Category: Luar Negara

  • Kes positif global lebih 220.1 juta, maut 4.55 juta

    Kes positif global lebih 220.1 juta, maut 4.55 juta

    • Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHNS Hopkins University (JHU) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam data terbaharunya memaklumkan, kumulatif kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 220.1 juta, berikutan lebih 700,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Menurut data berkenaan, negara China mendahului dengan lebih 2.07 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling terjejas dengan 39.9 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 32.9 juta kes dan Brazil dengan lebih 20.8 juta kes manakala negara yang melebihi angka enam juta kes adalah United Kingdom, Perancis, Rusia dan Turki.

    Argentina melebih lima juta manakala Colombia dan Sepanyol pula catat kes melebihi empat juta.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.1 juta kes.

    Selain itu Filipina pula dengan lebih 2.0 juta kes sementara Malaysia mencatatkan 1.8 juta kes dan Thailand dengan 1.2 juta kes manakala Singapura merekodkan lebih 68,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 4.55 juta.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 648,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 582,000 kes, India lebih 440,000 kes dan Mexico lebih 262,000 kes.

    Sementara United Kingdom kini catat lebih 133,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 92,000 kes adalah Jerman sementara Sepanyol melebihi 84,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 135,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 34,000 diikuti Malaysia dengan 17,000 kes manakala Thailand dengan lebih 12,000 angka korban.

  • New Zealand lapor kematian pertama babitkan varian Delta

    New Zealand lapor kematian pertama babitkan varian Delta

    NEW Zealand melaporkan kematian pertama membabitkan varian Delta, menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    Sebanyak 20 kes baharu COVID-19 melibatkan penularan tempatan dilaporkan di Auckland pada Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Kes kematian itu membabitan wanita berusia 90-an dan mempunyai sejarah penyakit kronik.

    Perdana Menteri Jacinda Ardern mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

    “Rakyat yang lebih tua dan mempunyai masalah kesihatan paling berisiko terkena virus itu. Satu daripada kunci utama adalah untuk menghentikan penularannya,” kata Ardern.

    Menurut kenyataan itu, masalah kesihatan wanita berkenaan menyebabkan dia tidak boleh diberikan bantuan pernafasan atau rawatan di unit rawatan rapi. 

    Auckland bandar raya terbesar di New Zealand dikenakan sekatan pergerakan Tahap Empat dan seluruh negara pula di bawah sekatan Tahap Tiga.– BERNAMA

  • Biden tandatangani perintah eksekutif mengenai dokumen 9/11

    Biden tandatangani perintah eksekutif mengenai dokumen 9/11

    PRESIDEN Joe Biden pada Jumaat menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan FBI terhadap serangan pengganas 11 September 2001. 

    Di bawah arahan itu Jabatan Kehakiman dan agensi persekutuan lain diminta mengkaji dokumen dan melihat beberapa maklumat yang mungkin boleh dikongsi kepada umum, dalam tempoh enam bulan, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Kita tidak boleh melupakan penderitaan keluarga yang kehilangan orang terasayang, 2,977 orang menjadi mangsa akibat serangan pengganas terhadap Amerika, terburuk dalam sejarah negara kita,” kata Biden dalam satu kenyataan.

    Ketua Jawatankuasa Perisikan, Adam Schiff, berkata pihaknya akan memantau bagi memastikan semua agensi mematuhi arahan presiden untuk menerapkan tahap ketelusan maksimum yang dibenarkan undang-undang ketika melakukan kajian tersebut.

    Sejak bertahun-tahun sejumlah keluarga mangsa serangan 9/11 mendesak kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai tragedi itu kepada umum.- BERNAMA

  • Saintis tak sokong vaksinasi remaja berusia 12-15 tahun

    BADAN penasihat vaksin United Kingdom (UK) enggan memberikan ‘lampu hijau’ untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak sihat berusia antara 12 hingga 15 tahun atas alasan kesihatan.

    Memetik BBC, Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) berkata, kanak-kanak berisiko rendah dari koronavirus dan suntikan vaksin hanya memberikan manfaat yang sedikit.

    Empat ketua pegawai perubatan di UK kini diminta untuk memberikan keputusan muktamad dan mempertimbangkan kesan yang lebih luas vaksin terhadap sekolah dan masyarakat.

    Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

    JCVI pada masa sama menasihatkan untuk memperluas program vaksin sedia ada dengan memasukkan 200,000 remaja tambahan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

    Doktor mendapati kanak-kanak dengan masalah jantung, paru-paru dan hati yang kronik mempunyai risiko Covid jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak yang sihat.

    Keputusan untuk tidak mengesyorkan vaksin kepada semua kanak -kanak yang sihat adalah berdasarkan pada kebimbangan mengenai kesan sampingan vaksin Pfizer dan Moderna yang sangat jarang berlaku yang menyebabkan keradangan jantung dan boleh menyebabkan berdebar-debar dan sakit dada.

    Data dari Amerika Syarikat (AS) yang mana jutaan remaja telah divaksinasi menunjukkan, terdapat 60 kes keadaan jantung untuk setiap juta dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 hingga 17 tahun (berbanding lapan dari satu juta gadis).

    Perancis, Itali, Israel dan Ireland juga menawarkan vaksin kepada semua kanak-kanak dalam kumpulan usia ini.

    Tetapi kerana kanak-kanak berisiko rendah terkena koronavirus, JCVI memutuskan bahawa vaksinasi hanya akan menawarkan “kelebihan marginal” dan oleh itu terdapat bukti “tidak mencukupi” untuk menawarkan vaksinasi secara besar-besaran kepada peringkat usia ini.

  • 13 rakyat Palestin cedera akibat kekerasan askar pengganas Zionis

    13 rakyat Palestin cedera akibat kekerasan askar pengganas Zionis

    SERAMAI 13 rakyat Palestin cedera ketika mengadakan tunjuk perasaan membantah penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, pada Jumaat menurut kenyataan Bulan Sabit Merah Palestin.

    Penunjuk perasaan diadakan di beberapa daerah di Tebing Barat, terutama di bandar Beita di Nablus dan Kafr Qaddum di Qalqilya, lapor Agensi Anadolu. 

    Tentera Israel bertindak menggunakan gas pemedih mata serta peluru hidup dan getah terhadap penunjuk perasaan.

    Seorang sukarelawan kesihatan antara yang cedera, menurut kenyataan itu.- BERNAMA

  • 5.36 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia – JHU

    5.36 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia – JHU

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JOHNS Hopkins University (JHU) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam data terbaharunya memaklumkan, lebih 5.36 bilion dos vaksin Covid-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

    Menurut data berkenaan, negara China mendahului dengan lebih 2.07 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India sebanyak 663 juta dos, manakala Amerika Syarikat dengan lebih 371 juta dos vaksin.

    Negara lain yang mencatat jumlah melebihi 100 juta dos ialah Brazil, Jepun dan Jerman, manakala Turki dan United Kingdom masing-masing melebihi 90 juta dos.

    Sementara di Asia Tenggara pula, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 101 juta, jauh meninggalkan negara lain.

    Ini diikuti Malaysia dengan lebih 35 juta dos.

    Filipina dengan 34 juta dos dan Thailand pula melebihi 32 juta dos.

  • Pelajar ditembak mati di sekolah AS

    Pelajar ditembak mati di sekolah AS

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pelajar di Sekolah Tinggi Mount Tabor, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) ditembak mati semalam selepas sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan awal bulan ini.

    Menurut Ketua Polis Winston-Salem, Catrina Thompson, insiden itu berlaku pada tengah hari dan suspek dipercayai seorang lagi pelajar di sekolah itu, melarikan diri dari lokasi sejurus kejadian.

    “Polis menemui seorang pelajar ditembak yang kemudian dikejarkan ke sebuah hospital tempatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya pada satu sidang media.

    Pasukan keselamatan sedang mengawal kawasan di kejiranan Foxhall di belakang Sekolah Tinggi Mount Tabor. – Foto AP

    Kejadian itu merupakan terbaharu dan risiko insiden tembakan dilaporkan telah menghantui sistem pendidikan AS selama bertahun-tahun.

    Dalam pada itu, polis Winston-Salem dalam kenyataan melalui Twitter pula memaklumkan, suspek berjaya diberkas tanpa sebarang insiden.

