Category: Luar Negara

  • 77 pendatang mati lemas bot dinaiki karam di perairan Syria

    77 pendatang mati lemas bot dinaiki karam di perairan Syria

    SEKURANG-kurangnya 77 pendatang lemas apabila bot yang dinaiki mereka dari Lebanon karam di pantai Syria dekat timur Laut Mediterranean, kelmarin.

    Menteri Kesihatan Syria, Hassan al-Ghabash sebagaimana laporan agensi berita AFP berkata, kira-kira 150 orang, kebanyakannya dari Lebanon dan Syria menaiki bot kecil yang karam itu di luar bandar Tartus, Syria.

    “77 orang mati lemas,” kata Hassan menambah, kira-kira 20 orang yang terselamat sedang dirawat di hospital di Tartus.

    Dalam pada itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Lebanon, Ali Hamie berkata, bot dinaiki pendatang tidak dapat menampung kapasiti mereka yang terlalu ramai.

    Bot itu katanya baru diimport dan tiba di Lebanon dua bulan lalu.

    “Kebanyakan penumpang merupakan [enduduk utara Lebanon dengan ada di antaranya adalah pelarian Palestin dari kem Nahr Al-Bared namun majoriti penumpang adalah rakyat Syria dari Idlib, Aleppo dan Latakia.

    “Antara mangsa adalah dua kanak-kanak perempuan yang dikebumikan di Akkar,” katanya.

    Lebanon yang dilanda krisis kewangan sejak 2019 dan disifatkan oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang terburuk pada zaman moden, menjadi tempat tumpuan untuk pendatang haram, dengan penduduknya sendiri menyertai pelarian dari Syria dan Palestin untuk meninggalkan negara.

    Tartus adalah bandar pelabuhan utama Syria di bahagian selatan dan terletak pada jarak kira-kira 50 kilometer ke utara bandar pelabuhan Tripoli di Lubnan, di mana penumpang menaikinya.

  • Kematian wanita tak pakai tudung sempurna cetus rusuhan ganas Iran, 17 maut

    Kematian wanita tak pakai tudung sempurna cetus rusuhan ganas Iran, 17 maut

    SEKURANG-kurangnya 17 orang maut setelah rusuhan antikerajaan merebak ke seluruh Iran semalam ketika laporan tidak sahih mendakwa angka kematian mencecah 31 orang.

    Mahsa Amini

    Kekacauan itu tercetus susulan kematian seorang wanita Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis moral Iran kerana didakwa memakai tudung secara tidak sempurna.

    Kematian wanita Kurdish berusia 22 tahun itu selepas tiga hari dia ditahan kemudiannya mencetuskan kemarahan orang ramai.

    Lapor CBS News, pihak berkuasa mendakwa wanita itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

    Namun pengkritik mendakwa wanita itu dipukul selepas tular imej merakamkan gambar badannya mempunyai kesan lebam dan berdarah.

    Rakaman video yang tersebar memaparkan penunjuk perasaan melaungkan kata-kata termasuk ‘wanita, kehidupan, kebebasan’, ketika Iran berdepan gelombang demonstrasi terbesar dalam tempoh hampir tiga tahun.

    Sejumlah penunjuk perasaan wanita turut membakar tudung mereka di jalanan, malah ada yang menggunting rambut sendiri sebagai simbolik bantahan terhadap kod pakaian yang menetapkan peraturan ketat.

    Presiden Iran, Ebrahim Raiso berkata, kematian Amini akan disiasat secara menyeluruh.

    Memetik laporan AFP, angka rasmi korban pergolakan itu kini mencecah sekurang-kurang 17 mangsa, termasuk lima anggota keselamatan.

    Namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Oslo, Hak Asasi Manusia Iran (IHR), mendakwa sekurang-kurang 31 orang awam telah maut berdasarkan kiraan pihaknya.

    Pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam, mendakwa penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan secara aman, ditembak dengan peluru.

    Agensi berita rasmi, IRNA pula melaporkan penunjuk perasaan melemparkan batu, membakar kenderaan polis dan melaungkan slogan antikerajaan.

    Amerika Syarikat sementara itu mengenakan sekatan terhadap polis moral Iran dan beberapa pegawai tertinggi kerajaan termasuk Pasukan Pertahanan dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain.

    Semalam, pihak berkuasa menahan dua jurugambar wanita, Niloufar Hamedi daripada akhbar reformasi Shargh, dan Yalda Moayeri yang bekerja dengan media tempatan, serta aktivis Mohammad-Reza Jalaipour, lapor media Iran.

