TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli, menegaskan beliau ‘tidak meminati’ Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya hanya mahu memastikan bekas Perdana Menteri itu menanggung kesalahan yang didakwa dan meringkuk dalam penjara dengan disabitkan oleh mahkamah.
Beliau menempelak sindiran Najib yang memaklumkan dirinya tidak berminat pada bekas Ahli Parlimen Pandan itu, susulan Rafizi dilihat menjadikan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkenaan sebagai sasaran serangan selepas kembali aktif berpolitik.
Rafizi berkata, beliau juga tidak berminat pada Najib, namun terpaksa menggalas tanggungjawab untuk terus mendedahkan dakwaan kesalahan dan taktik Ahli Parlimen Pekan itu, kepada rakyat.
“Saya tidak berminat dengan Najib. Sebagai pimpinan utama parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib.
“Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini, telah menjatuhkan Najib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Minat sebenar saya ialah memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Pada Konvensyen BN Selangor semalam, Najib menyifatkan Rafizi berlagak seperti pejuang rakyat selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri daripada arena politik.
Sebelum ini, Rafizi secara terbuka memaklumkan enggan lagi aktif berpolitik, kira-kira setahun selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14, dan ketika gabungan itu mula dihimpit pergolakan dalaman susulan isu jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun pada 15 Mac lalu, Rafizi mengumumkan hasrat untuk kembali aktif dalam arena politik selepas PH dan PKR tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mengulas lanjut, Rafizi turut menggesa semua pimpinan pembangkang untuk terus membalas tindakan dikatakan propaganda Najib, khususnya dalam media sosial, yang didakwa bertujuan untuk menggambarkan dirinya tidak bersalah.
Pada masa sama, beliau berkata, pembangkang perlu membentangkan idea untuk memperbaiki kebajikan dan menyelesaikan masalah rakyat, sekali gus menunjukkan bahawa sebahagian besar masalah terbabit didakwa berpunca daripada salah tadbir Najib ketika menjadi Perdana Menteri.
“Keupayaan pimpinan PKR dan PH mengutarakan kedua-dua perkara ini secara serentak adalah kunci kemenangan PKR/PH pada PRU akan datang,” katanya.
PARTI Bersatu tidak terkejut dengan pelantikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, berkata walaupun Tengku Zafrul dikatakan mesra Bersatu selepas dilantik menteri semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak pernah menghadiri program parti itu.
Beliau berkata, Bersatu sejak awal mengetahui Tengku Zafrul adalah ahli UMNO dan Muhyiddin tidak pernah mensyaratkan beliau perlu menyertai Bersatu untuk dilantik sebagai Menteri Kewangan.
“Saya tidak terkejut kerana Tengku Zafrul tidak mesra Bersatu sebagai contoh beliau tidak pernah hadir dalam aktiviti parti,” katanya kepada portal FMT.
Sehubungan itu Razali menolak dakwaan kononnya Bersatu gagal menjadi tarikan selepas Tengku Zafrul memilih terlibat secara aktif dalam UMNO dan BN dengan memegang jawatan dalam parti, sambil menjelaskan Bersatu berjaya menarik ramai profesional baharu lain.
“Ramai ahli baru Bersatu daripada kalangan professional cuma kita tidak pernah memujuk Tengku Zafrul sertai Bersatu. Bersatu terbuka kepada sesiapa yang sehaluan dalam perjuangan tolak rasuah, salah guna kuasa dan prihatin rakyat.
“Tengku Zafrul boleh ke mana saja yang beliau suka, beliau tidak terikat dengan Bersatu. Beliau hanya dilantik menteri kewangan dan tidak diminta masuk Bersatu,” katanya.
SKANDAL 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai isu basi dan tidak lagi dipedulikan seperti dinyatakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan adalah suatu yang amat memalukan dan satu lagi tragedi terkini kepada bangsa Melayu.
Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, kenyataan pemimpin kanan BN itu mencerminkan nilai prinsip kepemimpinan UMNO yang cetek dan keangkuhan beliau yang tidak peka kerana menafikan sentimen akar umbi termasuk kemarahan rakyat.
‘’Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan bangsa Melayu dan negara. Jadi, bagaimana dalam satu tempoh yang singkat, Mohamad Hasan boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini.
‘’Sebaliknya, apabila Timbalan Presiden UMNO itu dengan ‘bangga’ mengatakan isu skandal 1MDB sudah basi dan tidak lagi dipedulikan rakyat maka itu satu lagi tragedi melanda bangsa Melayu kerana memiliki pemimpin yang sanggup mengabaikan perasaan dan kepentingan seluruh bangsa itu semata-mata untuk mempertahankan seorang pemimpin tertentu,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, kata beliau Bersatu Johor mendesak Mohamad meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut secara terbuka kerana ia telah melukakan hati, memalukan serta mencemarkan maruah seluruh bangsa Melayu.
“Rakyat sama sekali tidak akan memaafkan dan melupakan skandal mega seperti 1MDB. Fakta kes ini tidak boleh dipadamkan. Mohamad mesti ingat, kemarahan dan kekecewaan akar umbi pada UMNO telah ditunjukkan melalui protes senyap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu apabila peratusan pengundi keluar untuk memilih calon, merosot dengan mendadak.
‘’Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), rakyat akan menunjukkan protes seterusnya pada PRU15. Kemenangan calon BN pada siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN dalam tempoh dua tahun lalu tidak boleh dianggap kerana kekuatan BN tetapi disebabkan faktor lain termasuk ketidaksepakatan pembangkang,’’ katanya.
TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja 16 Julai lalu timbul spekulasi kononnya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ‘sedang mengemas’ pejabat Menteri Besar Kedah bagi mengosongkan jawatan itu.
Mula-mula terkejut juga dengar khabar angin tersebut, tetapi tak lama kemudian tergelak kecil memikirkan siapa punya angkara pula yang mahu memporak-perandakan negeri Kedah yang ketika itu sedang menguruskan tragedi Gunung Inas di Baling.
Lebih geli hati, dakwaan itu mengatakan Muhammad Sanusi membuat keputusan drastik itu kerana ada kaitan dengan bencana terbabit. Walhal siang malam beliau turun ke lapangan untuk membantu mangsa.
Dakwaan itu pula dimainkan hanya selepas dua bulan Muhammad Sanusi genap dua tahun menjadi Menteri Besar Kedah ke-14 sejak 17 Mei 2020.
Walaupun bukan menjadi Menteri Besar dan membentuk kerajaan Kedah melalui pilihan raya, tetapi mandat dan perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sudah diberikan untuk ADUN Jeneri itu menerajui negeri jelapang padi ini.
Memang dalam politik tiada perkara mustahil boleh berlaku, tetapi tidak patut rasanya selepas beliau beraksi cemerlang mengemudi Kedah bersama pasukannya, tiba-tiba sahaja mahu ditukarkan.
Kedah dan sejarah Menteri Besar ‘digulingkan’ memang tidak boleh dipisahkan. Namun, dalam hal ini tunggu sekejap kalau mahu tukarkan Muhammad Sanusi pun.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) sudah tidak lama lagi, apa salahnya beri ruang Muhammad Sanusi mentadbir sehingga habis penggal ke-14 ini. Tidak kesiankah rakyat yang sedang menderita dalam pelbagai perkara ketika ini nak melayan drama politik tidak habis-habis.
Rakyat sudah menaruh harapan kepada kerajaan negeri ketika ini. Apa salahnya sekali-sekala hargai mereka pula untuk hidup dengan tenang tanpa hiruk-pikuk politik.
Kedah pun bukan ada isu seperti sesetengah negeri yang mana Menteri Besar mereka didakwa dibayangi orang lain. Muhammad Sanusi mendapat sokongan jitu untuk mentadbir Kedah, baik dari Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau UMNO.
