MAJLIS angkat sumpah ahli-ahli majlis kerajaan negeri (Exco) Johor diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada pagi ini.
Upacara angkat sumpah itu akan berlangsung di Balai Menghadap Istana Bukit Serene selepas senarai barisan Exco diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Sebelum ini, pada Khamis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran menerusi Facebook miliknya memaklumkan, Sultan Ibrahim sudah memperkenankan senarai barisan Exco yang dipersembahkannya.
Sultan Ibrahim menerima senarai barisan Exco darioada Onn Hafiz di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini
Semenatara Pada 18 Mac lalu, media melaporkan Onn Hafiz, cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, kira-kira pukul 3 petang hari berkenaan.
Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, dengan majoriti 6,543 undi.
Beliau menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.
SERAMAI 485,939 orang daripada 5.7 juta pemilih baharu berumur 18 tahun dari seluruh negara yang telah didaftarkan adalah warga Sabah berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama diwartakan pada 14 Januari lepas, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah pemilih berdaftar keseluruhan di Sabah meningkat daripada 1,184,415 orang sebelum ini kepada 1,670,354 orang.
Hajiji berkata, pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri.
“Saya percaya semua wakil rakyat berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih (berumur 18 tahun) kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 lalu,” katanya pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Mengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik di Kota Kinabalu, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Hajiji berkata, pertambahan jumlah pengundi ini juga sudah pasti menjadikan tanggungjawab wakil rakyat semakin lebih besar.
“Justeru, saya meminta kepada semua wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus berusaha untuk mendekati pengundi muda di kawasan masing-masing dan perbanyakkan aktiviti bersama golongan muda, yang akan memberi manfaat kepada mereka,” tambahnya. – Bernama
PELBAGAI spekulasi bertebaran apabila sekumpulan menteri daripada UMNO mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Putrajaya, hari ini.
Antara yang disebarkan Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) – agenda yang diperjuangkan dan didesak oleh segelintir pemimpin UMNO berikutan kekalahan blok kerajaan dalam undian usul SOSMA di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.
Lanjutan itu apabila pertemuan antara menteri UMNO diadakan maka ia tidak terlepas daripada spekulasi bahawa kedudukan Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam keadaan tergugat.
Bagaimanapun Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid tampil memberi penjelasan berhubung apa sebenarnya berlaku dalam pertemuan di Putrajaya itu.
Bercakap kepada Beritah Harian, beliau menegaskan, pembubaran Parlimen tidak dibincangkan ketika perjumpaan beberapa menteri UMNO tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut menafikan perjumpaan menteri dan timbalan menteri itu bertujuan untuk mengadakan mesyuarat.
“Bila pertemuan ini? Tiada perbincangan mengenai pembubaran Parlimen. Tidak ada pertemuan pun,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, beliau tidak terlibat dalam perjumpaan itu dan memberitahu tidak tahu apa yang berlaku.
“Mungkin saya tidak dijemput,” kata Ahli Parlimen Padang Besar itu.
Antara yang dilihat memasuki hotel itu selepas jam 8 pagi ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim. Mereka meninggalkan hotel kira-kira 10 pagi.
Turut kelihatan di hotel itu ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Noh Omar serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique.
Annuar dilaporkan memberitahu media beliau berada di sana untuk bersarapan.
BEKAS Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu bertanding semula di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika diberi peluang oleh partinya.
Perkara itu disahkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam wawancara yang disiarkan Malaysiakini hari ini.
Beliau tidak bertanding pada PRU-14 setelah dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah membocorkan butiran perbankan sulit milik National Feedlot Corporation (NFC) pada Mac 2012.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen jika telah dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000.
“Adalah jelas bahawa jika kita ingin menarik sokongan pengundi atas pagar sekali lagi, saya perlu bertanding di kerusi Parlimen sekali lagi.
“Sama ada saya menang (jawatan) Timbalan Presiden (PKR) atau tidak, itu soal kedua. Terus terang saya kata, fokus menang kerusi adalah lebih utama,” katanya.
