ANALISIS

ISU kegagalan UMNO untuk mencalonkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat masih lagi menjadi bualan dalam kalangan pemimpin parti itu.

Terbaru bekas Ketua Pengarah Jasa, Dr.Puad Zarkashi mencadangkan supaya Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak lagi bertanding jawatan itu dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘politik kosmetik’ kerana selain ahli Parlimen Bersatu, mungkin ahli Parlimen PH juga tidak akan menyokong beliau walaupun pembangkang akan mendapat satu lagi jawatan Timbalan Speaker.

Penulis tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Puad yang berkesempatan menjadi ahli Parlimen selama sepenggal di Batu Pahat sebelum tewas dalam PRU-13 dan tidak dicalonkan dalam PRU-14.

Tetapi apa yang pasti tindakan Bersatu tidak mahu memberi sokongan kepada Ahmad Maslan adalah berdasarkan kepada prinsip bahawa mereka tidak akan menyokong mana-mana ‘kluster mahkamah’ memegang apa-apa jawatan kerajaan. Ini sudah dipersetujui oleh UMNO ketika mereka menyertai kerajaan sejak Mac tahun lalu lagi.

Maknanya, pendirian itu bukan ‘kosmetik’ tetapi prinsip. Mereka yang tidak mahu menyokong Ahmad Maslan tidak mahu mengamalkan politik kosmetik. Berjanji itu dan ini tetapi akhirnya ‘habuk pun tarak’.

Kalau mahu bercakap soal ‘politik komestik’ rasanya, segelintir pemimpin UMNO ‘lebih bijak’ dalam perkara itu sehingga mampu menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ia memandangkan mereka bersedia menyertai kerajaan diterajui oleh Muhyiddin tetapi kemudian melakukan pelbagai tindakan yang dilihat mahu melemahkan kepemimpinan beliau.

Ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang bertindak bagaikan ‘duri dalam daging’ apabila ‘menyerang’ apa sahaja langkah yang dilakukan oleh Muhyiddin dalam menangani pandemik Covid-19.

‘Politik komestik’ paling hebat apabila ada pemimpin tertinggi UMNO menghantar warkah kepada Yang di- Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, ‘Politik kosmetik’ paling handal apabila tersebar rakaman audio perbualan antara pemimpin tertinggi itu dengan Presiden PKR tersebut ketika Perhimpunan Agung UMNO.

Dan jangan lupa satu lagi contoh ‘klasik’ ‘politik kosmetik’ dulu semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri bagai ‘nak rak’ pemimpin UMNO ‘mendendangkan’ slogan ‘kerajaan gagal’ tetapi sekarang senyap sunyi bagaikan ‘ular sawa kekenyangan’ mungkin mereka ‘malu sendiri’ selepas menyaksikan apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu dalam menangani pandemik Covid-19 mula menampakkan hasil sekarang.

Banyak lagi contoh lain yang menunjukkan bahawa segelintir pemimpin UMNO lah paling bijak mengamalkan ‘politik kosmetik’ ini tetapi kenapa ketika itu Puad tidak berkata apa-apa?

Mungkin Ahmad Maslan sendiri pun tidak menganggap apa yang berlaku sebagai ‘politik kosmetik’ sebaliknya beliau sudah menjangkakan itulah tindak balas yang akan diterima selepas bersama 14 lagi ahli Parlimen bertindak menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Malah sebagai Setiausaha Agung UMNO, beliau pasti mengetahui kedudukannya yang dianggap berada dalam ‘kluster mahkamah’.

Oleh itu Puad atau mana-mana pemimpin UMNO tidak perlulah lagi cuba mempolemikkan isu pencalonan Ahmad Maslan, apatah lagi mahu terus menjadi ‘batu api’ bagi menjejaskan hubungan antara parti itu dengan Bersatu.

Tidak cukup lagikah dengan apa yang berlaku sebelum ini akibat ‘politik kosmetik’ yang diamalkan oleh segelintir pemimpin-pemimpin UMNO sehingga hampir sahaja parti itu kembali menjadi pembangkang.

Masa untuk menjadi ‘batu api’, ‘duri dalam daging’ sudah berakhir. Sekarang adalah masa untuk bekerja demi rakyat dan negara, bukannya sepanjang waktu melihat aksi atau tindakan politik memualkan daripada kelompok tersebut.

Lagi pula kalau Pakatan Harapan (PH) boleh menandatangani MoU dengan kerajaan bagi mewujudkan kestabilan politik dan membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19, apa hal pula UMNO mahu terus berpolitik? Cukuplah!

Rakyat sudah bosan dengan mainan politik tidak berkesudahan. Dahulu kerajaan dipimpin oleh Muhyiddin daripada Bersatu dan sekarang Bersatu sudah memberi laluan kepada UMNO menjadi Perdana Menteri dan terdapat 20 ahlinya berada dalam Kabinet, walaupun parti itu kalah dalam pilihan raya, jadi apa lagi UMNO mahu?

Isu pencalonan Ahmad Maslan adalah isu kecil. UMNO hanya perlu mencari pengganti sahaja. Syaratnya mudah bukan daripada kalangan ‘kumpulan 15’ dan tidak daripada ‘kluster mahkamah’… apa yang susah sangat?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here