UMNO pun mungkin sedar kalau mereka tarik sokongan yang kini hanya dianggotai dua wakil dalam kerajaan tidak akan memberi apa-apa kesan. Mereka sangat minoriti. Lebih baik duduk sahaja jaga rakyat sampai Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bubar.
Nanti masa PRU-15 bertandinglah. Jangan risau kerana rakyat Kedah ini cerdik dalam berpolitik. Mereka tahu nak pilih siapa untuk mewakili mereka. Kalau pemimpin itu berkhidmat cemerlang menanglah dia sekali lagi.
HARAPAN untuk melihat Pulau Pinang melakar sejarah pertama kali ditadbir parti Melayu-Islam pernah wujud sewaktu terbentuknya gagasan Muafakat Nasional (MN).
Ketika itu, kekuatan politik berteraskan Melayu dan Islam khususnya antara ahli UMNO dan Pas dilihat menjadi formula terbaik untuk merampas Pulau Pinang daripada DAP.
Impian itu menjadi lebih nyata dengan kemunculan Perikatan Nasional (PN) kemudiannya yang menyaksikan ikatan dan perpaduan politik orang Melayu-Islam semakin kukuh dan tidak lagi dipecah-belahkan mengikut kecenderungan politik masing-masing.
Jika dilihat kepada komposisi pengundi di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, impian itu boleh menjadi kenyataan meskipun pada dasarnya pengundi Cina adalah majoriti di negeri itu.
Ini kerana daripada 40 kerusi DUN itu, sekurang-kurangnya 17 DUN majoriti pengundinya ialah Melayu yang hampir pasti dimenangi calon Melayu-Islam sama ada daripada UMNO, Pas atau PN.
Tiga lagi kerusi DUN yang diperlukan bagi melengkapkan 20 kerusi untuk majoriti mudah pula boleh disumbangkan oleh mana-mana parti berasaskan kaum lain yang mesra BN atau PN.
Bagaimanapun, keegoan UMNO yang semakin tidak terbendung terutama selepas kemenangan beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) merencat kerjasama politik orang Melayu-Islam termasuk di Pulau Pinang.
Seperti mana UMNO meletakkan batu nisan kepada MN yang secara tidak langsung menamatkan kerjasama dengan Pas, hubungan parti itu dengan PN pula dilihat lebih parah dan sudah terbelah.
Dengan senario semasa politik itu, maka hancur dan musnahlah impian orang Melayu di Pulau Pinang untuk menyaksikan negeri itu dipimpin oleh Ketua Menteri daripada parti politik Melayu-Islam.
Sebab itu ramai yang hanya mampu menggeleng kepala dan senyum sinis apabila Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat melaungkan keyakinan BN mampu merampas tampuk kuasa daripada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jika keyakinan itu berdasarkan laporan dan penilaian semasa yang diberikan tiga parti komponen BN iaitu UMNO, MCA dan MIC, maka Tok Mat tidak diberikan gambaran sebenar apa yang sedang berlaku di peringkat akar umbi parti atau dalam kalangan rakyat iaitu pengundi.
Hakikatnya penduduk Pulau Pinang seolah-olah tidak pernah merasakan kewujudan pemimpin-pemimpin BN sama ada daripada UMNO, MCA atau MIC sejak berakhirnya PRU-14.
Tsunami kebangkitan rakyat ketika itu benar-benar melenyapkan pemimpin BN di Pulau Pinang sehingga ke hari ini sehinggakan sangat sukar untuk melihat jentera parti itu di semua peringkat turun padang mendekati rakyat.
Dalam isu-isu melibatkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri DAP misalnya, suara pemimpin BN yang sepatutnya menjadi pembangkang yang melakukan kerja ‘semak dan imbang’ juga lama hilang dan langsung tidak kedengaran.
Dalam soal ini, pujian harus diberikan kepada parti komponen PN iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang tidak pernah terlepas mempersoalkan dasar dan polisi Kerajaan Negeri DAP yang dilihat menekan dan tidak menguntungkan rakyat.
