PERIKATAN NASIONAL (PN) kecewa dengan dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kekecewaan itu dilahirkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN semalam.

“Sehubungan itu, PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyebut secara terperinci tentang terma-terma perjanjian terbabit.

Antara isu yang dibangkitkan oleh Bersatu tetapi masih belum ada tindakan lanjut daripada kerajaan adalah berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri.

Isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri timbul baru-baru ini selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ismail Sabri.

Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.

Pada 9 Julai lalu, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri mengesahkan bahawa perjanjian berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu memang wujud.

Beliau yang terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian tersebut menyatakan, perjanjian yang tidak boleh didedahkan untuk siaran umum itu disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang lagi dari UMNO.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengatakan tidak salah bagi Muhyiddin membangkitkan tentang perkara itu tetapi pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.

Selain itu, Bersatu telah berulang kali menuntut hak agar salah seorang pemimpinnya dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar parti untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sehingga kini, masih belum ada maklum balas yang konkrit daripada kerajaan tentang perkara itu.

Mesyuarat MT PN semalam turut menetapkan Majlis Pelancaran PN Terengganu pada 30 Julai ini serta penganjuran Konvensyen PN pada 27 Ogos depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here