Category: Pilihan

Featured posts

  • Sultan Ibrahim perkenan DUN Johor dibubarkan

    Sultan Ibrahim perkenan DUN Johor dibubarkan

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada pukul 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru

    Berangkat sama,Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

    Pada pertemuan bersama baginda Menteri Besar turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudiannya mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor.

    Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.

  • Abang Johari ditentang tiga muka baharu di DUN Gedong

    Abang Johari ditentang tiga muka baharu di DUN Gedong

    KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berdepan pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

    Mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, yang pertama kali bertanding di luar kawasan tradisinya di Satok, ditentang tiga calon muka baharu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango.

    Pengumuman nama calon yang bertanding itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Gedong Abdul Khalid Manap di pusat penamaan calon (PPC) di Dewan Masyarakat Gedong selepas tempoh pencalonan tamat pada 10 pagi.

    Abang Johari memilih untuk bertanding di DUN Gedong, sebuah kawasan luar bandar, selepas sembilan penggal menjadi penyandang di kerusi Satok.

    DUN Gedong yang mempunyai sejumlah 7,208 pengundi terdiri daripada 3,508 lelaki serta 3,700 wanita berada di bawah Parlimen Batang Sadong dan terletak kira-kira sejam setengah perjalanan dari Kuching.

    Kira-kira 60 peratus pengundi di kawasan itu adalah Melayu, 30 peratus Iban dan 10 peratus etnik lain.

    Ia merupakan kawasan DUN baharu yang dibentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa PRN Sarawak ke-11 pada 2016.

    Penyandang kerusi Gedong iaitu Datuk Mohd Naroden Majais sebelum ini mengumumkan mengundur diri dan memberi laluan kepada Abang Johari untuk mempertahan kerusi GPS di DUN itu.

    Naroden, yang juga Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan selama lima penggal sebelum bertanding di kerusi baharu DUN Gedong pada PRN lepas.

    Pada pilihan raya itu, beliau mendapat 4,064 undi mengalahkan Rapelson Richard Hamit daripada Amanah dan Uja Bunsi (Bebas).

    Tarikh mengundi bagi PRN Sarawak ke-12 ditetapkan pada 18 Dis ini manakala undi awal pada 14 Dis. – BERNAMA

  • Siapa amal ‘politik kosmetik’ Bersatu atau segelintir pemimpin UMNO?

    Siapa amal ‘politik kosmetik’ Bersatu atau segelintir pemimpin UMNO?

    ANALISIS

    ISU kegagalan UMNO untuk mencalonkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat masih lagi menjadi bualan dalam kalangan pemimpin parti itu.

    Terbaru bekas Ketua Pengarah Jasa, Dr.Puad Zarkashi mencadangkan supaya Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak lagi bertanding jawatan itu dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘politik kosmetik’ kerana selain ahli Parlimen Bersatu, mungkin ahli Parlimen PH juga tidak akan menyokong beliau walaupun pembangkang akan mendapat satu lagi jawatan Timbalan Speaker.

    Penulis tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Puad yang berkesempatan menjadi ahli Parlimen selama sepenggal di Batu Pahat sebelum tewas dalam PRU-13 dan tidak dicalonkan dalam PRU-14.

    Tetapi apa yang pasti tindakan Bersatu tidak mahu memberi sokongan kepada Ahmad Maslan adalah berdasarkan kepada prinsip bahawa mereka tidak akan menyokong mana-mana ‘kluster mahkamah’ memegang apa-apa jawatan kerajaan. Ini sudah dipersetujui oleh UMNO ketika mereka menyertai kerajaan sejak Mac tahun lalu lagi.

    Maknanya, pendirian itu bukan ‘kosmetik’ tetapi prinsip. Mereka yang tidak mahu menyokong Ahmad Maslan tidak mahu mengamalkan politik kosmetik. Berjanji itu dan ini tetapi akhirnya ‘habuk pun tarak’.

