Category: Politik

  • Kalau Kabinet tak setuju, tak boleh bubar Parlimen juga

    Kalau Kabinet tak setuju, tak boleh bubar Parlimen juga

    PERDANA Menteri hanya boleh mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selepas keputusan dibuat oleh Kabinet.

    Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pembubaran Parlimen adalah tidak semudah yang disangka setengah pihak.

    “Dari segi perlembagaan yang menasihatkan Agong bukan Perdana Menteri seorang, (tapi) itu keputusan Kabinet.

    “Perdana Menteri bawa (cadangan) ke Kabinet, kalau Kabinet setuju barulah Perdana Menteri boleh bawa menghadap Agong.

    “Kalau Kabinet tak setuju tak ada apa yang boleh dibawa Perdana Menteri kepada Agong,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.

    Gesaan serupa turut disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Tajuddin juga menjangkakan akan ada perbezaan pandangan dalam kalangan perwakilan UMNO yang menghadiri perhimpunan agung kali ini terhadap cadangan tersebut.

    Menurut beliau, ada ahli yang berpendapat sekarang adalah masa untuk UMNO menumpukan khidmat mereka kepada rakyat yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah.

    “Itulah juga nasihat Agong dalam titah baginda semasa merasmikan Parlimen baru-baru ni,” jelasnya lagi.

    Dalam pada itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, segala langkah untuk membubarkan Parlimen seharusnya tidak melebihi kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Beliau memberitahu, segala keputusan itu akan datang dengan nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Jangan kita melebihi dan terlanjur dalam kita nak pastikan sesuatu kita semua kena tahu kedudukan masing-masing, kedudukan parti, kedudukan PM dan juga tanggungjawab dan kuasa untuk menentukan kuasa di bawah Seri Paduka,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

  • Bincang dulu dengan Muhyiddin, Hadi kalau mahu bubar Parlimen

    Bincang dulu dengan Muhyiddin, Hadi kalau mahu bubar Parlimen

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berbincang dengan parti-parti lain yang membentuk kerajaan terlebih dahulu sekiranya beliau mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perbincangan itu perlu dilakukan kerana UMNO bukan lagi parti dominan dalam kerajaan.

    “Sebelum ini UMNO adalah parti dominan jadi Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri boleh buat keputusan untuk bubar Parlimen tanpa bincang dengan parti lain.

    “Sekarang sudah berbeza, UMNO bukan parti dominan dan kerajaan yang ada hari ini dibentuk hasil kerjasama dan persefahaman dengan parti-parti lain yang di luar Barisan Nasional (BN).

    “Jadi kalau Zahid nak sangat Parlimen dibubarkan, beliau perlu pergi bincang dengan Muhyiddin, Hadi dan yang lain-lain.

    “Selesaikan di peringkat parti-parti yang membentuk kerajaan, dapatkan persetujuan barulah mintak Perdana Menteri bubar,” katanya.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Dalam pada itu, memetik laporan Malaysiakini, Mohamed Nazri meminta pemimpin-pemimpin menggunakan otak sebelum mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

    “Kalau kita sekarang ni nampak sebagai parti, ada peluang nak menang besar, siapa yang nak kita dahulukan? Kepentingan parti ke atau kepentingan rakyat?

    “Rakyat masih belum sedia lagi… pandemik. Pakailah otak sikit.

    “Jangan hanya cogan kata sekadar cogan kata sahaja. Tapi apabila (bab) tindakan, sebenarnya kita oportunis. Kononnya kita menang di Melaka, di Johor, maka kita rasa ini peluang untuk kita menang, maknanya kita oportunistik.

    “Makna parti ini hanya memikirkan parti saja, tidak memikirkan rakyat. Tanyalah rakyat dulu. Rakyat susah yob,” katanya.

    Sementara itu, memetik laporan BN, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpandangan, UMNO tidak boleh membuat keputusan secara bersendiri mengenai PRU-15 kerana berada dalam kerajaan yang mempunyai gabungan dengan parti lain.

