Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS Johor mengesan sindiket penipuan dalam talian menyasarkan golongan muda yang sedang mencari kerja untuk menjadi scammer dengan menawarkan gaji dan komisen lumayan sehingga lebih RM10,000 sebulan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang mendeddahkan perkara itu berkata, sindiket tersebut mengambil kesempatan terhadap orang muda terutama mereka yang sememangnya sedang mencari kerja selepas pandemik Covid-19.

“Golongan muda ini juga tidak merasa bersalah melakukan kerja berkenaan selepas tertarik dengan tawaran lumayan.

“Seperti dalam operasi yang dibuat di Batu Pahat baru-baru ini, serbuan mendapati ejen yang menjadi ‘scammer’ melibatkan golongan muda berusia berusia antara 18 hingga 25 tahun.

“Sindiket ini ‘memancing’ individu yang sedang mencaTri pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan, gaji tetap RM2,500 sebulan tidak termasuk komisen, jika mereka berjaya memperdaya lebih ramai orang, pendapatan mereka boleh mencecah lebih RM10,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial @ awie Ride di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama penyanyi rock terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie dan Saifulazam Mohammad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek.

Kamarul Zaman berkata, sebanyak 1,747 kes jenayah komersial dengan kerugian keseluruhan melibatkan RM156 juta direkodkan sejak Januari hingga 31 Julai lalu di negeri ini.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, 90 peratus atau sejumlah 1,554 kes adalah membabitkan jenayah penipuan secara dalam talian.

Justeru, beliau berharap, kempen berkenaan dapat memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan trend terkini jenayah komersil antaranya ‘Love Scam’, ‘Macau Scam’, ‘Parcel Scam’ dan ‘Internet Scam’.

Sementara itu, Awie berkata, penganjuran program itu berjaya mencapai matlamat awal untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka dengan jenayah komersial khususnya secara atas talian.

Pihaknya sudah melakukan fasa satu dengan jelajah ke utara sebelum pantai timur dan kini fasa terakhir bergerak ke selatan.

“Maklum balas yang saya dapat masyarakat sudah semakin cakna dan mahu mengambil tahu perkembangan semasa termasuk taktik penjenayah.

“Kita dapat melihat orang ramai bertanya soalan dan juga mendengar penerangan secara serius, Alhamdulillah ini satu kerjasama yang sangat bagus dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here