Oleh RAHIMI MOHAMAD

PROJEK Perintis Pengkomposan antara syarikat SWM Environment Sdn. Bhd. dengan penduduk di dua buah taman perumahan di Batu Pahat berjaya menghasilkan sebanyak 12 tan metrik baja kompos hasil sisa makanan.

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, program dilaksanakan bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu diadakan sejak Februari lalu.

Menurut beliau, kesemua sisa makanan yang dikompos dijadikan baja sebelum diedarkan kepada komuniti setempat bagi kegunaan pelbagai jenis tanaman.

“Program ini melibatkan komuniti antara penduduk dan peniaga di Taman Universiti serta Taman Pura Kencana, di sini dan kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama erat pelbagai pihak dalam membentuk inisiatif kelestarian alam sekitar.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan, malah berupaya mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar seperti penghasilan gas karbon dan metana.

“Jika tidak, air lelehan sampah atau air larut resap dari sisa pepejal dan pencemaran bahan kimia semasa proses penguraian sisa pepejal akan merisikokan alam sekitar dan hidupan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Norlisam, cabaran utama menghasilkan projek itu adalah kesukaran mengasingkan sisa makanan daripada sisa buangan lain yang bercampur aduk sehingga terpaksa diasingkan semula mengikut kaedah manual.

“Selain itu, faktor cuaca juga memberikan kesan apabila menjejaskan kualiti sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.

“Bagaimanapun kita harapkan agar kejayaan projek perintis ini dapat mengubah gaya hidup masyarakat untuk mengkompos sampah bagi mengurangkan pencemaran,” katanya.

Justeru, pihaknya meminta semua pihak memainkan peranan dalam penjagaan alam sekitar demi mengurangkan intensiti pelepasan karbon kerana penggunaan sumber yang efisyen bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran malah membantu negara melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here