Category: Luar Negara

  • Letupan bom di Narathiwat, seorang maut dua cedera

    Letupan bom di Narathiwat, seorang maut dua cedera

    SEORANG orang awam maut manakala dua lagi cedera dalam satu insiden letupan bom di Narathiwat, selatan Thailand, hari ini. 

    Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mej. Jen. Pol. Waesamae Salae berkata dalam insiden kira-kira 8.30 malam (waktu tempatan) pada Sabtu, mangsa yang terbunuh berteduh di sebuah pondok berdekatan sebuah pos kawalan bersama isterinya yang turut cedera dalam kejadian itu.

    “Sebutir bom buatan sendiri seberat 20  kilogram yang dipasang pada tong gas dan diletakkan di atas sebuah motosikal yang diubahsuai dan ia diaktifkan menggunakan walkie-talkie.

    “Kekuatan letupan  dan serpihan bom menyebabkan lelaki  berusia 74 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, 57 tahun, cedera parah,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini. 

    Selain itu, beliau berkata seorang lelaki, 56,  berada dalam sebuah rumah berdekatan  turut cedera apabila terkena bumbung rumah yang runtuh akibat kekuatan letupan bom. 

    “Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di hospital” katanya.- BERNAMA 

  • 31 wanita Arab Saudi jadi pemandu kereta api laju Mekah-Madinah

    31 wanita Arab Saudi jadi pemandu kereta api laju Mekah-Madinah

    SERAMAI 31 wanita Arab Saudi memulakan perantisan pemanduan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain yang beroperasi antara Mekah dan Madinah menerusi Jeddah.

    Wanita itu menurut Saudi Gazette mula menjalani latihan awal tahun ini untuk menjadi pemandu kereta api pertama Arab Saudi.

    Mereka menjalani latihan praktikal selepas tamat fasa pertama latihan teori.

    Untuk fasa kedua, pelatih wanita akan menjalankan tugas bersama pemandu kereta api terlatih selama lima hingga enam bulan.

    Sejak latihan bermula Mac lalu, kumpulan 31 wanita itu sudah melengkapkan latihan teori selama 483 jam termasuk pengetahuan asas kereta api, peraturan keselamatan dan trafik, risiko pekerjaan, pemadaman kebakaran, serta aspek teknikal berkaitan infrastruktur kereta api dan landasan.

    Latihan itu diselia syarikat Sepanyol, Renfe, yang juga pemegang saham terbesar dalam konsortium pengurusan Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan Politeknik Laluan Kereta Api Arab Saudi (SRP).

    Sebelum ini, Renfe mengeluarkan ikla untuk mengambil 30 pemandu pelatih wanita tempatan Arab Saudi yang mendapat permohonan menggalakkan dari sekurang-kurangnya 28,000 orang.

    Namun hanya 145 orang terpilih menjalani temuduga dengan 34 orang layak menyertai latihan fasa pertama.

    Menjelang Disember depan, semua pelatih itu dijangka akan mula memandu sendiri kereta api antara bandar di Arab Saudi, selepas lulus semua latihan dan ujian.

  • Gaza diserang: Kematian penduduk Palestin meningkat 24 orang, 203 lagi cedera

    Gaza diserang: Kematian penduduk Palestin meningkat 24 orang, 203 lagi cedera

    SERANGAN udara tentera rejim Zionis meranapkan rumah penduduk Palestin di Gaza manakala serangan roket kumpulan pejuang Palestin menyasarkan selatan Israel buat dua hari berturut-turut.

    Ketegangan itu menimbulkan kebimbangan satu lagi perang besar-besaran akan meletus selepas 14 bulan.

    Menurut laporan Al Jazeera, jet tempur Israel menyasarkan empat bangunan kediaman di Gaza City yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Jihad Islam.

    Satu lagi serangan udara semalam memusnahkan sebuah kereta membunuh seorang wanita warga emas berusia 75 tahun manakala enam lagi cedera.

    Ini setelah jet tempur Israel mengebom dua rumah penduduk yang didakwa didiami anggota Jihad Islam.

    Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban serangan Israel di Gaza meningkat kepada sekurang-kurangnya 24 orang termasuk enam kanak-kanak.

    Seramai 203 penduduk pula cedera pada hari kedua konflik.

    Lebih 400 roket dilancarkan ke arah Israel degan kebanyakannya dipintas, memaksa pihak berkuasa membunyikan siren dan penduduk menyelamatkan diri di tempat perlindungan bom.

    Bagaimanapun, menurut perkhidmatan ambulans Israel, tiada laporan kecederaan mahupun kematian setakat ini.

    Konflik kembali tercetus selepas tentera Israel dilaporkan membunuh seorang komander kanan jihad Islam.

  • 13 penjenayah maut berbalas tembakan dengan polis

    13 penjenayah maut berbalas tembakan dengan polis

    SEJUMLAH 13 penjenayah bersenjata terbunuh dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan pegawai polis Mexico di negeri tengah San Luis Potosi, lapor Sputnik.

    “Akibat pertempuran itu, 13 suspek penjenayah terbunuh, dua lagi penyerang telah ditahan,” kata polis dalam satu kenyataan.

    Operasi khas di majlis perbandaran itu bermula selepas polis menahan dua wanita yang mengatakan mereka terlibat dalam pengebumian rahsia dan menunjukkan lokasi pengebumian itu kepada pegawai penguatkuasa undang-undang.

    Semasa aktiviti mencari, pasukan petugas itu diserang lelaki bersenjata tidak dikenali yang cuba bersembunyi di dalam sebuah rumah.
    Semasa menyerbu bangunan itu, 10 lelaki dan tiga wanita terbunuh.

    Polis berjaya merampas senjata dan enam buah kereta dalam operasi itu. – Bernama

  • Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    Terlalu miskin, warga emas ini nekad mencuri untuk dipenjarakan

    SEORANG lelaki warga emas di Thailand mencetuskan kegemparan di negara itu selepas dia mencuri dari sebuah farmasi bagi membolehkannya dipenjarakan.

    Ini kerana,lelaki berusia 60 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Phichit mendakwa dia terlalu miskin untuk menyara kehidupannya.

    Oddity Central melaporkan, insiden luar biasa itu dilaporkan berlaku di sebuah farmasi di wilayah Chonburi, selatan Bangkok 29 Julai lalu.

    Phichit ditangkap kerana mencuri tiga buku sabun bernilai 17 baht oleh pekerja farmasi.

    Premis itu mempunyai amaran yang sangat jelas terhadap kegiatan mencuri dengan penjenayah berisiko didenda sehingga 30 kali ganda nilai barang yang dicuri dan juga hukuman penjara.

    Bagaimanapun, dalam kes Pichit, pekerja farmasi bersedia melepaskan warga emas itu malah seorang awam yang berada di premis berkenaan bersedia membayar denda untuknya.

    Namun lelaki itu enggan dan sebaliknya meminta pekerja itu menghubungi polis.

    Phichit menuntut dia ditangkap kerana jenayah dilakukannya, membuatkan pekerja farmasi tidak mempunyai pilihan lain melainkan menghubungi polis.

    Semasa soal siasat, Phichit mendakwa dia lebih rela menghabiskan masa di penjara kerana dia akan diberi makan secara percuma tiga kali sehari.

    Malah dia mendakwa dapat bergaul dengan orang lain tidak seperti keadaan hidup di jalanan, tanpa pekerjaan dan berisiko untuk kelaparan malah mungkin mati.

    Bagaimanapun tidak jelas bagaimana polis memilih untuk menangani kes Pichit.

    Namun kisah warga emas itu menjadi peringatan tentang keadaan teruk yang dialami ramai rakyat Thailand pada masa ini, dengan inflasi mencecah paras tertinggi sejak 2008.

  • 13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    13 maut kebakaran kelab malam di Thailand

    SEKURANG-kurangnya 13 orang terbunuh manakala 35 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam penuh sesak di daerah Sattahip, wilayah Chonburi, Thailand awal pagi ini.

    Menurut Yayasan Penyelamat Sawang Rojanathammasathan, kebakaran di kelab malam Mountain B itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi.

