DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini, apabila RUU diluluskan, akan diadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara pada 8 Ogos 2022.

 Bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos 2022 diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos 2022.

“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang tersebut akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September 2022,” menurut kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here