SEMBILAN anggota polis yang dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci.

Jelasnya, semua anggota yang terlibat telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

“Siasatan masih dijalankan melibatkan semua aspek dan saya tegaskan bahawa polis Selangor sama sekali tidak berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara khas Sinar Harian di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

Pada Sabtu, media melaporkan sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.

Anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.

Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here