    Keluarga pelajar dan penduduk setempat berkumpul di kawasan berhampiran Sekolah Tinggi Mount Tabor selepas insiden tembakan yang menyebabkan seorang pelajar mati. – Foto AP

    Sementara itu Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper berkata, kejadian tembakan semalam adalah yang kedua berlaku di sebuah sekolah negeri berkenaan, dalam tempoh minggu ini saja.

    “Kita mesti berusaha memastikan keselamatan pelajar serta pendidik, menangkap pelaku dengan segera, dan tiada pistol dibawa ke kawasan sekolah,” katanya. – AFP

  • WHO pantau varian baharu koronavirus, ‘Mu’

    WHO pantau varian baharu koronavirus, ‘Mu’

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sedang memantau varian koronavirus baharu dikenali sebagai ‘Mu’ yang pertama kali dikenal pasti di Colombia pada Januari.

    Memetik agensi berita AFP, WHO dalam buletin pandemik mingguannya semalam berkata, Mu dikenali secara saintifik sebagai B.1.621 dan diklasifikasikan ‘varian menarik minat’.

    Menurut WHO, Mu mempunyai mutasi yang menunjukkan risiko ketahanan terhadap vaksin dan menekankan bahawa kajian lanjut diperlukan untuk memahaminya dengan lebih baik.

    “Varian Mu mempunyai buruj mutasi yang menunjukkan potensi sifat pelarian imun,” kata buletin itu.

    Terdapat kebimbangan meluas mengenai kemunculan mutasi virus baharu ketika kadar jangkitan masih meningkat di seluruh dunia dengan varian Delta yang mudah tersebar dalam kalangan individu tidak divaksinasi dan kawasan yang mana langkah-langkah pencegahan virus telah dilonggarkan.

    Semua virus, termasuk SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, bermutasi dari masa ke semasa dan kebanyakan mutasi mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap sifat virus.

    Namun, mutasi tertentu dapat mempengaruhi sifat virus dan mempengaruhi bagaimana mudah ia tersebar, kemudaratan penyakit yang ditimbulkannya, dan ketahanannya terhadap vaksin, ubat-ubatan dan langkah pencegahan lain.

    WHO ketika ini mengenal pasti empat varian Covid-19 yang menjadi perhatian, termasuk Alpha, yang terdapat di 193 negara, dan Delta, yang terdapat di 170 negara.

    Lima lagi varian termasuk Mu, sedang dipantau.

    Selepas dikesan di Colombia, Mu sejak itu dilaporkan di negara Amerika Selatan dan Eropah yang lain.

    WHO berkata, kelaziman globalnya telah menurun hingga di bawah 0.1 peratus dalam kalangan kes yang diuruskan.

    Bagaimanapun, di Colombia, virus itu berada pada tahap 39 peratus.

  • Jalan di bandar Gaza dinamakan Lebuh Malaysia

    Jalan di bandar Gaza dinamakan Lebuh Malaysia

    SEBUAH jalan dinamakan di Gaza dinamakan sebagai Lebuh Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-64 hari ini.

    Gambar dan maklumat berhubung inisiatif tersebut dikongsi oleh Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran dalam Twittter beliau.

    Menurut beliau, papan tanda Lebuh Malaysia itu dipasang di bulatan Ansar, barat bandar Gaza.

    “Selamat Hari Merdeka Malaysia, ikhlas dari Gaza, Palestin.

    “Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebuah jalan di kawasan barat bandar Gaza sebagai Lebuh Malaysia bagi memperingati Hari Kemerdekaan Malaysia, hari ini,” jelasnya dalam ciapan tersebut.

    Sumber: Twitter Muslim Imran

    Papan tanda nama jalan tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

    Penerangan ringkas berhubung Malaysia dan peranan negara ini dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel turut dipaparkan pada papan tanda itu.

    Ia berbunyi:

    Malaysia:

    Ia merupakan salah sebuah negara di Asia Tenggara yang mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957 dan ibu negaranya adalah Kuala Lumpur.

    Malaysia mempunyai peranan penting dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

    Negara itu sentiasa mendesak agar pendudukan Israel ditamatkan dan hak-hak rakyat Palestin dikembalikan.

    Negara itu juga menolak normalisasi hubungan dengan Israel.