    Keganasan dikhuatiri terus meningkat selepas Iran menyekat akses kepada Internet serta aplikasi pesanan, termasuk WhatsApp dan Instagram yang digunakan secara meluas di negara itu selepas pihak berkuasa menyekat platform lain, termasuk Facebook serta Twitter sejak beberapa tahun lalu.

    IHR mendakwa, perkhidmatan Internet mudah alih turut disekat sepenuhnya di Tabriz yang juga bandar utama di utara Iran.

  • Youtuber didakwa bunuh 6 orang termasuk kanak-kanak dalam kemalangan

    Youtuber didakwa bunuh 6 orang termasuk kanak-kanak dalam kemalangan

    SEORANG Youtuber didakwa membunuh enam orang termasuk seorang kanak-kanak berumur 10 tahun dalam satu kemalangan di Mexico.

    Amado Amir Gonzalez, 26 atau dikenali sebagai Heisenwolf di Youtube mempunyai 1.7 juta pengikut di laman tersebut.

    Gonzalez dilaporkan menyebabkan kemalangan itu selepas keretanya melintas lebuhraya Atlacomulco-Acambay Pan-American dan merempuh sebuah teksi secara berdepan.

    Menurut pihak pendakwaraya, kejadian itu berlaku di Atlacomulco pada Ahad lalu.

    Kemalangan dikatakan melibatkan sebuah kereta Chevrolet berwarna merah yang dimiliki oleh Gonzalez dan teksi Nissan Tsuru yang dinaiki enam mangsa.

    Mangsa-mangsa tidak dinamakan namun dikatakan merangkumi 3 lelaki dan 3 wanita. Antara mangsa kejadian ialah seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, dua wanita berumur 30 dan 56 tahun dan tiga lelaki berumur 26,35 dan 62.

    Gonzalez turut tercedera dan dirawat di hospital berdekatan.

    Pihak berkuasa di Mexico telah membuka penyiasatan tentang pembunuhan secara tidak sengaja ke atas Gonzalez.

  • [VIDEO] Ambulans langgar lampu isyarat, motosikal sehingga meletup

    [VIDEO] Ambulans langgar lampu isyarat, motosikal sehingga meletup

    SEORANG lelaki berusia 60 tahun maut selepas ambulans dipandu laju melanggar lampu merah dan menyebabkan motosikal meletup di Mahasarakham, utara Thailand.

    Kejadian berlaku di Persimpangan Chiang Yuen apabila ambulans dari Hospital Yang Talad merempuh penunggang motosikal itu pada pukul 6 pagi semalam.

    Rakaman video dari kenderaan di belakang motosikal itu merakamkan mangsa, Boonyong Guykhumtod, menunggang ke hadapan sebelum ambulans melanggarnya menyebabkan kebakaran.

    Sumber: Media sosial

    Menurut Satu Berita yang memetik laporan Agensi, mangsa cedera parah dalam kebakaran sebelum meninggal dunia di hospital.

    Polis melaporkan bahawa ambulans sedang memindahkan seorang pesakit ke hospital lain di daerah Khon Kaen.

    Dilaporkan terdapat tiga orang dalam ambulans iaitu pemandu berusia 44 tahun, Prawit, dan dua penumpang, termasuk seorang pesakit.

    Semua individu dalam ambulans selamat, pesakit dihantar ke sebuah hospital di Khon Kaen dengan kenderaan pasukan penyelamat yang lain.

    Menurut polis, penunggang motosikal itu baru sahaja membeli satu gelen petrol di stesen minyak berhampiran sebelum dilanggar, menjadi punca berlakunya kebakaran.

    Di samping itu, pemandu akan disoal siasat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

    Di bawah Seksyen 291 Undang-undang jenayah, pemandu boleh didakwa kerana cuai dan perbuatan yang menyebabkan kematian.

    Pemandu ambulans itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM2445 (20,000 baht).

  • Cabaran ‘sleepy chicken’ di TikTok undang ‘bencana’ – FDA

    Cabaran ‘sleepy chicken’ di TikTok undang ‘bencana’ – FDA

    PENTADBIRAN Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) memberi amaran cabaran memasak ayam dalam ubat batuk bukan sahaja menjadikan hidang itu tidak menyelerakan tetapi juga boleh menjadi sangat berbahaya.

    Astro Awani dalam laporannya berkata, cabaran yang dinamakan ‘sleepy chicken’ itu menjadi ikutan selepas sohor kini di TikTok.

    Beberapa video yang tular mencabar orang ramai untuk memasak ayam dalam ubat batuk NyQuil, yang mengandungi acetaminophen, dextromethorphan dan doxylamine, serta beberapa jenis ubat batuk lain.

