Category: Politik

  • Rakyat terus ditindas jika lantik pemimpin tidak amanah, rasuah

    Rakyat terus ditindas jika lantik pemimpin tidak amanah, rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz mengingatkan pengundi supaya tidak tersalalah memilih pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda PN Pusat berkata, mereka perlu memilih gabungan itu yang menawarkan pentadbiran bersih dan berintegriti.

    “Berkobar-kobar saya ingin memastikan aspirasi Perikatan Nasional dapat dilaksanakan.

    “Orang kata politik kotor. Namun tidak pada saya. Politik adalah satu tuntutan untuk kita mentadbir rakyat dengan adil dan saksama.

    “Bayangkan jika ketua yang dilantik itu makan rasuah dan tidak amanah, pasti rakyat akan terus ditindas dan hilang potensi,” katanya dalam entri terbaharu menerusi Facebook miliknya, hari ini

    Katanya, pilihan kini berada pada tangan pengundi untuk memilih parti yang akan mencorakkan masa depan mereka.

    “Jadi anda mahukan politik seperti apa? Bersih atau kotor? Biar saya beri jawapan.

    “Pilihlah ahli politik yang bersih dan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat,” ujar Ketua Pemuda Pas Johor itu.

  • Jom Balik Mengundi: Pemuda PN kempen jalan kaki 200 km

    Jom Balik Mengundi: Pemuda PN kempen jalan kaki 200 km

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) melancarkan kempen ‘Jom Balik Mengundi’ dalam usaha menggalakkan pemuda berumur 18 tahun ke atas untuk balik mengundi.

    Kempen unik berjalan kaki mulai 5 hingga 9 Mac itu diharapkan dapat meniupkan semangat para pemuda untuk PRN kali ini.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wong Chia Zhen berkata, kempen berjalan kaki itu bukan sekadar satu gimik mulut atau omongan kosong sahaja.

    Menurut beliau, Jom Balik Mengundi merupakan satu kempen yang simbolik dengan melibatkan acara berjalan kaki sejauh 200 kilometer dari Ibu Pejabat Gerakan di Cheras sehingga ke Pagoh, Johor.

    “Pemuda PN terutamanya ahli-ahli dari Pemuda GERAKAN akan turut serta dalam pergerakan ini dengan azam semoga ianya dapat menghantar satu mesej tentang kepentingan balik mengundi kepada anak muda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Chia Zhen turut berkata, PRN Melaka dan Sarawak yang berlangsung baru-baru ini menunjukkan angka tidak melebihi 65.85 peratus dan 60.67 peratus keluar mengundi.

    Beliau memberitahu, semasa PRN Melaka, dengan hanya memenangi jumlah peratusan mengundi sebanyak 37 peratus ia sudah mencukupi untuk Barisan Nasional (BN) menguasai dua pertiga kerusi DUN.

    Kata Chia Zhen, situasi ini jauh berbeza kalau dibandingkan dengan PRU-14 di mana peratusan keluar mengundi lebih tinggi iaitu sebanyak 82.32 peratus,” jelasnya

    “Jom anak muda, Jom balik mengundi. Pergerakan ini bukan sahaja sebuah aktiviti biasa, tetapi ianya digarap untuk menampilkan kepentingan balik mengundi dan seterusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia. Setiap undi adalah penting untuk menjamin masa depan negara”.

    “Ramai anak muda bersikap dingin dan tidak berminat dengan politik negara. Rata rata mengatakan ia tidak penting. Akan tetapi sekiranya semua pemuda yang layak mengundi keluar untuk mengundi, impak ini adalah cukup besar untuk mempengaruhi keputusan PRN Johor nanti.

    “Pada saat yang genting ini, kita perlu berganding bahu. Pemuda PN akan memberi khidmat yang terbaik untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya.

    Beliau menambah, ramai anak muda berpendirian bahawa semua parti politik adalah sama, tidak turun mengundi pun tidak memberikan sebarang kesan.

    Jelasnya, pemikiran sedemikian adalah sangat berbahaya, kerana tatkala semua rakyat berfikiran begitu, negara akan dipimpin oleh parti politik yang tidak mampu untuk mentadbir negara seterusnya menjejaskan dasar sosial dan ekonomi negara.

    Chia Zhen memberitahu, pihak beliau telah menjemput parti-parti politik yang lain termasuk daripada BN, Pakatan Harapan (PH), Muda, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia.