Walau bagaimanapun, Rafizi tidak menyatakan sama ada beliau mahu kembali ke kerusi Parlimen Pandan yang kini disandang oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau kerusi lain.
Secara logiknya, kerusi Parlimen Pandan adalah yang paling sesuai untuk Rafizi kerana beliau telah dikenali ramai pengundi di kawasan itu.
Sekiranya kerusi Parlimen Pandan menjadi pilihannya, tindakan itu akan mencetuskan situasi kurang menyenangkan dalam PKR terutamanya dalam kalangan penyokong tegar suami Wan Azizah iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setakat ini, kita tidak tahu sama ada Wan Azizah akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU-15. Beliau juga hanya menyepikan diri selepas rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Andainya Wan Azizah masih sayangkan kerusi Parlimen Pandan, hasrat Rafizi itu akan mencetuskan perseteruan dalam PKR yang kini kembali bergolak menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.
Kemunculan semula Rafizi dalam politik dengan hasrat mahu mencuba nasib bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sudah cukup untuk mencetuskan kegelisahan dalam parti itu.
Penyokong tegar Anwar termasuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak secara terbuka menyatakan perasaan kurang senang terhadap Rafizi. Tidak pasti sama ada Anwar mempunyai perasaan serupa.
Terdapat kemungkinan kem penyokong Anwar melihat Rafizi sebagai ancaman terhadap penguasaan mutlak Dinasti Anwar dalam PKR dan mereka sanggup berjuang bermati-matian bagi mempertahankan bos kesayangan mereka.
Langkah pertama yang mereka bakal lakukan adalah memastikan Rafizi tewas dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR sekali gus membantutkan cita-citanya untuk kembali menjadi Ahli Parlimen.
PERTEMUAN sekumpulan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO di sebuah hotel di Putrajaya hari ini menarik perhatian.
Mungkin mereka sekadar bertemu untuk sarapan pagi bersama sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet atau mungkinkah ia ada kaitan dengan ‘kekalahan’ kepada pembangkang dalam undian di Dewan Rakyat berhubung usul Sosma pada Rabu lalu.
Walaupun semalam dalam satu lagi undian, kerajaan berjaya mendapat sokongan majoriti dua pertiga termasuk daripada pembangkang tetapi kegagalan pada Rabu lalu ternyata memberi kesan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan khususnya daripada UMNO.
Beberapa pemimpin kanan UMNO yang tiada jawatan dalam bingkas bersuara lantang bagi melaksanakan agenda mereka yang mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera. Seperti biasa hujah diberikan ia selaras dengan kehendak Perhimpunan Agung UMNO.
Ia semakin ‘mengerikan’ apabila ada menteri UMNO turut bersuara dengan melihat PRU-15 satu-satu jalan bagi mengelakkan ‘kekalahan’ di Dewan Rakyat berulang. Tetapi pada masa sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus tenang.
Beliau mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin pembangkang dan bersetuju mengadakan sidang khas Parlimen bagi membolehkan Rang Undang-undang Antilompat dibentangkan pada 11 April ini. Tetapi persoalannya adakah kelompok pemimpin UMNO yang mahukan PRU-15 diadakan dan mendesak Ismail Sabri membatalkan MoU dengan pembangkang akan duduk diam?
Sudah pasti mereka tidak akan berbuat demikian, sebaliknya kemungkinan banyak manuver lagi yang akan dilakukan sehingga ia boleh memberikan tekanan kepada Ismail Sabri. Tidak mustahil tekanan seperti mana dialami oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga memaksa Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan akan dilalui oleh Ismail Sabri.
Faktanya, semua orang tahu siapa berkuasa dan berpengaruh dalam UMNO. Mereka yang berada dalam Kabinet pun tidak ada kekuatan seperti mana dimiliki oleh pemimpin-pemimpin seperti Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Oleh itu mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengikut apa juga langkah politik yang akan dilakukan oleh kepemimpinan parti itu. Cumanya apa yang menjadi persoalan, apa pula yang akan dilakukan oleh Ismail Sabri bagi mengelakkan beliau menerima nasib seperti Muhyiddin?