Begitu juga dalam isu-isu melibatkan alam sekitar seperti tambak laut dan pembangunan lereng bukit yang cukup sensitif di Pulau Pinang yang sepatutnya dijuarai pemimpin pembangkang seperti BN.
Namun sejak sekian lama, isu-isu ini serta banyak lagi isu lain telah diambil alih peranannya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili suara penduduk yang bimbang dengan ancaman jangka panjang daripada projek pembangunan mega yang dirancang Kerajaan Negeri DAP.
Maka, dari mana datangnya keyakinan Tok Mat dan seluruh jentera BN untuk merampas Pulau Pinang daripada DAP ketika parti-parti komponen mereka sama ada UMNO, MCA atau MIC seolah-olah hidup segan mati tak mahu sejak PRU-14 sehingga kini?
Apa yang membuatkan keyakinan Tok Mat dan BN untuk merampas Pulau Pinang itu hanyalah angan-angan Mat Jenin juga adalah kerana keyakinan pengundi terhadap DAP khususnya di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika ini sangat tinggi.
Kon Yeow boleh dikatakan pemimpin DAP yang terselamat daripada ‘kebencian’ melampau rakyat terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas kegagalan mereka sebagai Kerajaan Pusat selama 22 bulan selepas PRU-14.
Ini kerana Kon Yeow tidak seperti kebanyakan pemimpin DAP lain, berjaya memisahkan diri beliau daripada permainan politik keterlaluan sebaliknya memberi tumpuan untuk membangunkan Pulau Pinang bukan hanya untuk kaum Cina, malah untuk semua kaum dan agama.
Beberapa dasar dan polisi kerajaan negeri di bawah pentadbirannya juga berjaya memberikan kelegaan besar kepada rakyat terutama ketika tempoh penuh mencabar sepanjang fasa pandemik Covid-19.
Malah, dalam banyak bidang sama ada pelaburan; kesihatan; pelancongan dan sebagainya, Pulau Pinang di bawah pentadbiran Kon Yeow dilihat paling terkehadapan berbanding negeri-negeri lain sekali gus menjanjikan masa depan yang cerah buat penduduk negeri itu.
Sebab itu untuk satu tempoh yang lebih panjang, BN hanya mampu bermimpi untuk merampas semula Pulau Pinang daripada DAP.
PEGAWAI khas kepada perdana menteri Kamarul Zaman Yusoff menyelar pihak yang “memfitnah” Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mensabotaj parti dan menggesa mereka agar “bertaubat”.
Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, pindaan perlembagaan Umno yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Jumaat lepas membuktikan Ismail Sabri ialah “orang parti” yang membelakangkan kepentingannya sendiri.
“Secara logiknya, jika Ismail Sabri mahu menguatkan kedudukan di dalam Umno, beliau akan berusaha memastikan pindaan ini ditolak oleh JPPM atau diterima JPPM tetapi hanya dikuatkuasakan selepas pemilihan Umno seterusnya.
“Sebaliknya, jika pindaan ini diterima oleh JPPM, maka status quo barisan kepimpinan Umno sekarang akan kekal di mana para penyokong Ismail, malah mungkin beliau sendiri, boleh diketepikan sebagai calon Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Eloklah juga jika mereka yang menuduh Ismail Sabri mahu mensabotaj parti dapat bertaubat dan memohon ampun dengan Allah kerana memfitnah,” katanya dalam kenyataan.
Kamarul Zaman Yusoff
Katanya lagi, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut berdepan tuduhan yang sama, bahawa beliau akan menggunakan kuasanya untuk mengarahkan JPPM menolak pindaan ini.
“Rasional yang digunakan adalah memaksa Umno mengadakan pemilihan sebelum PRU15 berlangsung pastinya akan memberikan kelebihan kepada Bersatu, yang dianggap sebagai saingan utama Umno, (pada) PRU15.”
