Category: Politik

  • 22,531 anggota polis, tentera undi awal Selasa ini

    22,531 anggota polis, tentera undi awal Selasa ini

    SERAMAI 22,531 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Selasa ini.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, seramai 11,576 pengundi adalah warga PDRM Johor di seluruh negeri itu.

    “Sebanyak 63 pusat mengundi dengan 83 saluran akan disediakan bagi proses undi awal tersebut.

    “Proses undi awal ini akan dijalankan di premis-premis PDRM dan ATM yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Nasihat saya bagi yang mengundi awal, sentiasa peka kepada arahan-arahan semasa daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Walaupun bergelar anggota polis, tetapi masih perlu patuh pada prosedur operasi standard (SOP) supaya perjalanan pengundian awal ini berjalan dengan lancar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, seramai 382 orang yang terdiri daripada anggota polis Johor telah mendaftar undian pos bagi PRN Johor.

  • Tiga tawaran terbaik PN jika menang di DUN Parit Yaani

    Tiga tawaran terbaik PN jika menang di DUN Parit Yaani

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA inisiatif akan dilakukan Perikatan Nasional (PN) sekiranya menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.

    Calon PN bagi DUN Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, pertamanya tiga fasa akan dilakukan untuk penambahbaikan infrastruktur perparitan, saliran dan pengurusan samah.

    “Kedua kita akan fokus ekonomi setempat khususnya untuk anak-anak muda dan wanita berniaga secara dalam talian, secara mikro dan terlibat industri kecil dan sederhana.

    “Ketiga adalah penambaikan fasiliti dan pengangkutan awam. Bersama kita memajukan Parit Yaani dan masyarakat setempat,” katanya dalam Facebook milik beliau, hari ini.

  • Tujuh pendekatan tangani isu berat beg sekolah – Radzi

    Tujuh pendekatan tangani isu berat beg sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menggariskan tujuh ketetapan serta perincian bagi menangani isu beg berat yang dihadapi murid sekolah secara menyeluruh.

    Ia membabitkan penyediaan lokar di sekolah rendah, penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

    Ketetapan itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi satu mesej video yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau, hari ini.

    Katanya, isu itu sudah lama dibincangkan secara teliti dan KPM sentiasa memandang serius setiap cadangan penambahbaikan bagi meringankan beban murid.

    “Perkara ini diteliti mulai tahun 1994 membabitkan Kajian Beban Buku Murid Sekolah Rendah.

    “Pada tahun 2000, satu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 dikeluarkan berkaitan penggunaan buku kerja di sekolah rendah. Kajian yang dijalankan pada 2008 membabitkan murid sekolah rendah,” katanya.

    Katanya, laporan kajian itu disiapkan pada 2017 dan surat siaran mengenai panduan menangani isu beg berat murid di sekolah dikeluarkan pada 2018.

    “Pada tahun 2022, KPM menggariskan ketetapan dan perincian mengenai isu beg berat. Fokus utama ialah anak-anak di tahap satu hingga tiga.

    “Cadangan pertama ialah menyediakan lokar di sekolah rendah yang mempunyai dua sesi dan dilaksanakan dalam dua fasa. Bagi fasa pertama, lokar akan disediakan bagi murid tahap satu (Tahun 1-3) membabitkan 10,600,62 kelas dengan lebih 323,000 murid di seluruh negara.

    “Mereka akan disediakan lokar di dalam kelas masing-masing,” katanya. Pelaksanaan rancangan itu akan membabitkan peruntukkan RM37.3 juta

    Bagi fasa Dua (tahun 4-6) bagi sekolah rendah yang beroperasi pada dua sesi dan pelaksanaannya dijangka akan bermula pada 2023.

    Bagi sekolah satu sesi, murid akan dibenarkan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

    Katanya, jadual waktu akan disusuan semula melalui pelaksanaan jadual yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

    Berikutan itu, sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu. Hanya subjek tertentu akan diajar pada setiap minggu bagi membolehkan jumlah buku teks yang dibawa ke sekolah dapat dikurangkan.

    Pendekatan ketiga ialah memastikan bilangan buku latihan tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu masa dan setiap buku itu tidak melebihi 80 muka surat.

    Seterusnya, fokus pendekatan keempat ialah memastikan murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan KPM dan buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulangkaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran.

    “Pendekatan kelima ialah penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. Setakat ini, sebanyak 692 buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELiMA).

    “Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELiMA,” katanya.