    Menurut FDA lagi, ubat yang dididihkan boleh menjadikannya lebih pekat dan mengubah sifatnya.

    “Walaupun anda tidak makan ayam, menyedut wap ubat semasa memasak boleh menyebabkan tahap ubat yang tinggi memasuki badan anda, dan boleh membahayakan paru-paru,” katanya.

    Ini bukan kali pertama FDA memberi amaran terhadap cabaran media sosial yang menggunakan ubat bukan preskripsi.

    Pada September 2020, amaran serupa telah dikeluarkan oleh FDA selepas beberapa remaja dilaporkan dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia selepas menyertai “Cabaran Benadryl”.

  • Polis tahan suspek tikam remaja 15 tahun

    Polis tahan suspek tikam remaja 15 tahun

    SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan semalam kerana membunuh seorang remaja lain berusia 15 tahun di Huddersfield, England.

    Remaja itu ditikam di luar sekolahnya, kelmarin dan dirawat di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan berita asing, pembunuhan itu telah menggegarkan bandar Yorkshire Barat dan murid-murid sekolah North Huddersfield Trust.

    Pelajar-pelajar sekolah berkenaan dilihat meletakkan bunga di tempat kejadian.

    Polis berkata, suspek ditahan sejurus sebelum pukul 5 pagi semalam.

  • Rasuah: Bekas Menteri Kehakiman China dipenjara seumur hidup

    Rasuah: Bekas Menteri Kehakiman China dipenjara seumur hidup

    BEKAS Menteri Kehakiman China, Fu Zhenghua yang pernah mengetuai beberapa siasatan rasuah berprofil tinggi di negara itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menerima rasuah, lapor media tempatan hari ini.

    Hukuman ke atas Zhenghua, 67, dibuat ketika kerajaan melakukan usaha pembersihan pegawai menjelang satu kongres utama Parti Komunis.

    Lapor agensi berita Reuters, Zhenghua dijatuhi hukuman yang kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup selepas dua tahun, tanpa kemungkinan parol.

    Zhenghua ialah Timbalan Ketua Kementerian Keselamatan Awam sebelum menjadi Menteri Kehakiman pada 2018, telah mengetuai banyak penyiasatan berprofil tinggi dan tindakan keras termasuk siasatan kira-kira sedekad lalu ke atas Zhou Yongkang, pegawai paling berkuasa di China untuk disabitkan dengan rasuah.

    Julai lalu, beliau mengaku menerima rasuah bernilai lebih AS$16.50 juta (RM75 juta) Julai lalu.

    Menjelang perbicaraan mahkamah Zhenghua di bandar Changchun di timur laut, badan pemerhati antirasuah China memutuskan bahawa beliau juga menjadi sebahagian daripada ‘geng politik’ Sun Lijun, antara seorang pegawai paling terkemuka yang menjadi sasaran sejak sabitan kesalahan Yong Kang pada 2015.

    Lijun, yang menjadi timbalan menteri keselamatan awam ketika siasatan terhadapnya bermula pada 2020, mengaku dalam siaran televisyen bahawa beliau telah bersekongkol dengan beberapa pegawai penguatkuasa undang-undang tertinggi dengan tujuan kekayaan peribadi.

    Pengaruh Lijun yang masih belum menerima hukumannya begitu berleluasa dalam parti itu sehingga disifatkan sebagai ‘beracun’ dan beliau sendiri adalah seperti ‘kanser’ yang perlu dihapuskan.

    Pembersihan dilakukan tiga minggu sebelum kongres diadakan sekali dalam tempoh lima tahun Parti Komunis yang memerintah di mana Presiden, Xi Jinping dijangka mengekalkan jawatan untuk penggal ketiga.

    Semalam, tiga bekas ketua polis wilayah Shanghai, Chongqing dan Shanxi dijatuhi hukuman penjara termasuk seorang daripadanya seumur hidup kerana rasuah.

  • Aktres Hong Kong dakwa ditahan Imigresen kerana terlalu cantik

    Aktres Hong Kong dakwa ditahan Imigresen kerana terlalu cantik

    NAMPAKNYA terlalu cantik juga menjadi satu jenayah. Aktres Hong Kong, Gillian Chung mendakwa dia berdepan detik mencemaskan apabila ditahan dan disoal siasat pegawai Imigresen di sebuah lapangan terbang di Jerman.

    Tambah mengejutkan bagi pelakon berusia 41 tahun itu, dia dimaklumkan penahanannya adalah kerana dia terlalu muda dan cantik.

    Dia mendedahkan pengalamannya itu dalam program Promise for You setelah ditanya mengenai pengalaman bercuti yang sukar dilupakan.

