Author: Admin

  • Zahid, jadilah contoh…berundurlah…ajak Najib sekali

    Zahid, jadilah contoh…berundurlah…ajak Najib sekali

    TT senyum bila semasa Konvesyen BN Selangor, Ahad lepas Pengerusi BN Zahid Hamidi kata, ‘’ “Orang-orang lama bagilah peluang kepada orang-orang baru, zaman kita jadi wakil rakyat merekalah yang bantu kita. Zaman kita telah lepas, kita pula yang harus bantu muka-muka baru untuk mereka menang.’’

    Zahid yang berusia 69 tahun dan sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan termasuk 12 daripadanya berkaitan pecah amanah berkata, ‘’ golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik harus berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional selain memulakan pencarian calon lain yang dapat membantu kemenangan gabungan itu.’’

    TT sebenarnya tak kisah sangat soal ‘warlord’ atau yang berusia nak bertanding. Kalau mereka boleh beri kemenangan kepada parti yang mereka wakili dan masih mampu berbakti kepada rakyat…teruskanlah. Tetapi yang TT tak berkenan dan berpendapat paling sesuai untuk berundur terlebih dulu, mereka yang ada isu integriti.

    Jadi TT nak tanya Zahid, adakah beliau bersedia menjadi contoh terbaik untuk berundur dan memberi laluan kepada orang-orang baru? Lagipun Zahidpun dah lama jadi Ahli Parlimen sejak 1995, dah rasa jadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, paling penting Zahid pun ada kes mahkamah.

    Kalau Zahid bercita-cita nak jadi PM, TT nak nasihat lupakan sahaja. Zahid tak ada material untuk menduduki jawatan itu. TT berterus terang supaya Zahid tidak dibuai kata-kata manis orang kelilingnya. Memang Zahid tak sesuaipun jadi PM…ini hakikat. TT rasa Zahid pun ‘pandai ukur baju kat badan sendiri.’

    Zahid kata ‘warlord sebagai orang politik harus berjiwa besar’, tak kan ‘warlord’ saja, Zahid pun kena berjiwa besar. Paling baik Zahid berundur sebelum PRU-15. Tugas-tugas dalam UMNO  boleh diserahkan kepada Tok Mat Hasan dengan dibantu oleh Tok Det (Mahdzir Khalid) manakala tugas sebagai Pengerusi BN boleh beri kepada Ismail Sabri Yaakob sebab Tok Mail pun dah jadi PM, bila pemilihan parti nanti Tok Mail boleh tanding jawatan Presiden UMNO. Zahid dok diam-diam tumpu kes mahkamah, itu juga demi kebaikan beliau.

    Biar Tok Mail yang pilih calon PRU-15 BN sebab Tok Mail kan poster boy BN. Tok Mail mestilah nak calon  pilihan beliau dan boleh  menang, sekaligus beliau boleh sambung tugas sebagai PM, bukan sekadar jadi ‘poster boy’ lepas tu tak angkat sumpah.

    Namun TT rasa nak harap Zahid berundur seperti mana beliau minta ‘orang-orang lama berundur’ macam bermimpila pulak sebab TT yakin Zahid tak akan berbuat demikian.

    Biasalah bila berucap depan orang parti sendiri memang nampak bersemangat nak minta orang lain bagi laluan sebab ‘’zaman kita telah lepas’’ tetapi Zahid patut tanya diri sendiri dulu, adakah bersedia nak berundur?…Jangan harap!

    Lagipun dalam UMNO sekarang mana ada yang berani bersuara, semua takut tak dapat jadi calon pilihan raya sebab itulah Najib Razak terus jadi pemimpin paling berpengaruh dalam UMNO walaupun didapati bersalah oleh dua mahkamah, Zahid pun kalah, cuma Zahid ada kuasa pilih calon…orang UMNO hati-hati sikit.

    Tetapi dalam kalangan rakyat, mereka ada fikiran lain…mereka tak kisah calon itu ‘warlord’ atau tidak, yang penting tak ada masalah integriti.

    TT percaya kalau Zahid berundur dan ajak Najib sekali…ahli-ahli UMNO akan lega sebab Zahid dan Najib ‘cakap serupa bikin’, bukan ‘di depan cakap lain kat belakang buat lain’…macam isu surat kepada Agong yang heboh dulu…betul tak?

