Category: Politik

  • PAS sedia jumpa pemimpin parti politik termasuk Tun Mahathir – Abdul Hadi

    PAS sedia jumpa pemimpin parti politik termasuk Tun Mahathir – Abdul Hadi

    PAS bersedia untuk bertemu mana-mana pemimpin parti politik bagi membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), selagi ia berpaksikan kepada penyatuan ummah.

    Menurut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ia termasuklah dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk kerjasama politik.

    Katanya, PAS bersikap terbuka terhadap mana-mana parti yang menerima konsep dan perjuangan parti itu ke arah perpaduan ummah.

    “Ya, dengan siapa sahaja, kita jumpa… akan diaturkan. Insya-Allah dengan semua untuk menyatukan ummah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila, hari ini, lapor Harian Metro.

    Semalam, Pejuang mendedahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dalam usaha membentuk kerjasama baharu menjelang PRU-15.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilapor berkata, pertemuan itu berlangsung dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Mengulas mengenai pertemuan dua pemimpin berkenaan, Abdul Hadi berkata, PAS turut dimaklumkan mengenainya.

    “Ya (kita) dimaklumkan (pertemuan itu),” ujarnya.

    Sementara itu, Abdul Hadi meminta umat Islam di negara ini agar memanfaatkan kelonggaran diberikan kerajaan dengan mengimarahkan masjid dan surau seiring fasa peralihan ke endemik yang bermula hari ini.

    Menurut beliau, kebenaran untuk solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya selepas dua tahun larangan dikuatkuasakan berikutan pandemik COVID-19.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu tetap mengingatkan semua pihak agar terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mencegah penularan COVID-19, selain mengambil vaksin.

    “Alhamdulillah kita kena manfaatkan peluang kebebasan yang diberi ini untuk makmurkan masjid dan meneruskan kerja masing-masing.

    “Jangan takut dan pada masa yang sama kita mestilah jaga kesihatan, pencegahan kena jaga, vaksin kita ambil, kena ada ikhtiar,” katanya.

    Menurut Abdul Hadi, masyarakat perlu mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai usaha membendung jangkitan berkenaan daripada menjadi semakin buruk.

    Hari ini adalah hari pertama negara memasuki fasa peralihan ke endemik yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan termasuk pembukaan sempadan negara, selain kebenaran bersolat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal.

  • Jika saya dalam UMNO, saya gesa PRU-15 akhir Julai – Rafizi

    Jika saya dalam UMNO, saya gesa PRU-15 akhir Julai – Rafizi

    CALON Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat ramalan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam tempoh empat bulan dari sekarang.

    Malaysiakini yang memetik The Star melaporkan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu membuat jangkaan tersebut atas beberapa faktor.

    Antaranya adalah memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) yang memperuntukkan Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai dan tempoh berakhir musim mengerjakan ibadah haji.

    “Empat bulan adalah masa yang singkat (dari sekarang). Dan saya tidak terkejut jika ia diadakan pada bulan Ogos atau September.

    “Jika saya dalam UMNO, saya akan menggesa pilihan raya umum diadakan pada akhir Julai,” katanya.

    Beliau turut menyuarakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan sekali lagi jika pimpinan parti membenarkannya untuk berbuat demikian.

    “Ahli politik mesti fokus untuk berkhidmat kepada rakyat. Selalunya ahli politik berebut jawatan parti supaya dapat jawatan kerajaan.

    “Kebanyakan tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika berucap di forum Concorde Club.

    Menurut Rafizi, beliau telah mendapat sambutan menggalakkan setakat ini sejak menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, bersama dengan kempen ‘Ayuh Malaysia’.

    Rafizi berkata, kempen itu dimulakan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar menjelang PRU-15 dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menjadi sukarelawan untuk PKR.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Rafizi telah membuat kejutan dalam partinya, PKR, selepas mengumumkan beliau akan bertanding jawatan timbalan parti itu dalam pemilihan PKR akan datang.

    Ia mengejutkan banyak pihak memandangkan sebelum ini dia mengambil keputusan untuk berehat daripada politik pada 2019, walaupun pada masa sama menyandang jawatan Naib Presiden parti.

