PERIKATAN Nasional (PN) Pahang sudah membuat ketetapan untuk untuk kekal bertanding di kerusi yang telah dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesepakatan itu telah dicapai bersama parti gabungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan dalam sesi perbincangan sebelum ini.
“Baki kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain akan dibincangkan pada sesi selanjutnya bersama rakan gabungan dalam PN.
“Formula yang sudah disepakati ialah Bersatu tidak akan ambil atau bertanding kerusi yang pernah dimenangi oleh parti sedia ada. Contohnya Parlimen Indera Mahkota, calonnya adalah dalam kalangan ahli Bersatu, siapa calon itu akan diputuskan kemudian.
“Begitu juga dengan lapan kerusi DUN yang dimenangi Pas, mereka akan meletakkan calon dalam kalangan parti itu untuk bertanding pada PRU-15.
“Gerakan tidak akan minta kerusi yang telah dimenangi Pas, selepas itu baharu kita tengok kerusi tumpuan dan siapa paling sesuai untuk bertanding,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai pengagihan kerusi PN bagi menghadapi PRU-15.
Sebelum itu, beliau merasmikan Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara Sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022 di sebuah hotel di Kuantan.
Beliau menjelaskan PN masih lagi melihat formula yang sesuai dan keputusan itu akan dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi PN.
“Ini adalah formula lazim dilakukan oleh mana-mana parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang perlu mendapatkan keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
Dalam pada itu, Saifuddin menambah, persefahaman rakan gabungan parti PN di Pahang sangat baik apabila semua perbincangan diadakan secara aman.
MURSYIDUL Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata, partio itu tidak pernah menutup ruang untuk proses kerjasama walaupun Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO menyatakan pendirian untuk bergerak solo dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Namun katanya, kebaikan Pas itu perlu dibalas dengan tindakan yang memberi manfaat kepada kesepakatan umat, bukannya amalan ‘tikam belakang’ seperti dilakukan pihak tertentu ketika ini.
Menurutnya, beliau antara orang yang paling gembira apabila Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO ditandatangani, yang menyatukan dua parti yang selama ini tidak sehaluan.
Sehubungan itu, beliau berharap situasi ketika ini, susulan kenyataan, kritikan serta tindakan yang diambil, tidak menjadi punca kerjasama yang dijalinkan sebelum ini terlerai begitu sahaja.
“Kita berharap supaya berdamai. Hendak berkawan, marilah. Kalau nak lawan, tunggu. Kita berhenti dulu yang nak lawan, mari kita berkawan.
“Saya tak pernah berhenti bercakap (mengenai perpaduan). Cuma kita harap satu sahaja, walaupun pihak kita sedia untuk buka tangan menerima, janganlah dok tikam belakang, jangan rosakkan perpaduan yang kita sepakati bersama.
“Saya cukup sayang (kerjasama Pas-UMNO). Kalau dulu sebelum tandatangan (piagam), UMNO dan Pas tidak boleh dekat, ada saja tak kena. Tetapi setelah perjanjian itu, kita boleh duduk dalam satu bilik,” katanya.
Hashim berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Pelancaran Jentera PRU15 Pas Kedah di SRITI Naka, di , malam tadi.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan, pernah wujud perjanjian untuk kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sekiranya berlaku sebarang perselisihan dalam kerjasama antara Pas dan UMNO.
Tambahnya, Pas juga berharap amalan ‘tutup buku’ tidak dilakukan terlalu awal sekiranya berlaku sebarang masalah yang boleh dibincangkan di meja perundingan.
“Sepatutnya janganlah lipat (buku) awal-awal, masuk bawah meja. Kita ada ruang untuk bincang, untuk bicara. Ini yang Allah suruh.
“Maka, kalau dia nak lipat, lipatlah, tetapi kita sentiasa terbuka. Kita bukan sahaja boleh (kerjasama dengan) UMNO, dengan orang lain pun boleh,” kata Hashim.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan menyatakan keputusan BN untuk bergerak solo pada PRU-15 adalah muktamad dan dibuat sebulat suara oleh parti.
Katanya, BN yakin mempunyai potensi untuk menang, namun kerja keras perlu dilakukan untuk meraih lebih banyak kerusi.
DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek memaklumkan sedia undur diri bagi memberi laluan kepada muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, keputusan tersebut bagi memberi peluang kepada individu yang berwibawa untuk menawarkan khidmat cemerlang kepada rakyat.
“Saya juga bersedia menawarkan khidmat serta berkongsi pengalaman untuk membantu calon yang diketengahkan supaya beroleh kemenangan.
“Kalau dalam konteks di Kemaman ini, perbincangan ataupun cara perundingan dibuat di peringkat bahagian, dan juga turun ke peringkat Dewan-dewan Undangan Negeri (DUN).
“DUN turut memberi sumbangan, mengemukakan pandangan mereka, tentang siapakah yang mereka rasakan layak untuk dicalonkan pada kali ini.
“Jadi, secara prinsipnya, saya suka melihat wajah-wajah baharu kerana ini penting untuk menjadi sebahagian daripada penjenamaan kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Ahmad Shabery ditemui pada Majlis Pelancaran Jentera PRU15 BN Negeri Terengganu di Kemaman, semalam, lapor Astro Awani.
Beliau yakin pucuk pimpinan mempunyai formula terbaik untuk memilih calon yang mampu memenangi hati rakyat.
Sebelum ini, Ahmad Shabery menerusi catatan dalam Facebook miliknya menyatakan hasrat memberi ruang kepada individu lain menjadi calon UMNO di Terengganu.
KETIKA golongan berusia hampir seangkatan dengannya mula melupakan hal-hal duniawi sebaik sahaja menginjak ke dunia persaraan, namun ia tidak pernah melunturkan semangat Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk terus bekerja.
Kalau diperhatikan, rutin harian mereka yang pencen dan bersara daripada pekerjaan, lebih tertumpu kepada aktiviti masjid dan surau tetapi bagi bekas Perdana Menteri Malaysia ini pula, beliau masih tetap ligat bergelumang dalam bidang politik.
Malah, disebalik usia yang semakin meningkat serta kedutan wajah didahi mula berurat, Dr Mahathir yang kini berusia 97 tahun seakan tidak pernah berasa serik dengan apa yang dialami.
Rakyat tidak pernah pertikaikan mengenai sumbangan, jasa dan kemampuannya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, namun ada kalanya tertanya-tanya kenapa pengalaman dihina dan dicerca tidak pernah dijadikan iktibar?
Antara perkataan dan penghinaan dilemparkan kepada beliau suatu ketika dahulu dan penulis masih lagi ingat ialah perkataan ‘Maha Firaun’ dan ‘Maha Zalim’.
Ia mula tercetus sekitar tahun 1998 ekoran isu liwat dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beberapa individu.
Walau pun isu tersebut tersebar luas, penulis perhatikan tanpa sekelumit perasaan bosan dan jemu bersarang dalam diri Dr Mahathir.
Beliau mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 dengan menyerahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003.
Bagaimanapun, selepas reda seketika pada tahun 2018, beliau muncul kembali bersama parti baharu dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kemudiannya bergabung dengan lain-lain parti dalam gabungan baharu dinamakan Pakatan Harapan (PH).
Parti-parti gabungan itu ialah PKR, Amanah dan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Akhirnya percaturan tersebut membuahkan hasil apabila PH mencatat kemenangan besar dalam PRU14 yang membolehkan gabungan tersebut memerintah negara.
Namun, setelah diberi mandat memerintah selama 22 bulan, beberapa isu yang melingkari PH menyebabkan Dr. Mahathir sekali lagi bertindak meletakkan jawatan sebagai sebagai Perdana Menteri.
Ekoran tindakan tersebut, banyak pihak membuat pelbagai andaian dan persepsi negatif terhadap Dr Mahathir.
Kini, ketika banyak pihak sedang bercakap mengenai PRU15, Dr. Mahathir tiba-tiba muncul kembali dengan parti baharunya, iaitu Pejuang.
Apa yang menjadi tumpuan ialah apabila pada 4 Ogos lalu Dr. Mahathir mengumumkan pula penubuhan gagasan baharu yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA) berteraskan agenda Melayu dan Islam.
Ketika melancarkan gagasan tersebut, beliau mengatakan pemilihan nama itu kerana gambaran suatu perjuangan yang cintakan tanah air.
Ia bakal melibatkan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli perseorangan.
GTA dipengerusikan oleh Dr. Mahathir selaku Pengerusi Penaja manakala empat presiden parti di bawah GTA dilantik menjadi Timbalan Pengerusi.
Ia terdiri daripada Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Penulis perhatikan sebaik pelancaran dibuat banyak pihak yang mempertikaikan tindakan Dr. Mahathir itu.
Penulis sendiri tertanya-tanya apakah lagi yang Tun M mahukan?
Bagi penulis sebagai tokoh negarawan, sudah sampai masanya beliau mengambil keputusan bersara dalam bidang politik.
Beliau sepatutnya berehat bersama keluarga dan bermain dengan cucu-cucu serta cicit sambil terus mengelakkan tersepit di sebalik isu-isu kontroversi yang boleh mengundang kemarahan rakyat.
Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyokong tindakan Dr. Mahathir yang memperkenalkan GTA.
Menurut Anwar sekiranya benar mahu membela Melayu dan Islam, Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan lalu sudah mampu menolong mereka.
Anwar berkata, beliau tidak mendukung inisiatif seperti itu kerana kalau betul Dr. Mahathir ingin membela Melayu dan Islam, tempoh 22 bulan memimpin begara sudah boleh dilakukan.
Selain itu, ada juga kalangan penganalisis politik di negara ini menyifatkan penubuhan GTA tidak mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu, namun bakal memecahkan undi Melayu dalam PRU15 nanti.
penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) Prof. Awang Azman Awang Pawi dipetik sebagai berkata, sokongan pengundi Melayu masih lagi berkisar kepada parti sedia ada.
Sehubungan itu beliau berpendapat kewujudan GTA tidak memberi kesan besar ke atas parti sedia ada pada PRU15 nanti memandangkan gagasan baharu ini disertai parti-parti yang kecil dan tidak mempunyai pengaruh, kurang keahlian, kurang memberikan impak untuk mendapatkan undi Melayu.
PARTI Sarawak Bersatu (PSB) hilang satu kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How mengumumkan menjadi wakil Bebas, kata Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.
Mohamad Asfia berkata, See menghantar sepucuk surat kepadanya pada Jumaat lalu memaklumkan beliau meletakkan jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta-merta tanpa menyatakan sebarang alasan.
Menurutnya, keputusan See itu menjadikan PSB kini tinggal tiga kerusi, manakala DAP kekal dua, Gabungan Parti Sarawak (76 kerusi) dan Bebas (satu kerusi).
“Dalam surat itu, beliau (See) tidak menerangkan mengenai alasan meletakkan jawatan dalam parti itu. Kita terima (keputusannya) dan kita akan susun semula barisan pembangkang (dalam DUN).
“Dia tak melompat (parti) dari PSB ke parti lain tetapi dia hanya meletak jawatan (dalam PSB dan bergerak) sebagai (wakil) Bebas,” katanya dalam sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun), di Kuching, hari ini.
Mohamad Asfia berkata, menerusi surat itu, ADUN Batu Lintang berkenaan memaklumkan beliau akan kekal berkhidmat untuk penduduk kawasannya dan semua rakyat Sarawak meskipun bergerak sebagai wakil rakyat Bebas.
Menyifatkan wakil rakyat itu sebagai disenangi, bijaksana dan cekap, Mohamad Asfia yakin See yang juga Ahli Jawatankuasa Perundingan dalam menasihati Dewan berhubung Perjanjian Malaysia 1963, dapat terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ADUN dengan baik.
Dalam pada itu, Mohamad Asfia berkata, persidangan ketiga DUN negeri itu dijangka berlangsung pada November ini.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu, See mempertahankan kerusi Batu Lintang selepas memperoleh 4,420 undi menewaskan calon GPS, Sih Hua Tong yang memperoleh 4,327 undi, Cherishe Ng (PKR) 1,823 undi, Voon Lee Shan Parti Bumi Kenyalang (PBK) 1,570 undi dan Alex Leong Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 187 undi. – Bernama
RUANG untuk berunding antara Pas dan UMNO masih terbuka luas bagi kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun Barisan Nasional (BN) telah memuktamadkan untuk bergerak solo.
Ini kerana, tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, perpaduan ummah yang dibentuk sebelum ini bukan kehendak Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya ia perintah dan suruhan Allah SWT.
Beliau berkata, suasana dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini cukup baik setelah bersama-sama memeterai piagam, berbanding sebelum ia ditandatangani di mana Pas dan UMNO tidak boleh ‘duduk dekat-dekat’.
“Sepatutnya janganlah lipat awal-awal masuk bawah meja. Kita ada ruang untuk bincang, ada ruang untuk bicara kerana Allah yang suruh. Maka dia (UMNO) nak lipat, lipatlah tetapi kita masih terbuka.
“Cuma kita harap satu sahaja iaitu walaupun pihak kita sedia untuk buka tangan menerima janganlah tikam belakang, jangan rosakkan perpaduan kerana saya cukup sayang dengan apa yang kita berpakat selama ini,” katanya selepas melancarkan Jentera Pilihanraya Pas Kedah di Naka, Padang Terap semalam.
