PAS bersedia untuk bertemu mana-mana pemimpin parti politik bagi membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), selagi ia berpaksikan kepada penyatuan ummah.
Menurut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ia termasuklah dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk kerjasama politik.
Katanya, PAS bersikap terbuka terhadap mana-mana parti yang menerima konsep dan perjuangan parti itu ke arah perpaduan ummah.
“Ya, dengan siapa sahaja, kita jumpa… akan diaturkan. Insya-Allah dengan semua untuk menyatukan ummah,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila, hari ini, lapor Harian Metro.
Semalam, Pejuang mendedahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dalam usaha membentuk kerjasama baharu menjelang PRU-15.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilapor berkata, pertemuan itu berlangsung dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mengulas mengenai pertemuan dua pemimpin berkenaan, Abdul Hadi berkata, PAS turut dimaklumkan mengenainya.
“Ya (kita) dimaklumkan (pertemuan itu),” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Hadi meminta umat Islam di negara ini agar memanfaatkan kelonggaran diberikan kerajaan dengan mengimarahkan masjid dan surau seiring fasa peralihan ke endemik yang bermula hari ini.
Menurut beliau, kebenaran untuk solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya selepas dua tahun larangan dikuatkuasakan berikutan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu tetap mengingatkan semua pihak agar terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mencegah penularan COVID-19, selain mengambil vaksin.
“Alhamdulillah kita kena manfaatkan peluang kebebasan yang diberi ini untuk makmurkan masjid dan meneruskan kerja masing-masing.
“Jangan takut dan pada masa yang sama kita mestilah jaga kesihatan, pencegahan kena jaga, vaksin kita ambil, kena ada ikhtiar,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, masyarakat perlu mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai usaha membendung jangkitan berkenaan daripada menjadi semakin buruk.
Hari ini adalah hari pertama negara memasuki fasa peralihan ke endemik yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan termasuk pembukaan sempadan negara, selain kebenaran bersolat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal.