Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti itu di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen .
Ketika memaklukan keputusan RoS itu, Setiasaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, kelulusan ROS itu berkuat kuasa hari ini.
‘’Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada Pendaftar, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM/ROS) pada petang Jumaat 29 Julai 2022.
Sukacita dimaklumkan bahawa RoS telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan UMNO. RoS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat),’’ katanya.
Beliau berkata, ia bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada 6 bulan selepas PRU-15 diadakan.
‘’Bagi pihak UMNO, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada RoS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO,’’ katanya.
ORANG Melayu dimomokan dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor sebagai tanda orang Melayu telah kembali kepada parti itu.
Namun hakikatnya, tegas Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya 23 peratus undi BN pada PRN Johor sebenarnya adalah jumlah undi yang sama dimenangi oleh BN pada PRN Johor Ke-14 dengan hanya kurang satu peratus pertambahan undi.
Beliau berkata dengan jumlah 379,886 undi, UMNO hanya mampu mengekal 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dengan jumlah undi yang lebih kurang sama, UMNO telah menguasai dua pertiga kerusi DUN Johor.
“Nyatanya, jumlah ini sebenarnya tidak mewakili keseluruhan sokongan orang Melayu pada satu parti tertentu. Walau bagaimana pun sesuatu yang harus diperakui, 45 peratus pengundi yang tidak keluar mengundi juga memberi indikasi bahawa parti pembangkang sama ada berbangsa berbilang-kaum atau cuba mengetengahkan alternatif kepada orang Melayu; masih tidak dapat diterima naratif atau tawaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada persidangan meja bulat Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di Kuala Lumpur, semalam.
Marzuki turut menegaskan, sebahagian rakyat termasuk orang Melayu mengalami defisit kepercayaan kepada politik.
‘’Manakala 13 peratus orang Melayu pula mencari alternatif kepada parti Melayu dan memilih Perikatan Nasional (PN),’’ katanya.
Mengenai DAP, beliau berkata, orang Melayu secara umumnya kekal tidak boleh menerima politik dan ideologi yang dibawa DAP/
‘’Ini dapat dilihat pada PRN Johor sebelum ini apabila undi Melayu kepada PKR mengalamai kemerosotan. Orang Melayu secara umumnya, kekal tidak boleh menerima parti DAP, politik dan idealogi mereka.
“Penolakan ini juga kelihatan lebih jelas dalam PRN Johor kepada PKR apabila sokongan Melayu kepada PKR jatuh dari 27 peratus kepada 9 peratus,’’ katanya.
MAJLIS Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Terengganu pada Sabtu ini, bakal menyaksikan kemeriahan luar biasa dengan jangkaan seramai 10,000 orang menghadiri majlis berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, majlis yang diadakan di Dewan Tok Guru, perkarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu itu akan dihadiri kesemua parti komponen termasuk daripada Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris. Foto: SatuBerita
“Pelancaran PN Terengganu sebenarnya adalah untuk membuktikan kepada rakyat Negeri Terengganu bahawa PN adalah satu gabungan yang meyakinkan kita menghadapi PRU15.
“Ia membuktikan kesungguhan yang tiada tolak bandingnya. Kesungguhan Pas, Bersatu, Gerakan menggembeleng tenaga untuk memastikan PN dapat mempertahankan Negeri Terengganu seperti mana yang kita ada pada hari ini,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Dalam pada itu katanya, semangat anak muda yang sebelum ini ‘suram’, dapat dilihat kebangkitan mereka yang secara sukarela membantu persiapan majlis berkenaan selama seminggu.
Razali berkata, ia merupakan bukti penerimaan rakyat Terengganu terhadap parti yang memperjuangkan rakyat dan berintegriti.
Anak muda terengganu gotong-royong memasang bendera Perikatan Nasional (PN) bagi persiapan Majlis Pelancaran PN Negeri Terengganu.
“Kalau kita tengok dalam seminggu, kita tengok kebangkitan anak-anak muda yang bersama-sama dengan kita, di kalangan mereka yang tidak pernah masuk parti, datang secara sukarela memasang bendera, memacak bendera bermula dari Jambatan Kuala Ibai hingga ke Jambatan Marang.
“Di situ kita nampak ada sokongan yang selama ini mungkin ‘sunyi’, ini satu permulaan yang saya lihat yang sangat baik. Penerimaan orang ramai kita nampak ada satu ‘base’ untuk memberi tawaran baharu kepada rakyat Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, majlis berkenaan bakal membuka tirai dengan ucapan alu-aluan daripada Menteri Besar merangkap Pengerusi PN Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, disusuli ucapan daripada Timbalan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum pelancaran disempurnakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pada masa sama kita sampaikan watikah pengerusi kawasan iaitu Parlimen, lapan Parlimen termasuk jawatankuasa negeri,” ujarnya.