Di Terengganu semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu keputusan BN untuk bergerak solo pada PRU-15 sebagai muktamad dan telah diputuskan sebulat suara oleh parti.
Sementara itu, walaupun Pas telah bersedia untuk bertembung dengan UMNO jika tidak dapat dielak, namun Hashim masih menaruh harapan untuk mereka berdamai dan bekerjasama pada PRU-15.
“Walau macam mana sekali pun, kita berharap supaya kita berdamai, hang (UMNO) nak berkawan mai (silakan), hang nak lawan hang tunggu (tetapi) kita berhenti dahulu bab nak berlawan itu. Mari kita berkawan dan berhenti bercakap soalnya,” katanya.
Hashim turut mengimbau di mana detik sebelum piagam MN digubal apabila meminta satu perkara dimasukkan oleh kedua-dua parti itu dalam perjanjian berkenaan ketika bertemu Ahmad Zahid di Alor Setar.
“Saya ingat lagi semasa sebelum piagam diadakan di WTC, kita berjumpa dengan Ahmad Zahid di Alor Setar. Kita suarakan kata Datuk Seri watikah yang nak ditandatangani itu boleh tak kalau diakhirnya masukkan ayat ‘jika sekiranya berlaku sebarang perselisihan dalam perjanjian ini maka hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan sunnah ataupun Allah dan Rasul’.
“Dia bersetuju. Bagus, bagus, bagus dia kata. Selepas tu diarahkan Setiausaha Agung UMNO masa itu, Tan Sri Annuar Musa masukkan perkara itu dan Annuar datang mengakui sendiri depan saya bahawa dia yang tulis.
“Maka dalam perpaduan ummah ini walaupun ada orang tak mahu tapi kalau kita teruskan seruan ini sebab Pas komited untuk perjuangkannya dan serah pada Tuhan, Tuhan boleh tolong kita dan peroleh kejayaan,” katanya.
PAS Kedah yang mengetuai kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) ketika ini berupaya untuk memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Menteri Besar Kedah berkata, jangkaan itu ekoran kekuatan dan pengukuhan parti itu di negeri berkenaan selain parti lawan yang tidak lagi segagah dahulu.
“Saya akan tambah jadi 22 paling kurang. Asasnya Pas tengah kuat di Kedah. Harimau (pihak lawan) yang kena tembak sedaih (sekali) rebah selepas itu ia nak bangkit (bangun) tak sekuat dahulu dah kalau (mereka) nak berlawan.
“(Tetapi) kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kuat kita (sebab) kalau dia nak lawan juga saya rasa dia tak ada (kekuatan) segagah dulu.
“Ada peluru dalam badan dia, kaki dia pun pecah tiga empat,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera Pilihanraya PRU-15 Pas Kedah di Naka, malam tadi.
Pas kini mempunyai 15 daripada 36 kerusi DUN di Kedah, selain terdapat enam kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta dua lagi daripada UMNO bagi membentuk kerajaan negeri sejak Mei 2020.
Sementara pembangkang yang diketuai Pakatan Harapan (PH) mempunyai 13 kerusi iaitu lima dimiliki PKR; Amanah (4); DAP (2) dan Pejuang (2).
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, Pas tidak pernah mengkhianati UMNO di negeri itu kerana mereka setia kepada persefahaman yang dicapai sewaktu awal-awal penubuhan kerajaan negeri dan akan memegang janji berkenaan sehingga hari kiamat.
“Kita konsisten dan istiqomah, apa sahaja keperluan tentang pelantikan, contohnya kalau kuota UMNO kita akan minta nama daripada Badan Perhubungan UMNO. Kita tak pernah tempat tu yang pernah diberi kepada UMNO, oleh kerana kita tak suka atau kecil hati kita lantik orang kita macam depa buat.
“Saya sebut tadi sampai dua hari lalu saya minta nama untuk ganti Penyelaras DUN Pengkalan Kundur. Kalau saya nak lantik Pas atau Bersatu boleh sahaja dan UMNO menyerahkan nama Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid untuk ganti Allahyarham Datuk Hashim Jahaya.
“Saya boleh lantik daripada Pas pun. Tapi tak boleh buat macam itu kerana jawatan itu yang kita dah serah pada dia dahulu dan oleh kerana wakil mereka meninggal dunia, maka gantilah dengan orang dia balik. Itulah kesetiaan kepada semangat setia kawan yang Islam ajar,” katanya.
Malah kata Muhammad Sanusi, Pas Kedah masih menjaga persefahaman yang telah diputuskan sebelum ini dan tetap sedia untuk bekerjasama dengan UMNO memandangkan mereka tidak pernah melakukan perkara yang boleh menyebabkan kedua-dua parti itu berkelahi.
“Apa yang kita ucap di Johor dalam konteks negeri Johor. Di Kedah kita tak sebut benda itu dan ucapan-ucapan pun kita tak sebut, sebaliknya malam ini saya sebutkan betapa baiknya Pas dalam konteks hubungan dengan BN dan UMNO kerana kita ada disiplin dan saya tak khianat siapa-siapa,” tegasnya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan Kedah akan turut membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubar dalam masa terdekat, beliau berkata, sebarang perkara yang akan dibuat olehnya bergantung kepada keputusan Pas pusat.
BARISAN Nasional (BN) kekal dengan keputusan untuk bergerak solo bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata parti gabungan itu akan berusaha keras memenangi seberapa banyak kerusi di Parlimen untuk membentuk kerajaan sendiri pada PRU15.
Bagaimanapun, beliau yang juga pengarah pilihan raya BN berkata, jika keputusan menunjukkan sebaliknya, pihaknya sedia berunding dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil demi kemakmuran rakyat.
“Walaupun ramai orang kata bahawa kami akan pergi dengan parti itu, parti ini pada PRU15, BN masih kekal dengan keputusan untuk pergi secara solo dengan disokong oleh parti rakan.
“Selepas pilihan raya kami tengoklah, kalau menang dan dapat tubuh sendiri kerajaan…Alhamdulillah. Jika tidak, keputusan parti akan tentukan dengan siapa kami perlu berunding untuk bentuk kerajaan yang mantap,” katanya pada pelancaran jentera PRU15 BN Terengganu di Pantai Penunjuk, Kijal.
Mohamad berkata, antara kriteria ditetapkan untuk pemilihan parti yang akan membentuk gabungan itu nanti ialah yang mempunyai titik persamaan dan agenda perjuangan sama dengan BN.
“Ia bagi memastikan persefahaman antara mereka seterusnya mewujudkan suasana politik yang stabil dalam negara.
“Kita tak mahu rakyat terus jadi mangsa pergolakan politik…cukup-cukuplah. Empat tahun ini negara kita masih tak ke mana sedangkan negara lain yang lebih teruk diserang Covid-19, berbanding kita telah melonjak prestasi (ekonomi) kerana ramai pelabur asing datang melabur disebabkan politik yang stabil,” katanya.
Sebelum ini, melalui laporan daripada media tempatan, penganalisis politik memberi bayangan tiada mana-mana gabungan parti akan meraih kemenangan secara majoriti pada PRU15 dan penggabungan antara parti yang menang diperlukan bagi membentuk kerajaan pusat.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Perikatan Nasional (PN) pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, 4 Ogos lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, pada pertemuan itu, PN diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Bendahari PN, Datuk Seri Samsuri Mokhtar.
“Mereka sudah sampaikan pandangan mereka dan saya pun sudah sampaikan pandangan saya. Setakat itu sajalah, jadi BERSATU akan bincang sesama mereka dalam BERSATU.
“Saya sudah beritahu, jadi perkara itu tidak perlu dibangkitkan. Tumpuan kita adalah untuk selesaikan isu rakyat dan pulihkan ekonomi.
“Saya ingat rakyat nak dengar lebih mengenai perkara itu. Biar kita fokus perkara yang menyentuh rakyat, itu lebih penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pavilion Pahang di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan berkata, PN akan menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian terkandung dalam perjanjian antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.
PN dilaporkan kecewa dengan Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh memenuhi beberapa terma penting terkandung dalam perjanjian itu.
DRAF Rang Undang-undang (RUU) Sumbangan Politik perlu disediakan secepat mungkin supaya ia boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa membuat gesaan itu berkata, draf tersebut perlu dipercepatkan supaya sesi libat urus boleh diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa disediakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
Beliau berkata, satu memorandum dijangka dikemukakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini.
“Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Free Malaysia Today.
Wan Junaidi berkata, satu perbincangan sudah diadakan berkaitan RUU itu antara GIACC, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Suruhanjaya Syarikat (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).
Katanya, antara perkara dasar penting yang dibincangkan adalah penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini.
Beliau turut mengarahkan GIACC memperhalusi perkara dasar itu, manakala BHEUU dan Jabatan Peguam Negara menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh diberikan pertubuhan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan.
Selain itu, katanya, analisa perbandingan pemakaian undang-undang sama dari negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras, selain menyelaraskan RUU itu dengan undang-undang sedia ada di bawah JPPM dan SSM.