Category: Politik

  • Bubar DUN: Keputusan UMNO tanpa merujuk parti lain dalam kerajaan negeri

    Bubar DUN: Keputusan UMNO tanpa merujuk parti lain dalam kerajaan negeri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO tidak mendapat persetujuan dan mengenepikan parti lain yang berkongsi kuasa dalam kerajaan negeri semasa membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Solihan Badri berkata, keputusan itu bagi membolehkan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak pernah dibincangkan dan hanya melibatkan persetujan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    “Tiada persetujuan daripada Bersatu atau Pas untuk pembubaran DUN. Saya tidak pasti sama ada perlu dapat persetujuan parti (yang membentuk kerajaan) atau tidak, tapi memang tiada minta pandangan kami, sama ada daripada Bersatu atau Pas.

    “Pembubaran ini adalah kehendak UMNO. Prosesnya
    Menteri Besar Johor rasa kehilangan (majoriti) dan rasa pentadbiran tidak stabil, jadi atas nasihat, Sultan Johor bersetuju dan ini akan dimaklumkan kepada Speaker dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai, Kulai, hari ini.

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di Istana Bukit Serene, Johor Bahru semalam.

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam sidang akhbar semalam memberitahu, SPR akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Mengulas lanjut, Mohd. Solihan berkata, semasa mesyuarat Exco Negeri Johor yang diadakan pada Sabtu sebelum Menteri Besar Johor itu menghadap Sultan Johor, Hasni juga tidak meminta pandangan Exco berkenaan pembubaran DUN Johor.

    “Menerusi mesyuarat Exco semalam yang berlangsung selama kira-kira 20 minit, wajah Datuk Hasni dilihat ‘tak happy’ mungkin disebabkan ‘under pressure’,” katanya.

    Berkenaan pembahagian kerusi DUN antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) Johor untuk PRN, beliau berkata, secara tidak rasmi proses tersebut sudah dilakukan dengan Pas sebelum ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan sedikit masa lagi bersama-sama komponen PN untuk mendapat persetujuan.

    Mengenai persediaan Bersatu Johor dalam memghadapi PRN, beliau berkata, parti sedia menyahut cabaran dan yakin mampu menubuhkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) jika menang PRN akan datang.

    “Kami sudah sedia, jentera Bersatu di kesemua 26 bahagian telah ditubuhkan sejak tahun lepas, kita dah lantik pengerusi jawatankuasa setiap biro bahagian, peringkat parlimen, DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), ‘so’ kita gerak bila-bila masa,” katanya.

  • Warisan belum putuskan bertanding PRN Johor

    Warisan belum putuskan bertanding PRN Johor

    PARTI Warisan Sabah (Warisan) ketika ini masih menimbang untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Beliau berkata, Warisan perlu meneliti banyak perkara sebelum memutuskan untuk bertanding antaranya kerjasama dengan rakan politik di Semenanjung seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) malah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu sahaja diumumkan petang semalam.

    “Saya sudah berhubung dengan Syed Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), saya maklumkan kepadanya perlu ada persediaan sekiranya kita memutuskan untuk bertanding, walaupun kita ada penyokong di kawasan tertentu.

    “Ramai orang Sabah, Sarawak di situ (Johor) namun kita tidak hanya bergantung kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Kita akan lihat bagaimana keadaan di situ dan kita putuskan apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Warisan di Likas di Kota Kinabalu malam tadi.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor, selepas baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Mohd Shafie berkata, tindakan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung tahun lepas adalah penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berharap PRU15 berjalan serentak dengan PRN Johor.

    “Selepas Melaka, Sarawak dan sekarang Johor dan mungkin negeri lain lagi, ini kerja yang sangat memenatkan. Sekiranya diadakan serentak dengan PRU lagi bagus dan menjimatkan,” katanya.

    Sementara itu, pada majlis sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai di Selangor, Bryan Lai mengumumkan beliau menyertai Warisan yang disifatkannya sebagai sebuah parti berbilang kaum di negara ini.

    “Saya buat keputusan sertai Warisan dan berjanji akan bekerja keras untuk parti. Warisan parti sebenar yang berbilang kaum di Malaysia dan saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri (Mohd Shafie) untuk menerajui negara,” katanya yang kini menjadi ADUN pertama parti itu di Semenanjung.

    Pada April tahun lepas Lai mengumumkan keluar daripada DAP dan bergerak sebagai ADUN bebas yang menyokong Pakatan Harapan. 