    Lapor Bangkok Post, rakaman video menunjukkan orang ramai berlari menyelamatkan diri dan menjerit ketika api sedang marak.

    Ada di antara pengunjung berlari dengan badan mereka sedang terbakar.

    Sembilan lelaki dan empat wanita terbunuh dalam kebakaran itu.

    Ketua Polis Phlu Ta Luang, Kolonel polis, Wuttipong Somjai berkata, kesemua mangsa dipercayai adalah warga Thailand.

    Menurut Komander Polis Chon Buri, Mejar Jeneral Polis Atthasit Kitjahan berkata, kira-kira 40 orang cedera dalam kebakaran itu dengan lapan daripada meecur teruk.

    Premis itu baru dibuka sebulan lalu dan terkenal dalam kalangan belia.Kebakaran dipercayai berlaku semasa pengunjung sedang menikmati muzik mencetuskan situasi berasak-asak.

  • Peluasan penempatan haram Zionis, Palestin rayu bantuan antarabangsa

    Peluasan penempatan haram Zionis, Palestin rayu bantuan antarabangsa

    PALESTIN pada Khamis menggesa campur tangan antarabangsa untuk menghentikan peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat dan melindungi penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, lapor Xinhua.

    Masyarakat antarabangsa perlu campur tangan untuk menghalang Israel daripada merampas tanah, merobohkan rumah, membakar pokok, dan memusnahkan infrastruktur di wilayah Palestin, menurut Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan.

    “Tindakan Israel telah mengubah perbincangan, kedudukan, atau visi yang berkaitan dengan keamanan berdasarkan penyelesaian dua negara kepada satu khayalan dan impian tidak realistik, yang sukar dicapai,” menurut kenyataan itu.

    Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan membina berpuluh-puluh penempatan di wilayah Palestin yang diduduki.- BERNAMA

  • 4 cedera parah dalam kebakaran hospital

    4 cedera parah dalam kebakaran hospital

    SEBUAH hospital di Icheon, kira-kira 50 kilometer di tenggara Seoul, terbakar pada pagi tadi, kata pegawai bomba.

    Agensi berita Yonhap melaporkan kebakaran itu berlaku pada pukul 10.20 pagi, dengan 10 orang diselamatkan dari bangunan hospital setakat ini.

    Empat daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan serius.

    Polis dan pihak berkuasa bomba akan melakukan siasatan sebaik sahaja kebakaran dipadamkan bagi mengetahui punca kejadian, kata pegawai. – Bernama

  • Cacar monyet: AS isytihar darurat kesihatan awam

    Cacar monyet: AS isytihar darurat kesihatan awam

    KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam berikutan peningkatan jangkitan di negara itu.

    Lapor BBC, keputusan itu akan membantu mempercepatkan agihan vaksin, rawatan dan sumber persekutuan untuk membendung penularan virus itu.

    Pengumuman itu berlaku kurang daripada dua minggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran kecemasan tertinggi berikutan lonjakan kes di seluruh dunia.

    Di AS menurut pegawai kesihatan, jangkitan cacar monyet telah melebihi 6,600 kes.

    Satu perempat daripada kes itu dilapor berlaku di New York, yang mengisytiharkan daruratnya sendiri berhubung penyakit itu minggu lalu.

    Kedua-dua negeri dengan beban kes tertinggi ialah California dan Illinois yang mengisytiharkan darurat awal minggu ini.

    Lebih 26,000 kes cacar monyet disahkan di seluruh dunia tahun ini, berdasarkan data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

    Beberapa pakar kesihatan awam menyatakan kebimbangan bahawa pengisytiharan darurat kesihatan boleh menjejaskan lagi penyakit itu.

    Walaupun sesiapa sahaja boleh dijangkiti cacar monyet, wabak itu banyak tertumpu di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

    Namun ia bukan semata-mata jangkitan seksual (STI) yang mana cacar monyet boleh disebarkan melalui kontak rapat dengan orang yang dijangkiti.