Apakah akan berlaku jika sebahagian ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri? Mungkin ia nampak aneh tetapi dalam kitaran politik UMNO tidak ada yang mustahil…kalau dua negeri yang mereka ketuai pun ‘diruntuhkan’ bagi memberi laluan kepada PRN dan sekaligus membolehkan mereka menang besar, tak kanlah agenda untuk mengadakan PRU-15 tidak boleh dilakukan.
Tambahan pula Ismail Sabri sendiri sama ada betul atau tidak ada cakap-cakap beliau tidak mempunyai kekuatan di bahagian-bahagian UMNO berbanding Najib dan Ahmad Zahid walaupun memegang jawatan Perdana Menteri.
Tetapi itu hanya cakap-cakap…belum tentu betul…kalau beliau tidak ada kekuatan mana mungkin beliau mampu menjadi Naib Presiden nombor satu. Lagipun sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri rakyat dan akar umbi UMNO selesa dengan gaya kepemimpinan beliau. Dan biarpun baru menjadi Perdana Menteri dasar-dasar yang diperkenalkan melalui konsep keluarga Malaysia menambat jiwa banyak pihak.
Seperkara lagi, Ismail Sabri masih boleh mempertahankan kedudukan buat sementara jika beliau mendapat sokongan padu blok pembangkang sekurang-kurangnya sehingga MoU tamat pada Julai ini.
Tetapi masih juga ada persoalan, adakah ahli-ahli Parlimen UMNO akan membenarkannya. Ketika ini mereka sudahpun bercakap soal MoU terbatal dan perlu dibatalkan berikutan apa yang berlaku pada Rabu lalu.
Kini terserah kepada Ismail Sabri bagaimana beliau mahu menangani tekanan yang bukan datang daripada pembangkang tetapi dari parti sendiri. Penulis percaya beliau pun ada ‘seni politiknya’, cuma tidak diketahui sejauh mana ia mampu melawan ‘pengaruh-pengaruh’ hebat dalam UMNO.
Apapun kita tunggu apa yang akan berlaku seterusnya adegan politik yang sejak setahun lalu tidak habis-habis dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.
Bermula dengan bergabung dengan Muhyiddin menubuhkan kerajaan, kemudian ‘menjatuhkan’ Muhyiddin, dibubarnya pula dua DUN untuk PRN dan kini mencari alasan bagi membolehkan PRU-15 yang sepatutnya diadakan selewat-lewatnya pada Mei tahun depan diadakan segera atas alasan kestabilan dan mewujudkan sebuah kerajaan stabil.
KEPUTUSAN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali meninggalkan Pas baru-baru ini tidak menjejaskan kepimpinan parti itu di kawasan berkenaan.
Sebaliknya kata Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat, parti tersebut akan meneruskan khidmat di Parlimen berkenaan.
“Pengunduran Ahli Parlimen itu tidak merencatkan perjalanan parti dan pelbagai pendekatan telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan Kuala Nerus terbela.
“Semua urusan dan kebajikan rakyat di kawasan itu akan dijaga oleh organisasi Pas agar ketiadaan Ahli Parlimen tidak dirasai oleh mereka.
“Insya-Allah akar umbi telah pun bermesyuarat. Bagi memastikan perjalanan (tugas) Ahli Parlimen ini diambil alih oleh beberapa rakan terutama daripada beberapa orang wakil rakyat.
“Rasanya macam mana perjalanan-perjalanan aktiviti dia yang dulunya. Insya-Allah kita akan laksanakan dengan sebaik mungkin.
“Yang ni telah pun dikemaskinikan oleh Pas Kawasan Kuala Nerus melalui pemudanya dan dewan-dewan,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.
Isnin lalu, Mohd. Khairuddin yang merupakan wakil rakyat Kuala Nerus mengumumkan keluar daripada Pas berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Mohd Khairudin, tindakan itu diambil selari Fasal 15(1)(a) Perlembagaan Pas, iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri dan keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dengan keputusan itu, beliau yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi kini merupakan Ahli Parlimen bebas di Dewan Rakyat.
MENTERI-MENTERI dan timbalan-timbalan menteri dari UMNO dilaporkan mengadakan pertemuan di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, kenderaan kenamaan dilihat memasuki lokasi berkenaan seawal pukul 8 pagi tadi.
Antara menteri UMNO yang dilihat hadir di lokasi pertemuan itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Annuar tiba kira-kira pukul 8.45 pagi manakala Shahidan pada pukul 9.40 pagi.
Setakat ini, masih tiada maklumat yang jelas tentang mengapa pertemuan tersebut diadakan.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannnya, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa kerajaan membubarkan Parlimen lebih awal.
Langkah itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum tempoh penggal Parlimen ke-14 berakhir.
Desakan tersebut telah mencetuskan polemik dalam kalangan pimpinan UMNO khususnya Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri.
Pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet juga dilihat berbelah bahagi dalam isu tersebut.
Laungan pemimpin dan akar umbi UMNO agar Parlimen dibubarkan segera semakin kuat kedengaran selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu.
Polemik tercetus dalam UMNO memandangkan parti itu masih diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tergolong dalam kluster mahkamah selain Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Memandangkan UMNO telah memutuskan agar pemilihan parti yang sepatutnya diadakan segera ditangguhkan sehingga enam bulan selepas PRU-15, parti itu terpaksa memikul ‘biawak hidup’ yang terdiri daripada kluster mahkamah semasa kempen kelak.
Hakikat itu amat mengerikan bagi akar umbi UMNO masih belum pulih daripada igauan ngeri akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyebabkan BN ditolak rakyat pada PRU-14.
Hanya pemilihan parti yang dapat mengembalikan tampuk kepimpinan parti kepada tokoh yang benar-benar bersih dan berintegriti namun selepas Perhimpunan Agung UMNO 2021 berakhir, kemungkinan itu kini samar-samar.
MEMORANDUM persefahaman (MoU) Tansformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak terbatal walaupun usul kerajaan gagal diluluskan di Dewan Rakyat.
Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perkara itu berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU tersebut yang memperuntukkan sesuatu tidak tamat secara automatik sekiranya usul kerajaan tidak disokong.
Katanya, berdasarkan Perkara 3.3. (b) MoU, sebarang usul kerajaan atau rang undang-undang (RUU) perlu dirunding dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Saya berpandangan berkaitan Perkara 4.1 MoU ini, di mana ia tidak akan tamat secara automatik sekiranya sesuatu usul tidak dipenuhi jika Perkara 3.1-3.3 dalam MoU tidak dipenuhi dan ia masih terbuka untuk rundingan antara kerajaan dan pembangkang.
“Ini bermakna, kalau ada percanggahan, contohnya seperti apa yang berlaku semalam (Rabu), belum secara automatik MoU ini akan tamat. Ia akan tamat apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan MoU berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan MoU yang dimeterai terbatal susulan tindakan PH yang meminta undi belah bahagi dilaksanakan di Dewan Rakyat.
Sementara itu ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan turut berpandangan pembangkang telah melanggar MoU yang dimeterai dua pihak.
Katanya, kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi terikat dengan MoU yang dimeterai bersama pembangkang sebelum ini susulan Dewan Rakyat gagal luluskan usul Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Dewan Rakyat pada Rabu telah menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 49 Ahli Parlimen tidak hadir.
AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui beliau merupakan salah seorang daripada 50 wakil rakyat yang tidak hadir semasa proses undi belah bahagian usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dijalankan di Dewan Rakyat semalam.
Memetik laporan Malaysiakini, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu menyangka tiada undian dijalankan sebelum usul tersebul dibentang untuk kelulusan.
Selain itu, beliau memberi alasan perlu menghadiri mesyuarat berkaitan majlis perkahwinan anaknya yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.
Ahmad yang yang juga Setiausaha Agung UMNO yakin usul yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan ekoran Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang.
“Semalam, sebelum Hamzah menggulung saya dipanggil untuk berbahas oleh Cameron Highlands (Datuk Ramli Mohd Nor) tetapi saya tak nak berucap, maka saya tak berucaplah.