    “Selain daripada parti politik, NGO-NGO yang turut dijemput termasuk UNDI18 dan Bersih. Hal ini kerana, usaha menggalakkan pemuda keluar mengundi tidak patut dibuat berdasarkan latar belakang politik sahaja.

    “Selagi anda bersetuju dengan kami maka kedatangan anda adalah amat dialu alukan untuk menyertai kempen ini,” ujarnya.

  • Muhyiddin terima 100 borang keahlian baharu Bersatu

    Muhyiddin terima 100 borang keahlian baharu Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima 100 kemasukan ahli baharu parti tersebut.

    Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Nasional (PN) memberitahu, keahlian baharu Bersatu itu datangnya dari sekitar Sungai Terap, Muar.

    Bekas Perdana Menteri itu turut memuat naik foto penyerahan borang keahlian tersebut dalam Facebook rasmi beliau.

    “Alhamdulillah, hari ini saya menerima 100 keahlian baharu BERSATU. Borang disampaikan oleh Saudara Khalil bin Mohamed yang mewakili penduduk sekitar Sungai Terap, Muar.

    “Terima kasih atas sokongan anda kepada BERSATU dan Perikatan Nasional,” tulisnya dalam kemas kini terbaharu Facebook beliau.

  • ‘Integriti mengikat kewibawaan seseorang’:Zulkifli Bujang

    ‘Integriti mengikat kewibawaan seseorang’:Zulkifli Bujang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang menyifatkan integriti amat penting malah mengangkat martabat seseorang terutama pemimpin.

    “Integriti adalah frasa yang mengikat soal kewibawaan seseorang. Integriti yang tinggi sentiasa menjadi ukuran paling penting apabila menyentuh soal kepimpinan.

    “Atas tanggungjawab ini, lafaz yang diungkap dan kata yang disebut akan sentiasa dijadikan ingatan paling penting dalam kehidupan,” katanya menerusi kemas keini dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Menurutnya, beliau bersama-sama semua calon PN mengangkat sumpah akujanji serta menandatangani akuan integriti di sebuah majlis khas, di sebuah hotel di Senai, Kulai, hari ini.

    Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan semua 56 calon PN mengangkat sumpah akujanji serta menandatangani akuan integriti di sebuah majlis khas, di Senai, Kulai, hari ini

    “Tengah hari tadi, disaksikan seluruh rakyat Malaysia, calon-calon parti PN telah melafaz dan menandatangani Ikrar Aku Janji Integriti Calon termasuk juga saya yang menjadi calon Nombor 4 di kerusi N.44 Larkin,” katanya.

    Majlis bacaan ikrar dan angkat sumpah itu diketuai Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bagi membuktikan kesungguhan parti gabungan berkenaan untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti dan bersih.

    Akuan sumpah itu adalah kali kedua dilakukan PN, selepas kali pertama ketika PRN Melaka, tahun 2021 dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pendekatan itu akan dijadikan amalan selepas ini bagi menghadapi mana-mana pilihan raya.

  • Pilih PN untuk politik matang, sejahtera:Ahmad Nawfal

    Pilih PN untuk politik matang, sejahtera:Ahmad Nawfal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz yakin kira-kira 700,000 belia Johor mampu membuat perubahan terhadap negara.

    Ketua Pemuda PN Pusat itu menyifatkan anak muda mahukan perubahan dalam landskap politik tempatan.

    “Anak muda merupakan pewaris generasi kepimpinan pada masa hadapan. Kita tidak boleh memandang rendah terhadap potensi belia Bangsa Johor. Walhal potensi mereka lebih hebat dari jangkaan!

    “Melalui aspirasi kesegaran politik, saya yakin dan percaya anak muda Parit Yaani sangat matang dalam memilih corak politik semasa.

    “Pilihlah calon bersih daripada rasuah. Pilihlah calon yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Anak muda memilih Perikatan Nasional,” tulisnya dalam Facebook milik beliau, hari ini.

    Dalam ‘posting’ sebelum itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Johor bersyukur kerana semasa berkempen diterima masyarakat Parit Yaani.

    “Bila dapat saya kenalkan diri. Cukup bersyukur rasanya bila diterima dalam #KeluargaParitYaani ini.

    “Bersedia untuk mengundi pada 12 Mac nanti. Jadilah sebahagian daripada sejarah Johor atas kejayaan Perikatan Nasional,” katanya.

  • Calon PN hasrat wujud peluang pekerjaan, perniagaan di DUN Semarang

    Calon PN hasrat wujud peluang pekerjaan, perniagaan di DUN Semarang

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A. Hamid menyeru pengundi terutama di kawasan itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Katanya, ini bagi menentukan kerajaan yang bakal dibentuk benar-benar menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta negeri ini.

    Sekiranya diberi mandat kata Shazani, antara tumpuan yang akan diberikan adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan agar dapat menjana ekonomi setempat dan juga menyumbang pembangunan ekonomi negeri.

    “Apa yang saya harapkan supaya anak-anak muda dapat sama-sama membangunkan Ayer Hitam, khususnya DUN Semarang agar dapat mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih lagi kepada masyarakat di sini.

    “Di samping itu, saya juga akan meneliti peluang warga DUN Semarang untuk memiliki rumah mampu milik, bukan sahaja sekadar mampu tengok,” katanya ditemui selepas Majlis Ikrar Calon PN PRN Johor dan Menandatangani Akuan Integriti di di Hotel Impiana, Senai, Kulai, hari ini.

    Seramai 56 calon PN hadir dalam Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon PN PRN Johor 2022.

    Pada PRN Johor bagi kerusi DUN Semarang, Shazani akan menentang penyandang kawasan itu Datuk Samsol Bari Jamali (BN), Adzlan Raju (Parti Pejuang Tanah Air), dan Haryati Abu Nasir (Parti Keadilan Rakyat).

  • Dr Mahathir ‘geli’ Najib cakap bayar hutang 1MDB tak guna wang rakyat

    Dr Mahathir ‘geli’ Najib cakap bayar hutang 1MDB tak guna wang rakyat

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau ‘geli’ apabila mendengar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa wang rakyat tidak digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “SAYA geli mendengar Najib bercakap dalam Dewan Rakyat bahawa kononnya hutang (1MDB) ditanggung kerajaan, tak perlu bayar satu sen pun,” katanya seperti dilaporkan Utusan TV hari ini.

    Beliau membidas Ahli Parlimen Pekan tersebut yang mendakwa tiada satu pun wang rakyat digunakan untuk membayar hutang prinsipal 1MDB, semalam.

    Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mendakwa, banyak wang kerajaan terpaksa digunakan untuk menghapuskan hutang dan faedah membabitkan 1MDB.

    Atas dasar itulah, kata beliau, kerajaan kekurangan wang untuk membangunkan negara serta memberi khidmat kepada rakyat.

    “Inilah Najib, hutang tak bayar (tapi) curi duit, tambah lagi hutang, sebab itulah orang ketawa terhadap dakwaannya yang dibuat dalam Dewan Rakyat.

    “Najib ini satu manusia yang luar biasa, dia curi duit depan, dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah tetapi dia tak malu,” katanya dalam program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam, hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani semalam, Najib ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat semalam berkata, tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

    Menurut Najib, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

    Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.

    Dr Mahathir turut menyeru pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan kedewasaan menolak parti yang terpalit dengan rasuah.

    Kata beliau, sekiranya pengundi tetap memilih UMNO mahu pun Perikatan Nasional (PN) tiada perubahan yang dapat dinikmati dari segi pentadbiran negeri Johor.

    “Mereka ini terperangkap dengan dasar iaitu apabila memerintah mereka lihat peluang utk curi duit dan rakyat menderita terpaksa bayar hutang yang banyak,” jelas beliau.

  • PRN Johor: Tidak boleh ceramah besar-besaran tempat awam

    PRN Johor: Tidak boleh ceramah besar-besaran tempat awam

    CERAMAH besar-besaran di tempat awam bagi tujuan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih tidak dibenarkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, aktiviti berkaitan kempen termasuk syarahan hanya dibenarkan diadakan di bilik gerakan atau pejabat parti di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) sahaja.

    “Sehingga kini tiada sebarang perubahan. Ceramah besar-besaran di tempat awam adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendengaran Sedunia 2022 di Serdang hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan pindaan prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor melibatkan kebenaran penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.

    Namun, jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta menghadiri kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang dan tidak boleh diadakan di premis yang terbuka atau di tempat awam.

