prn sarawak

AZIZUL Annuar Adenan, yang dinamakan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, berazam meneruskan legasi bapanya Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di kawasan itu.

Adenan merupakan Ketua Menteri Sarawak kelima.

Bercakap kepada Bernama ketika ditemui pada majlis penyampaian watikah calon GPS hari ini, Azizul berkata beliau mahu meneruskan pembangunan di kawasan tersebut dari segi ekonomi, komersil dan infrastruktur, melalui visi dan pelan tindakan pembangunan sedia ada jika memenangi kerusi DUN kawasan tersebut.

“Tanjung Datu adalah satu kawasan di mana geografinya adalah lebih besar dari Negeri Sembilan, dan saya lihat banyak lagi pembangunan seperti menambah baik infrastruktur asas dan menjadikan kawasan tersebut sebagai hab dan potensi pelancongan di Negeri Sarawak, khususnya di zon selatan,” katanya.

Azizul, 30, adalah antara calon muda yang akan diketengahkan GPS pada pilihan raya negeri kali ini, di mana calon-calon tersebut disifatkan sebagai perintis kepada politik masa hadapan Sarawak.

Pada PRN ke-11, Adenan memenangi kerusi tersebut mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga dan turut membuktikan pengaruhnya apabila mengetuai BN untuk menang 72 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Susulan kematian Adenan pada 11 Jan 2017, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan balu Adenan, Datuk Amar Jamilah Anu telah dipilih bertanding mewakili BN, dan berjaya memenangi kerusi tersebut.

Empat parti dalam GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) (penjenamaan semula Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada November 2017) keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Empat parti berkenaan membentuk GPS pada 12 Jun 2018, dan menerajui kerajaan Sarawak.

Seorang lagi muka baru GPS Dayang Noorazah Awang Sohor, 33, menyifatkan pencalonannya adalah bukti kepercayaan pimpinan tertinggi gabungan itu terhadap kemampuan calon wanita.

Pertama kali bertanding dalam pilihan raya, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Lingga, yang sebelum ini disandang oleh Datuk Simoi Peri.

Dalam pada itu, katanya SOP berkempen yang mungkin lebih ketat akibat pandemik COVID-19, bukan alasan untuk tidak berusaha menyampaikan aspirasi beliau kepada pengundi di kawasan berkenaan, sekali gus memastikan mereka akan mengundi calon GPS pada 18 Dis nanti.

Sementara itu, Tan Sri William Mawan Ikom, yang merupakan antara calon tertua untuk GPS telah dinamakan bagi mempertahankan kerusi Pakan berkata beliau bercadang untuk tidak hanya membangunkan infrastruktur asas di Pakan, tetapi juga menyediakan kemudahan untuk penduduk di daerah itu bagi membangunkan sosioekonomi mereka menerusi sektor seperti pertanian.

William, 72, menegaskan Pakan perlu dibangunkan selari dengan pembangunan yang dicadangkan di Sarawak dan menegaskan keperluan tranformasi kawasan luar bandar di negeri itu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here