    Cacar monyet mengakibatkan gejala seperti demam, sakit badan, menggigil, keletihan dan lepuhan kulit seperti jerawat pada banyak bahagian badan.

    “Kami bersedia mengambil tindak balas seterusnya dalam menangani virus ini dan dengan itu, kita menggesa setiap rakyat AS mengambil serius mengenai cacar monyet,” kata Ketua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) AS, Xavier Becerra.

    Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menghadapi kritikan mengenai kurangnya akses kepada vaksin dan usaha membendung cacar monyet.

    Virus cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit yang berpanjangan, termasuk memeluk, berpelukan dan mencium, serta berkongsi peralatan tempat tidur, tuala atau pakaian.

    Cacar monyet menjadi endemik di sebahagian kawasan Afrika, yang mana orang ramai dijangkiti melalui gigitan tikus atau haiwan kecil.

    Namun pada Mei lalu, muncul gelombang kes tidak dijangka yang merebak ke Eropah dan AS.

  • Didakwa lancar ‘jihad banjir’, Muslim di India dipersalahkan bencana di Assam

    Didakwa lancar ‘jihad banjir’, Muslim di India dipersalahkan bencana di Assam

    HANYA kerana beragama Islam, polis India menahan empat lelaki Muslim di negeri Assam kerana didakwa menjadi punca banjir besar yang melanda kawasan itu pada Mei dan Jun lalu.

    Memetik laporan Saudi Gazette, seorang daripada lelaki itu, Nazir Hussain Laskar ditahan polis pada 3 Julai.

    Dia merupakan seorang pekerja pembinaan di Assam yang membantu membina benteng yang melindungi negeri itu dari banjir sejak beberapa tahun.

    Nazir ditahan polis selepas dia dituduh merosakkan harta awam iaitu benteng penahan banjir yang melindungi penduduk Assam dari Banjir.

    “Saya sudah 16 tahun bekerja dengan kerajaan membina benteng.Mengapa saya perlu saya merosakkannya?,” soalnya.

    Oleh kerana tuduhan tidak berasas itu, Nazir meringkuk dipenjara selama 20 hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

    Tiada bukti yang dapat mengaitkannya dengan bencana itu namun pembebasannya terus mengundang kemarahan di media sosial.

    Dua gelombang banjir melanda Assam pada Mei dan Jun, mengorbankan sekurang-kurangnya 192 orang.

    Walaupun Assam sering dilanda banjir setiap musim monsun, tahun ini hujan turun awal dan lebih lebat daripada biasa.

    Namun bagi sejumlah pengguna media sosial, sesuatu yang tidak kena dengan bencana itu.

    Tanpa bukti, mereka menuduh banjir itu adalah perbuatan khianat manusia dan menuduh kumpulan Islam di bandar Silchar merosakkan benteng penahan banjir.

    Penahanan Nazir bersama tiga yang lain tanpa usul periksa kemudiannya mencetuskan teori kesemua suspek telah melancarkan ‘jihad banjir’.

    Hantaran itu dikongsi ribuan kali termasuk pempengaruh media sosial.

    “Saya amat takut dan tidak dapat tidur. Banduan lain turut memperkatakan tentang jihad banjir dan mungkin kami akan diserang,” katanya.

    Benteng penahan banjir di Sungai Barak rosak pada 23 Mei lalu mengakibatkan banjir buruk kepada penduduk daerah Silchar yang dihuni majoriti penganut Hindu.

    Jurucakap polis Silchar, kerosakan bentng itu satu daripada punca banjir namun ia bukan satu-satunya punca air memasuki bandar.

    Menurut profesor madya Sekolah Pengajian Bencana Jamsetji Tata di Mumbai, Nirmalya Choudhury,banyak kebocoran berlaku pada benteng kerana kurangnya baik pulih dan penyelenggaraan fasiliti berkenaan.

    Polis kemudiannya bersetuju dengan pendapat Choudhury dan akhirnya menolak dakwaan berlakunya jihad banjir.

    Menurut Google Trends, carian untuk “jihad banjir” mencapai kemuncak lima tahun pada bulan Julai, didorong oleh kegilaan media sosial berhubung dakwaan itu.