    Pendekatan keenam ialah berkaitan pelaksaaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dengan guru digalakkan menggunkan pendekatan berpusatkan murid.

    Ia merujuk kepada pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) atau pembelajaran terbeza.

    Pendekatan ketujuh merujuk kepada kerjasama dengan JAKIM iaitu bagi menyelaraskan uniform supaya murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.

    “Semua pendekatan ini tidak akan memberi impak optimum jika tidak dilaksanakan dengan baik. Jadi, KPM akan memberi tumpuan khusus kepada pelaksanaan pendekatan ini.

    “KPM akan menubuhkan sebuah pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban berat beg murid,” katanya. 

  • Fasih berbahasa Mandarin akrabkan Cik Nani dengan pengundi Semarang

    Fasih berbahasa Mandarin akrabkan Cik Nani dengan pengundi Semarang

    SEORANG pemimpin yang hebat perlulah akrab dengan rakyat dan memahami denyut nadi dan kesusahan serta keperitan yang mereka alami agar beliau dapat memberikan solusi yang terbaik kepada mereka.

    Kunci untuk mencapai hubungan seperti itu adalah komunikasi – satu kelebihan yang ada pada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang Perikatan Nasional, Shazani A Hamid yang amat fasih berbahasa Mandarin.

    Kelebihan yang ada pada Syazani yang lebih mesra dipanggil cik Nani itu membolehkan beliau untuk berkomunikasi dengan kelompok pengundi berbangsa Cina di kawasan ini dan memahami dengan lebih mendalam keperluan dan kesusahan mereka.

    “Kemahiran berbahasa Mandarin membuka ruang kepada saya untuk lebih mendekati pengundi berbangsa Cina dan ini merupakan satu rahmat kepada saya.

    “Kemahiran ini membolehkan saya untuk berkhidmat kepada rakyat di Semarang dengan lebih menyeluruh dan bukan terkongkong kepada satu-satu bangsa sahaja,” katanya kepada SatuBerita selepas menyantuni pengundi di sekitar Semarang.

    CIK Nani ketika menyantuni pengundi Cina di kawasan DUN Semarang pada Ahad. – SB

    Anak bekas Penghulu Ketua Kampung Pekan Ayer Hitam itu juga berkata, dengan memahami keperluan dan kesusahan masyarakat setempat.

    Selain itu, katanya, hubungan yang di bina dengan rakan-rakan di tempat dia belajar berbahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malayan, Ayer Itam juga memberikan dirinya peluang untuk lebih memahmi aspirasi anak muda berbilang bangsa di kawasan Semarang.

    Tambah anak muda berusia 31 tahun ini, kesemua itu memberikan keyakinan yang membolehkan dirinya akan membawa pembaharuan yang amat diperlukan oleh mereka baik dari segi ekonomi mahupun sosial jika terpilih sebagai wakil rakyat di Semarang. 

  • PN mampu cipta kejutan dalam PRN Johor

    PN mampu cipta kejutan dalam PRN Johor

    PERIKATAN Nasional (PN) diyakini mampu mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini walaupun berdepan cabaran.

    Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga yakin gabungan berkenaan mampu meraih sokongan dan keputusan lebih baik berbanding ketika PRN Melaka.

    “PRN Johor ada cabarannya yang tersendiri, tetapi kita optimis dapat mencapai keputusan yang terbaik berbanding di Melaka.

    “Tiada siapa yang masuk pilihan raya untuk kalah, malah daripada segi persiapan kerja, jentera-jentera PN dilihat begitu sangat bersemangat sekali,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    PRN Johor menyaksikan PN bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di mana 33 daripadanya diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 15 (Pas) manakala lapan diwakili Gerakan.

  • Cukup-cukuplah Najib kelirukan rakyat

    Cukup-cukuplah Najib kelirukan rakyat

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi watak penting penubuhan 1MDB hingga menyebabkan syarikat itu hilang berbilion ringgit mahu ‘mengajar’ kerajaan cara membayar hutang ditinggalkan 1MDB.

    Kata Najib, jika wang pokok itu dibayar awal-awal maka tiada faedah yang perlu dibayar.

    Katanya lagi wang hutang itu boleh dibayar dengan dana yang diterima daripada DOJ, Ambank, KPMG dan Deloittes.

    Dalam masa sama, Najib juga mengatakan bahawa tiada satu sen pun dana awam digunakan kerajaan untuk membayar balik hutang 1MDB. Maka, bertepuk sakanlah penyokong taasub Najib kononnya cadangan itu lebih bernas dalam membayar hutang berbilion ringgit yang ditinggalkan syarikat sarat skandal itu.