Kata Razali, Masjid Rusila dipilih sebagai lokasi bagi mengadakan majlis berkenaan kerana kawasannya yang luas dan terdapat kemudahan sedia ada bagi mengadakan majlis.
“Kawasan ia luas, dan cukup untuk mengadakan majlis pelancaran.
“Kita buat pelancaran itu di tempat yang sudah ada dewan orang ramai, siap cuma kita tambah sikit-sikit. Saya rasa Rusila tempat yang terbaik, lagipun rumah Datuk Seri Abdul Hadi Awang di situ,” katanya.
Selain daripada majlis pelancaran, aturcara bermula pada pukul 9 pagi dimulakan dengan sesi dialog Ruang Belia – Majlis Pemulihan Negara (MPN), perjumpaan bersama nelayan serta jamuan rakyat, perjumpaan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, mesyuarat PN Negeri Terengganu, serta Kuliah Maghrib Khas oleh Ustaz Kamaruzaman Abdullah.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai terutamanya yang berada berdekatan untuk menghadiri bagi menzahirkan sokongan kepada PN seterusnya dapat memeriahkan serta menambah barakah majlis berkenaan.
TEKANAN dalaman UMNO khususnya dari kluster mahkamah dikatakan sebagai punca yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menunaikan terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dan Perikatan Nasional (PN).
Memetik laporan portal Berita Bersatu, Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sembilan, Iskandar Dzulkarnain Abdul Rahim percaya bahawa jalan terbaik yang perlu diambil untuk kestabilan kerajaan sekarang adalah dengan mengadakan pemilihan UMNO.
“Ini sekali gus melupuskan tanggapan bahawa UMNO-BN dikawal oleh ‘kluster mahkamah’ dan hanya menjadi alat individu tertentu melepaskan diri dari hukuman,” katanya ketika dihubungi Penerangan Bersatu.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN akan menghantar delegasi untuk menemui Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.
Iskandar Dzulkarnain Abdul Rahim mendakwa tekanan dalaman UMNO menyebabkan Ismail Sabri gagal menunaikan terma-terma penting dalam perjanjian antara beliau dan PN.
Antara isu yang dibangkitkan oleh Bersatu tetapi masih belum ada tindakan lanjut daripada kerajaan adalah berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri.
Isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri timbul baru-baru ini selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ismail Sabri.
Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.
Pada 9 Julai lalu, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri mengesahkan bahawa perjanjian berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu memang wujud.
Mengulas lanjut, Iskandar Dzulkarnain mempersoalkan tindakan pasif Ismail Sabri berhubung soal jawatan menteri di mana kuotanya daripada Bersatu.
Ini susulan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Sudah dua bulan berlalu Zuraida keluar parti, jawatan menteri patut diganti dari kuota Bersatu.
“Soal Ismail Sabri nak kekal sokongan tidak wujud. Baru-baru ini, beberapa RUU yang dibentang telah mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen blok kerajaan di Dewan Rakyat yang memberi gambaran Ismail Sabri masih kekal mendapatkan sokongan majoriti.
“Saya gesa beliau melaksanakan apa yang telah dijanji dengan segera. Itu mencerminkan maruahnya sebagai seorang PM,” katanya.
DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini, apabila RUU diluluskan, akan diadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara pada 8 Ogos 2022.
Bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos 2022 diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos 2022.
“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang tersebut akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September 2022,” menurut kenyataan itu lagi.
PENULIS yakin Perikatan Nasional (PN) akan dituduh kemaruk kuasa atau jawatan apabila Setiausaha Agung UMNO, Hamzah Zainuddin menyatakan PN kecewa dengan tindakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan gabungan itu.
Walaupun dalam kenyataan medianya, Hamzah tidak menyebut apa ‘terma-terma penting’ itu tetapi salah satunya pasti berkaitan dengan kedudukan dalam Kabinet khususnya melibatkan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi yang merupakan kuota Bersatu namun terus dinikmati oleh Zuraida Kamaruddin .
Isunya mudah, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dilantik ke jawatan itu atas kapasiti beliau berada dalam Bersatu. Maknanya, jawatan menteri itu kuota Bersatu, justeru apabila beliau meninggalkan Bersatu, maknanya Bersatu harus cari calon lain untuk menggantikannya.