    Sebagaimana lapor portal hiburan Singapura, Gillian menyatakan dia sedang dalam perjalanan ke Belgium untuk menghadiri majlis perkahwinan temannya.

    Namun dakwanya, dia dan rakannya ditahan selepas pesawat dinaiki transit di Jerman.

    “Hanya disebabkan saya dan seorang lagi teman perempuan masih muda dan cantik, mereka sangka kami terbabit dengan perkara yang salah di sisi undang-undang,” katanya.

    Bagaimanapun, Gillian tidak menyatakan siapa teman yang berada dengannya ketika kejadian. Dia juga tidak memberitahu bila perkara itu berlaku, lapor agensi.

    Gillian yang turut menceburi bidang muzik sebagai penyanyi Canto Pop memberitahu, dia cuba menjelaskan kepada pegawai Imigresen terbabit bahawa dirinya selebriti.

    Namun, dakwa Gillian, penjelasan dan rayuannya tidak dilayan. Sebaliknya, pegawai Imigresen terbabit terus menyoal siasat dirinya.

    “Ketika itu, saya mengejar pesawat seterusnya, tiada makanan dan tidak ditempatkan dalam bilik.

    “Sebaliknya, saya ditahan… Saya memang tidak bernasib baik,” katanya.

  • Ahli perniagaan Malaysia ‘Fat Leonard’ diberkas di Venezuela

    Ahli perniagaan Malaysia ‘Fat Leonard’ diberkas di Venezuela

    AHLI perniagaan warga Malaysia, Leonard Glenn Francis yang melarikan diri daripada tahanan rumah di San Diego, awal bulan ini selepas mengaku bersalah dalam skandal rasuah tentera laut Amerika Syarikat (AS) ditahan di Venezuela pagi kelmarin.

    Portal NBC News melaporkan, lelaki yang dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ ditahan ketika cuba menaiki pesawat di lapangan terbang antarabangsa Caracas.

    Pegawai kanan Polis Antarabangsa (INTERPOL) di Venezuela, Carlos Garate Rondon berkata, Francis memasuki negara itu dari Mexico sebelum Cuba dan destinasi terakhirnya adalah Rusia.

    Dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simón Bolívar di ibu negara Venezuela dan kekal dalam tahanan sementara menunggu proses ekstradisi oleh pihak berkuasa AS.

    Francis dilaporkan melarikan diri dengan memotong gelang peranti pemantauannya pada 4 September sebelum melarikan diri dari kediamannya di San Diego.

    Pada 2015, dia mengaku bersalah merasuah pegawai tentera laut AS dalam skandal bernilai AS$35 juta (RM160 juta) setelah ditahan pada 2013.

  • Seleweng RM55.7 juta, bekas wanita pertama Honduras dipenjara 14 tahun

    Seleweng RM55.7 juta, bekas wanita pertama Honduras dipenjara 14 tahun

    BEKAS wanita pertama Honduras, Rosa Bonilla dihukum penjara 14 tahun oleh sebuah mahkamah semalam, selepas didapati bersalah menipu dan menyeleweng dana untuk kanak-kanak miskin, kata jurucakap kehakiman.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik agensi berita Reuters melaporkan, menurut Kementerian Awam, isteri bekas presiden Porfirio Lobo itu membelanjakan dana bagi membantu kanak-kanak miskin berjumlah USD12.2 juta (RM55.7 juta) untuk membayar kad kredit, yuran sekolah anak-anaknya dan pembinaan hartanah.

    Peguamnya, Juan Berganza berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan.

    “Bekas wanita pertama, Rosa Elena Bonilla dihukum penjara 14 tahun sebulan atas jenayah penipuan dan menyeleweng dana awam untuk program sosial,” kata jurucakap Mahkamah Agung, Carlos Silva kepada wartawan.

    Bonilla sebelum ini dihukum penjara 58 tahun dalam perbicaraan terdahulu, tetapi dibatalkan Mahkamah Agung pada awal 2020 atas alasan tidak konsisten.

    Mahkamah Agung mengarahkan perbicaraan semula di mahkamah rendah, yang kemudiannya mendapati Bonilla bersalah pada Mac lalu.

    Lobo dilantik sebagai presiden pada 2009, selepas rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan pimpinan presiden ketika itu, Manuel Zelaya. Lobo berkuasa hingga 2014.

    Seorang anak lelaki pasangan itu, Fabio Lobo, dihukum penjara 24 tahun oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada 2017, selepas mengaku bersalah berkonspirasi menyeludup kokain ke negara itu.