    Mereka percaya Najib dianiaya sedangkan satu dunia tahu bagaimana wang 1MDB hasil duit rakyat itu dibolot dengan pelbagai bentuk penyelewengan yang tidak tercapai di fikiran manusia biasa.

    Sebaliknya menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan sebelum ini membayar faedah hutang 1MDB sebanyak RM6.5 bilion dan belum membayar hutang pokok memandangkan ia hanya akan matang antara tahun 2022 hingga 2039.

    Tengku Zafrul berkata sehingga akhir Februari 2022, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang pokok dan RM6.5 bilion hutang faedah.

    Jelas sekali, duit bayaran itu datang daripada kantung kewangan kerajaan yang pastinya dana awam dan bukannya daripada simpanan peribadi Najib dan penyokongnya.

    Sebenarnya daripada cadangan Najib itu sendiri sudah menunjukkan bahawa tepatlah tindakan mengheret pelaku rasuah dalam 1MDB ke muka pengadilan.

    Jika benar sesebuah syarikat itu tidak bermasalah dan boleh membawa keuntungan, kenapa perlu bagi kerajaan untuk membayar hutang hingga tahun 2039. Nilai yang perlu dibayar juga bukan kepalang iaitu hutang keseluruhan 1MDB sebanyak RM38.8 bilion dan sekiranya diberi kepada kira-kira 29 juta penduduk Malaysia, setiap seorang boleh mendapat lebih RM1,000. Lihatlah betapa besarnya nilai hutang tersebut.

    Itu belum dikira berapa banyak sekolah, hospital, jalan raya yang dapat dibina dengan wang rakyat itu jika tidak perlu membayar hutang yang ditinggalkan oleh 1MDB.

    Cukup-cukuplah Najib mengelirukan rakyat terutama orang kampung yang mudah percaya dengan segala angka yang mengelirukan mereka. Cadangan untuk menutup bangkai gajah dalam 1MDB itu tidak sesekali akan memadamkan apa yang telah diputuskan mahkamah.

    Lebih baik tumpukan masa dan tenaga untuk membela diri di mahkamah untuk kes lain antaranya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu yang menolak permohonan Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC).

    Najib juga sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

    Kerana kesalahan-
    kesalahan itu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Namun disebabkan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman berkenaan, dia tidak perlu ke penjara dan masih bebas.

    Semoga penyokong Najib dapat buka mata dan tidak terlalu percaya dengan setiap apa yang dikatakannya.

    • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • PRN Johor: Pas Sabah hantar lebih 100 jentera bantu calon PN

    PRN Johor: Pas Sabah hantar lebih 100 jentera bantu calon PN

    LEBIH 100 jentera (Pas) Sabah membantu 56 calon Perikatan Nasional (PN) berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd. Aminuddin Aling berkata, sebahagian jentera yang dihantar akan bertugas sepenuh masa sepanjang berkempen.

    “Jentera Pas Sabah yang bertugas di Johor akan membantu di lapangan termasuklah kempen dari rumah ke rumah.

    “Selain itu, kita juga menghantar jentera penerangan dan IT sehingga hari pembuangan undi bagi melaksanakan kerja penculaan serta memperkenalkan calon.

    “Saya bersama-sama pimpinan Pas Sabah yang lain turun bersama calon menyantuni masyarakat di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Menurutnya, Pas Sabah ditugaskan untuk membantu jentera dan calon PN, Maimunah Safwa Musa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah.

    “Kita akan bersama-sama jentera di sana bagi menarik perhatian pengundi dan memastikan kemenangan berpihak kepada calon PN.

    “Saya mewakili PN meminta semua pengundi Johor dalam PRN kali ini supaya memilih pemimpin yang bebas rasuah dan prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

    Aminuddin berkata, rakyat Johor yang layak mengundi digesa supaya turun menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin mereka.

    “Saya juga menyeru kepada semua rakyat terutamanya anak muda yang sudah layak mengundi supaya memilih calon PN demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

  • ‘You orang Tan Sri Muhyiddin, kita akan sokong’

    ‘You orang Tan Sri Muhyiddin, kita akan sokong’

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil melihat perubahan yang luar biasa dari segi penerimaan pengundi khususnya kaum Cina terhadap wakil PAS.