    Ditanya sekiranya pekarangan pejabat atau bilik gerakan parti yang disewa di bangunan rumah kedai boleh dijadikan lokasi ceramah, Khairy berkata ia dibenarkan selagi tidak melebih kapasiti kahadiran yang ditetapkan SPR.

    “Ada bilik gerakan, sewa rumah kedai tetapi mereka susun kerusi di hadapan bangunan untuk adakan ceramah. Ini dikira sebagai pekarangan asalkan tidak melebihi kapasiti,” katanya. – BERNAMA

  • PN berpeluang cipta kemenangan dalam PRN Johor-Tuan Ibrahim

    PN berpeluang cipta kemenangan dalam PRN Johor-Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang untuk mencipta kemenangan.

    Beliau berkata, keyakinan itu selepas melihat ‘mood’ sebahagian pengundi di negeri tersebut.

    “Kempen berjalan lancar, tiada sangat apa. Yang bercanggah dengan peraturan cuma kita nampak satu dua kain rentang nakal yang akan diturunkan oleh pihak berkuasa.

    “Tapi setakat ini perjalanan baik, pematuhan kepada SOP juga tinggi, dari segi sambutan kita jangka dan harap PN catat kejayaan berdasarkan respon daripada tinjauan kita buat positif,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Jelas Tuan Ibrahim, sepanjang kempen berlangsung setakat ini, sebahagian peraih undi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Suasana kempen juga sihat dengan tiada insiden yang menjejaskan perjalanan kempen.

    Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan ada juga sepanduk dan kain rentang yang nakal dan mengundang provaksi dan mungkin bertentangan dengan peraturan.

    Pun begitu, pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau perjalanan kempen parti politik supaya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

  • Pembangunan modal insan tonik majukan Bukit Pasir – Nur Iqbal 

    Pembangunan modal insan tonik majukan Bukit Pasir – Nur Iqbal 

    BERBEZA dengan calon yang lain, Muhd. Nur Iqbal Abd Razak, 37, memilih untuk lebih fokus usaha menekankan pembangunan modal insan jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Johor. 

    Baginya, sebagai wakil parti Pas yang bertanding di atas tiket Perikatan Nasional (PN), pembangunan modal insan itu adalah asas utama untuk mencipta kejayaan lain dalam pelbagai sektor. 

    “Itulah keutaaman parti. Sudah tentu kita juga fokus kepada soal pembangunan serta isu utama di sini iaitu soal kemudahan asas,” katanya ketika ditemui SatuBerita. 

    Antaranya ialah membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan berkenaan dan masih gagal ditangani secara berkesan sehingga ke hari ini. 

    “Kawasan ini berada di pinggir bandar, dikelilingi kawasan bandar.  Sudah tentu kita mengharapkan limpahanya akan sampai ke sini dan penduduk mendapat manfaatnya.

    “Tetapi beberapa isu utama harus diselesaikan terlebih dahulu iaitu kemudahan asas dan pada masa sama, kita mahu membentuk pembangunan modal insan,” katanya yang memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik.

    Mengulas isu pembangunan ekonomi rakyat, Iqbal yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Kemasyarakatan Bukit Pasir serta ahli perniagaan berkata, PN akan lebih fokus kepada pendekatan bagaimana nak membantu anak mudah mendapatkan pekerjaan. 

    “Ramai antara mereka yang masih belum habis bekajar dan ada yang belum mendapat kerja.  Jadi, kita perlu bantu mereka membentuk ekonomi sendiri walaupun bukan dengan bekerja secara makan gaji,” katanya. 

    Ini kerana, katanya peluang menjana pendapatan di Bukit Pasir memang terbuka luas kerana terdapat banyak peluang untuk diteroka terutama dalam bidang pertanian dan penternakan. 

    Jika diberi peluang untuk dilantik sebagai ADUN, Iqbal mahu menarik lebih ramai generasi muda terbabit dalam kedua-dua sektor berkenaan bagi menjana pendapatan. 

    Katanya, ketika ini dianggarkan terdapat kira-kira 32,000 pengundi muda atau pengundi kali pertama di DUN Bukit Pasir yang perlu diberi perhatian dan dibimbing. 

    “Saya mengharapkan mereka, pertama kali mengundi, kalau boleh bagi 100 peratus sokongan untuk keluar mengundi, pada kali ini dan dan bagi sokongan kepada PN, insha Allah,” katanya. 

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac dan hari mengundi awal pada 8 Mac ini.