    Warisan memiliki 17 kerusi DUN di Sabah. – BERNAMA

  • PRN Johor: Pas berunding dengan Bersatu, UMNO – Takiyuddin

    PRN Johor: Pas berunding dengan Bersatu, UMNO – Takiyuddin

    PAS akan berunding serta berbincang dengan UMNO, Bersatu dan rakan lain berhubung penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

    Beliau berkata perbincangan itu akan menentukan sama ada PAS menyertai PRN Johor secara kerjasama dengan rakan parti lain atau sebaliknya.

    “Bentuk macam mana kita nak memasuki PRN ini belum dimuktamadkan lagi. Malah sebagai sebuah parti senior di negara ini, kita tidak pernah tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri. 

    “Sama ada sedikit atau banyak (kerusi), PAS tetap menyertai, jadi saya kira untuk PRN Johor sekiranya benar-benar berlaku, saya memberi jaminan PAS akan menyertainya,” katanya kepada pemberita semasa hadir pada majlis pemberian sagu hati kepada Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu dan penghulu tanpa mukim kaum Tiong Hua di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata rundingan antara PAS dengan parti lain mampu memberikan satu pilihan yang baik buat pilihan raya.

    ”Bagi PAS, pilihan raya adalah proses untuk memilih kepimpinan sama ada di peringkat negara ataupun negeri.

    “Hasil pemilihan berkenaan akan mewujudkan kestabilan dalam negara dan juga dalam negeri kerana sekiranya berlaku ketidakstabilan politik, ia akan menyebabkan kesan yang buruk kepada negara, negeri dan juga rakyat,” katanya.

    Beliau berkata PAS mahu suasana politik yang stabil sekali gus akan menstabilkan ekonomi dan aspek sosial.

    Takiyuddin turut mengingatkan setiap kepimpinan di peringkat tinggi mahupun ahli agar menjaga kerahsiaan dan nama baik PAS serta tidak melakukan perkara yang merugikan kepentingan parti. 

    “Jadi semua pihak perlu berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara termasuk mengeluarkan kenyataan… adakah ia memberi kebaikan kepada parti atau sebaliknya,” kata beliau.

    — BERNAMA

  • UMNO Kelantan putus hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional berkuatkuasa serta-merta

    UMNO Kelantan putus hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional berkuatkuasa serta-merta

    UMNO Kelantan membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan Pas negeri menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata UMNO membuat keputusan itu berikutan Pas Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan Bersatu dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berita Harian melaporkan, beliau berkata, keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli UMNO negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

    “Pendirian ini dibuat dengan rasa yang sedih kerana kita akan mengharungi jalan berliku secara solo. Terus terang di sini, pihak pimpinan Pas Kelantan meminta kita untuk menangguhkan dulu keputusan yang dibuat ini, tetapi saya selaku pemimpin UMNO di Kelantan mengambil risiko dengan membuat keputusan ini.

    “Saya menganggap ini bukan saja keputusan badan perhubungan, tetapi ia juga keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Kelantan yang sudah sekian lama melihat dan memerhatikan kedudukan politik UMNO, Pas dan lain-lain parti di negeri ini,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Negeri hari ini.

    Beliau turut menegaskan, selagi Pas di peringkat negeri dan pusat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka selama itulah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

    “Demi kestabilan politik dan menghormati keputusan demokrasi yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya lalu, biarlah kerajaan negeri mengurus tadbir rakyat Kelantan tanpa ada apa-apa tekanan.

    “Walaupun tidak lagi bekerjasama dengan Pas, namun UMNO akan tetap memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Kelantan. Sekiranya ada apa-apa yang berkaitan, termasuk berkepentingan dengan asas agama, rakyat dan bangsa, kita (UMNO Kelantan) boleh duduk bersama (Pas),” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan berkata, UMNO negeri juga membuat keputusan untuk bertanding di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU-15.

    “Saya berharap pada PRU-15 nanti rakyat akan memberi kepercayaan, peluang dan mandat kepada UMNO untuk mengemudi Kelantan bagi membuktikan apa yang mereka boleh lakukan,” katanya.

  • PRN Johor:UMNO yakin menang besar

    PRN Johor:UMNO yakin menang besar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO Johor yakin akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan tidak lama lagi.

    Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, parti akan meletakkan calon untuk jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Jentera parti BN dan UMNO sudah bersedia dengan PRN dan mempunyai kepercayaan serta semangat yang tinggi untuk menang.