    Rafizi berkata, beliau kembali ke arena politik berikutan beberapa siri kegagalan PH dan PKR dalam empat pilihan raya negeri, yang terbaharu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan lalu.

    Reputasi Rafizi dalam PKR dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara dalam pelbagai isu semasa termasuklah konflik dalaman partinya.

    Sebelum ini, beliau telah beberapa kali mengkritik keputusan parti itu secara terbuka.

  • Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    PERSAINGAN menjelang pemilihan PKR semakin berbahang apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR akan berentap dengan Rafizi Ramli, dan setakat ini belum ada calon lain yang mengumumkan bertanding jawatan tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini, Saifuddin membuat pengumuman itu dalam perutusan khas selepas Mesyuarat Agung Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan Kelantan di Mulong, Kota Bharu.

    Saifuddin membangkitkan pengalamannya dalam PKR dan ketaatannya kepada pimpinan dan perjuangan parti selama lebih dua dekad dan memohon agar seluruh anggota memberi sokongan kepadanya.

    “Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi Presiden yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana sebelumnya membantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihan raya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya,” katanya.

    Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan mesyuarat agung tersebut.

    Saifuddin dan Rafizi sebelum ini pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, masing-masing pada 2014 dan 2018. Kedua-duanya tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Bekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga dikatakan akan bertanding jawatan itu, namun berkata sedia memberi laluan kepada Saifuddin.

    Sementara itu Saifuddin mengalu-alukan pengumuman awal Rafizi yang turut menawarkan diri.

    “Sejujurnya Rafizi merupakan aset parti, seorang yang kreatif, intektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.

    “Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru.

    Beliau juga komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri sebagai ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti

    Katanya, ia terbukti apabila turut mempersiapkan parti dalam menghadapi tiga pilihan raya umum sebelum ini, termasuk urusan rundingan kerusi, perangkaan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara.

    “Pada ketika lanskap politik negara sudah banyak berubah yang menyaksikan tiada lagi dominasi tunggal satu parti politik yang mampu menang pilihanraya, maka kemahiran diplomasi politik menjadi suatu keperluan.

    “Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti-parti sahabat di dalam PH dan parti-parti lain di negara kita.

    “Saya juga berjanji akan menghormati keputusan setiap anggota parti yang membawa maksud jika terpilih, saya akan tunaikan amanah dan jika sebaliknya saya akan terus kekal berkhidmat untuk PKR dalam apa jua peranan,” jelasnya.

  • PN tarik undi Melayu BN – Penganalisis

    PN tarik undi Melayu BN – Penganalisis

    PARTI-parti politik perlu mengambil kira peralihan generasi dalam corak pengundian menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pakar memetik beberapa perubahan dalam landskap politik negara ketika perbincangan terus hangat mengenainya.

    Menurut Pengasas Bersama Merdeka Centre, Ibrahim Suffian peralihan seperti itu dapat dilihat pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini, di mana lebih ramai pengundi muda Melayu menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding Barisan Nasional (BN) sementara kedudukan Pakatan Harapan (PH) ketinggalan jauh di belakang.

    “Corak pengundian generasi dan politik identiti masih memainkan peranan.

    “PN muncul sebagai alternatif kepada BN bagi pengundi Melayu, khususnya golongan muda,” katanya semasa webinar anjuran Institut Masa Depan Malaysia, hari ini, seperti yang dilaporkan oleh portal Malaysian now.

    Pada PRN Johor 12 Mac lalu, BN kehilangan kira-kira 8 peratus undi Melayu.

    Ketika PRN Melaka pada November tahun lepas, gabungan itu menyaksikan penurunan sokongan Melayu sebanyak 1 peratus sementara PH kehilangan kira-kira 55 peratus.

    Dalam pada itu, Felo Penyelidik dari Ilham Centre, Prof. Bersekutu, Dr. Hamidin Abd. Hamid pula berkata, jika dilihat dari segi corak pengundian di Johor, peranan pengundi baru terlalu dititikberatkan.