Dan inilah perjanjian antara Ismail Sabri atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri dengan PN…ia tiada kaitan dengan UMNO, jadi pemimpin UMNO tak payah mahu menyibuk urusan Perdana Menteri. Janganlah dok ‘gatal mulut’ mahu menuduh PN kemaruk kuasa atau jawatan. Ini adalah soal perjanjian…setiap perjanjian harus dipatuhi bukannya dimungkiri.
Janganlah ketika mahu berkuasa atau tengah mencari kuasa, segala perjanjian atau MoU sanggup ditandatangani tetapi apabila kuasa sudah berada dalam genggaman dan merasa sudah kuat, semua buat-buat lupa.
Ketika ini sudah wujud persepsi bahawa walaupun Ismail Sabri adalah Perdana Menteri tetapi apa juga beliau lakukan harus merujuk kepada partinya UMNO dan kehendak pemimpin kanan parti berkenaan.
Sama ada betul atau tidak, itulah persepsinya. Semua orang tahu Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO tetapi dalam melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau perlu menggunakan kuasa dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Begitulah juga dalam soal perjanjian beliau dengan PN, kalaulah betul ada janji-janji harus ditunaikan, Ismail Sabri perlu menunaikannya. Janji tetap janji kecualilah Ismail Sabri merasakan, semua janji sudah tidak relevan lagi memandangkan PRU-15 yang didesak oleh pemimpin-pemimpin kanan UMNO kini di ambang pintu.
Kalau itulah alasannya, Ismail Sabri perlu berterus-terang berhubung kedudukan Zuraida dalam Kabinet. Janganlah hanya mendiamkan diri hingga akhirnya yang PN pula dituduh kemaruk kuasa. Jika beliau mahu kekalkan Zuraida, umumkan sahaja. Kenapa berteka-teki? Begitu juga bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, kalau memang tak boleh lantik, umumlah.
Melalui cara itu, semua akan jelas, tidak ada sesiapa yang akan berteka-teki atau mewujudkan persepsi termasuknya terhadap Ismail Sabri sendiri. Ketika ini orang melihat Ismail Sabri berada dalam keadaan lemah, kalau memetik kata-kata bekas Ahli Parlimen Pulai daripada UMNO, Nurjazlan Mohamed, “PM paling lemah’’ tetapi penulis tidak berpendapat begitu.
Apa yang berlaku kerana Ismail Sabri dilihat terlalu berhati-hati mahu menjaga hati semua pihak khususnya dalam UMNO. Sebagai Naib Presiden,Ismail Sabri tidak menguasai parti. UMNO diterajui dan dikuasai oleh Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden dengan dibantu oleh Mohamad Hasan serta diperkukuhkan oleh Najib Razak. Ismail Sabri dianggap ‘terperangkap’ bagaikan di luah mati emak, ditelan mati bapa!.
Bagaimanapun dalam isu perjanjian dengan PN, Ismail Sabri harus menyelesaikannya. PN tidak boleh dipersalahkan kerana melahirkan kekecewaan tersebut. Sebaliknya Ismail Sabri yang bertanggungjawab untuk menetapkan adakah perjanjian yang dibuat sebelum ini sudah terbatal atau ‘tidak lagi diperbaharui’ seperti MoU dengan Pakatan Harapan.
Kalau betul perjanjian dengan PN sudah tidak lagi relevan, Ismail Sabri perlu ada keberanian mengumumkan secara terbuka. Selepas itu terserahlah kepada PN membuat pendirian mereka. Ismail Sabri tidak perlu risau apa-apa jika disebabkan perjanjian itu PRU terpaksa diadakan lebih awal dan beliau menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah.
Mungkin ada yang berkata, ‘’bukankah Ismail Sabri poster boy BN’… dalam politik segala berkemungkinan dan kalau kita mungkir janji dengan orang lain, mungkin nanti giliran orang lain pula mungkir janji dengan kita. Itulah hukum kehidupan.
PERIKATAN NASIONAL (PN) kecewa dengan dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kekecewaan itu dilahirkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN semalam.
“Sehubungan itu, PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyebut secara terperinci tentang terma-terma perjanjian terbabit.
Antara isu yang dibangkitkan oleh Bersatu tetapi masih belum ada tindakan lanjut daripada kerajaan adalah berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri.
Isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri timbul baru-baru ini selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ismail Sabri.
Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.
Pada 9 Julai lalu, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri mengesahkan bahawa perjanjian berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu memang wujud.
Beliau yang terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian tersebut menyatakan, perjanjian yang tidak boleh didedahkan untuk siaran umum itu disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang lagi dari UMNO.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengatakan tidak salah bagi Muhyiddin membangkitkan tentang perkara itu tetapi pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.
