dan kemakmuran,” katanya.
Mohamad turut menegaskan penggunaan bendera dan logo Dacing BN tidak dibenarkan dalam kempen PRN Sarawak.
BN menurut beliau, akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya terdapat parti politik atau mana-mana individu menggunakan lambang parti itu dalam kempen PRN di Sarawak.
“Selain daripada GPS, kita tidak ada parti yang mesra dengan Barisan Nasional. Jadi kita tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan lambang Dacing, kerana Barisan Nasional tidak menyertai Pilihan Raya Negeri Sarawak ini,” tambahnya.
SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 6 Dis ini, pengundian awal pada 14 Dis manakala 18 Dis pula adalah hari pengundian PRN Sarawak. – BERNAMA
TAN Sri Muhyiddin Yassin optimis bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PN itu berkata, sudah terdapat petanda-petanda positif yang menunjukkan PN semakin diterima oleh rakyat terutamanya dalam kalangan pengundi muda.
Menurut beliau, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PN mendapat sambutan yang amat baik daripada rakyat Sabah dengan memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, dalam PRN Melaka yang baru berlangsung, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, kita menyaksikan peralihan sokongan yang ketara kepada gabungan politik tersebut.
“Kita menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti yang saya yakin selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.
“Kita telah buktikan bahawa PN mampu mentadbir negara dengan baik dengan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prisip integriti dan kedaulatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini.
“Rekod ini akan kita pertahankan dan persembahkan kepada rakyat untuk mereka membuat penilaian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhyiddin menambah, PN juga adalah sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang sentiasa menekankan aspek perpaduan kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Beliau memberitahu, PN beriltizam untuk membela nasib semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah.
“Komitmen ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan PN menerusi Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Asas yang paling utama dasar ini ialah no one will be left behind.
“Kita akan berkongsi khazanah kekayaan negara secara besama dan maju bersama-sama tanpa seorang pun yang tertinggal di belakang. Ini komitmen PN,” jelasnya.
Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan penyertaan Gerakan dalam PN sebagai satu pilihan yang tepat dan menyumbang dalam usaha melengkapkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili semua kaum di Malaysia.
“Tugas Gerakan yang selanjutnya ialah untuk bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.
“Hanya dengan sokongan majoriti rakyat, PN akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat, mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang serta memaju dan memakmurkan negara yang hasilnya dapat dikongsi oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah,” ujarnya.
PERIKATAN Nasional (PN) mengingatkan kerajaan Keluarga Malaysia yang memerintah ketika ini bahawa sokongannya adalah tertakluk kepada kepatuhan kerajaan terhadap prinsip dan nilai integriti termasuk tidak mencampuri urusan mahkamah.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah parti yang mendukung prinsip integriti, PN telah meletakkan asas yang jelas dalam pembentukan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Menurut beliau, perkara yang ditetapkan PN itu termasuk syarat untuk terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.
“Institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mestilah dipastikan bebas untuk menegakkan keadilan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.
“Kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri.
“Saya ingin menegaskan bahawa PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagimana prinsip ini dipatuhi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, PN tidak berkompromi dengan prinsip tersebut manakala penyertaannya dalam kerajaan sedia ada bukan kerana kuasa dan kedudukan.
Muhyiddin memberitahu, PN berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti dan sekiranya prinsip itu tidak dipatuhi sehingga menyebabkan golongan kleptokrat kembali berkuasa, kepentingan rakyat dan negara tidak dapat dipertahankan.
“Sekiranya itu berlaku, kita mesti membuat keputusan tentang perkara paling terhormat yang mesti dilakukan dan ia termasuk mengembalikan mandat kepada rakyat bila tiba masanya,” jelasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak dalam PN untuk berani melakukan perubahan dan pembaharuan.
“Kita tidak boleh membenarkan sistem politik negara kita dikawal oleh mereka yang rakus kuasa. Proses pembaharuan politik yang telah pun dimulakan oleh rakyat Malaysia mestilah diteruskan,” ujarnya.
Muhyiddin menambah, PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Gerakan dan SAPP perlu menjadi sebuah gabungan politik di peringkat nasional yang menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat, cekap, telus dan berintegriti.