Kamarul turut menzahirkan penghargaannya terhadap Hamzah atas sikap profesionalnya menangani isu ini, serta Ketua Pengarah JPPM Mohd Nawardi Saad “yang tidak melatah dalam melaksanakan tugas”.
Jumaat lepas, Ahmad dilaporkan berkata, JPPM meluluskan pindaan perlembagaan Umno agar pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU.
Ahli Parlimen Pontian itu juga berkata, tarikh pemilihan bagi 22,000 cawangan, yang sebelum ini ditetapkan pada September, akan ditetapkan semula pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 4 Ogos.
Dalam pada itu, Kamarul berkata, tindakan JPPM membenarkan pemilihan ditangguhkan kepada enam bulan selepas PRU sebenarnya sama dengan pindaan kepada Perlembagaan MCA yang diluluskan oleh JPPM sebelum ini.
“Inilah juga sebenarnya pindaan yang dibuat ke atas Perlembagaan MCA yang diluluskan oleh JPPM sebelum ini, iaitu kebenaran menangguhkan pemilihan enam bulan selepas PRU berlangsung, tanpa adanya pilihan ke atas penangguhan pemilihan selama 18 bulan.
“Memasukkan syarat bahawa satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat) juga adalah langkah bijak JPPM bagi memastikan kelonggaran ini tidak disalahgunakan untuk mengurangkan amalan demokrasi dalam Umno,” katanya.
PAS masih terbuka untuk mendukung agenda penyatuan ummah termasuk dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagaimanapun, beliau berkata segalanya bergantung kepada UMNO yang dilihat bergerak secara ‘solo’ dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Kita (PAS) masih mendukung hasrat untuk penyatuan ummah…kami lihat perlunya tiga parti ini (Bersatu, PAS, UMNO) duduk bersama. Dalam politik, PAS berdaftar sebagai komponen Perikatan Nasional (PN), kita bergerak dalam konteks PRU, kecuali Barisan Nasional buat keputusan berbeza kita bincang semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Himpunan Hijau 3.0 di sini, malam tadi yang turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan pimpinan PAS Pahang.
Mengulas pembahagian kerusi calon PAS di Pahang, Tuan Ibrahim berkata perbincangan mengenai kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masih belum diadakan.
“Bergantung kepada perbincangan dan kami akan buat keputusan selepas itu, berapa jumlah calon dan sebagainya bergantung kepada perbincangan dalam PN,” katanya. – BERNAMA
PAKATAN Harapan (PH) menyatakan bahawa Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berkuat kuasa selepas 31 Julai.
Memetik laporan FMT, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, yang tamat secara automatik hanyalah larangan membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai.
Menurut beliau, beberapa perkara lain dalam MoU tersebut masih belum dipenuhi.
“Yang belum (selesai) ia soal pentadbiran, soal penyelewengan dan rasuah ini memang satu hal perlu diketengahkan kerana ia menjadi seolah-olah kegiatan harian. Ada saja terbongkar mengenai wang rakyat yang tidak diuruskan dengan baik,” katanya kepada pemberita di Port Dickson.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memberitahu, PH juga tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan isu kenaikan harga barang.
“Kita masih belum berpuas hati tentang urusan mengawal harga barang, kos sara hidup yang sangat menekan rakyat padahal menteri-menteri masih dengan cara mereka, dengan belanja dalam jumlah yang besar,” jelasnya.
Ditanya sama ada PH bersedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekarang, Presiden PKR itu berkata, mereka bersedia dengan jentera yang akan bertindak sekiranya Parlimen dibubarkan.
“Kalau ada pilihan raya, saya baru bincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, kita siap sedia tetapi keutamaan dia adalah ekonomi sekarang.
“Tanggungjawab kerajaan ialah mengendali urusan ekonomi dengan baik supaya dapat meringankan beban rakyat,” ujarnya.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) agar berhenti menyerang kerajaan dan ‘tembak sesama sendiri’.