    Kalau mahu bercakap soal ‘politik komestik’ rasanya, segelintir pemimpin UMNO ‘lebih bijak’ dalam perkara itu sehingga mampu menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

    Ia memandangkan mereka bersedia menyertai kerajaan diterajui oleh Muhyiddin tetapi kemudian melakukan pelbagai tindakan yang dilihat mahu melemahkan kepemimpinan beliau.

    Ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang bertindak bagaikan ‘duri dalam daging’ apabila ‘menyerang’ apa sahaja langkah yang dilakukan oleh Muhyiddin dalam menangani pandemik Covid-19.

    ‘Politik komestik’ paling hebat apabila ada pemimpin tertinggi UMNO menghantar warkah kepada Yang di- Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, ‘Politik kosmetik’ paling handal apabila tersebar rakaman audio perbualan antara pemimpin tertinggi itu dengan Presiden PKR tersebut ketika Perhimpunan Agung UMNO.

    Dan jangan lupa satu lagi contoh ‘klasik’ ‘politik kosmetik’ dulu semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri bagai ‘nak rak’ pemimpin UMNO ‘mendendangkan’ slogan ‘kerajaan gagal’ tetapi sekarang senyap sunyi bagaikan ‘ular sawa kekenyangan’ mungkin mereka ‘malu sendiri’ selepas menyaksikan apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu dalam menangani pandemik Covid-19 mula menampakkan hasil sekarang.

    Banyak lagi contoh lain yang menunjukkan bahawa segelintir pemimpin UMNO lah paling bijak mengamalkan ‘politik kosmetik’ ini tetapi kenapa ketika itu Puad tidak berkata apa-apa?

    Mungkin Ahmad Maslan sendiri pun tidak menganggap apa yang berlaku sebagai ‘politik kosmetik’ sebaliknya beliau sudah menjangkakan itulah tindak balas yang akan diterima selepas bersama 14 lagi ahli Parlimen bertindak menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Malah sebagai Setiausaha Agung UMNO, beliau pasti mengetahui kedudukannya yang dianggap berada dalam ‘kluster mahkamah’.

    Oleh itu Puad atau mana-mana pemimpin UMNO tidak perlulah lagi cuba mempolemikkan isu pencalonan Ahmad Maslan, apatah lagi mahu terus menjadi ‘batu api’ bagi menjejaskan hubungan antara parti itu dengan Bersatu.

    Tidak cukup lagikah dengan apa yang berlaku sebelum ini akibat ‘politik kosmetik’ yang diamalkan oleh segelintir pemimpin-pemimpin UMNO sehingga hampir sahaja parti itu kembali menjadi pembangkang.

    Masa untuk menjadi ‘batu api’, ‘duri dalam daging’ sudah berakhir. Sekarang adalah masa untuk bekerja demi rakyat dan negara, bukannya sepanjang waktu melihat aksi atau tindakan politik memualkan daripada kelompok tersebut.

    Lagi pula kalau Pakatan Harapan (PH) boleh menandatangani MoU dengan kerajaan bagi mewujudkan kestabilan politik dan membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19, apa hal pula UMNO mahu terus berpolitik? Cukuplah!

    Rakyat sudah bosan dengan mainan politik tidak berkesudahan. Dahulu kerajaan dipimpin oleh Muhyiddin daripada Bersatu dan sekarang Bersatu sudah memberi laluan kepada UMNO menjadi Perdana Menteri dan terdapat 20 ahlinya berada dalam Kabinet, walaupun parti itu kalah dalam pilihan raya, jadi apa lagi UMNO mahu?

    Isu pencalonan Ahmad Maslan adalah isu kecil. UMNO hanya perlu mencari pengganti sahaja. Syaratnya mudah bukan daripada kalangan ‘kumpulan 15’ dan tidak daripada ‘kluster mahkamah’… apa yang susah sangat?

  • Tiga pegawai SPRM ditahan salah guna kuasa, penyelewengan

    Tiga pegawai SPRM ditahan salah guna kuasa, penyelewengan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawainya  bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

    Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga semalam.