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Tuntutan palsu:SPRM tahan bekas pengarah, pegawai kanan kerajaan

    Tuntutan palsu:SPRM tahan bekas pengarah, pegawai kanan kerajaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang bekas pengarah dan pegawai kanan agensi kerajaan dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dan meminta wang suapan daripada pihak kontraktor berjumlah RM230,000.

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki yang berusia 44 hingga 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Difahamkan, kedua-dua suspek telah menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000 namun tiada pembekalan mahupun program dilaksanakan oleh pihak terbabit.

    Bekas pengarah itu juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dalam tempoh 2017 hingga 2019.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009.

    “Tangkapan ini adalah hasil kerjasama antara SPRM Sabah dan Unit Integriti agensi kerajaan berkenaan.

    “Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok (Rabu) bagi tujuan permohonan reman,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Tawar gaji, komisen lebih untuk jadi Scammer

    Tawar gaji, komisen lebih untuk jadi Scammer

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor mengesan sindiket penipuan dalam talian menyasarkan golongan muda yang sedang mencari kerja untuk menjadi scammer dengan menawarkan gaji dan komisen lumayan sehingga lebih RM10,000 sebulan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang mendeddahkan perkara itu berkata, sindiket tersebut mengambil kesempatan terhadap orang muda terutama mereka yang sememangnya sedang mencari kerja selepas pandemik Covid-19.

    “Golongan muda ini juga tidak merasa bersalah melakukan kerja berkenaan selepas tertarik dengan tawaran lumayan.

    “Seperti dalam operasi yang dibuat di Batu Pahat baru-baru ini, serbuan mendapati ejen yang menjadi ‘scammer’ melibatkan golongan muda berusia berusia antara 18 hingga 25 tahun.

    “Sindiket ini ‘memancing’ individu yang sedang mencaTri pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan, gaji tetap RM2,500 sebulan tidak termasuk komisen, jika mereka berjaya memperdaya lebih ramai orang, pendapatan mereka boleh mencecah lebih RM10,000 sebulan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ awie Ride di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Hadir sama penyanyi rock terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie dan Saifulazam Mohammad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek.

    Kamarul Zaman berkata, sebanyak 1,747 kes jenayah komersial dengan kerugian keseluruhan melibatkan RM156 juta direkodkan sejak Januari hingga 31 Julai lalu di negeri ini.

    Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 90 peratus atau sejumlah 1,554 kes adalah membabitkan jenayah penipuan secara dalam talian.

    Justeru, beliau berharap, kempen berkenaan dapat memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan trend terkini jenayah komersil antaranya ‘Love Scam’, ‘Macau Scam’, ‘Parcel Scam’ dan ‘Internet Scam’.

    Sementara itu, Awie berkata, penganjuran program itu berjaya mencapai matlamat awal untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka dengan jenayah komersial khususnya secara atas talian.

    Pihaknya sudah melakukan fasa satu dengan jelajah ke utara sebelum pantai timur dan kini fasa terakhir bergerak ke selatan.

    “Maklum balas yang saya dapat masyarakat sudah semakin cakna dan mahu mengambil tahu perkembangan semasa termasuk taktik penjenayah.

    “Kita dapat melihat orang ramai bertanya soalan dan juga mendengar penerangan secara serius, Alhamdulillah ini satu kerjasama yang sangat bagus dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

  • 9 anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah, Sarawak

    9 anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah, Sarawak

    SEMBILAN anggota polis yang dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci.

    Jelasnya, semua anggota yang terlibat telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

    “Siasatan masih dijalankan melibatkan semua aspek dan saya tegaskan bahawa polis Selangor sama sekali tidak berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara khas Sinar Harian di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

    Pada Sabtu, media melaporkan sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.

    Anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.

    Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.

  • Penilaian laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bersifat subjektif

    Penilaian laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bersifat subjektif

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan negara pada Tahap 3 adalah bersifat subjektif.

    “Penilaian itu juga berpandukan perundangan Amerika Syarikat bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA).

    “TVPA itu ada kalanya terdapat perbezaan dengan undang-undang dan amalan diguna pakai di Malaysia dalam konteks tiga elemen penilaian, iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa serta pencegahan, katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang pada sesi penerangan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Astro Awani.

    Hamzah menjelaskan, laporan berkenaan bukan hanya berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kerajaan Malaysia, sebaliknya membabitkan mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO).