    “Apa yang penting, soal pembubaran Parlimen ini adalah satu daripada tiga perkara yang menjadi kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi, apa juga yang mahu dibincangkan tidak boleh mendahului kuasa baginda. Ada sesetengah orang tidak faham, ingat semuanya kuasa Perdana Menteri.

    “Soal pembubaran Parlimen perlu dibincang secara tertib dan saya nampak, Presiden cukup cermat dalam ucapannya tadi, yang mengatakan perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukannya,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh.

  • BN menang PRN kerana prestasi baik menteri UMNO – Hishammuddin

    BN menang PRN kerana prestasi baik menteri UMNO – Hishammuddin

    KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka adalah kerana prestasi baik yang ditunjukkan oleh menteri-menteri UMNO dalam kerajaan.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

    “Kalau menteri kita tak ‘perform’ (tunjuk prestasi baik), saya rasa parti tak akan mencapai keputusan yang membanggakan pada PRN kerana prestasi kita pada PRN juga bersandarkan kejayaan dan prestasi kita dalam kerajaan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap UMNO berkata, prestasi wakil UMNO dalam kerajaan ketika ini tidak meyakinkan.

    Beliau mengakui, wakil parti dalam kerajaan telah cuba melakukan sehabis baik, namun hasilnya tidak menyerlah.

    Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata, sebagai wakil UMNO dalam kerajaan, beliau turut mempersoalkan prestasi dirinya seperti dimaksudkan Mohamad.

    “Apa bezanya Menteri Pertahanan (saya) sekarang dengan prestasi Menteri-menteri Pertahanan sebelum saya yang kebetulan, Presiden parti sendiri dan Datuk Seri Najib Razak? Jadi apa bezanya, orang tuduh menteri-menteri UMNO tak perform?” soalnya.

    Bekas Naib Presiden UMNO itu menambah, kenyataan sedemikian tidak seharusnya dilontarkan.

  • Buat pemilihan UMNO sebelum PRU-15, ada berani?

    Buat pemilihan UMNO sebelum PRU-15, ada berani?

    KETIKA ini UMNO dalam keadaan cacamarba dan bercelaru. Terlalu banyak puak dalam parti itu sehingga menyebabkan akar umbi keliru mana satu yang mereka perlu ikut.

    Ada team Zahid, team Tok Mat, team Bossku Najib Razak, team Pak Long Mail dan tidak kurang juga team H20.

    Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengaruh sebagai Presiden dan begitu juga dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Walaupun hanya memegang jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki kekuatan selaku Perdana Menteri yang mengepalai jentera pentadbiran kerajaan.

    Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula tidak menyandang sebarang jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO. Kedua-duanya tidak bertanding untuk sebarang jawatan dalam pemilihan parti yang lalu.

    Namun, mereka ada pengikut setia yang bersedia untuk digerakkan bila-bila masa jika diperlukan.

    Situasi berpuak-puak ini menunjukkan pengaruh Ahmad Zahid selaku pemimpin nombor satu UMNO adalah lemah. Beliau gagal memastikan hanya satu team yang wujud dalam parti itu.

    Sehubungan itu, memang amat wajar UMNO mengadakan pemilihan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memperbetulkan keadaan dan menyatupadukan ahli-ahli parti di bawah satu pasukan.

    Tetapi Wak Jahid memang pandai bermain taichi. Nampaknya Ahmad Zahid mahu UMNO bertanding pada PRU-15 dengan beliau masih bergelar Presidennya.

    Maka, dijajanya alasan sebanyak 186 bahagian UMNO yang telah mengadakan mesyuarat bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas PRU-15. Cuma empat bahagian yang mengambil pendirian berbeza.

    “Ini bukan keputusan saya. Ini keputusan saudara-saudari sewaktu Mesyuarat Perwakilan di Bahagian masing-masing. Sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU. Bertahun-tahun ia diamalkan.