    “Bergantung kepada kawasan, di kawasan bandar dan separa bandar, belia sangat bebas dalam undi mereka,” katanya.

    “Di kawasan bandar, kita perhatikan pengundi muda banyak dipengaruhi rakan sebaya dan keluarga dari segi corak pengundian.

    “Namun persoalan besarnya, ialah apakah mereka akan keluar mengundi,” katanya merujuk kadar peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi muda di Johor.

  • Muhyiddin jumpa Tun M cadang kerjasama dalam PRU15

    Muhyiddin jumpa Tun M cadang kerjasama dalam PRU15

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengemukakan cadangan bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Perkara itu disahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Menurut Mukhriz, perjumpaan itu berlangsung sekitar dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Tan Sri Muhyiddin ada datang jumpa Tun (Mahathir) dua minggu lalu selepas PRN Johor. Dia mohon jumpa, Tun kata ‘ok’ untuk jumpa. Cadangan dikemukakan ialah untuk bergabung dengan semua (parti) walaupun dia (Muhyiddin) dalam kerajaan (Perikatan Nasional).

    “Setakat ini ‘approach’ sudah ada tetapi setuju atau tidak belum ada lagi. Mungkin saya boleh katakan buat masa ini kita kurang setuju dengan apa yang dicadangkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program bersama Pejuang Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini

    Menurut Mukhriz, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang turut menerima pelawaan daripada pembangkang untuk menjalinkan kerjasama dalam PRU-15, namun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

    Dalam pada itu, Mukhriz mengakui hubungan antara Tun Mahathir dan Muhyiddin kini agak dingin ekoran beberapa krisis yang berlaku sebelum ini.

    “Setakat ini hubungan masih dingin. Kena fahamlah ‘luka’ kami belum pulih lagi dan masih ‘berdarah’, namun kami faham demi negara dan rakyat tak ada benda yang kami tak sanggup buat kalau niat itu betul.

    “Namun, jika niat tak betul macam mana kami nak setuju, misalnya, tidak akan bergabung bagi tujuan melepaskan diri daripada mahkamah. Kami sejak awal lagi tidak mahu bersekongkol dengan mereka,” katanya.

  • Dah ada kedudukan dan kuasa, jangan lupa orang lain – Wan Saiful

    Dah ada kedudukan dan kuasa, jangan lupa orang lain – Wan Saiful

    PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar tidak mudah lupa pada orang lain selepas mendapat kedudukan dan kuasa.

    Peringatan itu disuarakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika mengadakan pertemuan dengan Jentera Penerangan Bersatu Sabah Selasa lalu.

    Menurut Wan Saiful, setiap pemimpin diingatkan agar tidak melupakan orang yang membantu mereka mendapat kedudukan tersebut.

    “Kedudukan itu bukan hasil seorang diri tetapi sudah pasti ramai yang berusaha secara bersama.

    “Parti ini tidak boleh membenarkan wujudnya sikap terlalu cepat terlupa jasa sahabat-sahabat.

    “Sebaliknya kita mesti membudayakan ukhuwah yang saling menghargai usaha dan sumbangan sebegitu ramai pejuang di sekeliling,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata,ukhuwah sebagai sahabat amat penting dalam perjuangan membawa perubahan.

    Tegas beliau, hubungan dalam parti bukan hanya birokrasi bersandarkan jawatan semata-mata.

    “Kita mesti jadikan hubungan sesama kita sebagai hubungan berteraskan persahabatan agar sahabat menjadi pelengkap kepada kelemahan diri sendiri.

    “Kita juga sentiasa lapang dada apabila ditegur dengan ikhlas oleh rakan-rakan seperjuangan,” katanya.

  • Manivannan tanding Naib Presiden PKR, Rodziah rebut Ketua Wanita

    Manivannan tanding Naib Presiden PKR, Rodziah rebut Ketua Wanita

    Bekas Ahli Parlimen Kapar Manivannan Gowin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR manakala Ketua Wanita PKR Selangor Rodziah Ismail turut mengumumkan akan merebut jawatan Ketua Wanita menerusi pemilihan parti itu Mei ini.