    Selain itu, katanya, laporan itu turut berpandukan pematuhan instrumen antarabangsa seperti Konvensyen PBB mengenai Jenayah Terancang (UNTOC) dan Protokol PBB mengenai Pemerdagangan Orang (Protokol TIP).

    “Apabila Malaysia diletakkan pada Tahap 3, ia boleh memberi kesan kepada negara, selain berkemungkinan menjejaskan beberapa pasaran eksport di luar negara apabila terpalit dengan tuduhan penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan.

    “Sebagai contoh, terdapat beberapa syarikat dikenakan Withhold Release Order (WRO) oleh pihak US Customs and Border Protection (CBP).

    “Walau bagaimanapun, yang mana dua buah syarikat telah pun ditarik balik sekatan WRO tersebut,” katanya.

    Laporan berkenaan adalah penilaian peringkat global dilakukan kerajaan Amerika Syarikat yang mengetengahkan empat tahap, iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3 itu dikeluarkan pada 20 Julai lalu.

    Penilaian itu dilakukan ke atas 188 negara dalam aspek penguatkuasaan dan pendakwaan, pencegahan serta perlindungan dengan Malaysia dinilai pada Tahap 3, tahun ini.

  • Kastam rampas senjata api dihantar menerusi khidmat kurier

    Kastam rampas senjata api dihantar menerusi khidmat kurier

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya mengesan perbuatan seorang kontraktor amembeli pelbagai jenis senjata api dari luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

    Pengarah JKDM Melaka, Norlela Ismail berkata, rampasan melibatkan lima senjata api dari negara Sepanyol yang diikrarkan sebagai barangan hiasan logam itu dibuat dengan kerjasama sebuah syarikat kurier.

    “Hasil tangkapan terhadap lelaki berusia 36 tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, pihak JKDM berjaya merampas dua laras senapang angin, satu laras senapang dan dua pucuk pistol angin.

    “Kita turut merampas tiga tin peluru selain serbuan di rumah lelaki berkenaan di Bemban, Jasin kemudian turut menemukan satu lagi pucuk pistol angin dan kesemua senjata itu kononnya didakwa dibeli untuk dijadikan koleksi.

    “(Suspek) menggunakan alamat perkhidmatan kurier sebagai penerima. Bungkusan kemudian dihantar secara selamat ke destinasi yang diminta pelanggan.

    “Ini bermakna pelanggan dia guna alamat syarikat kurier kemudian dia ‘follow up’ barang dibeli secara online, kemudian bila barang tu dah sampai, dia minta kurier hantar ke alamat yang dia nyatakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh, Melaka, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport senjata dari luar negara menggunakan perkhidmatan kurier tanpa pengisytiharan dan permit yang sah.

    Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, atau kedua-duanya.

    Dalam pada itu, Norlela berkata JKDM Melaka berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan terlarang bernilai RM23 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

    Katanya, usaha tersebut melibatkan sebanyak 101 kes membabitkan 30 suspek ditahan sejak Januari hingga Jun lalu.

    Jelasnya, tangkapan itu menunjukkan peningkatan kira-kira 15 peratus berbanding tahun lalu.

    Beliau turut menyeru orang ramai untuk membantu pihaknya membanteras jenayah penyeludupan terutamanya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan di talian bebas tol 1-800-888855 atau pejabat kastam terdekat.

  • Dua beradik maut dicampak bapa dari atas Lebuh Raya MRR2

    Dua beradik maut dicampak bapa dari atas Lebuh Raya MRR2

    SEORANG lelaki etnik Rohingya dipercayai membunuh dua anak lelakinya yang berusia anggaran enam dan tujuh tahun dengan mencampakkan mereka dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong berhampiran lampu isyarat Desa Jaya, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun itu yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kemudiannya dipercayai terjatuh dari lokasi yang sama, iaitu dari ketinggian kira-kira 20 meter.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum kejadian pukul 5.50 pagi, lelaki itu dilihat berjalan di lebuh raya berkenaan sambil mendukung seorang kanak-kanak sementara dua lagi mangsa dipimpin di tangan kanan dan kirinya.

    “Apabila seorang saksi cuba menghampirinya, suspek secara tiba-tiba bertindak mencampak kesemua tiga anaknya sebelum dia terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Eng Lai memaklumkan, suspek dan dua anak lelakinya mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah sementara seorang lagi anak perempuan yang berusia lapan tahun dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapat rawatan.