    “Adakah wajar kita mengubah tradisi ini? Janganlah kita memakai kasut sebelum menyarung stokin!” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Tidak dapat dipastikan sama ada majoriti cawangan UMNO dan akar umbi juga berpendirian serupa. Ada ahli-ahli UMNO secara terang-terangan bersuara dalam media sosial mahu parti dibebaskan daripada cengkaman kluster mahkamah sebelum PRU-15.

    Pucuk pimpinan UMNO sepatutnya menyantuni pandangan ahli-ahli biasa dan bukannya percaya bulat-bulat para ‘warlord’ yang hanya tahu membodek untuk menyelamatkan punggung sendiri.

    Jika tidak, kekecewaan akar umbi akan dilampiaskan pada PRU-15 dan tidak mustahil mereka enggan mengundi kerana kecewa dengan sikap pucuk pimpinan parti itu yang masih angkuh dan sombong selepas ‘diajar’ oleh rakyat pada PRU-14.

  • Tangguh PRU-15 hingga kesihatan awam stabil – Khairy

    Tangguh PRU-15 hingga kesihatan awam stabil – Khairy

    TANGGUHKAN dahulu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga kesihatan awam di negara ini benar-benar dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau juga percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempertimbangkan banyak faktor ekoran desakan UMNO agar Parlimen dibubarkan lebih awal.

    “Sebagai Menteri Kesihatan, wajar kita tunggu dulu, sehingga keadaan kesihatan awam stabil dan saya lihat semangat Presiden parti,betul, walaupun dari segi akar umbi UMNO mengkehendaki pilihan raya awal, tapi akhirnya dia kata serahkan kepada Perdana Menteri.

    “Perdana Menteri akan mengambil kira pandangan bukan saja dari soal pemulihan pemulihan negara, perjanjian pembangkang untuk reformasi institusi, tetapi juga saya percaya dia akan mendengar pandangan Kementerian Kesihatan berkenaan kesihatan awam kita.

    “Kita akan masuk fasa peralihan endemik, tapi lebih baik kita tangguh dahulu perkara yang merumitkan ini. PRU adalah perkara yang boleh kita tangguhkan dahulu sehingga keadaan kesihatan awam lebih stabil,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berkata demikian ketika sidang media dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada PRU-15.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan, parti perlu mengambil kira perjanjian yang dimeterai dengan pembangkang sebelum ini.

    Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kelihatan keberatan untuk parti itu membincangkan hal tersebut secara terbuka.

    Khairy pernah menyuarakan pandangan sama, juga atas sebab yang sama, sebelum ini.

    Disoal bila anggaran masa yang diperlukan untuk tahap kesihatan awam negara mencapai kestabilan, Khairy memberi anggaran ia mengambil masa beberapa bulan.

    Beliau mahu melihat dahulu kesan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini, selain daripada kelonggaran prosedur operasi standard yang telah dijalankan seperti kelonggaran solat tarawih pada bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

  • Persoal MoU kerajaan & pembangkang, apa motif Zahid?

    Persoal MoU kerajaan & pembangkang, apa motif Zahid?

    PADA 13 September tahun lalu, kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melakar sejarah dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan di bangunan Parlimen.

    MoU yang bertujuan membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari yang sama.

    MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang itu ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

    Semua pihak khususnya rakyat menyambut baik inisiatif berkenaan bagi meredakan keadaan akibat gejala berpolitik tidak berkesudahan walaupun ketika negara dilanda krisis COVID-19.

    Mereka berharap kestabilan politik yang dihasilkan ekoran MoU tersebut akan menyumbang kepada proses pemulihan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat yang terjejas.

    Malangnya, usaha murni itu dipandang serong oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Ahmad Zahid Hamidi yang menimbulkan keraguan terhadap MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

    Dalam ucapan dasarnya yang disampaikan pada Perhimpunan Agong UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini, beliau mendakwa, pihak lawan mempunyai ‘muslihat tertentu’.

    “Dalam legenda Helen of Troy, seorang wanita telah menghancurkan sebuah negara daripada dalam. Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita.

    “Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita.

    “They never love us! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi?” katanya.

    Mungkin Ahmad Zahid terlupa bahawa UMNO yang sebenarnya telah mengkhianati MoU Transformasi dan Kestabilan Politik apabila mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tanpa alasan yang kukuh.

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Johor tetap dibubarkan walaupun wakil-wakil rakyat dari Bersatu dan PAS telah memberi jaminan tidak akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang diketuai oleh pemimpin UMNO.

    Situasi sama juga dijangka berulang di peringkat kerajaan Persekutuan apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO termasuk Ahmad Zahid sendiri mendesak agar Parlimen dibubarkan lebih awal dalam keadaan pembangkang masih menghormati MoU berkenaan.

  • Zahid tetap berkeras mahu Parlimen bubar awal

    Zahid tetap berkeras mahu Parlimen bubar awal

    WALAUPUN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengingatkan bahawa kuasa membubarkan Parlimen adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong, UMNO tetap berkeras mahu perkara itu dilakukan segera.

    Desakan itu diulangi lagi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini.

    “Jadi hendak tunggu apa lagi? Bubarkan Parlimen,” katanya.

    Pada masa yang sama, beliau berkata, UMNO faham bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet, di mana Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada DYMM Yang DiPertuan Agong.

    “Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” ujarnya.

    Semalam, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, adalah tidak wajar UMNO dilihat mahu mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila mengambil pendirian mendesak agar parlimen dibubarkan segera.

    Menurut beliau, pembubaran Parlimen serta pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) merupakan kuasa Seri Paduka.

    Ismail Sabri turut mengesahkan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat oleh badan dalam UMNO mengenai pembubaran Parlimen.

    “Ini semua perlu dibincangkan dengan Agong. (Kalau) kita tetapkan tarikh kita sendiri, nanti Agong kata kita ambil alih kuasa dia. Jadi, jangan ambil alih kuasa Agong… kita tunggu. Apa-apa pun, kita akan bincang. Tapi saya dah kata, mula-mula kita bincang dalam parti dahulu.

    “(Setakat ini) Parti pun tak bincang lagi. Tunggu, bincang dalam partilah,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal yang sebelum ini disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mencetuskan polemik dalam UMNO.

    Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan, parti perlu mengambil kira perjanjian yang dimeterai dengan pembangkang sebelum ini.

    Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kelihatan keberatan untuk parti itu membincangkan hal tersebut secara terbuka.

    Sebahagian besar akar umbi UMNO bimbang tragedi hitam yang menimpa parti pada PRU-14 akan berulang sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum parti sempat mengadakan pemilihan.

    Sekiranya senario itu berlaku, UMNO terpaksa bertanding pada PRU-15 di bawah telunjuk kluster mahkamah sekali gus boleh menjejaskan sokongan rakyat khususnya golongan atas pagar yang mahu negara dipimpin oleh tokoh-tokoh yang bersih dan berintegriti.

    Walau bagaimanapun, dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid mengingatkan, “adat ahli adalah menghormati keputusan parti”.

    Dalam hal ini, ahli-ahli UMNO terpaksa menekan hakikat yang pahit iaitu Ahmad Zahid yang sedang berdepan 87 tuduhan berkaitan rasuah di mahkamah akan menjadi panglima perang mereka pada PRU-15.

  • Semua kerajaan PH tidak akan bubar DUN

    Semua kerajaan PH tidak akan bubar DUN

    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan tiada sebarang cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditadbir gabungan itu sehingga tamat tempoh pada tahun hadapan.

    Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan menegaskan, keputusan itu mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih terkesan ketika ini.

    “Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini telah memutuskan bahawa kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir PH tidak akan menasihati agar DUN masing-masing dibubarkan sehingga tamat tempoh pada tahun 2023.

    “Keputusan ini dibuat mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih sangat terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak,” menurut Majlis Presiden PH, hari ini.

    Kenyataan berkenaan dikeluarkan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Gabungan parti pembangkang itu turut menegaskan fokus PH kini adalah untuk menggerakkan segala usaha ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

    Kelmarin, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata, hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan.

    Kemudian, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga senada untuk meneruskan pentadbiran sedia ada sehingga habis penggal sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

    Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 menjadi antara perkara yang dibahaskan pada Persidangan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sehingga Sabtu ini.

    Perkara itu dibangkitkan susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dan terdapatnya desakan kalangan pemimpin dan ahli parti itu supaya PRU-15 diadakan segera.

  • PRN Melaka, Johor menelan kos RM141 juta

    PRN Melaka, Johor menelan kos RM141 juta

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) membelanjakan RM141 juta bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu merangkumi perbelanjaan perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya.

    Jelas beliau, ini termasuk kos kenderaan, pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), logistik, elaun petugas serta keperluan lain yang berkaitan.

    Sinar Harian melaporkan, perbelanjaan berkenaan turut mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19.

    Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, didapati kos bagi PRN Melaka dan PRN Johor masing-masing berjumlah RM45 juta dan RM96 juta.

    Sebagai rekod, PRN Melaka berlangsung pada 20 November 2021 manakala PRN Johor diadakan 12 Mac lalu.

  • ‘’Jangan ambil alih kuasa Agong’’ – Ismail Sabri ulas desakan bubar Parlimen

    ‘’Jangan ambil alih kuasa Agong’’ – Ismail Sabri ulas desakan bubar Parlimen

    DATUK SERI Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah tidak wajar UMNO dilihat mahu mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila mengambil pendirian mendesak agar parlimen dibubarkan segera.

    Kata Naib Presiden UMNO itu pembubaran Parlimen serta pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) merupakan kuasa Agong.

    Pada masa sama Ismail Sabri berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat oleh badan dalam UMNO mengenai pembubaran parlimen.

    “Ini semua perlu dibincangkan dengan Agong. (Kalau) kita tetapkan tarikh kita sendiri, nanti Agong kata kita ambil alih kuasa dia. Jadi, jangan ambil alih kuasa Agong… kita tunggu. Apa-apa pun, kita akan bincang. Tapi saya dah kata, mula-mula kita bincang dalam parti dahulu.

    “(Setakat ini) Parti pun tak bincang lagi. Tunggu, bincang dalam partilah,” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menghadiri program minum petang dan ramah mesra bersama Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Desakan untuk mengadakan PRU awal disuarakan sekumpulan pemimpin UMNO dan semakin kuat sejak akhir-akhir ini, khususnya selepas parti itu menang besar di Johor.

    Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyentuh isu berkenaan sama ada secara langsung atau tidak semasa merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO malam tadi.

    Pun begitu ada pihak lain – khususnya kumpulan yang berjawatan dalam kerajaan – berpendapat hal tersebut perlu diperhalusi terlebih dulu.

    Misalnya Ketua Wanita UMNO Datuk Noraini Ahmad yang berpendapat parti perlu mengambil kira perjanjian yang dimeterai dengan pembangkang sebelum ini.

    Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid juga kelihatan keberatan untuk parti itu membincangkan hal tersebut secara terbuka. Pandangan sama turut dikongsi bekas setiausaha agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

    Ketika disoal lanjut, Ismail Sabri juga berkata beliau belum menerima sebarang cadangan berkenaan hal itu, sama ada secara rasmi mahupun secara peribadi.

    “Malam ini kami ada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi. Segala usul sayap akan dibincangkan. Kita tengoklah,” katanya.