“Saya akui ada pihak yang agak ragu apabila kita membentuk PN. Mereka bertanya bolehkah PN menjadi sebuah gabungan politik yang kuat dan diterima oleh rakyat.
“Saya bukanlah orang yang boleh memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan ini kerana yang membuat penentuan ialah rakyat. Segalanya ditentukan oleh rakyat dan pastinya juga ialah ketentuan Ilahi,” katanya.
ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) menggesa Datin Seri Rosmah Mansor diekstradisi ekoran beliau gagal pulang ke Malaysia pada 21 November dan menghadiri perbicaraan di mahkamah kelmarin.
Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur petang ini.
Dalam jemputan kepada media, beliau memohon pasport isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dibatalkan dan dibawa pulang ke negara ini.
“Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan pada sistem keadilan negara,” katanya.
Rosmah, yang menghadapi pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar kerajaan untuk sekolah luar bandar di Sarawak, tidak hadir di mahkamah pada 2 Disember lalu.
Pasportnya dirampas berikutan pertuduhan itu tetapi dikembalikan sementara kepadanya untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib di Singapura yang bersalin pada 1 November lalu.
Lawatan itu sepatutnya dari 22 Oktober hingga 21 November.
Ini mendorong pihak pendakwaan untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Rosmah tetapi Mahkamah Rayuan enggan berbuat demikian selepas peguam Rosmah menjelaskan ia berpunca daripada kesilapan.
Pasukan guaman Rosmah menjelaskan bahawa walaupun beliau sepatutnya pulang ke Malaysia pada 21 November, namun memutuskan untuk kembali kemudian berikutan pengenalan Lorong Perjalanan Bervaksin (VTL).
VTL antara Malaysia dan Singapura dilancarkan pada 29 November yang membolehkan individu yang telah divaksin sepenuhnya melakukan perjalanan antara kedua-dua negara tanpa menjalani kuarantin Covid-19, tertakluk kepada beberapa peraturan termasuk ujian semasa ketibaan.
Peguam Rosmah memberi jaminan kepada mahkamah bahawa beliau akan hadir untuk perbicaraan pada 6 Disember.
Rosmah menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.
Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.
Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, beliau didakwa masing-masing menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.
GENDANG perang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 semakin kuat dipalu dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang melibatkan empat parti, hari ini mengumumkan senarai 81 daripada 82 calon mereka yang akan bertanding.
Berdasarkan senarai calon GPS yang diperolehi selepas Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyerahkan watikah pencalonan mereka dalam satu majlis tertutup, hanya calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian sahaja yang belum diputuskan.
Untuk PRN kali ini, Abang Johari yang merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpindah ke DUN Gedong, selepas menjadi ADUN Satok selama sembilan penggal sejak 1981.
Rakan PBB dalam GPS, Parti Demokratik Progresif (PDP) pula meletakkan presidennya Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu, untuk bertarung kali pertama dalam kancah pilihan raya negeri dengan mencalonkannya di DUN Dudong.
Sebuah lagi komponen GPS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengekalkan presiden mereka, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian untuk mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah, yang dimenanginya dalam PRN ke-11 pada 2016.
Seorang calon muka baru, Nicholas Kudi Jantai Maseng menjadi harapan Parti Rakyat Sarawak (PRS), sebuah lagi komponen GPS untuk mempertahankan kerusi DUN Baleh, selepas penyandangnya yang juga presiden parti itu, Tan Sri Dr James Jemut Masing, meninggal dunia 31 Okt lepas.
Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak telah menyandang kerusi DUN berkenaan selama lapan penggal sejak 1983, dan Nicholas Kudi merupakan anak saudaranya.
Selain Tiong dan Nicholas Kudi, GPS menamakan 21 orang lagi calon muka baharu dalam menghadapi PRN-12 ini, dengan calon untuk DUN Tellian yang belum dinamakan itu juga dijangka muka baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Berdasarkan senarai itu juga, GPS akan diwakili PBB di 47 buah kerusi dengan SUPP bertanding di 18 kerusi, PRS (11) dan PDP (enam).
Sementara itu, PKR yang berhasrat bertanding di 49 kerusi, mengumumkan 27 calon akan mewakili parti itu pada pilihan raya negeri kali ini.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng berkata hanya 27 calon diumumkan, berdasarkan keputusan PKR untuk bertanding di kerusi diyakini mempunyai peluang kemenangan yang tinggi, setelah membuat perincian.