Selain itu, Bersatu telah berulang kali menuntut hak agar salah seorang pemimpinnya dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar parti untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Sehingga kini, masih belum ada maklum balas yang konkrit daripada kerajaan tentang perkara itu.
Mesyuarat MT PN semalam turut menetapkan Majlis Pelancaran PN Terengganu pada 30 Julai ini serta penganjuran Konvensyen PN pada 27 Ogos depan.
PERIKATAN Nasional (PN) bakal menganjurkan konvensyen gabungan tersebut pada 27 Ogos ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada malam tadi.
“Mesyuarat pada malam tadi juga bersetuju untuk mengadakan Konvensyen PN pada 27 Ogos 2022 sempena sambutan ulang tahun kedua PN,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri presiden parti-parti komponen dan ahli Majlis Tertingginya, membincangkan persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya telah melaporkan beberapa perkembangan terkini PN termasuk pelancaran PN Kelantan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat di negeri Kelantan dan pelancaran PN Terengganu di Marang pada 30 Julai 2022,” ujarnya sebagaimana dilaporkan SatuBerita.
KERAJAAN dan pembangkang bersetuju bahawa perjanjian bertulis yang baharu bagi menggantikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang akan berakhir 31 Julai ini adalah tidak perlu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persefahaman tanpa bertulis demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik masih boleh diteruskan.
“Soal sambung atau tidak (MoU) tidak penting, yang penting adalah persefahaman untuk kepentingan rakyat diteruskan.
“Kita sama-sama setuju bahawa tidak perlu perjanjian baharu secara bertulis, tetapi persefahaman untuk kepentingan rakyat bagi menjamin kestabilan politik, boleh teruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, katanya, beberapa perkara dalam MoU antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH), tetap akan dilaksanakan, seperti mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dan undang-undang pendanaan politik.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau akur dengan keputusan parti itu agar tidak meneruskan perjanjian dan telah menyampaikan perkara berkenaan ketika perjumpaan bersama ketua parti-parti pembangkang baru-baru ini.
Ditanya mengenai tarikh tamat MoU berkenaan, Ismail Sabri berkata MoU itu sebenarnya hanya tamat apabila Parlimen dibubarkan.
Katanya, MoU yang ditandatangani itu hanya menyebut Pilihan Raya Umum tidak boleh diadakan sebelum 31 Julai ini dan bukan mengenai tarikh luput perjanjian.
Beliau juga menegaskan, pembubaran Parlimen tidak bergantung pada mana-mana perkara dan ia akan dibubarkan apabila tiba waktunya.
“Apabila saya anggap ia sampai waktu untuk bubar, saya bubarkan (Parlimen), sama ada tahun ini atau tahun depan,” katanya.
Pada 13 September 2021, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu. – BERNAMA
SESEORANG Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’.
Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.
Pindaan Perlembagaan yang digubal itu mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu.
“Fasal baharu 4 bertujuan untuk memasukkan Perkara baharu 49A ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata perkara sama turut terpakai kepada Ahli Parlimen Bebas yang setelah dipilih ke Dewan Rakyat menyertai suatu parti politik.
“Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya.
Ismail Sabri berkata, bagaimanapun seseorang Ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.
Rang undang-undang itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.
“Fasal baharu 3 bertujuan untuk memotong Fasal (6) Perkara 48. Pemotongan ini akan membolehkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat dan dengan demikian kehilangan kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai,” katanya.
Ismail Sabri berkata, turut dimasukkan dalam rang undang-undang itu ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong, boleh dengan kebenaran ketua negeri untuk menjadikan undang-undang ini terpakai di peringkat negeri menerusi pewartaan.
Perenggan 1 bertujuan untuk memasukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan berkenaan dengan fasal 6, iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh, dengan persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi suatu Negeri, menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa bagi fasal itu dalam Negeri itu.
“Dalam erti kata lain, perenggan ini memberikan ruang kepada kerajaan negeri/Dewan Undangan Negeri untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pertimbangan sewajarnya dan perbincangan lanjut dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti terhadap semua persoalan berbangkit berkaitan rang undang-undang itu.
Ia termasuk implikasi penggubalan peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan perkara itu kepada Ahli Dewan Rakyat.
“Jawatankuasa Pilihan Khas juga menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk NGO, CSO, ahli akademik dan parti politik, antaranya The Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Malaysia 5 Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR).
“Kesemua input dan pandangan yang diterima daripada ahli-ahli Jemaah Menteri, NGO, CSO, ahli akademik dan parti politik itu diteliti dan dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya. – BERNAMA