SERAMAI 31 wanita Arab Saudi memulakan perantisan pemanduan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain yang beroperasi antara Mekah dan Madinah menerusi Jeddah.

Wanita itu menurut Saudi Gazette mula menjalani latihan awal tahun ini untuk menjadi pemandu kereta api pertama Arab Saudi.

Mereka menjalani latihan praktikal selepas tamat fasa pertama latihan teori.

Untuk fasa kedua, pelatih wanita akan menjalankan tugas bersama pemandu kereta api terlatih selama lima hingga enam bulan.

Sejak latihan bermula Mac lalu, kumpulan 31 wanita itu sudah melengkapkan latihan teori selama 483 jam termasuk pengetahuan asas kereta api, peraturan keselamatan dan trafik, risiko pekerjaan, pemadaman kebakaran, serta aspek teknikal berkaitan infrastruktur kereta api dan landasan.

Latihan itu diselia syarikat Sepanyol, Renfe, yang juga pemegang saham terbesar dalam konsortium pengurusan Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan Politeknik Laluan Kereta Api Arab Saudi (SRP).

Sebelum ini, Renfe mengeluarkan ikla untuk mengambil 30 pemandu pelatih wanita tempatan Arab Saudi yang mendapat permohonan menggalakkan dari sekurang-kurangnya 28,000 orang.

Namun hanya 145 orang terpilih menjalani temuduga dengan 34 orang layak menyertai latihan fasa pertama.

Menjelang Disember depan, semua pelatih itu dijangka akan mula memandu sendiri kereta api antara bandar di Arab Saudi, selepas lulus semua latihan dan ujian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here