    “Peluang UMNO (untuk menang PRN Johor) amat baik sekali, keyakinan kita tinggi dan kita berharap akan dapat bertanding lebih banyak kerusi berbanding PRU-14 lalu.

    “Soal pengagihan kerusi masih belum diputuskan dan ia akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan ketiga-tiga parti komponen dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Johor di sini hari ini, selepas pulang daripada mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon pembubaran DUN Johor.

    Hasni sebelum itu diterima menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapat perkenan pembubaran DUN di Istana Bukit Serene di sini jam 5 petang.

    Sementara itu, beliau berkata, tujuan mengadakan
    PRN Johor adalah untuk dapat mandat baharu rakyat kerana sebelum ini kerajaan negeri hanya ‘bergerak’ atas ihsan pembangkang terutama apabila untuk membuat sebarang keputusan.

    “Memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan bergerak atas ihsan pembangkang, ini tak wajar berlaku di Johor, sebab itu pertimbangan melakukan pilihan raya dilakukan.

    “Saya perlu dapat ‘fresh mandate’. Saya perlu dapatkan semula mandat rakyat Johor untuk Johor lebih maju, lebih berjaya,” katanya.

    Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN Johor dalam masa terdekat dan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat akan memaklumkan pembubaran DUN kepada pihak SPR.

  • Walaupun ditentang, BN Johor tetap mahu adakan PRN

    Walaupun ditentang, BN Johor tetap mahu adakan PRN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WALAUPUN pelbagai pihak menentang untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, UMNO tetap mahukan ia diadakan dalam keadaan rakyat yang masih bergelut untuk hidup selepas banjir dan terus ‘dicengkam’ pandemik Covid-19.

    Menerusi mesyuarat UMNO Johor di Johor Bahru yang baru selesai diadakan pukul 4 petang tadi, semuanya sebulat suara bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memberi laluan untuk PRN Johor.

    Menteri Besar merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad selepas mempengerusikan mesyuarat itu berkata, akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim, Sultan Iskandar pada pukul 5 petang ini untuk mendapat perkenan pembubaran DUN.

    “Saya akan dijelaskan sepenuhnya selepas menghadap Sultan Johor menerusi satu sidang akhbar di Pejabat UMNO Johor pada jam 6 petang ini.

    “Sebelum itu saya akan bermesyuarat dahulu dengan barisan Exco kerajaan Nnegeri dan selepas itu barulah melakukan pertemuan bersama-sama Sultan Ibrahim.

    “Semua akan dijelaskan selepas itu, apa yang utama saya sudah mendapat ‘consent’ (persetujuan) oleh UMNO untuk adakan PRN,” katanya ketika ditemui selesai mesyuarat itu.

    Perkembangan itu menunjukkan UMNO tidak mengambil peduli masalah atau keutamaan yang perlu didahulukan untuk rakyat Johor yang rata-ratanya menolak PRN dalam masa terdekat.

    Ramai pihak berpendapat,
    PRN Johor sekiranya diadakan dipercayai strategi UMNO untuk menyemarakkan momentum positif sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut penganalisis politik, PRN itu juga bakal menjadi medan untuk UMNO sekali lagi membuktikan mereka tidak memerlukan sokongan daripada parti lain termasuk Pas apatah lagi Parti Pribumu Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memberi laluan kepada UMNO untuk menerajui negeri ini.

    Menurut mereka, prosedur operasi standard (SOP) kempen yang ketat berikutan masalah COVID-19 juga dilihat berpihak kepada UMNO, antaranya jaringan cawangan parti yang mantap sehingga menyumbang kemenangan bergaya pada PRN Melaka.

    Pemerhati politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata atas kertas, memang tiada keperluan untuk diadakan PRN Johor kerana tidak berlaku keadaan DUN gagal berfungsi walaupun hanya berkelebihan satu kerusi.

    DUN Johor katanya, juga tidak mempunyai perkara besar yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga seperti untuk meminda Perlembagaan.

    “Saya lihat mereka (UMNO) nak cetuskan momentum, bermula dengan kemenangan di Melaka, sekarang nak buat di Johor pula.

    “Itu yang saya nampak, nak cetuskan momentum mengatakan UMNO boleh jalan sendiri (melalui Barisan Nasional), tak perlu ada Pas, tak perlu sokongan parti lain,” katanya seperti dipetik daripada BH, hari ini.