    ‘’SPRM menegaskan agensi itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

    ‘’Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan,’’ kata kenyataan tersebut.

    Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, tiada sebarang laporan diterima setakat semalam berhubung tiga pegawai kanan SPRM mencuri barang kes berupa wang tunai AS$6 juta sebagaimana yang ditularkan.

    Katanya, polis mengambil maklum tentang isu viral tersebut dan mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

    Abd Jalil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.

    Isu penahanan tiga pegawai SPRM itu mula diperkatakan apabila sebuah portal mendedahkan perkara berkenaan dengan mendakwa wang tersebut adalah milik bekas Ketua Pengarah Perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dirampas oleh agensi tersebut.

  • Biarlah Dr.Mahathir dengan ‘politik labu-labunya’

    Biarlah Dr.Mahathir dengan ‘politik labu-labunya’

    PENEGASAN Tun Dr.Mahathir Mohamad bahawa parti Pejuang tidak akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan seperti mana dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) atas alasan seolah-olah terdapat unsur ‘rasuah’ dalam perjanjian itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

    Lagipun  menjadi hak bekas Perdana Menteri itu dan partinya untuk membuat sedemikian, tiada siapa boleh halang. Bagaimanapun tindakan beliau tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kerana MoU tersebut bukannya bermotif politik.

    MoU itu semata-mata bertujuan bagi mewujudkan kestabilan politik supaya usaha dalam memulihkan negara berikutan ‘serangan’ pandemik Covid-19 tidak terganggu. Cukuplah 17 bulan gangguan politik berlaku sehingga ia menjejaskan tumpuan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memerangi wabak tersebut.

    Apa sahaja dilakukan oleh beliau dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa sahaja dipertikai dan dipersoalkan tetapi selepas Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu, barulah orang nampak segala usaha yang beliau lakukan selama ini mula menampakkan hasil.

    Penulis tidak perlu membentangkan panjang lebar apa yang sudah dilakukan oleh Muhyiddin semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Bagi mereka yang tiada apa-apa sentimen politik, mereka akan mengiktiraf usaha Ahli Parlimen Pagoh itu termasuklah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan sekaligus memahami slogan ‘Kerajaan gagal’ hanyalah satu dakyah.

    Atas sebab itulah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh menerima nasib yang sama. Kesepakatan dengan pembangkang adalah salah satu usaha bagi mengelakkan negara terjebak dalam krisis politik.

    Pelbagai pihak menyambut baik langkah itu yang ‘diterokai’ oleh Muhyiddin lebih awal pada 13 Ogos iaitu tiga hari sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun hasrat Muhyiddin tidak tercapai kerana ditolak pembangkang dan 15 Ahli Parlimen UMNO tetapi mereka menerimanya apabila ditawarkan oleh Ismail Sabri.

    Keterbukaan parti-parti dalam kerajaan dan  PH untuk menandatangani MoU tersebut adalah langkah terbaik tetapi kalau Dr.Mahathir dan sekutunya parti Warisan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal terus mahu menolak MoU tersebut, biarkan sahaja.

    Lagipun sejak bila pun Ahli Parlimen Langkawi itu bersetuju dengan mana-mana kerajaan atau Perdana Menteri selain diri beliau sendiri? Siapapun jadi Perdana Menteri atau menjadi kerajaan yang bukan di bawah kepemimpinan beliau pasti akan ditolak atau ‘diganggu’ oleh Dr.Mahathir – itulah pandangan ramai orang.

    Bermula daripada Datuk Seri Najib Tun Razak hinggalah terakhir Muhyiddin, justeru kalau mahu diharapkan Dr.Mahathir akan menyokong Ismail Sabri dan kerajaan sedia ada … bermimpi boleh la. Dr.Mahathir berpolitik mengikut cara dan kehendaknya.

