SERAMAI 22,531 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Selasa ini.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, seramai 11,576 pengundi adalah warga PDRM Johor di seluruh negeri itu.

“Sebanyak 63 pusat mengundi dengan 83 saluran akan disediakan bagi proses undi awal tersebut.

“Proses undi awal ini akan dijalankan di premis-premis PDRM dan ATM yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Nasihat saya bagi yang mengundi awal, sentiasa peka kepada arahan-arahan semasa daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Walaupun bergelar anggota polis, tetapi masih perlu patuh pada prosedur operasi standard (SOP) supaya perjalanan pengundian awal ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, seramai 382 orang yang terdiri daripada anggota polis Johor telah mendaftar undian pos bagi PRN Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here