    Beliau yang bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya sejak 2004 sebelum ini mendapati agar sukar bagi kaum Cina memberi sokongan terhadapnya lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Namun kali ini, situasi agak berbeza apabila Khairul Faizi dan calon-calon PAS yang lain bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di bawah tiket PN.

    Malah, berdasarkan pemerhatiannya semasa turun padang bertemu pengundi di sekitar kawasan DUN Senggarang semalam, sebahagian besar pengundi Cina berjanji akan menyokongnya kerana beliau ialah ‘orang Tan Sri Muhyiddin Yassin’.

    “Bila turun tadi bila mereka lihat kepada profil calon, mereka lihat risalah-risalah yang kita edarkan, ada seorang uncle tanya, ‘You orang Tan Sri ah?’

    “Saya kata ‘ya’. Saya orang Tan Sri Muhyiddin. Kalau you orang Tan Sri, kita akan support sama you dan PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.

    Khairul Faizi dijangka mengatasi calon-calon lain yang turut bertanding di kerusi DUN Senggarang iaitu Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO), Baharudin Bin Abdullah (Bebas), Abd Hamid Jamah (PH-Amanah) dan Zalihah Jaffar (Pejuang).

    Khairuddin A Rahim yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 dengan majoriti 809 undi.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dalam ucapannya berkata, ‘graf’ sokongan rakyat Johor terhadap PN telah naik.

    “KIta berharap PN akan menumbangkan dan menafikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kita menang PRN Johor,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju dalam ucapannya menyifatkan UMNO seperti ‘Belanda diberi tanah’.

    Beliau menjelaskan, walaupun Bersatu telah memberi sokongan kepada UMNO untuk membentuk kerajaan Pusat yang baharu, pemimpin-pemimpin masih tamak kuasa.

    “Lepas jadi kerajaan, UMNO dan BN kini tak ingat janji siapa yang mengangkat mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan,” ujarnya.

  • Polis siasat video tular, kenal pasti individu berhibur di konsert di Ayer Hitam

    Polis siasat video tular, kenal pasti individu berhibur di konsert di Ayer Hitam

    POLIS akan menjalankan siasatan susulan video tular menerusi media sosial yang memaparkan sekumpulan individu berhibur di sebuah konsert di Ayer Hitam dekat Batu Pahat baru-baru ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan itu bagi mengenal pasti penganjur dan individu yang terlibat dalam konsert berkenaan.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu setakat ini.

    “Tidak boleh berpesta, ia akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan siasat serta ambil tindakan.

    “Kerana sudah tentu (konsert) ini tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) jika mereka berhibur dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya pihak polis menerima laporan berhubung video tular itu.

    Kamarul Zaman berkata siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    Terdahulu video berdurasi 52 saat itu memaparkan sebuah kumpulan muzik mengadakan persembahan dengan sekumpulan lelaki dan wanita sedang rancak berjoget sehingga mengabaikan SOP. – Bernama

  • Keputusan Laili tidak jejaskan peluang Bersatu, PN dalam PRN Johor

    Keputusan Laili tidak jejaskan peluang Bersatu, PN dalam PRN Johor

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith menyifatkan tindakan Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mersing, Laili Yusof keluar parti dan menyertai UMNO sedikit pun tidak menjejaskan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

    Beliau menegaskan, tindakan Laili tidak menggambarkan pendirian keseluruhan pemimpin dan ahli Bersatu di Mersing.

    “Satu dua orang yang keluar parti terpulang. Lagipun kalau ‘seekor ayam tidak berkokok hari tetap akan siang’.

    “Jadi tak perlu risau sebab setakat ini kita berpuas hati dengan maklum balas diberikan pengundi Johor kepada Bersatu,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Belia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Melang, Kuala Pilah, hari ini.

    Menurutnya, pengundi di Johor semestinya bijak untuk menentukan kepada siapa mandat kerajaan perlu diberikan dengan menilai pencapaian ditunjukkan oleh parti masing-masing.

    Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, tindakan pemimpin tertentu lompat parti adalah perkara biasa sekarang dan ia turut berlaku kepada UMNO.

    “Kalau isu ini (Laili sertai UMNO) tidak pula UMNO sebut sebagai pengkhianat kerana ia beri kelebihan kepada UMNO.

    “Tapi yang mereka tafsirkan sebagai pengkhianatan apabila sesuatu tindakan itu menjejaskan perjuangan dan tidak menguntungkan mereka.

    “Bagi saya, ia terpulang kepada pendirian dan matlamat seseorang pemimpin itu,” katanya.