Antara yang diumumkan adalah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abg Zulkifli Abg Engkeh bagi kerusi Beting Maro dan Joshua sendiri bertanding di Kakus.
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Dominique Ng berkata PKR mungkin membuat perubahan di saat akhir dan berkemungkinan akan menambah lagi calon-calon yang bertanding.
Sekutu PKR dalam PH iaitu DAP, yang akan bertanding di 26 kerusi, lebih awal mengumumkan nama 18 calonnya pada 26 Nov dan enam lagi semalam. Dua calon masing-masing bagi kerusi Bawang Assan dan Dudong diumumkan hari ini.
DAP yang menguasai kerusi di kawasan bandar antara lain mempertaruhkan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang merupakan penyandang Kota Sentosa, untuk bertanding di Padungan; Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Batu Kawah) dan Violet Yong Wui Wui (Pending).
Parti lain yang berhasrat bertanding dalam gelanggang pilihan raya negeri kali ini iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah), belum mengumumkan calon mereka. – BERNAMA
AZIZUL Annuar Adenan, yang dinamakan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, berazam meneruskan legasi bapanya Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di kawasan itu.
Adenan merupakan Ketua Menteri Sarawak kelima.
Bercakap kepada Bernama ketika ditemui pada majlis penyampaian watikah calon GPS hari ini, Azizul berkata beliau mahu meneruskan pembangunan di kawasan tersebut dari segi ekonomi, komersil dan infrastruktur, melalui visi dan pelan tindakan pembangunan sedia ada jika memenangi kerusi DUN kawasan tersebut.
“Tanjung Datu adalah satu kawasan di mana geografinya adalah lebih besar dari Negeri Sembilan, dan saya lihat banyak lagi pembangunan seperti menambah baik infrastruktur asas dan menjadikan kawasan tersebut sebagai hab dan potensi pelancongan di Negeri Sarawak, khususnya di zon selatan,” katanya.
Azizul, 30, adalah antara calon muda yang akan diketengahkan GPS pada pilihan raya negeri kali ini, di mana calon-calon tersebut disifatkan sebagai perintis kepada politik masa hadapan Sarawak.
Pada PRN ke-11, Adenan memenangi kerusi tersebut mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga dan turut membuktikan pengaruhnya apabila mengetuai BN untuk menang 72 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Susulan kematian Adenan pada 11 Jan 2017, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan balu Adenan, Datuk Amar Jamilah Anu telah dipilih bertanding mewakili BN, dan berjaya memenangi kerusi tersebut.
Empat parti dalam GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) (penjenamaan semula Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada November 2017) keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Empat parti berkenaan membentuk GPS pada 12 Jun 2018, dan menerajui kerajaan Sarawak.
Seorang lagi muka baru GPS Dayang Noorazah Awang Sohor, 33, menyifatkan pencalonannya adalah bukti kepercayaan pimpinan tertinggi gabungan itu terhadap kemampuan calon wanita.
Pertama kali bertanding dalam pilihan raya, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Lingga, yang sebelum ini disandang oleh Datuk Simoi Peri.
Dalam pada itu, katanya SOP berkempen yang mungkin lebih ketat akibat pandemik COVID-19, bukan alasan untuk tidak berusaha menyampaikan aspirasi beliau kepada pengundi di kawasan berkenaan, sekali gus memastikan mereka akan mengundi calon GPS pada 18 Dis nanti.
Sementara itu, Tan Sri William Mawan Ikom, yang merupakan antara calon tertua untuk GPS telah dinamakan bagi mempertahankan kerusi Pakan berkata beliau bercadang untuk tidak hanya membangunkan infrastruktur asas di Pakan, tetapi juga menyediakan kemudahan untuk penduduk di daerah itu bagi membangunkan sosioekonomi mereka menerusi sektor seperti pertanian.
William, 72, menegaskan Pakan perlu dibangunkan selari dengan pembangunan yang dicadangkan di Sarawak dan menegaskan keperluan tranformasi kawasan luar bandar di negeri itu. – BERNAMA
PEMUDA UMNO Kelantan bimbang dengan pendirian PAS untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) di sebalik piagam Muafakat Nasional (MN )yang ditandatangani kedua-dua parti.
Memetik laporan Malaysiakini, kebimbangan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.
“Kita bimbang kaedah ‘main banyak kolam’ ini akan memberi mudarat dan ketidakyakinan pengundi kepada parti.
“Main banyak kolam ini adalah kaedah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak dulu asalkan mendapat apa yang dihajati. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
‘Main banyak kolam’ adalah istilah longgar yang dibuat merujuk kepada tindakan PAS mahu meneruskan keberadaan mereka dalam PN di sebalik persefahaman dengan UMNO melalui MN yang dibuat lebih awal.
Ia menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak kerana UMNO sudah memuktamadkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang menjadi tunjang kepada PN.
Ia menjadi kian ketara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu apabila PAS enggan bersama UMNO berdepan dengan Bersatu/PN. PAS sebaliknya memilih untuk bertanding menggunakan lambang PN.
Di sebalik pendirian itu, UMNO, PAS dan Bersatu masih bersama dalam kerajaan sekarang.
Pada masanya yang sama, Noor Hariri berharap usaha yang dibuat parti itu untuk mengembalikan kekuatan MN akan disambut oleh akar umbi PAS.
Beliau berkata, akar umbi PAS tidak wajar membiarkan jalinan persaudaraan yang terjalin melalui MN pada dua tahun lalu itu disia-siakan.
Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata status MN akan ditentukan oleh semua 191 bahagian parti itu yang akan mula bermesyuarat pertengahan bulan ini.
Kata Ahmad, walaupun PAS memilih Bersatu berbanding UMNO di Melaka baru-baru ini, partinya tetap berpegang kepada keputusan yang dibuat dalam perhimpunang agung lalu iaitu mahu MN diperkuatkan
“Selagi belum ada Perhimpunan Agung UMNO, kerjasama ini tidak boleh diubah.
“Oleh itu, saya berharap 191 bahagian UMNO yang bersidang kelak dapat membuat keputusan terbaik terhadap MN untuk parti menghadapi PRU-15,” katanya.
Noor Hariri berkata, Pemuda UMNO Kelantan menyambut baik saranan Ahmad dan ia menjadi bukti parti itu mendengar suara ahli akar umbi.
Keputusan mesyuarat bahagian di seluruh negara itu nanti juga, katanya, akan menentukan sama ada MN masih relevan atau sekadar menjadi modal untuk “sesetengah parti” beretorik.
Untuk rekod PAS merupakan parti yang memerintah Kelantan sejak 1990 walaupun pelbagai cubaan dibuat UMNO untuk merampas kerajaan negeri.
Selain Kelantan, PRU-14 lalu turut membuka jalan kepada PAS menjadi kerajaan di Terengganu.
Namun di sebalik kewujudan MN, UMNO tidak dilibatkan dalam kerajaan Kelantan atau Terengganu, berbeza daripada negeri lain yang dikuasai UMNO/BN.
GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan manifesto parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 8 Dis, kata Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Untuk manifesto GPS kami akan mengumumkannya pada 8 Dis,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan watikah kepada calon GPS untuk PRN Sarawak di sini hari ini.
GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Dis, pengundian awal pada 14 Dis dan hari pengundian pada 18 Dis.
Mengenai tema atau agenda yang bakal dibawa GPS untuk terus mentadbir Sarawak, Abang Johari berkata gabungan itu bakal membawa tema ‘Sarawak First’.
Beliau berkata tema itu antara lain berteraskan ekonomi digital dan ekonomi mampan.
“GPS meletakkan tema kita iaitu ‘Sarawak First’ dan juga wawasan ekonomi yang berlandaskan ekonomi baharu iaitu digital ekonomi dan (memberi fokus) kepada kemampanan dan alam sekitar,” katanya.
Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata PBB akan meletakkan sekurang-kurangnya lapan calon muka baharu dalam PRN Sarawak ini dan menyatakan anak Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Azizul Annuar Adenan sebagai antara mereka.
Sementara itu, beliau mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dalam PRN ini setelah menyandang kerusi DUN Satok sejak sembilan penggal lepas.