    Kerajaan Johor ketika ini memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

    Sementara itu, Shamsuddin yang berpengalaman mengetuai ‘war room’ parti politik dalam beberapa siri pilihan raya berkata, PRN Johor juga mungkin untuk menguji kekuatan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Muhyiddin Yassin yang juga berasal dari negeri itu.

    Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu program bual bicara malam tadi turut memerli Muhyiddin sebagai Presiden sebuah parti yang tidak dominan.

    “Saya nampak mereka nak uji kekuatan Presiden Bersatu, malam tadi Ahmad Zahid kata ada Presiden yang parti dia bukan dominan. Pada saya dia menujukan kepada Muhyiddin,” katanya.

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian turut berpendapat PRN Johor bukannya satu keperluan tetapi lebih kepada strategi politik.

    Katanya, kerajaan Kelantan pada 2004 juga terbentuk dengan majoriti sangat tipis iaitu perbezaan dua kerusi sebelum berkurangan menjadi satu kerusi setahun selepas itu, namun kekal memerintah sehingga tamat penggal.

    “Bermakna perbezaan majoriti satu kerusi itu bukan isunya. Barangkali PRN itu mahu dibuat atas faktor dalaman iaitu kebergantungan kepada parti lain untuk membentuk kerajaan.

    “Kita juga tahu Johor kubu kuat UMNO sehinggalah PRU-14, mungkin mahu dipulihkan semula imej ini.

    “Mungkin juga kerana Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri itu dari Johor, apakah ini juga cubaan untuk melihat pertembungan personaliti di Johor,” katanya kepada BH.

    Sivamurugan berkata, berdasarkan keadaan semasa, UMNO mungkin mengharapkan trend keluar mengundi yang rendah akan memberi kelebihan kepada mereka seperti di Melaka.

    Katanya, trend itu tidak mustahil berlaku apabila pengundi luar yang menetap di Singapura dan negeri lain tidak balik mengundi akibat kelesuan politik.

    Katanya, UMNO juga berpeluang memanfaatkan faktor kekuatan pembangkang yang semakin goyah yang dapat diihat ketara pada PRN Melaka dan Sarawak, baru-baru ini.

    “Bagi orang awam seperti kita, kita rasakan kenapa nak dibuat sekarang sedangkan negara masih berdepan isu kesihatan, ekonomi dan bencana.

    “Namun bagi parti politik, masa (timing) itu penting. Perlu dipilih agar menyebelahi mereka,” katanya lagi.

  • PRN Johor: Pakatan Harapan bekerjasama dengan parti MUDA

    PRN Johor: Pakatan Harapan bekerjasama dengan parti MUDA

    Pakatan Harapan (PH) Johor mengesahkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), secara prinsipnya akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, jika ia diadakan dalam masa terdekat.

    Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Amanah  Johor, berkata persetujuan berkenaan dicapai dalam perbincangan bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, baru-baru ini.

    “Persetujuan secara prinsipnya sudah dicapai untuk MUDA bekerjasama dengan PH Johor jika PRN diadakan di negeri ini tidak lama lagi. Perbincangan lanjut akan diadakan bersama kepimpinan tertinggi semua parti menganggotai PH termasuk dari segi agihan kerusi serta persiapan lain.

    “Presiden Amanah, Mohamad Sabu, juga dijangka turun ke Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat parti yang diadakan sama ada Rabu atau Khamis ini bagi perbincangan lanjut mengenai PRN Johor,” katanya lapor Berita Harian.

    Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu) sementara Amanah (enam) dan PKR pula (tujuh).

    Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, Amanah Johor juga sedang memperincikan calon parti bagi PRN negeri sebagai persiapan.

    “Calon-calonnya sudah ada cuma kita akan tunggu pimpinan tertinggi parti bagi memuktamadkan senarai selain perbincangan dengan parti PH yang lain,” katanya.

  • Tiada lagi kuota khas pengambilan pekerja asing – Hamzah

    Tiada lagi kuota khas pengambilan pekerja asing – Hamzah

    TIADA lagi kuota khas dikeluarkan dalam pengambilan pekerja asing di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata setiap permohonan daripada majikan kini perlu melalui penilaian jawatankuasa kementerian dalam meneliti jumlah pekerja asing yang layak diambil bekerja mengikut syarat dan undang-undang yang ditetapkan.

    “Tiada lagi kuota khas. Mesti mendapat kelulusan jawatankuasa. Ada orang tidak sedar dan syok cakap. Umum perlu tahu, seseorang majikan yang memerlukan pekerja asing, perlu mendapat kelulusan jawatankuasa kerana ada akta.