“Selepas itu baru Hamzah menggulung kemudian saya pun keluar dan bila saya keluar saya tanya dua, tiga orang pegawai ada mengundi ke?
“Dia orang pun jawab mana ada mengundi, dah tandatangan MOU, tak ada mengundi.
“Oleh kerana saya pun ada mesyuarat perkahwinan anak saya, Ahad ini dan kerana tak ada mengundi maka saya pun tak adalah nak menunggu Hamzah.
“Itulah sebabnya,” kata Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendakwa, seramai 31 penyokong kerajaan tidak hadir semasa undi belah bahagian dilakukan.
Seperti yang dinyatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi belah bahagian itu, seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Usul yang dibentang Hamzah itu tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.
Terdahulu ketika menggulung usul itu, Hamzah berkata peruntukan Subseksyen 4(5) Akta itu perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan, bagi memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.
“Tanpa subseksyen ini dilanjutkan, kualiti siasatan polis dikhuatiri akan terjejas, kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam sahaja untuk menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya, untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen itu disemak dan diluluskan oleh Parlimen ialah pada 4 April, 2017, dan ia akan berakhir pada 31 Julai ini.
PAKATAN Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan PAN dijangka hanya mampu memenangi kira-kira 80 kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum (PRU-15).
Unjuran itu dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Beliau menganggap angka itu adalah yang paling realistik selepas prestasi buruk PH dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Memandangkan peluang untuk PH kembali berkuasa selepas PRU-15 adalah agak tipis, Rafizi berpandangan, PH patut berusaha memastikan ia kekal utuh sebagai blok pembangkang terbesar.
Walau bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pandan itu enggan mengakui hakikat bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal menyatupadukan PH sejak beliau mengambil alih teraju pakatan pembangkang itu daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Satu hakikat pahit yang terpaksa ditelan penyokong tegar Anwar termasuk Rafizi adalah PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-14 di bawah kepimpinan Dr Mahathir.
Walhal, di bawah naungan Anwar, PH dan parti-parti komponennya kalah teruk pada PRN Johor, Melaka, Sarawak dan Sabah.
PRN Johor turut menyaksikan perpecahan yang amat teruk dalam kem PH apabila PKR memutuskan untuk bertanding menggunakan logonya sendiri.
Mungkin ketaksuban melampau terhadap Anwar menyebabkan Rafizi tidak dapat melihat bahawa pemimpin kesayangannya itu merupakan punca masalah dalam PH.
Rejim PH yang dipimpin Dr Mahathir pun tumbang ekoran desakan bertubi-tubi agar jawatan Perdana Menteri diserahkan segera kepada Anwar selepas bekas banduan itu diberi pengampunan diraja dan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Mereka seolah-olah memandang remeh terhadap kebijaksanaan politik Dr Mahathir yang secara mengejut mengumumkan peletakan jawatan sehingga menyebabkan Kabinet terbubar.
Akibatnya, Anwar dan penyokong tegarnya terpaksa melopong apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dengan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PKR juga semakin tunggang-langgang apabila Anwar kembali menjadi Presidennya.
Ramai orang kuat parti termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Badrul Hisham Shaharin telah meninggalkan PKR yang semakin tidak tentu hala di bawah Anwar.
Melihat kepada situasi PKR dan PH yang berantakan di bawah Anwar, sasaran 80 kerusi Parlimen yang diletakkan oleh Rafizi adalah sukar untuk dicapai.
Faktor yang paling penting adalah, seperti pada PRN Johor dan Melaka, rakyat pasti menolak PH yang terbukti gagal melunaskan janji-janji populis mereka selepas berkuasa dahulu.
Satu-satunya cara bagi memastikan PH kekal sebagai pembangkang yang bertaring adalah dengan menyingkirkan Anwar pada pemilihan PKR yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Hanya Rafizi yang mampu melakukannya. Itu pun jika beliau benar-benar ikhlas mahu memulihkan semula PKR yang kini ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’.