Menurutnya, selain beliau sebagai Presiden PBB, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing akan turut bertanding dalam pilihan raya negeri ini masing-masingnya bagi DUN Batu Kawah dan DUN Dudong.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan jumlah pembahagian kerusi antara empat komponen parti GPS yang turut melibatkan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
“GPS sebagai satu pasukan, satu parti. Ini kali pertama kami (bertanding dalam pilihan raya negeri sebagai) GPS,” katanya sambil menambah gabungan itu akan mengumumkan manifesto mereka untuk pilihan raya ini pada 8 Dis.
Pada PRN ke-11, kesemua parti gabungan yang kini di dalam GPS bertanding di bawah lambang Barisan Nasional (BN) sebelum membentuk GPS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Berikut ialah senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 seperti yang diumumkan hari ini:
1. Opar – Billy Sujang (SUPP)
2. Tasik Biru – Datuk Henry Harry Jinep (PDP)
3. Tanjung Datu – Azizul Annuar Adenan (PBB)
4. Pantai Damai – Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi (PBB)
5. Demak Laut – Hazland Abang Hipni (PBB)
6. Tupong – Fazzrudin Abdul Rahman (PBB)
7. Samariang – Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (PBB)
8. Satok – Datuk Ibrahim Baki (PBB)
9. Padungan – Datuk Wee Hong Seng (SUPP)
10.Pending – Milton Foo Tiang Wee (SUPP)
11. Batu Lintang – Sih Hua Tong (SUPP)
12. Kota Sentosa – Yap Yau Sin (SUPP)
13. Batu Kitang – Lo Khere Chiang (SUPP)
14. Batu Kawah – Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (SUPP)
15. Asajaya – Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (PBB)
16. Muara Tuang – Datuk Idris Haji Buang (PBB)
17. Stakan – Datuk Hamzah Brahim (PBB)
18. Serembu – Miro Simuh (PBB)
19. Mambong – Datuk Dr. Jerip Susil (PBB)
20. Tarat – Datuk Roland Sagah Wee Inn (PBB)
21. Tebedu – Simon Sinang Bada (PBB)
22. Kedup – Maclaine Ben (PBB)
23. Bukit Semuja – John Ilus (PBB)
24. Sadong Jaya – Aidel Lariwoo (PBB)
25. Simunjan – Awla Dris (PBB)
26. Gedong – Tan Sri Abang Johari Tun Openg (PBB)
27. Sebuyau – Datuk Julaihi Narawi (PBB)
28. Lingga – Dayang Noorazah Awang Sohor (PBB)
29. Beting Maro – Razaili Gapor
30. Balai Ringin – Datuk Snowdan Lawan (PRS)
31. Bukit Begunan – Datuk Mong Dagang (PRS)
32. Simanggang – Datuk Francis Harden Hollis (SUPP)
33. Engkilili – Desmond Sateng Sanjan (SUPP)
34. Batang Ai – Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh (PRS)
35. Saribas – Ricky Sitam (PBB)
36. Layar – Datuk Gerald Rentap Jabu (PBB)
37. Bukit Saban – Datuk Amar Douglas Uggah Embas (PBB)
38. Kalaka – Mohamad Duri (PBB)
39. Krian – Friday Kadir (PDP)
40. Kabong – Mohd Chee Kadir (PBB)
41. Kuala Rajang – Datuk Talif Salleh (PBB)
42. Semop – Datuk Abdullah Saidol (PBB)
43. Daro – Safiee Ahmad (PBB)
44. Jemoreng – Datuk Juanda Jaya (PBB)
45. Repok – Datuk Seri Huang Tiong Sii (SUPP)
46. Meradong – Datuk Ding Kuong Hiing (SUPP)
47. Pakan – Tan Sri William Ikom (PBB)
48. Meluan – Rolland Duat Jubin (PDP)
49. Ngemah – Anyi Jana (PRS)
50. Machan – Allan Siden Gramong (PBB)
51. Bukit Assek – Chieng Jin Ek (SUPP)
52. Dudong – Datuk Seri Tiong King Sing (SUPP)
53. Bawang Assan – Robert Lau Hui Yew (SUPP)
54. Pelawan – Micheal Tiang Ming Tee (SUPP)
55. Nangka – Annuar Rapa’ee (PBB)
56. Dalat – Datuk Seri Fatimah Abdullah (PBB)
57. Tellian – (belum diumumkan)
58. Balingian – Abdul Yakub Arbi (PBB)
59. Tamin – Christopher Gira Sambang (PRS)
60. Kakus – Datuk John Sikie Tayai (PRS)
61. Pelagus – Wilson Nyabong Ijang (PRS)
62. Katibas – Lidam Assan (PBB)
63. Bukit Goram – Jefferson Jamit Unyat (PBB)