Beliau turut merayu kepada mereka agar tidak melabelkan pentadbirannya sebagai ‘kerajaan gagal’.
Memetik laporan FMT, beliau berkata, tindakan tersebut hanya memberi ‘bola tanggung’ kepada pembangkang dalam suasana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.
Naib Presiden UMNO itu berkata, pembangkang juga akan menggunakan alasan serupa untuk menyerang BN dan kerajaan.
“Masalah sekarang kita kurang dapat sokongan orang kita sendiri, yang dok balun kita… orang kita. Kalau kita kata kerajaan hari ini kerajaan gagal, tentu saja pembangkang akan guna alasan sama.
“Cukuplah tembak sesama sendiri, sebab dalam PRU kita bukan tembak sesama sendiri. Sebab itu dari sekarang kita kena serang pembangkang.
“Macam mana kita nak yakinkan rakyat jika PRU berlaku tiga, empat bulan lagi kalau orang kita yang burukkan kita sendiri,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO termasuk Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilihat lantang mengkiritk kepimpinan Ismail Sabri dengan melabel Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.
“Percayalah pada PM, kita tahulah apa kita buat. Ni tak percaya sentiasa, tak boleh lah macam tu,” tambah Ismail.
Mengulas mengenai pemilihan calon pada PRU-15, Ismail Sabri meminta mana-mana pemimpin yang tidak dipilih agar tidak mensabotaj calon parti.
Sebaliknya, mereka perlu sama-sama berusaha memastikan BN mampu menawan semula kerusi pembangkang di samping mempertahankan kubu sedia ada.
“Ada yang dapat bertanding, ada yang tidak. Yang layak ramai, semua layak. Ketua bahagian, ketua cawangan semua layak tapi kita hanya dapat pilih satu kerusi saja untuk Parlimen.
“Yang tak dapat jangan merajuk, merajuk nak masuk gua dua tiga bulan saya faham, sebab nak ubati jiwa yang gundah. Itu boleh… yang tak boleh, sabotaj kawan bertanding, kita kena ingat yang bertanding tu bukan diri tetapi parti, kita tanding guna lambang BN, bukan muka calon,” ujarnya.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kehadiran lebih 10,000 penyokong pada majlis pelancaran PN Terengganu di pekarangan Masjid Rusila, Marang malam tadi sebagai lembaran baharu dalam politik negara.
Berikut adalah hantaran beliau dalam Facebook bagi mengulas tentang majlis pelancaran tersebut:
Alhamdulillah majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Terengganu malam tadi berlangsung dalam suasana meriah dan mendapat sambutan hangat.
Saya merasa terharu melihat kehadiran lebih 10,000 penyokong PN di pekarangan Masjid Rusila, Marang.
Kehadiran orang ramai sehingga melimpah ruah ke kawasan luar khemah utama mengingatkan saya kepada pemandangan yang sama ketika majlis pelancaran PN Johor dan Kelantan sedikit waktu dahulu.
Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin
Ini merupakan satu lembaran baharu dalam politik tanah air dan menjadi petanda penerimaan rakyat terhadap gabungan parti dalam PN.
Selain itu kehadiran kepimpinan tertinggi peringkat nasional dan negeri pada majlis ini juga membuktikan PN sudah bersedia untuk menjadi satu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia.
Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini keberadaan kita dalam politik negara adalah untuk memberi pilihan yang lebih baik kepada rakyat bagi menjadikan Malaysia lebih maju dan lebih makmur.
Pada majlis tersebut saya turut menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Perhubungan PN negeri kepada Menteri Besar Terengganu YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan ketua-ketua Perhubungan kawasan.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan Pas Negeri di bawah kepimpinan YB Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, YAB Datuk Dr. Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN Terengganu yang berjaya menganjurkan majlis ini dengan cemerlang.
Tahniah dan syabas juga kepada Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) negeri di bawah kepimpinan Datuk Razali Idris yang bekerja keras dalam menjayakan majlis bersejarah ini.