    Manivannan berkata, beliau bersedia untuk meneruskan perjuangan dalam parti itu khususnya menerusi kehadiran Rafizi Ramli ke arena politik yang dilihat memberi nafas dan definisi baharu.

    Katanya, keputusan Rafizi yang bersetuju untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi menerajui kepimpinan parti bersama Anwar Ibrahim menjadi masa depan dan wadah baharu PKR.

    “Gandingan dua generasi, veteran dan muda, kedua-duanya telah teruji dan terbukti. Ingat, jawatan merupakan satu amanat dan tanggungjawab. Kita memegang jawatan untuk berbakti kepada rakyat, bangsa dan negara berteraskan kejujuran, dedikasi dan kredibiliti.

    “Berasaskan pedoman dan prinsip yang sama, saya menawarkan diri dalam pemilihan parti untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR,” katanya dalam satu kenyataan, lapor FMT.

    Sementara itu, Rodziah pula berkata keputusan itu diambil berdasarkan pengalaman yang dimilikinya sebelum ini dalam memimpin pasukannya di Selangor.

    Katanya, ia ternyata menjadi bukti bahawa pasukannya boleh dipertanggungjawabkan untuk memimpin barisan Wanita PKR.

    “Berbekalkan pengalaman dan konsisten, saya bersedia berdiri di hadapan para anggota bagi memikul amanah selaku Ketua Wanita Keadilan bagi sesi 2022.

    “Secara konsisten dan tanpa gagal, semua hasil kerja pasukan pimpinan saya di Selangor boleh dipertanggungjawabkan bagi menjadi bukti amanah memimpin Wanita Keadilan,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan bahawa beliau akan akan mencabar Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Siddiq dalam persaingan merebut jawatan berkenaan pada pemilihan nanti.

    Pemilihan PKR kali ini menyaksikan persaingan dua pasukan diketuai calon timbalan presiden iaitu Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail.

    Difahamkan, Rodziah akan bersama pasukan Rafizi manakala Fadhlina pula menyertai Saifuddin.

  • Siapa boleh halang kluster mahkamah kembali ke Putrajaya?

    Siapa boleh halang kluster mahkamah kembali ke Putrajaya?

    SETELAH pembangkang mengalami kekalahan teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, persoalan timbul mengenai keupayaan pemimpin-pemimpin Melayu dalam menghentikan gelombang kebangkitan kumpulan kluster mahkamah yang diketuai oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Barisan pembangkang ketika ini sedang berpecah dan tidak mampu menyediakan satu kekuatan ampuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Sementara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti sanggup bekerjasama dengan kluster mahkamah ketika cuba menggulingkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020.

    Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin UMNO yang sedang didakwa atau sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah ekoran beberapa kesalahan dan dakwaan.

    Najib yang juga ahli Parlimen Pekan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM200 juta berhubung kes SRC International dan sedang memohon rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

    Zahid pula berdepan 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan dana Yayasan Akal Budi.

    MalaysiaNow pernah melaporkan perbualan telefon antara Anwar dan Zahid semasa Pemilihan Agung Umno 2020.

    Selain itu, MalaysiaNow turut mendedahkan surat Zahid dan Najib kepada Istana Negara yang menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri bagi menggulingkan Muhyiddin.

    Manakala Warisan di bawah Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini mendedahkan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), yang kini dikuasai Zahid dan Najib.

    Memetik portal MalaysiaNor, Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata harapan menjatuhkan BN dan kluster mahkamah tidaklah padam sepenuhnya walaupun dengan dua kekalahan sebelum ini.

    “Kalau kita lihat, hanya Dr Mahathir Mohamad sahaja yang tidak kuat, berbeza dengan Muhyiddin Yassin. Kalau pembangkang semua bergabung, Umno memang boleh kalah,” katanya kepada portal berita itu.

    Mazlan berkata, kekuatan  UMNO terletak kepada kepada sikap kelesuan politik rakyat yang mengakibatkan mereka tidak mahu turun mengundi di Johor dan Melaka.