    “Contohnya sektor perladangan. Kena tahu berapa kuota pekerja yang diperlukan dan berapa yang layak dapat. Katalah patut dapat 1,000 pekerja tetapi disebabkan tiada tempat tinggal, jadi mungkin dia hanya dapat 400 sahaja.

    “Untuk tambah baki pekerja yang dipohon, kena mohon semula dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) atau merayu kepada kami untuk disemak. Sekarang pengambilan semakin ketat dan tidak mahu lagi kuota bebas seperti legasi sebelum ini,” katanya selepas menghadiri majlis mesra rakyat di Kampung Tapah, Sungai Bayur, dekat Selama hari ini.

    Beliau mengulas gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Per­­­khidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr N. Sukumaran supaya kerajaan menghapuskan ‘kelulusan khas’ peringkat menteri sebagai kebenaran kepada pihak-pihak ter­tentu untuk memonopoli kema­sukan pekerja asing ke negara ini bagi mengelak berulangnya sindiket membawa masuk pe­kerja asing berlebihan.

    Hamzah berkata jika sistem kuota tidak diguna pakai dan bersifat pengambilan bebas, pekerja asing akan masuk ke negara ini sewenang-wenangnya sehingga tidak mengikut syarat serta kriteria yang ditetapkan hingga menimbulkan masalah dari segi kebajikan seperti tempat tinggal dan sebagainya.

    Sebelum ini setiap majikan perlu berurusan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk urusan penggajian pekerja asing, namun begitu, kini semua urusan tersebut boleh dibuat melalui KSM bagi memastikan keseragaman dasar dan penyelarasan prosedur penggajian pekerja asing.

    — BERNAMA

  • Pemecatan Khairuddin tiada kaitan dengan Muafakat Nasional

    Pemecatan Khairuddin tiada kaitan dengan Muafakat Nasional

    PEMECATAN Datuk Dr Khairudin Aman Razali selaku ahli Jawatankuasa (AJK) PAS pusat tiada kaitan dengan Majlis Syura Ulama, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

    Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Kuala Nerus masih kekal sebagai ahli Majlis Syura dan pemecatannya juga tiada kaitan dengan Muafakat Nasional (MN).

    “Itu saya tak boleh nak bagi jawapan (alasan pemecatan) sebab pihak presiden yang membawa kepada jawatankuasa pusat untuk memecatnya. Jadi, dia tak ada kena mengena dengan Majlis Syura.

    “Jadi, oleh kerana penjelasan dibuat oleh Presiden bahawa (ia melibatkan) disiplin parti maka presiden punya hujah dia dan dia sendiri pun tidak menjelaskan. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi,” katanya kepada portal Malaysiakini.

    Semalam, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengguguran Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat adalah berkaitan dengan disiplin.

    “(Apa yang berlaku), itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja,” katanya sambil menambah tindakan diambil itu hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.

    Dalam pada itu, Hashim berkata Presiden parti berhak untuk tidak memberi penjelasan mengenai pemecatan bekas menteri itu daripada jawatankuasa PAS pusat.

    “Itu (pemecatan) tidak ada kena mengena dengan MN atau benda-benda lain. Tak perlu (jelaskan). Beliau perlu hurai kepada jawatankuasa. Khairuddin juga dimaklumkan atas alasan apa beliau dipecat,” katanya.

  • PRN Johor hanya spekulasi- Ahmad Faizal

    PRN Johor hanya spekulasi- Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, jangkaan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat hanya spekulasi.

    Ahmad Faizal berkata, namun jika PRN itu diadakan juga, pihaknya akan terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang akan bakal memerintah di Johor.

    “Seperti di Perak dan kerajaan Persekutuan. Saya memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Menteri Besar Perak dan kepada Perdana Menteri yang datang daripada UMNO.

    “Maka, kita fokus kepada perkara itu (kerajaan sedia ada) dulu,” katanya selepas melepaskan peserta Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Pas akan berbincang dengan UMNO bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Johor jika diadakan dalam masa terdekat.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, selain UMNO, parti itu akan berbincang dengan rakan politik lain bagi membentuk kerjasama.

    Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan terus memberi fokus berkhidmat untuk rakyat.

    “Daripada segi pilihan raya, jika kami (Bersatu) tidak bersama, sama-samalah kita mendapatkan sokongan daripada rakyat.

    “Insya-Allah kalau rakyat terima, kita boleh tubuhkan kerajaan, tak payah nak gaduh-gaduh,” katanya.