TT senyum bila semasa Konvesyen BN Selangor, Ahad lepas Pengerusi BN Zahid Hamidi kata, ‘’ “Orang-orang lama bagilah peluang kepada orang-orang baru, zaman kita jadi wakil rakyat merekalah yang bantu kita. Zaman kita telah lepas, kita pula yang harus bantu muka-muka baru untuk mereka menang.’’

Zahid yang berusia 69 tahun dan sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan termasuk 12 daripadanya berkaitan pecah amanah berkata, ‘’ golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik harus berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional selain memulakan pencarian calon lain yang dapat membantu kemenangan gabungan itu.’’

TT sebenarnya tak kisah sangat soal ‘warlord’ atau yang berusia nak bertanding. Kalau mereka boleh beri kemenangan kepada parti yang mereka wakili dan masih mampu berbakti kepada rakyat…teruskanlah. Tetapi yang TT tak berkenan dan berpendapat paling sesuai untuk berundur terlebih dulu, mereka yang ada isu integriti.

Jadi TT nak tanya Zahid, adakah beliau bersedia menjadi contoh terbaik untuk berundur dan memberi laluan kepada orang-orang baru? Lagipun Zahidpun dah lama jadi Ahli Parlimen sejak 1995, dah rasa jadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, paling penting Zahid pun ada kes mahkamah.

Kalau Zahid bercita-cita nak jadi PM, TT nak nasihat lupakan sahaja. Zahid tak ada material untuk menduduki jawatan itu. TT berterus terang supaya Zahid tidak dibuai kata-kata manis orang kelilingnya. Memang Zahid tak sesuaipun jadi PM…ini hakikat. TT rasa Zahid pun ‘pandai ukur baju kat badan sendiri.’

Zahid kata ‘warlord sebagai orang politik harus berjiwa besar’, tak kan ‘warlord’ saja, Zahid pun kena berjiwa besar. Paling baik Zahid berundur sebelum PRU-15. Tugas-tugas dalam UMNO  boleh diserahkan kepada Tok Mat Hasan dengan dibantu oleh Tok Det (Mahdzir Khalid) manakala tugas sebagai Pengerusi BN boleh beri kepada Ismail Sabri Yaakob sebab Tok Mail pun dah jadi PM, bila pemilihan parti nanti Tok Mail boleh tanding jawatan Presiden UMNO. Zahid dok diam-diam tumpu kes mahkamah, itu juga demi kebaikan beliau.

Biar Tok Mail yang pilih calon PRU-15 BN sebab Tok Mail kan poster boy BN. Tok Mail mestilah nak calon  pilihan beliau dan boleh  menang, sekaligus beliau boleh sambung tugas sebagai PM, bukan sekadar jadi ‘poster boy’ lepas tu tak angkat sumpah.

Namun TT rasa nak harap Zahid berundur seperti mana beliau minta ‘orang-orang lama berundur’ macam bermimpila pulak sebab TT yakin Zahid tak akan berbuat demikian.

Biasalah bila berucap depan orang parti sendiri memang nampak bersemangat nak minta orang lain bagi laluan sebab ‘’zaman kita telah lepas’’ tetapi Zahid patut tanya diri sendiri dulu, adakah bersedia nak berundur?…Jangan harap!

Lagipun dalam UMNO sekarang mana ada yang berani bersuara, semua takut tak dapat jadi calon pilihan raya sebab itulah Najib Razak terus jadi pemimpin paling berpengaruh dalam UMNO walaupun didapati bersalah oleh dua mahkamah, Zahid pun kalah, cuma Zahid ada kuasa pilih calon…orang UMNO hati-hati sikit.

Tetapi dalam kalangan rakyat, mereka ada fikiran lain…mereka tak kisah calon itu ‘warlord’ atau tidak, yang penting tak ada masalah integriti.

TT percaya kalau Zahid berundur dan ajak Najib sekali…ahli-ahli UMNO akan lega sebab Zahid dan Najib ‘cakap serupa bikin’, bukan ‘di depan cakap lain kat belakang buat lain’…macam isu surat kepada Agong yang heboh dulu…betul tak?

*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here