    “UMNO ni pun tak kuat, hanya 35% sahaja daripada jumlah sokongan.”

    Mahathir yang juga pengerusi Pejuang menurut Mazlan berdepan cabaran dengan ketidakpercayaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) susulan perletakan jawatannya pada 2020.

    Katanya, Muhyiddin masih mempunyai wibawa walaupun masih belum mampu menyaingi Umno.

    Penganalisis politik dari USM, Ahmad Atory Hussain berkata, sekiranya kemenangan di Johor dan Melaka menjadi ukuran, PRU15 akan dimenangi oleh BN.

    “Alternatif kepada kluster mahkamah sudah tentu akan pergi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan atau Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    “Manakala Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang boleh menjadi saingan kpd BN sahaja, tetapi sukar untuk menang dan mentadbir kerana ketiadaan persepaduan jitu seperti pada PRU14 lepas,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Bagaimanapun pada ketika ini, Ismail, Mohamad dan Hishammuddin tidak menguasai UMNO dan BN, menyukarkan mereka untuk dijadikan sebagai alternatif.

    Menurut Atory, PN dan Pejuang yang membawa mesej integriti dan membanteras rasuah tidak mampu meyakinkan orang Melayu yang sememangnya tidak mengambil berat dengan isu-isu tersebut.

    Namun sama ada situasi itu masih kekal pada PRU15 masih belum diketahui, ekoran penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen.

    “Pengundi merasakan, buat apa mengundi kalau akhirnya melompat? Tapi kita tengok di Parlimen kelak, mungkin masa itu orang kembali berminat (turun mengundi),” katanya.

    Atory berkata, memandangkan sistem politik berparti di negara ini dipengaruhi kuat oleh Umno dan kluster mahkamah, sukar untuk parti bukan BN menjatuhkan mereka.

    Katanya, kekuatan kluster mahkamah disokong oleh hampir keseluruhan ketua-ketua bahagian dan cawangan.

    “Mereka punya strategi dan taktik tipu helah yang ampuh selain dana yang sangat banyak.

    “Ini sukar ditandingi parti-parti lain pada PRU15. Ketiga-tiga pemimpin yang dicadangkan itu akan membuat jajaran baru,” katanya.

    Sebelum ini, penganalisis menjangkakan Ismail akan mencabar  Zahid pada pemilihan Umno yang perlu dilangsungkan sebelum Disember tahun ini.

    Manakala Mohamad dilihat sebagai sekutu kepada Zahid dan Najib.

    Sehubungan itu, tarikh pilihan raya sebelum atau selepas pemilihan menjadi perdebatan pada Perhimpunan Agung Umno yang lepas.

    Sementara itu, felo kanan dari Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun berkata, naiknya Muhyiddin dan Ismail sebagai perdana menteri memberi harapan kepada pemimpin senior dari parti-parti lain yang kini mula mengharap kepada jawatan itu.

    Namun katanya sukar untuk mencari pemimpin yang berminda progresif atau reformis untuk melawan kluster mahkamah.

    “Saya tak fikir kita sedang melihat pemimpin progresif atau reformis.

    “Ini kerana keadaan sosioekonomi negara tidak begitu baik. Tarikan utama kluster, seperti yang kita lihat daripada kempen ‘Bossku’ ialah dalam waktu-waktu sukar, kami (pemimpin kluster mahkamah) akan menjaga anda dan memberi bantuan. Anda tidak perlu risau,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Oh berkata, pemimpin yang berpotensi menggantikan kluster mahkamah mesti mempunyai tarikan yang sama.

    Bahkan, janji-janji reformis dan progresif tidak cukup untuk memenangi hati pengundi.

    Menurutnya, janji-janji seperti itu bersifat jangka panjang.

    “Rakyat tidak boleh tunggu lama, mereka mahu anda menjaga mereka dalam jangka masa pendek,” katanya.

    Dalam Umno, katanya Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin antara tokoh alternatif yang boleh dipertimbangkan namun kedua-dua mereka juga belum mengasah daya tarikan seperti kluster mahkamah.

    “Hishammuddin juga tidak dikenali dengan polisi yang baik. Khairy berjaya menjadikan dirinya teknokratik sebagai pejuang menentang Covid-19 tetapi mengenai sara hidup, tidak ada. Dari satu sudut, sukar untuk menghalang kluster mahkamah kerana keadaan sosioekonomi negara ini,” katanya.

  • Adam Adli sah bertanding rebut jawatan Ketua AMK

    Adam Adli sah bertanding rebut jawatan Ketua AMK

    ADAM Adli Abdul Halim secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau akan bergandingan dengan Exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai salah seorang regunya yang bernaung dalam gabungan yang dinamakan sebagai Seangkatan.

    “Pasukan penuh yang terdiri daripada tiga orang calon naib ketua dan 20 orang calon exco AMK serta lima teras Seangkatan yang bakal dijadikan prinsip dan panduan menggerakkan kempen kali ini akan diumumkan dalam kenyataan bersama melalui majlis berasingan tidak lama lagi,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol, sudah mengumumkan secara rasmi rancangannya untuk menawarkan diri mengisi tempat yang akan dikosongkan penyandang sekarang, Akmal Nasir.

    Fahmi juga mengumumkan pasukannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Keat, dipilih sebagai regunya untuk jawatan Timbalan Ketua AMK.

    Adam Adli berkata, pemilihan kali ini adalah untuk memperkukuh kekuatan AMK selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan di luar pilihan raya, selain membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang kian hampir.

    Katanya, bagi menghadapi PRU ke-15, AMK perlu menampilkan tenaga yang paling kuat sebagai pemuka parti dan tunjang utama perjuangan reformasi.

    “Untuk mencapai tujuan tersebut bakat-bakat muda, lama dan baru yang mempunyai bukan sahaja cita-cita sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu AMK. Inilah cabaran yang harus kita sahut,” katanya.

    Adam Adli juga berharap pemilihan parti kali ini dapat berlangsung dengan penuh harmoni dan semangat persaudaraan.

  • PRU-15: Pejuang terbuka kerjasama dengan Bersatu, PAS

    PRU-15: Pejuang terbuka kerjasama dengan Bersatu, PAS

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak kisah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang terbuka untuk menjalinkan kerjasama tersebut asalkan parti-parti terlibat termasuk Bersatu dan PAS bersifat ikhlas dan bersih.

    “Kalau dia ikhlas dan bersih, kita terima. Kita tak kisah siapa pun,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada ahli kariah Masjid Nur Al-Naim, Jalan Makam Mahsuri di Langkawi, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan, dakwaan di media sosial mengenai penubuhan Gerakan Pejuang Nasional (GPN) yang turut melibatkan kedua-dua parti itu selain Gerakan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) setakat ini tidak berlaku.

    “Waktu ini kita tak bergabung dengan sesiapa sebab kalau kita nak bergabung dengan parti lain, mereka nak buat cara dia, kita nak buat cara kita.

    “Kita cuba berjuang untuk orang Melayu supaya orang Melayu tidak meminta-minta pada orang lain. Itu perjuangan kita tetapi orang yang datang dari parti lain, mereka asyik kira duit, nak bagi duit sana dan sini beli undi.

    “Itu kita tak bolehlah. Kita anggap beli undi itu satu jenayah, satu kesalahan,” katanya.

    Mengulas mengenai kekalahan Pejuang di Johor, Dr Mahathir berkata antara punca kekalahan tersebut adalah kerana parti itu tidak mempunyai duit.

    “Orang (parti) lain semua bagi duit sampaikan bila kita telefon orang untuk kempen supaya undi Pejuang, mereka tanya berapa nak bagi duit?

    “Dia kata UMNO bagi RM200 dan tanya nak bagi berapa? Kita kata tak boleh bagi apa pun pasal kita tak ada duit sedangkan parti ini hanya berjuang untuk bangsa dan negara.

    “Jadi dia tak undi kita, dia nampak RM200. Sedangkan RM200 itu boleh tahan lama mana?” katanya.