SEKURANG-kurangnya 77 pendatang lemas apabila bot yang dinaiki mereka dari Lebanon karam di pantai Syria dekat timur Laut Mediterranean, kelmarin.

Menteri Kesihatan Syria, Hassan al-Ghabash sebagaimana laporan agensi berita AFP berkata, kira-kira 150 orang, kebanyakannya dari Lebanon dan Syria menaiki bot kecil yang karam itu di luar bandar Tartus, Syria.

“77 orang mati lemas,” kata Hassan menambah, kira-kira 20 orang yang terselamat sedang dirawat di hospital di Tartus.

Dalam pada itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Lebanon, Ali Hamie berkata, bot dinaiki pendatang tidak dapat menampung kapasiti mereka yang terlalu ramai.

Bot itu katanya baru diimport dan tiba di Lebanon dua bulan lalu.

“Kebanyakan penumpang merupakan [enduduk utara Lebanon dengan ada di antaranya adalah pelarian Palestin dari kem Nahr Al-Bared namun majoriti penumpang adalah rakyat Syria dari Idlib, Aleppo dan Latakia.

“Antara mangsa adalah dua kanak-kanak perempuan yang dikebumikan di Akkar,” katanya.

Lebanon yang dilanda krisis kewangan sejak 2019 dan disifatkan oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang terburuk pada zaman moden, menjadi tempat tumpuan untuk pendatang haram, dengan penduduknya sendiri menyertai pelarian dari Syria dan Palestin untuk meninggalkan negara.

Tartus adalah bandar pelabuhan utama Syria di bahagian selatan dan terletak pada jarak kira-kira 50 kilometer ke utara bandar pelabuhan Tripoli di Lubnan, di mana penumpang menaikinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here