    Tetapi Ismail Sabri dan kerajaan tidak perlu bimbang kerana selain biarkan sahaja Dr.Mahathir ibarat ‘terjun dengan labu-labunya’, ahli politik berusia 96 tahun itu sudah tidak mempunyai apa-apa cengkaman politik lagi. Pengaruh beliau pun tidak sehebat dahulu, sebab itulah parti-parti pembangkang pun dilihat tidak begitu sangat mempedulikan bekas Perdana Menteri tersebut.

    Apa yang penting MoU itu tidak akan melemahkan sesiapa  sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak sudah menegaskan perkara itu. Segala yang dilakukan semata-mata untuk memastikan tidak wujud politiking berlebihan sehingga menyusahkan rakyat.

  • 12 tan metrik baja kompos dihasilkan daripada sisa makanan

    12 tan metrik baja kompos dihasilkan daripada sisa makanan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PROJEK Perintis Pengkomposan antara syarikat SWM Environment Sdn. Bhd. dengan penduduk di dua buah taman perumahan di Batu Pahat berjaya menghasilkan sebanyak 12 tan metrik baja kompos hasil sisa makanan.

    Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, program dilaksanakan bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu diadakan sejak Februari lalu.

    Menurut beliau, kesemua sisa makanan yang dikompos dijadikan baja sebelum diedarkan kepada komuniti setempat bagi kegunaan pelbagai jenis tanaman.

    “Program ini melibatkan komuniti antara penduduk dan peniaga di Taman Universiti serta Taman Pura Kencana, di sini dan kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama erat pelbagai pihak dalam membentuk inisiatif kelestarian alam sekitar.

    “Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan, malah berupaya mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar seperti penghasilan gas karbon dan metana.

    “Jika tidak, air lelehan sampah atau air larut resap dari sisa pepejal dan pencemaran bahan kimia semasa proses penguraian sisa pepejal akan merisikokan alam sekitar dan hidupan,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Mohd. Norlisam, cabaran utama menghasilkan projek itu adalah kesukaran mengasingkan sisa makanan daripada sisa buangan lain yang bercampur aduk sehingga terpaksa diasingkan semula mengikut kaedah manual.

    “Selain itu, faktor cuaca juga memberikan kesan apabila menjejaskan kualiti sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.

    “Bagaimanapun kita harapkan agar kejayaan projek perintis ini dapat mengubah gaya hidup masyarakat untuk mengkompos sampah bagi mengurangkan pencemaran,” katanya.

    Justeru, pihaknya meminta semua pihak memainkan peranan dalam penjagaan alam sekitar demi mengurangkan intensiti pelepasan karbon kerana penggunaan sumber yang efisyen bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran malah membantu negara melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan bersama.

  • Ismail Sabri bakal PM, 114 beri sokongan menghadap Agong hari ini

    Ismail Sabri bakal PM, 114 beri sokongan menghadap Agong hari ini

    AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9 selepas memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen yang diputuskan melalui surat akuan ahli-ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya memperolehi sokongan mengatasi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan 114 ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri akan mengadakan perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong bagi mengesahkan surat akuan mereka.

    ‘Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Ini bererti Ismail Sabri dengan izin Allah adalah calon Perdana Menteri yang menang,’’ katanya

    Ismail Sabri mendapat sokongan padu parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, PBS dan Star serta komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA dan MIC. Turut menyokong Naib Presiden UMNO itu ialah empat ahli Parlimen Bebas.

    Bagaimanapun  jumlah sokongan yang diterima oleh Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan tidak diketahui.

    Pelantikan Ismail Sabri sekaligus menamatkan teka teki siapakah yang akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-8, pada Isnin lalu selepas kehilangan majoriti sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat.

    Kejayaan Ismail Sabri sememangnya sudah diduga selepas kesemua ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada beliau. Ia memandangkan jika walaupun Anwar mendapat sokongan kesemua ahli Parlimen pembangkang termasuk daripada Pejuang, Warisan, MUDA dan Bebas ia masih mencukupi untuk mendapat sokongan daripada 111 daripada 220 ahli Dewan Rakyat.

    Namun begitu seperti mana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong semalam, Perdana Menteri yang baharu perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan mendapat kepercayaan majoriti.