KETIKA golongan berusia hampir seangkatan dengannya mula melupakan hal-hal duniawi sebaik sahaja menginjak ke dunia persaraan, namun ia tidak pernah melunturkan semangat Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk terus bekerja.

Kalau diperhatikan, rutin harian mereka yang pencen dan bersara daripada pekerjaan, lebih tertumpu kepada aktiviti masjid dan surau tetapi bagi bekas Perdana Menteri Malaysia ini pula, beliau masih tetap ligat bergelumang dalam bidang politik.

Malah, disebalik usia yang semakin meningkat serta kedutan wajah didahi mula berurat, Dr Mahathir yang kini berusia 97 tahun seakan tidak pernah berasa serik dengan apa yang dialami.

Rakyat tidak pernah pertikaikan mengenai sumbangan, jasa dan kemampuannya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, namun ada kalanya tertanya-tanya kenapa pengalaman dihina dan dicerca tidak pernah dijadikan iktibar?

Antara perkataan dan penghinaan dilemparkan kepada beliau suatu ketika dahulu dan penulis masih lagi ingat ialah perkataan ‘Maha Firaun’ dan ‘Maha Zalim’.

Ia mula tercetus sekitar tahun 1998 ekoran isu liwat dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beberapa individu.

Walau pun isu tersebut tersebar luas, penulis perhatikan tanpa sekelumit perasaan bosan dan jemu bersarang dalam diri Dr Mahathir.

Beliau mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 dengan menyerahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003.

Bagaimanapun, selepas reda seketika pada tahun 2018, beliau muncul kembali bersama parti baharu dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kemudiannya bergabung dengan lain-lain parti dalam gabungan baharu dinamakan Pakatan Harapan (PH).

Parti-parti gabungan itu ialah PKR, Amanah dan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Akhirnya percaturan tersebut membuahkan hasil apabila PH mencatat kemenangan besar dalam PRU14 yang membolehkan gabungan tersebut memerintah negara.

Namun, setelah diberi mandat memerintah selama 22 bulan, beberapa isu yang melingkari PH menyebabkan Dr. Mahathir sekali lagi bertindak meletakkan jawatan sebagai sebagai Perdana Menteri.

Ekoran tindakan tersebut, banyak pihak membuat pelbagai andaian dan persepsi negatif terhadap Dr Mahathir.

Kini, ketika banyak pihak sedang bercakap mengenai PRU15, Dr. Mahathir tiba-tiba muncul kembali dengan parti baharunya, iaitu Pejuang.

Apa yang menjadi tumpuan ialah apabila pada 4 Ogos lalu Dr. Mahathir mengumumkan pula penubuhan gagasan baharu yang dinamakan
Gerakan Tanah Air (GTA) berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Ketika melancarkan gagasan tersebut, beliau mengatakan pemilihan nama itu kerana gambaran suatu perjuangan yang cintakan tanah air.

Ia bakal melibatkan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli perseorangan.

GTA dipengerusikan oleh Dr. Mahathir selaku Pengerusi Penaja manakala empat presiden parti di bawah GTA dilantik menjadi Timbalan Pengerusi.

Ia terdiri daripada Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Penulis perhatikan sebaik pelancaran dibuat banyak pihak yang mempertikaikan tindakan Dr. Mahathir itu.

Penulis sendiri tertanya-tanya apakah lagi yang Tun M mahukan?

Bagi penulis sebagai tokoh negarawan, sudah sampai masanya beliau mengambil keputusan bersara dalam bidang politik.

Beliau sepatutnya berehat bersama keluarga dan bermain dengan cucu-cucu serta cicit sambil terus mengelakkan tersepit di sebalik isu-isu kontroversi yang boleh mengundang kemarahan rakyat.

Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyokong tindakan Dr. Mahathir yang memperkenalkan GTA.

Menurut Anwar sekiranya benar mahu membela Melayu dan Islam, Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan lalu sudah mampu menolong mereka.

Anwar berkata, beliau tidak mendukung inisiatif seperti itu kerana kalau betul Dr. Mahathir ingin membela Melayu dan Islam, tempoh 22 bulan memimpin begara sudah boleh dilakukan.

Selain itu, ada juga kalangan penganalisis politik di negara ini menyifatkan penubuhan GTA tidak mampu untuk menarik sokongan pengundi Melayu, namun bakal memecahkan undi Melayu dalam PRU15 nanti.

penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) Prof. Awang Azman Awang Pawi dipetik sebagai berkata, sokongan pengundi Melayu masih lagi berkisar kepada parti sedia ada.

Sehubungan itu beliau berpendapat kewujudan GTA tidak memberi kesan besar ke atas parti sedia ada pada PRU15 nanti memandangkan gagasan baharu ini disertai parti-parti yang kecil dan tidak mempunyai pengaruh, kurang keahlian, kurang memberikan impak untuk mendapatkan undi Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here