64. Baleh – Nicholas Kudi Jantai Masing (PRS)
65. Belaga – Datuk Liwan Lagang (PRS)
66. Murum – Kennedy Chukpai Ugon (PRS)
67. Jepak – Datuk Talib Zulpilip (PBB)
68. Tanjong Dato – Pang Leong Ming (SUPP)
69. Kemena – Datuk Seri Stephen Rundi Utom (PBB)
70. Samalaju – Datuk Majang Renggi (PRS)
71. Bekenu – Datuk Rosey Yunus (PBB)
72. Lambir – Ripin Lamat (PBB)
73. Piasau – Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (SUPP)
74. Pujut – Adam Yii Siew Sang (SUPP)
75. Senadin – Datuk Seri Lee Kim Shin (SUPP)
76. Marudi – Datuk Penguang Manggil (PBB)
77. Telang Usan – Dennis Ngau (PBB)
78. Mulu – Datuk Gerawat Gala (PBB)
79. Bukit Kota – Datuk Abdul Rahman Ismail (PBB)
80. Batu Danau – Paulus Palu Gumbang (PBB)
81. Ba’kelalan – Sam Laya (PDP)
82. Bukit Sari – Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (PBB). – BERNAMA
PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, Pejuang juga tidak akan menyokong mana-mana pihak yang bertanding dalam PRN itu.
“Kita akan bertanding hanya dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Kita tak terlibat (PRN Sarawak),” katanya kepada media selepas melancarkan buku ‘Speaking of Mass Destruction … A Journey To Iraq As Seen By Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali’, di sini hari ini.
Buku itu mencatatkan perjalanan Dr Siti Hasmah ke Iraq pada tahun 2000 ketika negara itu berada di bawah sekatan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.
Dr Siti Hasmah dalam sidang media itu berkata buku tersebut adalah berdasarkan pengalaman tiga hari beliau di negara yang dilanda peperangan itu, pada ketika orang luar sukar untuk memasuki negara tersebut.
“Saya telah diminta oleh suami saya (Dr Mahathir), yang merupakan perdana menteri ketika itu, untuk melawat Iraq bagi pihaknya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai situasi di negara tersebut.
“Oleh kerana ia diminta oleh beliau, saya tidak rasa risau atau takut untuk ke sana. Dalam buku ini, anda akan belajar mengenai bagaimana negara itu alami kerosakan yang juga telah menjejaskan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Buku Mewah 170 muka surat, ditulis dalam bahasa Inggeris dan memaparkan pelbagai gambar keperitan orang ramai yang Dr Siti Hasmah dan delegasi seramai 10 orang wani daripada pelbagai organisasi bukan kerajaan bertemu, boleh dibeli menerusi Instagram aliandalimedialinks pada harga RM120.
Hasil daripada jualan buku itu akan disumbangkan kepada organisasi yang menguruskan kanak-kanak di negara bergolak. – BERNAMA
TAN Sri Abang Johari Tun Openg menamatkan spekulasi apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak.
Beliau yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Satok selama lapan penggal menggantikan Datuk Mohd Naroden Majais di kerusi DUN tersebut.
Pengumuman yang dibuat Abang Johari sendiri pada Majlis Penyerahan Watikah pelantikan Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching hari ini turut menyaksikan Naroden mengundur diri daripada bertanding pada PRN12 kali ini.
Selain Abang Johari, dua timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kekal di kerusi DUN Bukit Saban serta DUN Bukit Sari, lapor Astro Awani.
Selain itu, GPS mempertaruhkan calon baharu iaitu Nicholas Kudi Jantai Maseng di kerusi DUN Baleh yang sebelum ini dipegang mendiang Tan Sri James Jemut Masing selama lapan penggal.
Nicholas Kudi merupakan anak saudara kepada mendiang Masing. Manakala Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian kekal di DUN Batu Kawah.
Pada PRN11 lalu, GPS yang bertanding atas tiket Barisan Nasional menang 72 kerusi menewaskan DAP dengan tujuh kerusi manakala PKR tiga kerusi.