    Beradasarkan pemeriksaan pegawai perubatan katanya, anak perempuannya itu mengalami kecederaan dalaman di perut dan keretakan di bahagian rusuk kirinya.

    Mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal.

    Ujar beliau, setakat ini polis masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung ibu kepada mangsa.

    Beliau memberitahu, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

    Kes iu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Baldev Singh Gurdial Singh di talian 012-480 6062 atau balai polis berhampiran dengan segera.

  • Lapan lelaki didakwa bergaduh depan kedai makan

    Lapan lelaki didakwa bergaduh depan kedai makan

    SERAMAI lapan lelaki termasuk dua beradik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini kerana bergaduh di tempat awam pada bulan lalu.

    Lee Soon Li, 24; Muhammad Adam Mikhail, 27; Peter Gumbang, 25; Harith Iskandar Rosdi, 26; dan Sia Wei Jun,23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

    Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh termasuk dua beradik, Mohd. Kazman Ishak, 36, dan Mohd. Saddam Ishak,31 serta Nurul Syahrizal Mohd., 41, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan kedai makan di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, 8.15 malam, 28 Julai lalu.

    Semua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM1,800 setiap seorang.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd. Ridhuan Mohina Din.

  • Mahkamah tangguh bicara kes SM Faisal pada September depan

    Mahkamah tangguh bicara kes SM Faisal pada September depan

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan kes ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang berhadapan tuduhan mencederaan bekas isterinya, Emilia Hanafi ke tarikh 8 September depan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin semasa prosiding berkata, kedua-dua pihak setuju dengan tarikh baharu ditetapkan berlangsung selama tujuh hari, bermula September.

    “Tarikh perbicaraan baharu itu ialah pada 8, 12 dan 14 September sementara Oktober pada 14 dan 26 dan terakhir 17 serta 18 November.

    “Prosiding pada hari ini dijadualkan untuk sambung bicara tetapi ditangguhkan ke tarikh lain, berikutan majistret yang mendengar kes itu berdepan dengan hal kecemasan.

    “Pada tarikh berkenaan, seorang saksi remaja lelaki yang juga anak kepada SM Faisal dan Emilia berusia 15 tahun akan memberi keterangan dalam prosiding yang diadakan secara tertutup,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, lapor Sinar Harian, hari ini.

    SM Faisal, 43, berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di Kuala Lumpur antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Bapa Allahyarham juga terkorban dalam nahas pesawat-Bapa saudara

    Bapa Allahyarham juga terkorban dalam nahas pesawat-Bapa saudara

    BAPA saudara kepada jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang maut dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng, di Ipoh, malam tadi akan dikebumikan di Semenyih, Selangor, hari ini.

    Menurut bapa saudaranya yang mahu dikenali sebagai Radzi, 57, jenazah Fajim Juffa akan dibawa pulang ke Semenyih selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat Ipoh.

    “Jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Surau Al-Kauthar Bandar Tasik Kesuma, Semenyih untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran,” kata Radzi kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik HRPB, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau yang tinggal di Klebang Damai menyifatkan Allahyarham merupakan seorang yang ceria dan mudah didekati.

    “Kali terakhir jumpa dengan arwah pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini. Dia seorang yang ceria dan mudah bersembang dengan orang.

    “Dia seorang yang rendah diri. Kalau bersembang pun dia tidak suka menonjolkan diri dia sangat (menunjuk-nunjuk),” katanya sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

    Tinjauan media di lokasi mendapati ahli keluarga dan kenalan Allahyarham mula tiba HRPB sekitar pukul 8 pagi.

    Dalam pada itu, Radzi memberitahu isteri dan tiga anak Allahyarham Fajim Juffa masih diselubungi perasaan hiba susulan kehilangan insan tersayang.

    Radzi juga berkata, daripada tiga beradik, hanya Fajim Juffa sahaja yang mewarisi minat bapanya berkhidmat sebagai tentera udara.

    “Bapa kandung arwah juga terkorban dalam nahas membabitkan pesawat iaitu dalam tragedi helikopter Nuri di Muara Sungai Lundu, Sarawak pada tahun 1989,” jelas beliau lagi.

    Dalam nahas pukul 8 malam tadi, Fajim Juffa yang berasal dari Semenyih, terkorban manakala seorang lagi jurulatih penerbangan iaitu Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

    Mereka dilaporkan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian.